29 October 2009
PARTI KITAR SEMULA : FIKIR DULU SEBELUM BUANG...
Tahun ni sahaja kita menyaksikan adun-adun yang bermasalah melompat sebagai bebas (Umno) Bukan itu sahaja pemimpin Umno bermasalah dipilih jadi calon Umno dalam pilihanraya kecil.Kita imbau beberapa kes yang berlaku:
1. 3 adun dari Perak menyertai Umno@BN -dua daripadanya melompat setelah dituduh rasuah.
2. Dato Ibrahim Ali -jaguh pemegang rekod lompat berganti-ganti dunia -jadi wakil bebas (Umno)
3. Rohaizat calon Umno Permatang Pasir - dakwaan skandal dan penipuan semasa menjadi peguam.
4. Tan Sri Isa Samad yang terbabit rasuah dipilih calon Umno di Bagan Pinang.
5. Badrul Hisham Abdullah - Adun bermasalah di Pelabuhan Kelang jadi wakil bebas (Umno).
Adakah Umno@BN mempunyai sistem kitar semula terbaik di negara ini. Jadi marilah kita amalkan gaya hidup sihat 'fikir dulu sebelum buang'....
TRAGEDI POS DIPANG: ANAK MATI LEMAS BAPA MERANA HINGGA MENINGGAL DUNIA...
Bapa kepada N Dina Deve yang mati lemas dalam tragedi itu , T Nathan meninggal dunia pagi tadi akibat menanggung penderitaan yang amat sangat kehilangan anaknya sehingga tidak lalu makan dan minum sehingga terpaksa dimasukkan air melalui drip di lengannya.
Dengan kematian kedua-dua mereka dalam keluarga ini, ibu Dina Deve, S Mogana juga terlalu tertekan. Beliau tidak mahu bertemu dengan wartawan bagi menceritakan kesah keluarganya yang malang itu.Selain, Dina Deve, keluarga ini mempunyai dua anak lelaki iaitu berumur sembilan dan 17 tahun.
Bagi mereka, semua yang berlaku kerana jambatan yang dibina itu tidak dibuat dengan sempurna.
ADEGAN TUMBUK MEJA,BALING KERUSI BERLAKU DALAM MESYUARAT PAS MALAM TADI?
Apa mereka ingat pimpinan Pas terlibat dengan skandal seks seperti yang melibatkan Chua Soi Lek? Adakah mereka fikir ada pimpinan Pas terlibat dengan jenayah, songlap duit rakyat atau parti atau terlibat meletupkan bom C4?
Seperti saya katakan sebelum ini Umno@BN atau mereka yang sewaktunya akan kempunan sekiranya mengharapkan berlaku perpecahan di dalam Pas. Pas adalah parti yang berjuang atas landasan dan akhlak Islam yang penuh ketertiban. Tidak wujud budaya ampu mengampu, cantas mencantas yang sebati dan menjadi budaya dalam Umno. Kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab. Sekiranya ada di kalangan ahli parti yang beria-ia nak jawatan sanggup lobi melobi serta memburuk-burukkan orang lain mereka ini tidak layak sama sekali menyertai jemaah Islam yang telah wujud lebih dari setengah abad.
Insyallah seminar yang dirancang pada 7 Disember ini di Dewan Dato' Fadzil Nor di Taman Melewar akan memantapkan kefahaman dan perjuangan Pas serta meningkatkan ilitizam perwakilan dan kepimpinan tentang perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan mengembangkan usaha dakwah di bumi tercinta ini.
28 October 2009
SIDANG DUN PERAK : ADEGAN YANG BAKAL DILIHAT
Sidang hari ini bakal menyaksikan pertembungan di antara speaker halal dan speaker haram serta di antara Menteri Besar Rakyat dan Menteri Besar Mahkamah. Saya yakin keadaan kecoh akan berulang sekali lagi. Selagi DUN Perak tidak dibubarkan selagi itu masaalah dan krisis politik di Perak akan berlanjutan.
Buatlah tangkapan atau memenjarakan Adun Pakatan Rakyat di Perak,masalaah tetap tak akan selesai. Siarlah apapun berita dalam media milik Umno@BN hari ini atau esok...Bukan itu penyelesaian yang diinginkan oleh majoriti rakyat Perak. Hanya mereka yang bersalah dan takut dengan suara rakyat je yang fobia dengan istilah bubar Dun Perak. Sebenarnya suasana huru hara dan kelam kabut ini memang sengaja dibiarkan oleh Umno@BN kerana ia selari dengan slogan 1Malaysia: Rakyat didahulukan......
