26 June 2009

LEBIH SIBUK NAMA PENYAKIT DARI ATASI MASALAH PENYAKIT


Sewaktu penyakit demam selsema babi mula-mula melanda dunia khususnya di Amerika Latin, Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkata penyakit itu akan dikenali sebagai influenza A atau H1N1 untuk mengelakkan salah faham dan kebimbangan masyarakat di negara ini tentang penyakit itu. Maka dikenalilah ia dengan H1N1.

Setelah H1N1 mula menjadi wabak di negara itu yang semakin hampir menuju jumlah kes ke 100 maka Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadangkan agar nama H1N1 disebut semula selsema babi untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang bahaya penyakit tersebut. Pulak dah! Mungkin lepas ini ada pula cadangan untuk nampak lebih Islamik dan bunyi yang tak memualkan akan disebut demam selsema khinzir. Babi pun mungkin boleh pening kepala kerana orang bergaduh soal nama penyakit yang dibawa.

Bagi saya bukan soal nama yang perlu diperbesarkan, tetapi sebagi menteri yang bertanggungjawab, Rais Yatim sepatutnya fokus dalam memberi kesedaran, penerangan dan maklumat sebenar kepada masyarakat berkaitan dengan penyakit berkenaan.

Dalam hal ini saya melihat kerajaan tidak benar-benar serius dalam menangani masalah ini. Sebagai contoh kalau di terminal lapangan terbang mesin pengimbas suhu dan saringan penyakit hanya dilakukan kepada penumpang pesawat seperti Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan antarabangsa yang lain. Tetapi bagi penumpang pesawat Air Asia, sama ada domestik atau antarabangsa kalau di terminal LCCT tidak ada sebarang tapisan dan langkah berjaga-jaga diambil oleh Kementerian Kesihatan. Jadi saya tak pelik apabila banyak kes import penyakit ini adalah melalui penerbangan tambang murah. Adakah nyawa dan soal kesihatan penumpang dan pengguna tambang murah ini juga murah?