26 November 2008

ANAK LUAR NIKAH DI MELAKA BERTAMBAH 51%- Ref Malaysiakini

Kes hamil luar nikah di negeri ini meningkat 51 peratus kepada 328 kes berbanding 311 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Malah kes di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 secara keseluruhannya juga didapati meningkat sebanyak 5.9 peratus atau 93 kes.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani, berkata sehingga November ini, jumlah kes membabitkan kesalahan syariah di negeri ini meningkat kepada 1,586 kes berbanding 1,493 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 808 kes bersekedudukan dilaporkan pada tahun ini berbanding 699 kes tahun lalu," katanya.

Peningkatan kes jenayah syariah di Melaka ini semakin membimbangkan. Dijangka kadar ini akan terus meningkat disebabkan suburnya pusat-pusat maksiat dan hiburan di Melaka.

Apa yang berlaku sepatutnya membuka mata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk mengatasinya. Ali Rustam sepatutnya menarik diri dari pencalonan sebagai timbalan presiden Umno memandangkan banyak masalah besar dalam negeri Melaka yang berlarutan sekian lama gagal diselesaikan. Misalnya, bliau sepatutnya menumpukan perhatian menyelesaikan isu ladang babi di Melaka yang akhir-akhir ini telah mewujudkan kebencian di antara kaum.

Apa yang berlaku di Melaka juga adalah disebabkan sikap terlalu ghairah Ali Rustam untuk mengejar status Melaka negeri maju 2010, sehingga aspek rohani dan pembangunan insan tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Implikasinya dapat dilihat pada hari ini, bukan sahaja kadar jenayah syariah meningkat di Melaka tetapi juga turut melibatkan kes jenayah lain seperti ragut, pecah rumah, rogol dan bunuh. Terbaru apa yang berlaku pada konstabel polis Mohd. Fairuz shafie, 22 tahun yang dibelasah sehingga koma dua hari lepas lebih 20 pemuda membuktikan betapa serius dan gawatnya kes jenayah dan salah laku yang melanda Melaka.

SAIFUL KELUAR DARI PERSEMBUNYIAN-Ref Malaysiakini


Lama tak dengar cerita tentang Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa dirinya diliwat oleh Datuk seri Anwar Ibrahim. Kehilangannya selama ini menimbulkan pelbagai spekulasi apa yang berlaku kepada Saiful. Malah ada mengatakan dirinya telah ditimpa bala kesan daripada sumpah yang dibuatnya di Masjid Wilayah Persekutuan di depan imam Ramlag Porigi.

Orang ramai pun semakin beransur-ansur lupa dengan 'tragedi' liwat yang melanda Saiful kerana sibuk mengikuti perkembangan semasa yang berlaku dalam negara khususnya pergolakan yang sedang berlaku dalam Umno.

Ramai sudah pasti tertunggu-tunggu kemunculannya esok yang bakal memberi keterangan tentangan dakwaan Qazaf yang dikemukan oleh DSAI sama ada benar atau tidak dia dimakan sumpah. Sama ada di sumpah atau tidak, kebenaran dan kebatilan lambat laun akan terserlah juga umpama cuba menutup bangkai gajah bau busuknya tetap menusuk hidung.

SIAPA PENIPU DALAM WANITA UMNO: HALIMAH ATAU ROPIAH?~Ref Malaysiakini

Siapa yang betul dan siapa penipu? Kelmarin Exco wanita, Datuk Raja Ropiah Raja Ropiah kata tak ada perbincangan tentang peralihan kuasa Rafidah-Sharizat. Semalam,Datuk Halimah Sadique yang juga exco wanita Umno kata ada perbincangan tentang peralihan kuasa dalam mesyurat wanita Umno. Hari ini, Raja Ropiah masih tetap dengan pendirian bahawa Rafidah tak bincang isu peralihan kuasa ini.

Bermakna di antara keduanya ada yang tidak bercakap benar. Kata-kata mereka boleh diterjemahkan sebagai mempertahankan siapa yang mereka sokong. Tetapi masalahnya apa yang sebenarnya berlaku dalam wanita Umno? Mungkinkah kedua-duanya tertidur masa mesyuarat wanita umno yang mebincangkan isu berkenaan? Jika beginilah keadaannya rakyat boleh menilai sendiri sikap mereka yang secara terang-terang berbalah sesama sendiri. Apa yang lebih menjelikkan, ada di antaranya yang sanggup menipu untuk mempertahankan kepalsuan. Apa yang pasti mereka seperti ini tidak layak menjadi pemimpin untuk menerajui negara.