27 October 2009
JAMBATAN CAP AYAM!
Rakan blogger di http://perundingperiuknasi.blogspot.com/ kata tiang jambatan yang runtuh lebih kecil dari tiang buaian...
Era 1Malaysia era projek cap ayam. Buat stadium stadium runtuh, buat sekolah sekolah roboh, buat kolam renang, kolam renang bocor, buat projek lereng bukit habis tanah mengelonsor...Buat jambatan gantung jambatan roboh. Menjadi mangsa anak-anak kecil yang tidak berdosa. Bayarlah pampasan berapa juta sekali pun nyawa manusia tidak boleh ditukar ganti....Jangan salahkan takdir untuk menutup dosa dan kesalahan manusia. Lihatlah dalam era 1Malaysia satu projek kos meningkat berkali ganda. Buktinya dalam laporan Audit Negara.
Sudahlah kos meningkat berkali ganda sehingga tahap tak masuk akal projek yang dijalankan tak mengikut spefikasi dan melepasi piawai kualiti dan keselamatan. Maka wujudlah projek cap ayam. Macam mana boleh wujud projek cap ayam. Salah satunya bila berlambak projek 'mee segera'.
Tak perlu ambil contoh jauh-jauh...surau di taman perumahan saya baru setahun dah retak sini sana..Kos menurap laman surau dari kos asal tak sampai RM 10 ribu meningkat hingga RM 21 ribu...Rakyat didahulukan le katakan....Lepas ini kita tunggu mana lagi bangunan dan projek yang akan menyembah bumi dan meragut nyawa...Kepada semua berhati-hati bila berada dalam bangunan atau berhampiran projek cap ayam...Anda mungkin mangsa seterusnya.
PROGRAM 1 MALAYSIA MERAGUT 22 NYAWA MURID DI KUALA DIPANG?
Kerajaan 1Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana apa yang berlaku adalah dipercayai faktor kecuaian pihak penganjur yang mengabaikan faktor keselamatan murid berkenaan.Walaupun kerajaan mungkin akan membayar pampasan atau saguhati kepada keluarga mangsa itu tidak dapat menggantikan nyawa murid-murid yang dipercayai lemas dan tenggelam dalam tragedi berkenaan. Ibarat kata pepatah nasi telah menjadi bubur....
26 October 2009
UMNO@BN SILAP BESAR MENGHARAPKAN PERPECAHAN DALAM PAS
Siang malam pemimpin dan media Umno cuba melaga-lagakan pimpinan Pas. Mereka menggambarkan Pas kini telah berpecah. Sikap mereka berubah-ubah seperti keadaan cuaca yang tak menentu sekarang. Misalnya sebelah siang mereka boleh memuji-muji Presiden dan Mursyidul Am Pas dan malamnya boleh berpusing 360 darjah dengan digantikan tomhmahan dan kejian.
Sebenarnya mereka cuba mengalih isu dan perhatian rakyat dari isu yang berlaku dalam Umno@BN dan juga dalam negara. Dalam masa yang sama dapat mengelakkan rakyat dari membicarakan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan Umno@BN seperti yang didedahkan laporan Audit Negara baru-baru ini.
Jika Umno atau yang sewaktu dengannya mengharapkan Pas akan berpecah dengan isu yang berlaku ternyata mereka silap besar. Mereka yang bercakap tentang perpecahan yang kononnya sedang berlaku dalam Pas ialah mereka yang tidak memahami dasar dan perjuangan Pas. Pas berjuang dan berdiri gagah hari ini dalam persada politik negara kerana teras atau dasar perjuangan Pas. Pemimpin Pas boleh datang dan pergi. Pas biasa mengalami pasang surut dalam arus politik negara. Tetapi bagi pejuang dan pimpinan Pas mereka sanggup mempertaruhkan nyawa sebagai galang ganti untuk memastikan kesinambungan perjuangan mencontohi perjuangan Nabi SAW untuk menegakkan sistem keadilan dan pemerintahan yang berteraskan lunas-lunas Islam terlaksana.
