31 October 2008

SIAPA NAK RM 1000 ? ( BACAAN UNTUK LELAKI SAHAJA )

MELAKA: Lelaki di negeri ini yang sudah berkahwin bakal dihadiahkan wang tunai RM1,000 oleh kerajaan negeri jika memilih ibu tunggal miskin sebagai isteri kedua.

Langkah itu diharap dapat membantu golongan itu memulihkan kehidupan mereka yang selama ini tidak diberi perhatian.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang mencadangkan pemberian imbuhan itu, bagaimanapun menegaskan hadiah wang tunai itu mempunyai syarat tertentu seperti tidak menceraikan isteri pertama.

Katanya, langkah terbabit bukan menggalakkan lelaki berpoligami tetapi mengurangkan beban ibu tunggal yang selama ini hanya bergantung harap dengan bantuan kebajikan daripada pelbagai pihak.


Selain mendapat hadiah berkenaan, beliau berkata, mereka boleh memperoleh pahala daripada Allah swt kerana berkahwin dan membantu ibu tunggal miskin yang memerlukan belaian dan penjagaan seorang lelaki.

“Lelaki yang berhasrat berbuat demikian perlu mematuhi syarat tertentu seperti tidak menceraikan isteri pertama kerana dianggap terkeluar daripada tujuan program dilaksanakan.

emmmm...Apa kata kita cadangkan Ali Rustam mulakan dulu supaya dapat dijadikan ikutan rakyat Melaka yang lain. Kepimpinan melalui teladan.Cuma saya nak tanya kalau yang kahwin andartu tak dapat apa-apa ke dari kerajaan Melaka?

SISTEM PERUNDANGAN MALAYSIA TERUS DIPERSENDAKAN...

Hari ini berlangsung perbicaraan dua kes berprofil tinggi iaitu melibatkan kes pembunuhan Altantuya dan kes liwat yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Razak Baginda telah pun dibebaskan, manakala bekas chief Inspektor Azilah dan koperal Sirul Azhar diminta membela diri. Sebentar lagi perbicaraan permohonan pindahan kes DSAI oleh pendakwaraya dari mahkamah seksyen ke mahkamah tinggi akan dibicarakan.

Semalam, sistem perundangan negara menerima tamparan dengan peletakan jawatan Datuk Ian Chin bermula 1 Disember sebagai hakim mahkmah tinggi. Terlebih dahulu, pelantikan Tun Zaki sebagai ketua Hakim Negara mendominasi kontroversi sistem perundangan negara pada minggu ini.

Apa yang berlaku sehari dua ini menceritakan tentang betapa kelam dan suramnya sistem perundangan di negara kita. Mahkamah di negara kita semakin tidak dihormati. Apa juga keputusan mahkamah tidak mampu mengubah persepsi negatif kepada sistem kehakiman negara kita.

Sisem kehakiman kita sering menjadi bahan lawak jenaka, seolah-olah boleh dijual beli. Masalah ini tidak akan selesai selagi kerajaan yang ada terus menerus memperalatkan sistem kehakiman untuk kepentingan politik sempit. Langkah terbaik untuk memulihkan sistem kehakiman dan perundangan negara di antaranya ialah institusi perundangan dan eksekutif( kerajaan ) perlu dipisahkan. Pelantikan hakim perlu dirombak dengan mewujudkan suruhanjaya kehakiman di bawah kuasa DYMM Agong agar benar-benar bebas dan telus. Hanya reformasi menyeluruh sahaja yang mampu mengangkat dan memertabatkan sistem perundangan negara ke tahap dihormati dan dikagumi.