09 August 2009

TIGA JUTA PELAJAR ‘TERKORBAN’ KERANA DASAR ‘BODOH’ KERAJAAN!

Sewaktu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan 1Malaysia bersetuju memansuhkan PPSMI pada 2011 maka ramai pemimpin Umno@BN dan juga kaki angguk dalam kerajaan menyifatkan langkah itu tepat dan sebagai langkah 'bijak'. Bermakna tindakan kerajaan Umno@BN di bawah Tun Dr Mahathir meluluskan dasar PPSMI sebelum ini adalah adalah langkah 'bodoh'.

Pelbagai pihak yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak bersetuju dengan dasar ini. Kemuncaknya ialah demontrasi membantah PPSMI tidak lama dulu di tengah ibu kota. Maka ramai yang ditangkap dan bakal didakwa di mahkamah. Tidak terkecuali kanak-kanak, golongan tua dan wanita turut merasa perit dan sesak nafas kerana gas pemedih mata dan semburan air asid.

Tindakan mereka berdemontrasi sebagai langkah terakhir untuk membela dan mempertahankan kedaulatan dan maruah Bahasa Melayu dari terus dihina dan dipinggirkan. Mereka adalah pejuang bahasa yang sebenar dan bukan menjadi alat untuk kepentingan mana-mana pihak. Mereka datang secara sukarela dari jauh dan dekat tanpa sebarang habuan dan upah. Sebaliknya mereka dipersenda kerana menyebabkan pelabur dan pelancong lari. Peniaga kerugian (khabarnya berpuluh juta).

Ternyata segala tindakan dan pengorbanan mereka tidak sia-sia dan terjawab apabila Muhyiddin mengakui dasar PPSMI menyebabkan kira-kira 3 juta pelajar menjadi korban. Tercicir dari persekolahan kerana gagal mendapat sijil kerana gagal dalam Bahasa Inggeris.

Jadi apa tunggu lagi? Kenapa perlu tunggu sehingga 2011 untuk mansuhkan PPSMI? Siapa yang hendak bertanggungjawab terhadap 'dosa' yang menyebabkan ramai pelajar tercicir? Pastinya ramai yang tercicir ini adalah mereka yang tinggal di luar bandar yang pastinya majoriti mereka adalah anak-anak Melayu. Maka bila ramai yang tercicir maka ramailah golongan yang tidak mampu bersaing terpaksa 'melepak' kerana gagal mendapat pekerjaan.Lebih-lebih lagi dalam suasana kegawatan ekonomi sekarang. Bila ramai yang tercicir sekaligus menyumbang kepada pelabagai gejala sosial yang semakin menjadi-jadi sekarang. Sekaligus kerajaan Umno@BN mempunyai 'saham' terhadap peningkatan masalah moral dan gejala sosial yang kronik pada hari ini. Jadi apa yang berlaku pada hari ini kerajaan Umno@BN tidak boleh cuci tangan macam tu aja. Kerajaan Umno@BN kena bertanggungjawab sepenuhnya tanpa menunding jari kepada pihak lain.