Sejarah telah membuktikan ramai pimpinan Pas yang sanggup dipenjara dan mengalami pelbagai deraan fizikal dan mental tetapi untuk berundur dari perjuangan atas nama mana-mana individu adalah tidak sama sekali.
Apa yang berlaku hari ini sebenarnya ialah 'isu-isu teknikal' iaitu mencari bagaimana mekanisme, teknik atau kaedah yang terbaik yang difikirkan oleh pimpinan Pas untuk melenyapkan Umno daripada peta politik di negara ini.
selain itu, apa yang berlaku dalam Pas hari ini adalah satu lagi proses tarbiyyah untuk memantapkan perjuangan Pas agas terus kekal dan relevan agar terus subur membawa mesej Islam dan suara dakwah kepada ummah di negara ini. Kecintaan kepada perjuangan Islam mengatasi segala-gala kepentingan peribadi. Ujian adalah sebahagian pra syarat terhadap perjuangan Islam. Ujian ini akan menjadikan Pas akan bertambah gagah dalam misi dan visi untuk menumbangkan Umno@BN daripada terus rakus menipu dan menindas rakyat. Mehnah ini akan memantapkan iltizam dan ikrar untuk memastikan Umno akan ditalkinlkan dalam pilihanraya umum akan datang.
25 October 2009
BILA ORANG PAS BERKIBLATKAN MEDIA UMNO
Saya tidak melihat isu besar berlaku dalam Pas. Manifestasi dari cadangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan EGM telah dibesar-besarkan media. Media mana? Mana lagi kalau bukan media milik Umno atau yang sewaktu dengannya. Cadangan EGM ini boleh datang dari siapa sahaja dalam Pas. Tetapi bila cadangan itu datang dari Tuan Guru maka isu ini dibesar-besar dan ditambah lemak dan perisa oleh media Umno.
Itu memang dah kerja media Umno@BN. Sejak bila media Umno@BN bebaik-baik atau memberi liputan positif kepada Pas? Kalau itu berlaku itu tanda-tanda kiamat barangkali.
Tetapi masalahnya bila orang Pas sendiri bukan sahaja diperingkat bawahan tetapi yang duduk di atas-atas turut melenting dan melatah tak tentu pasal. Inilah padahnya bila media Umno@BN dijadikan sumber rujukan. Bukankah dulu beria-ia kita meminta agar boikot media berkenaan? Apakah sekarang dasar dah berubah?
Bukankah Pas mengajar kepada pengikutnya bahawa bila datang sesuatu berita dari golongan fasik selidik le dulu...Apakah ustaz-ustaz dalam Pas pun dah lupa ayat ini...
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. ( Al Hujurat : 6 )
Bagi saya biarlah pimpinan Pas yang dilantik dan dipilih serta diamanahkan untuk buat keputusan terbaik untuk jemaah. Kalau itu pun payah nak faham sertailah Umno...Habis cerita.
24 October 2009
ERA NAJIB, KAKITANGAN KERAJAAN KEMPUNAN LAGI!
Pada sebelah pagi semalam pada hari pembentangan Belanjawan 2010 saya mendengar sembang-sembang beberapa rakan yang menghitung perbelanjaan dari bonus yang bakal diumumkan pada petang nanti. Saya kata tak payah kiralah....kerajaan sedang gawat. Buktinya lihatlah banyak peruntukan kepada Kementerian dan jabatan kerajaan dipotong perbelanjaannya.Jangan mimpi nak dapat bonus.
Rakan saya nampak tak puas hati, katanya mana boleh kata tak ada duit....Kerajaan boleh membazir berpuluh juta ringgit duit rakyat seperti dalam Laporan Audit Negara...Kalau kerajaan boleh beli sebuah laptop harga berpuluh ribu tentu kerajaan banyak duit!Saya kata kalau tak percaya tunggulah....Dalam perjalanan balik dari pejabat saya membuka channel radio siaran langsung pembentangan belanjawan...Ikim FM 89.5....Confirm tak ada bonus!
Saya terus contact kawan tadi...Kan saya dah cakap tak ada bonus...Kalau macam ni katanya jangan harap le Umno@BN menang dalam pilihanraya umum akan datang..saya kata tak apalah sekurang-kurangnya duit RM 500 tu boleh guna untuk tampung kos harga minyak petrol yang dijangka naik tak lama lagi..
