30 October 2008

TURUNKAN HARGA MINYAK : RAKYAT BUKAN PENGEMIS


Nampaknya Datuk Sharil Samad selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna seolah-olah cuba memperlekehkan dan memperbodohkan orang ramai dalam isu penurunan harga minyak.

Menurut beliau, sebarang penurunan harga minyak akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya mendapat persetujuan daripada kalangan Jemaah Menteri yang bermesyuarat esok.

"Memang kerajaan berhasrat menurunkan harga minyak. Tetapi ia (umum) mungkin esok, lusa atau dua minggu lagi," katanya pada pemberita selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Barang oleh pasar raya Tesco di sini, hari ini.

Dalam hal ini beliau bersikap berdolak dalik dan seperti cuba mempermainkan orang ramai dalam isu harga minyak. Apa yang saya hendak beritahu pada Datuk Sharil, rakyat Malaysia bukan pengemis atau peminta sedekah yang terlalu kemaruk meminta harga minyak diturunkan.Tuntutan rakyat adalah berasas dengan fakta bahawa harga minyak yang rendah di pasaran global sepatutnya dapat dinikmati oleh rakyat negara ini. Malangnya apa yang berlaku pada hari ini di negara kita pengguna yang memberi subsidi kepada kerajaan bukan sebaliknya.

Apa yang dituntut oleh majoriti rakyat negara ini ialah hak mereka dalam menikmati hasil masul negara dari disonglap dan dilesapkan tak tentu pasal demi kepentingan pihak tertentu. Ini jelas seperti apa yang berlaku tindakan kerajaan yang tidak mendapat izin dan restu penyimpan KWSP menggunakan simpanan mereka sebanyak RM 5 bilion untuk menyelamatkan syarikat kroni yang bermasalah kesan merudumnya ekonomi negara.

BARU BEBERAPA BULAN OPERASI DAH ROSAK


Hari ini anak saya yang berumur 4 tahun mengikuti rombongan tadikanya melawat sekitar Melaka dengan menaiki bas merah dua tingkat yang diimport khas dari Kota London. Di antara tempat yang akan dilawati ialah Menara Taming Sari.

Seronok betul anak saya lebih-lebih lagi bila dapat tahu cikgunya akan bawa naik menara Taming Sari. Tetapi masa balik dari lawatan tadi, anak saya marah-marah. 'Cikgu kata nak naik menara Taming Sari, tapi kenapa tak naik ?". Lalu saya bertanya pada cikgunya sebab tak naik menara Taming Sari.

Rupa-rupanya menara Taming Sari rosak! Untuk dapat kepastian saya saja menghubungi pihak pengurusan menara. Confirm, memang rosak dari semalam lagi. Menurut pihak pengurusan, kejadian ini bukan pertama kali dah selalu berlaku.

Maknanya semalam Shah Rukh Khan yang menerima anugerah Datuk dan dijadualkan akan dibawa menaiki Menara Taming Sari untuk mempromosikan produk pelancongan Melaka yang terkini itu kempunan tak dapat merasai bagaimana menara tersebut berputar menuju ke atas melihat panorama bandaraya Melaka.

Menara berkenaan baru sahaja beroperasi pada 18 April lalu tetapi telah banyak mendatangkan masalah kepada pengunjung. Kosnya yang mencecah RM 23 juta memang tidak berbaloi dalam usaha kerajaan negeri menarik pengunjung ke Melaka. Lebih memalukan apabila Shah Rukh Khan turut menjadi mangsa masalah yang dialami. Harap-harap, Shah Rukh Khan tidak menceritakan masalah menara tersebut kepada masyarakat luar kerana bimbang anugerah Datuk yang diterimanya akan ditarik balik !

APA AKAN BERLAKU JIKA BELANJAWAN 2009 TIDAK MENDAPAT KELULUSAN DEWAN RAKYAT ?

Pembentangan Belanjawan oleh Pak Lah pada 29 Ogos lalu kini sedang dibahaskan di parlimen yang telah bersidang dari 18 Ogos dan berakhir pada 11 Disember 2008 ini.
Belanjawan yang dibentangkan perlu mendapat kelulusan dari Dewan Rakyat sekurang-kurangnya dengan majoriti mudah.

Apa akan berlaku sekiranya belanjawan yang dibentangkan gagal mendapat majoriti mudah? Adakah parlimen akan dibubarkan atau ketika itu akan dikemukan usul undi tidak percaya kepada kerajaan hari ini?

Walaupun, ramai yang tidak lagi menaruh harapan tinggi kerajaan baru akan dibentuk oleh Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah misi 16 dan 23 September gagal menepati sasaran, sasaran baru sebelum Hari Raya Aidil Adha yang dijangka akan disambut oleh umat Islam negara ini pada 8 Disember merupakan tarikh yang realistik.

Maklumat yang diterima, semua ahli parlimen PKR di larang ke luar sehingga arahan seterusnya diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi PKR menguatkan lagi berita bahawa ada sesuatu akan berlaku dalam perkembangan politik negara dalam kehangatan suam-suam kuku pemilihan Umno yang sedang berlangsung.