27 April 2009

BOLEHKAH SIDANG DUN HARAM 7 MEI USUL PECAT SPEAKER?

Umno@Bn Perak akan tetap memanggil sidang Dun Perak pada 7 Mei ini yang notisnya dikeluarkan oleh Setiausaha Dun yang dipecat! Lebih menarik sidang Dun ini diadakan begitu tergesa-gesa tanpa dimaklumkan kepada speaker terlebih dahulu. Maka tidak hairanlah sidang Dun Perak 7 Mei yang bakal berlangsung bakal memecah satu lagi rekod dunia yang dicipta oleh kerajaan Satu Malaysia Umno@BN.

Hari ini Pejabat Setiausaha Dun Perak menerima satu usul yang dikemukakan oleh Menteri Besar Haram Datuk Zamry Abdul Kadir untuk memecat speaker dun Perak, V. Sivakumar. Maka masalah dan kemelut yang dicipta oleh Umno@BN akan selesai? Jangan mimpilah! Apa yang bakal dilakukan oleh kerajaan Umno@BN bukan sahaja bertentangan dengan pelembagaan negeri tetapi di luar aturan tabii. Nak buat sidang Dun buatlah, lagipun mereka ada kunci dewan Dun Perak.

Tetapi ingatlah wahai Umno@BN.... tindakan anda makin meningkatkan darjah kebencian majoriti rakyat kepada Umno@BN. Berapa lama Umno@BN nak bertahan sebelum pilihanraya umum diadakan ? Setahun? Dua Tahun? Tiga tahun? Apa yang pasti masanya tetap akan tiba untuk Umno@BN menerima balasan daripada kegelojohan dan kebodohan mereka sendiri dalam pilihanraya akan datang. Apa yang dilakukan oleh Umno@BN hari ini ibarat dapat secupak rugi selori!

UMNO@BN TRAUMA DENGAN PILIHANRAYA


SPR telah membuka gelanggang pertarungan pada 31 Mei ini di Penanti. Bermakna satu pilihanraya kecil akan dilangsungkan. Pas, melalui Pengarah Pilihanrayanya Dato Mustafa Ali berkata Pas akan memberi laluan dan keutamaan kepada PKR bertanding di Penanti atas dasar semangat kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Insyallah jentera Pas daripada semua peringkat akan turun beramai-ramai untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat walaupun siapa sahaja yang bakal dicalonkan.

Umno@BN bagaimana? Nampaknya terus berdolak dalik sama ada bertanding atau tidak. Dato Seri Najib berkata Biro Politik akan buat keputusan. Tetapi perlu diingat, keputusan muktamad adalah pada Najib sendiri selaku presiden Umno. Bermakna Najib boleh menerima atau menolak apa juga keputusan Biro Politik Umno. Tak payahlah mencari 'kambing hitam' untuk mengelak daripada bertanding di Penanti.

Jika Umno@BN tidak bertanding, mereka patut merasa malu kerana seorang nenek seperti Maimun Yusof,90 tahun lebih berani daripada mana-mana pemimpin Umno@BN yang ada pada hari ini apabila bertanding secara solo melawan ayam tambatan Pas Tuan Hj. Mohd. Sabu dalam PRU ke 12 lalu.

Begitu juga dengan Hanafi Mamat, presiden parti kecil seperti AKIM juga tidak gentar bertanding dalam PRK seperti yang ditunjukkan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu walaupun hilang wang deposit atas dasar hak bertanding dalam sistem negara demokrasi.

Tetapi Umno yang mengaku sebagai gergasi politik negara satu ketika dahulu kelihatan trauma untuk bertanding dalam pilihanraya kali ini. Saya cukup yakin Umno@BN hari ini cukup tertekan dalam menghadapi mana-mana pilihanraya terutama faktor penolakan kaum bukan Melayu yang hari ini secara terbuka dan berterus terang menolak Umno@BN. Umno@BN menyedari undi teras mereka di kalangan orang Melayu tidak memadai untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dalam arus politik negara.

Dalam mana-mana PRU atau PRK di kawasan yang pengundi yang terdiri daripada 30-50% bukan Melayu saya berani mengatakan bahawa peluang Umno@BN untuk menang adalah tipis. Berdasarkan bahawa pengundi 'tegar' Pas sama sekali tidak akan memberi undi kepada Umno@BN.

Justeru itu tidak mengejutkan apabila Umno@BN hari ini seperti kehilangan bisa dan sengat dalam berhadapan perpaduan serta muafakat Pakatan Rakyat. Isu hari ini bukan lagi isu pembangunan serta perubahan atau pembaharuan dalam Umno@BN. Isu hari ini majoriti rakyat sudah cukup muak dan meluat dengan Umno@BN. Rakyat sebenarnya tidak sabar untuk menunggu tarikh PRU ke 13 diumumkan. Semua ini menambah derita dan trauma kepada Umno@BN!

PENANTI TERUS MENANTI


Akhirnya segala teka teki dan kemusykilan sama ada PRK Penanti diadakan atau tidak terjawab hari ini apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan hari penamaan calon 23 Mei dan pengundian 31 Mei.

Namun kelewatan SPR mengumumkan tarikh PRK berkenaan masih terus meninggalkan misteri dan kemusykilan tidak seperti kelaziman dan amalan sebelum ini. Mungkin ini juga satu pembaharuan SPR selaras dengan pembaharuan dalam Umno!

Tetapi temp0h PRK yang diadakan agak lewat (walaupun mengikut undang-undang setiap kekosongan boleh diisi dalam tempoh 60 hari )terus menimbulkkan persoalan. Kalau tidak silap saya, inilah jangkamasa yang paling lama diadakan PRK bila berlaku kekosongan kerusi.

Adakah sesuatu perancangan akan dilakukan bagi memastikan kemenangan Umno@BN di Penanti? Mungkin juga tarikh berkenaan dipilih bagi memberi peluang kepada semua mengundi untuk balik mengundi memandangkan cuti hujung minggu dan awal cuti persekolahan.

Saya berharap agar suasana demokrasi di negara ini tidak terus dimalapkan oleh SPR dalam PRK Penanti. SPR akhir-akhir ini dilihat sering membuat keputusan sebelah pihak serta berat sebelah dan seperti menjadi jurucakap dan komponen Umno@BN. Apa-apa pun terima kasih kepada SPR kerana 'bersetuju' mengadakan PRK Penanti.