Emmm Kalau macam tu baik tak payah beri.....Lepas ni tentu harga barang melambung lagi!...Perbualan terhenti...
Bermakna sepanjang Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan 2 tahun berturut-turut kakitangan awam tidak diberi bonus. Zaman Tun Dr. Mahathir yang pernah melalui zaman kegawatan ekonomi pada 2003 kakitangan awam masih diberi bonus setengah bulan gaji. Era Pak Lah yang dianggap lemah dalam bab ekonomi dan mentadbir negara masih tidak melupakan memberi bonus pada kakitangan awam...Tetapi era Najib era 1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan...Rakyat tak dapat bonus...Kepada kakitangan awam selagi era 1Malaysia usahlah bermimpi untuk dapat bonus kecuali menukar kepimpinan yang ada pada hari ini. Lepas ni pasti ada pendapat mengatakan rakyat tak tahu bersyukur dan berterima kasih...Untuk itu senang sahaja jawapannya bukan rakyat tidak bersyukur tetapi rakyat tidak boleh menerima cara kerajaan mentadbir dan mengurus wang rakyat dan negara....umpama pisau cukur....Habis licin duit rakyat dan harta negara.
22 October 2009
19 TAHUN KERAJAAN PAS KELANTAN BEBAS RASUAH
Jika ada anugerah negeri yang paling lama bebas rasuah dalam Malaysia Books Of Record, Kelantan adalah paling layak menerimanya. Sepanjang pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan selama 19 tahun di bawah kepimpinan Dato Tuan Guru Nik abdul Aziz Nik Mat tidak ada satu pun kes yang melibatkan wakil rakyat, Exco dan Menteri Besar yang disiasat kerana rasuah.
Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kelantan, Dato Mohd Amar Abdullah dalam jawapan Drs Zainudin Awang Hamat (Adun Limbungan) dalam sesi soal jawab dalam sidang Dun Kelantan hari ini.
Ini merupakan contoh kepimpinan yang berteraskan lunas-lunas Islam yang mengutamakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Justeru itu tak ada sebab 'demo nak lawe kawe' slogan keramat Pas Kelantan dalam pilihanraya umum lalu merujuk kepada usaha Umno@BN untuk merampas Kelantan. Rekod dan kepimpinan kerajaan Pas Kelantan wajar menjadi ikutan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri lain dengan sentiasa mengambil berat dan mengutamakan rakyat. Bukannya mengayakan suku sakat, kroni atau kepentingan peribadi yang lumrah di dalam amalan pemerintahan Umno@BN di mana-mana.
Berbeza dengan negeri dikuasai oleh Umno@BN kes rasuah bukan sekadar setahun sekali disiasat oleh SPRM tetapi boleh dikatakan saban bulan dan minggu ada aja laporan berkaitan kes rasuah disiasat atau dilaporkan oleh rakyat yang prihatin di negara ini. Contoh terdekat laporan Audit Negara terbaru mendedahkan banyak penyelewengan berlaku dalam negeri dikuasai oleh Umno@BN. Tetapi seperti biasa isu rasuah yang melibatkan negeri Umno@BN akan hilang begitu saja deperti ditiup angin lalu. Malah rasuah kini menjadi 'syarat wajib' untuk jadi pemimpin Umno contoh.....Siapa calon Umno di Bagan Pinang ? Siapa Ketua Menteri Melaka? Siapa Ketua Pemuda Umno Malaysia? Semuanya bergelumang dengan rasuah....
SEJAK BILA MAMAT NI RETI UNDANG-UNDANG?
21 October 2009
LAPTOP TERMAHAL DI DUNIA DIMILIKI KERAJAAN 1 MALAYSIA!
Saya yakin majoriti pembaca blog ini adalah golongan yang celik IT. Setidak-tidaknya tahu juga lah sikit-sikit bab komputer. Kalau nak beli laptop atau PC tu tahulah juga spec apa nak sebut. Ringkas cerita orang yang jual komputer tak boleh kelentong sebarangan.
Tetapi tahukah anda di Malaysia sebuah laptop jenama Acer Aspire 5052 berharga RM 42 ribu seunit! Perkara ini didedahkah dalam laporan Audit Negara berdasarkan pembelian yang dilakukan oleh agensi di bawah MARA. Boleh jadi laptop berkenaan disaluti emas tulen dan keyboardnya bertahtakan batu permata. Boleh jadi juga beg laptop berkenaan dibuat dari kulit buaya dari sungai Rajang spesis keturunan Bujang Senang!