KETUA WANITA UMNO JOHOR PERTAHAN RAFIDAH-Malaysiakini


Setelah diserang dari segenap penjuru, akhirnya ada juga wanita Umno yang mempertahankan Rafidah mengenai pelan peralihan kuasa.

Exco Pergerakan Wanita Umno hari ini menafikan dakwaan tiada perbincangan yang diadakan di kalangan ahli exco berhubung pelan peralihan kuasa antara ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz dan naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua wanita Umno Johor yang juga Ahli exco Wanita, Datuk Halimah Sadique berkata dakwaan Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita Umno, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah bahawa Rafidah tidak pernah berbincang dengan Exco pergerakan itu dan hanya membuat pengumuman mengejut di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada satu majlis rasmi Wanita berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

"Ahli-ahli exco jangan keluarkan kenyataan tidak berasas dan berbaur fitnah kerana kedua-dua calon (Rafidah dan Shahrizat) sudah menawarkan diri untuk bertanding.

"Biar perwakilan pada pemilihan parti tentukan," katanya dalam satu sidang media di Menara Dato' Onn, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga senator Dewan Negara meminta supaya ahli-ahli exco berhenti daripada memutarbelitkan fakta berhubung pelan peralihan itu kerana ia mengelirukan ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Raja Ropiah berkata, Rafidah tidak pernah berbincang dengan Exco pergerakan itu sebelum mengumumkan pelan peralihan kuasa di antara beliau dengan Shahrizat pada Jun 2009.

Katanya, beberapa Exco Wanita mendakwa Rafidah membuat pengumuman mengejut di depan Perdana Menteri pada satu majlis rasmi Wanita pada satu majlis Wanita pada 4 Ogos lalu tetapi terpaksa akur kerana dilakukan di depan Perdana Menteri.

Di samping itu beliau mengingatkan semua pihak khususnya di dalam wanita Umno agar tidak membuka pekung di dada dengan 'menelanjangkan' kelemahan wanita Umno kepada umum dan media.Persaingan sengit itu nanti dikhuatiri mewujudkan golongan yang berkempen secara agresif termasuk mengutuk, mengaibkan dan menggunakan media massa bagi memastikan pemimpin yang disokong menang.

"Hentikanlah perangai buruk seperti itu sebaliknya pertandingan mestilah berasaskan keyakinan dan keikhlasan untuk memperjuangkan nasib Melayu," katanya yang juga Exco Wanita UMNO.

Halimah mengulas keputusan Rafidah yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mempertahankan jawatan itu selepas Naibnya, Shahrizat mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu sayap itu.

FORMULA MD. TAIB UNTUK HAPUS POLITIK WANG~Malaysiakini


Setelah sekian lama menyepi dari isu politik wang baru hari ini Tan Sri Muhammad Bin Md. Taib bersuara. Kemunculan beliau bukan bertujuan untuk menafikan tuduhan dan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau terlibat dengan politik tetapi untuk memberi formula bagaimana mengatasi masalah yang semakin membarah dalah Umno.

Formula beliau ialah memasuhkan sistem kuota dan pemilihan Umno kena kembali pada asal. Bagi beliau dengan satu atau dua pencalonan sudah memadai bagi calon ingin bertanding mana-mana jawatan dalam Umno.

Cadangan beliau seolah-olah macam mengesahkan bahawa sistem kuota yang dilaksanakan dalam Umno hari ini menjadi penyumbang kepada politik wang.Keadaan ini menyebabkan calon -calon tidak pilihan selain daripada 'terpaksa' tunduk untuk melakukan politik wang. Adakah Md. Taib juga terpaksa 'akur' dengan melakukan politik wang kerana sistem yang ada dalam Umno ini?. Sama ada Md. Taib terlibat atau tidak sama-samalah kita tunggu siasatan yang bakal dilakukan.

Orang ramai sudah pasti ingin tahu adakah pencalonan yang menggalakkan yang diterima oleh Md. Taib sebagai timbalan presiden umno adalah berpunca daripada politik wang. Kita masih menunggu siapakah kuasa ghaib yang dimaksudkan oleh Ruhanie Ahmad yang memberi undi kepada calon timbalan presiden yang bertanding.