12 March 2009

MUHYIDDIN PILIHAN JAWATAN NO. 2: ALI RUSTAM NAK KE MANA?


Andai kata tinjauan Merdeka Centre benar-benar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan, Ali Rustam pastinya orang yang tidak senang duduk sekarang.

Kajian Merdeka Centre menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir calon-calon pilihan untuk mengetuai persaingan merebut dua jawatan utama Umno dalam pemilihan parti hujung bulan ini, kata satu tinjauan. Muhyiddin mendapat 52 peratus sokongan responden untuk timbalan presiden Umno, berbanding dua lagi pencabarnya Tan Sri Muhammad Muhd Taib (7%) dan Datuk Ali Rustam (11%).

Jika kajian ini terbukti tepat, maka survival politik Ali Rustam semakin suram dan tergugat menuju ke penghujung. Kecuali jika Najib ( kalau sempat) menjadi Presiden Umno memberikan ehsan dengan melantik Ali Rustam sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno melalui kuota Presiden.

Namun begitu, Ali Rustam tidak perlu bimbang jika hilang jawatan Ketua Menteri Melaka kerana masih banyak jawatan kosong menanti beliau. Paling tidak pun menjadi pelobi kepada artis-artis luar negara yang ingin mendapat anugerah Datuk dari Melaka.

Walau bagaimanapun, Ali Rustam tidak perlu susah hati kerana tidak seorang pun responden melalui kajian Merdeka Centre itu yang terdiri daripada perwakilan Umno. Apa-apapun tak bermakna Ali Rustam boleh mendapat laluan mudah...Apa yang pasti Muhyiddin masih calon popular. Mungkinkah Melaka bakal mendapat ketua menteri baru?