Kita tunggu apakah reaksi SPRM adakah akan bertindak dalam isu ini atau SPRM hanya berminat rasuah yang berkaitan dengan lembu sahaja. Atau SPRM memang tak ada masa dan sibuk kini lebih-lebih lagi pendedahan ahli forensik terkenal Thailand bukti menunjukkan bahawa Teoh Beng Hock sebenarnya dibunuh sewaktu berada di bangunan SPRM.
TEOH MENCEKIK DAN MEMUKUL DIRI SENDIRI?
Maka dalam inkues sebelum ini pelbagai cerita didedahkan bahawa Teoh membuat invoice palsu, bergaduh dalam bilik air pejabat SPRM pada pagi kejadian dan mengandaikan teoh tak cukup duit untuk berkahwin. Itu keterangan dan fakta dari pegawai SPRM.
Tetapi hari ini Pakar forensik dari Thailand, Dr Pornthip, memberikan keterangan yang mengejutkan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini apabila berkata, tengkorak kepalanya pecah bukan kerana jatuh tetapi kerana pukulan kuat.
Bagi beliau, Beng Hock jatuh ke atas lantai di tingkat bawah tempat mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dia juga berkata, kesan luka pada anus (dubur) mangsa juga akibat dari kemasukan objek keras sebelum beliau jatuh.
Berdasarkan kepada perolehan itu, beliau memberikan rumusan bahawa 80 peratus punca kematian Beng Hock adalah kerana dibunuh dan hanya 20 peratus sahaja kerana bunuh diri.
Mungkinkah selepas ini ada saksi dari SPRM akan tampil memberi keterangan bahawa Teoh sebenarnya mencekik, memukul dan meliwat dirinya sendiri???
20 October 2009
BUBAR DUN PERAK: UMNO TAK YAKIN KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN ZAMBRY MB?
Spekulasi semakin kuat bahawa Dun Perak bakal dibubarkan dalam tempoh terdekat. Banyak tanda-tanda yang menunjukkan kearah pembubaran itu. Rasanya tak perlu saya ulas lagi. Tetapi saya menjangkakan antara sebab utama Dun Perak bakal dibubarkan ialah Umno@BN tidak yakin keputusan Mahkamah Persekutuan pada 5 November ini memihak kepada mereka.
Mereka tidak yakin Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai Menteri Besar. Datuk Seri Ir Nizar akan dikembalikan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah.Jika itu berlaku Umno@BN akan malu besar. Moral Umno akan jatuh merudum. Pastinya sokongan kepada Pakatan Rakyat akan melonjak kembali. Umno pastinya tidak akan membiarkan tragedi itu berlaku. Oleh itu Umno@BN tidak ada pilihan melainkan mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun Perak. Maka jika Dun Perak dibubarkan Mahkamah Persekutuan tidak lagi perlu bersidang 5 November ini.
Mungkinkah juga Dato Seri Najib akan mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat selepas membentangkan Belanjawan 2010 pada Jumaat ini? Semua kemungkinan ini saya lihat sebagai opsyen yang ada kerana dalam pembentangan Belanjawan nanti mungkin pelbagai tawaran, insentif dan bonus diumumkan diikuti di akhirnya pembubaran parlimen. Semua ini sebagai 'gula-gula' politik agar rakyat terus menyokong Umno@BN. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan....
'GANG 1 MALAYSIA' TERLIBAT CURI MOTORSIKAL
Buktinya polis Sungai Siput berjaya menumpaskan satu kumpulan mencuri motorsikal yang menggelarkan kumpulan mereka 'Gang 1Malaysia'. Kumpulan itu ternyata menghayati konsep 1Malaysia kerana menggabungkan remaja Melayu, Cina dan India untuk kegiatan yang dijalankan. Rasanya ramai lagi gang yang sewaktu dengannya di negara ini yang terdiri daripada golongan Melayu, Cina dan India yang mengikis segala harta rakyat dan khazanah negara. Walau bagaimanapun pihak polis dan SPRM masih lagi tidak dapat mengenalpasti siapakah dalang dan ketuanya. Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat dihendaki menghubungi balai polis yang berhampiran.
