02 June 2009

ZAHID HAMIDI BERDOLAK DALIH ISU PEMBELIAN JET PEJUANG BARU..


Dalam satu kenyataan akhbar semalam yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan akan menggantikan jet pejuang MIG29-N yang dibeli dari Russia dengan pesawat pemintas yang lebih canggih. Ini laporan utusan Malaysia hari ini

Pesawat MIG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digantikan dengan pesawat pemintas yang lain bagi memperkuatkan pasukan itu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara ini telah dibincangkan dengan Panglima TUDM, Jen. Tan Sri Azizan Ariffin dan pesawat ini akan digantikan dalam masa terdekat, katanya.

"Pesawat MIG ini akan dilupuskan dengan menjual kepada syarikat-syarikat tertentu atau ke negara-negara yang dibenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini pula laporan akhbar Utusan Malaysia pada 13.5.2009 daripada Menteri yang sama:

Perkhidmatan pesawat pejuang pemintas jenis MiG-29N Fulcrum akan dikekalkan sungguhpun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah menerima pesawat terbarunya, Sukhoi SU-30MKM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pihak kementerian tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan jet pejuang berkenaan.

"Kita perlukan beberapa perubahan bukan sahaja daripada segi peralatan," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan pertamanya ke Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi yang mengatakan perkhidmatan pesawat MiG-29N akan ditamatkan berikutan kos menaiktaraf yang terlalu mahal dan telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun.

Saya melihat isu atau cadangan pembelian aset terbaru ketenteraan ini seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Pertama, membuktikan kegagalan kerajaan Malaysia dalam proses pemindahan teknologi dari Russia seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Bahawa Malaysia akan mendapat manafaat hasil pemindahan teknologi daripada pembelian pesawat berkenaan sebelum ini.

Beberapa negara seperti India yang membeli pesawat berkenaan lebih awal dari Malaysia masih dapat mengekalkan tahap kemampuan pesawat untuk berfungsi dengan maksimum hasil daripada pemindahan teknologi. Persoalannya adakah nasib yang sama akan dilalui oleh jet pejuang yang dikatakan tercanggih di dunia Sukhoi SU-30MKM yang juga baru dibeli dari Russia beberapa tahun yang lalu?

Masalah yang sama juga turut dihadapi oleh jet Hawk 100 dan 200 yang dibeli dari Britain tidak lama dulu turut mengalami masalah alat ganti dan lebih malang lagi beberapa pesawat berkenaan telah terhempas ketika menjalani latihan yang mengorbankan beberapa juruterbang.Adakah pesawat ini juga tidak perlu diganti?

Cuba lihat apa yang dilakukan oleh negara jiran Singapura, jet Skyhwak yang dibeli pada tahun 1980-an masih berfungsi dengan baik sehingga hari ini apabila dinaik taraf menjadi Super Skyhwak yang menjadi antara skundron jet pejuang yang masih digeruni ketika ini.

Saya menyokong penuh jika pembelian ini dapat menjamin dan penting untuk keselamatan negara. Tetapi apa yang saya cukup bimbangkan ialah tangan-tangan ghaib yang wujud di balik tabir seperti yang dibangkitkan dalam isu pembelian kapal selam bahawa kerajaan terpaksa membayar komisyen yang sangat tinggi daripada perjanjian jual beli tersebut.

Adalah sesuatu yang amat malang jika keselamatan negara dan nyawa juruterbang diperjudikan semata-mata untuk memenuhi agenda tersembunyi pemimpin tertentu yang ingin mengaut keuntungan hasil daripada perjanjian jual beli tersebut.