IBRAHIM ALI JANJI TAK LOMPAT LAGI!
Dato Ibrahim Ali dalam satu kenyataannya semalam berjanji tidak akan 'melompat' sekiranya beliau diterima memasuki Umno semula. Kenyataan yang memberi petanda bahawa Ibrahim Ali semakin hampir untuk masuk Umno semula.Maka benarlah Umno merupakan parti kitar seperti untuk bahan buangan atau barang terpakai. Hanya mereka yang rasuah, skandal dan tidak bermoral sahaja yang layak duduk di dalam Umno.
Saya berharap Umno akan termakan dengan janji Ibrahim Ali untuk tidak melompat kerana Ibrahim Ali pasti akan menepati janjinya seperti janji seekor katak yang akan hanya duduk diam di bawah tempurung!
19 October 2009
GEMPAR SEJADAH BERSOLAT DAN BACA AL QURAN DI MELAKA
Kejadian berkenaan berlaku pada pukul 3 pagi dan sekali lagi kira-kira 6 pagi kelmarin yang turut disaksikan oleh tuan rumah serta ahli keluarganya.
Semoga peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita bersama tentang keagungan dan kebesaran Allah SWT.
18 October 2009
DUN PERAK SEMAKIN HAMPIR UNTUK DIBUBARKAN!
Jika sebelum ini tanpa hujan dan ribut SPR menggeluarkan notis semakan daftar pemilih hanya di Perak, malam ini pula sedang berlangsung majlis perasmian 1Malaysia oleh Datuk Seri najib Tun Razak di Stadium Perak.Siang tadi najib mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Perak dan kemudian mengadap Sultan Perak di Istana Kinta.
Apa maknanya tu? Semua ini jelas bahawa Dun Perak sudah semakin pasti untuk dibubarkan. Saya menjangkakan DUN Perak akan dibubarkan sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mutlak siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 5 November ini.
17 October 2009
PERSIDANGAN BADUT-BADUT?
Saya menamatkan 'puasa' sebaik sahaja berakhirnya persidangan Agung Umno. Berpuasa dari menonton berita Tv dan akhbar yang tak ada berita lain selain cerita-cerita tentang persidangan tersebut.
Tetapi bila bertandang ke rumah rakan taulan sempena rumah terbuka hari raya, belek-belek le juga akhbar harian yang menjadi lidah rasmi Umno. Saya melihat tidak ada sesuatu yang menjadi tumpuan dalam persidangan berkenaan melainkan akhbar-akhbar utama meletakkan gambar dan cerita di muka depan tentang lawak jenaka yang dibuat oleh pemimpin dan perwakilan semasa menyampaikan ucapan. Maka terpampang di muka depan pimpinan Umno diketuai Presiden mereka tergelak besar dengan ucapan perwakilan.
Adakah ini perubahan yang Umno ingin bawakan kepada rakyat di negara ini? Adakah persidangan ini sebagai program hiburan lawak jenaka seperti pertandingan Raja Lawak dan yang sewaktu dengannya? Atau mungkin persidangan Umno sebenarnya adalah persidangan badut-badut dari seluruh Malaysia untuk terus memperbodoh dan mempersenda rakyat negara ini yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi dan peningkatan masalah sosial?
Mungkin juga persidangan tersebut untuk menutup segala aksi liar dan ganas berstatus 18 SG / 18 SX yang ditonjolkan oleh Umno di Bagan Pinang. Tetapi saya cukup yakin majoriti rakyat di negara ini cukup matang dan sama sekali tidak akan menerima lawak bodoh yang dipersembahkan.
16 October 2009
UMNO UMPAMA PESAKIT BARAH KRONIK!
Tidak ada perkataan yang kerap disebut dan diulang dalam Perhimpunan Agong Umno yang sedang berlangsung melainkan perubahan dan pembaharuan. Apa maknanya tu? Semua ini menggambarkan Umno kini cukup kronik dan kritikal.
Dalam usia lebih 50 tahun biasalah macam-macam penyakit mula muncul. Lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis penyakit '3 beradik' gara-gara tak menjaga makan minum dan kesihatan biasanya menyerang mereka berusia lebih 50 tahun keatas.Tambah kronik kalau orang itu seorang perokok lagilah macam-macam penyakit muncul terutamanya barah.
Kalau pesakit kanser atau barah barangkali sudah berada pada tahap 4! Misalnya seperti seorang perokok tegar yang dimaklumkan oleh doktor diserang penyakit berkenaan. Ketika itu baru menyesal tak sudah. Ambil pelbagai ubat jumpa pelbagai doktor, bomoh dan dukun tapi sayang semuanya sudah terlambat!
Begitulah ibarat Umno hari ini. Penyakit rasuah, gila kuasa, menindas rakyat berebut kuasa untuk 'cari makan' sudah begitu membarah dalam Umno. Sudah semakin kritikal hanya menunggu masa dan hari sahaja menanti saat-saat ajal menjemput tiba.
Rata-rata dalam Umno berpendapat kemenangan dalam pilihanraya kecil di Bagan Pinang tempoh hari dengan 'bergaya' dianggap tonik atau penawar mujarab penyakit penyakit barah dalam Umno. Kemenangan itu tidak lebih hanya 'penahan sakit' atau 'pain killer' yang tidak mampu menawar penyakit barah yang semakin merebak dalam batang tubuh Umno.
Walaupun Perdana Menteri 1Malaysia mendakwa Umno akan bangkit kembali dari pelbagai penyakit yang melanda Umno, kata-kata itu tidak lebih hanya menyedapkan hati untuk menjadi halwa telinga hakikatnya Umno hanya menunggu masa sahaja untuk ditalkinkan.
15 October 2009
ORANG BAGAN PINANG TAK KENAL PAS. BAGAIMANA DENGAN MELAKA?
" Orang Negeri Sembilan masih ketinggalan dengan Pas. Oleh itu bila kita berkempen, sudahlah benda baru , bila datang ugutan (dari Barisan Nasional) makin mereka tidak mahu. Contohnya, rumah yang saya pergi tidak tahu apa itu Pas, yang dia kenal Pas ini ganas'.
Kalau Negeri Sembilan yang disifatkan kawasan paling kuat Umno di dunia, Pas telah menang satu kerusi di dun Paroi dalam pilihanraya umum lalu pun dianggap begitu agaknya bagaimana penerimaan masyarakat terhadap Pas di Melaka?
Melaka hingga hari ini Pas masih belum dapat bertapak dan menghantar wakilnya di sidang Dun. Dalam Pilihanraya umum lalu kebanyakan Dun yang Pas tandingi tewas dengan majoriti lebih 2000 undi. Tetapi sehingga hari ini Pas Melaka masih lagi dengan pendekatan lama dan gaya kepimpinan lama dalam menjual jenama Pas kepada masyarakat atau rakyat di Melaka. Hanya kepimpinan Pemuda dilihat lebih dekat dan cuba mendampingi masyarakat melalui program yang diadakan. Manakala yang lainnnya masih selesa dalam kepompong masing-masing.
Jika begini situasinya agak sukar Pas Melaka untuk memecahkan manopoli Umno@BN di Melaka. Satu perubahan drastik perlu dilakukan oleh Pas Melaka dari segi gaya kepimpinan, pengisian program dan, pendekatan untuk memenangi hati rakyat Melaka untuk memilih Pas sebagai alternatif terbaik kepada Umno@BN.
14 October 2009
SESUMPAH DAN KAKI RASUAH : MANA LEBIH BAHAYA?
Macam bagus je bila memetik ucapan menantu kesayangan bekas PM, Khairy Jamaludin yang kini jadi Ketua Pegerakan Pemuda Umno. Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agong Umno beliau berkata akan memastikan Dato Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai 'sesumpah' tidak akan menjejakkan kaki ke tingkat 5 pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya.
Saya selalu beritahu pada audien tempat saya diundang berceramah dan mengajar, jadilah seperti sesumpah. Sesumpah boleh bertukar warna atau menyesuaikan diri dengan persekitaran mengelakkan diri dari ancaman musuh. Orang yang cepat menyesuaikan diri seperti sesumpah akan lebih dihormati dan dihargai. Bila berada dalam organisasi seseorang itu lebih cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Sekaligus akan lebih merasa seronok dan kepuasan dalam bekerja. Tak ke bagus mengikut sifat sesumpah tu?
Itulah bagusnya sesumpah yang tak bagusnya ialah kaki sumpah. Lebih tak bagus kalau kaki rasuah macam......
5+1 = 0, 5 - 1 = 0 ???
Tetapi kalau rukun tu ada 4 je macam mana? Misalnya rukun pembaharuan Umno seperti yang diberitahu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agong Umno semalam. Fikirlah le sendiri....Misalnya dalam Islam mengharamkan rasuah, mengkeji perasuah...Pemberi dan penerima. Dalam Islam mewajibkan umatnya menutup aurat....Cuba lihat wanita, Puteri dan isteri pemimpin Umno?
Dalam Islam mengharamkan arak dan judi kepada penganutnya.....Siapa yang luluskan lesen judi dan arak yang tumbuh macam cendawan lepas hujan di negara ini. Jawapannya kerajaan. Siapa ahli parlimen dalam kerajaan yang sokong??? Umno????? Fikirlah sendiri...Buat le 10 atau 1000 rukun sekali pun kalau Islam tidak menjadi asas maka semua yang dibuat tak ada makna...Wallhualam.
13 October 2009
PELIK!DISURUH BUAT KAJIAN POLITIK TAPI TAK BOLEH AKTIF POLITIK
Di Malaysia, pensyarah di Institut Pengajian tinggi awam terdiri daripada golongan professional gred DG/DS 41 ke atas. Bermakna secara automatik mereka tidak boleh aktif berpolitik. Itu sudah termaktub dalam Perintah Am.Nak jadi Pengerusi Tetap atau Pemeriksa Kira-kira pun tak boleh. Tetapi hakikatnya peraturan itu hanya untuk mereka yang pro pembangkang. Bagi mereka yang aktif dalam Umno atau yang sewaktu dengannya biasanya buat pejam mata aja. Tetapi kalau yang pro Pembangkang / Pakatan Rakyat kalau hadir ceramah pun silap-silap kena tukar atau tindakan tatatertib.
Tetapi hari ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah meminta golongan cendekiawan di institusi pengajian tinggi memberi tumpuan dalam bidang penyelidikan politik.
Menurut beliau tujuannya memberikan satu pemikiran baru dalam politik tanah air yang lebih sihat dan segar daripada apa yang ada pada hari ini. Apa yang berlaku hari ini sebahagian daripada ahli dan pemimpin politik ketandusan idea bernas bagi menguatkan parti selain asyik canggah-menyanggah walaupun idea yang dikemukan itu bernas. Contohnya mudah je…biarpun golongan intelektual di IPT menyanggah memilih pemimpin politik kaki rasuah dan mengamalkan budaya samseng tetapi apa yang berlaku di Bagan Pinang?
Hari ni menyuruh golongan intelektual aktif menghasilkan kajian politik tetapi tak boleh aktif berpolitik! Pelik betul idea 1Malaysia ni!!!!
11 October 2009
FAKTOR PAS TEWAS DI BAGAN PINANG
1. Calon Pas bukan perasuah seperti calon Umno
2. SPR senget sebelah kepada Umno@BN- Bakal menjadi komponen BN?
3. Undi Pos???? Malas nak cerita... askar pencen berbelas tahun masih jadi pengundi Pos?
Faktor lain yang perlu diberi perhatian :
1. Calon Pas bukan anak tempatan
2. Strategi gerak saraf Pas perlu diberi perhatian.
3. Petugas PAS yang datang dari seluruh negara kurang efisen - Hanya meramaikan majlis ceramah, memenuhi gerai jualan dan beriadah di pantai Port Dicksons
4. Kesesakan di hadapan markas Besar Pas akibat pembinaan gerai jualan dan kenderaan yang diletakkan sesuka hati menimbulkan kemarahan kepada penduduk / pengundi tempatan.
5. Isu pembinaan kuil di Selangor yang dibangkitkan kepada pengundi India di Bagan Pinang.
6. Isu 'perbalahan' Pakatan Rakyat di Kedah dan Selangor yang didedahkan oleh media????
Walau bagaimanapun bagi semua pimpinan dan petugas yang ikhlas kita tidak pernah tewas dan tidak kalah cuma tidak menang. Allah SWT tidak melihat hasil atau kemenangan sebagai balasan ganjaran dari-Nya. Tingatkan usaha dan keikhlasan ...Kita berjuang bukan kerana sanjungan dan pujian manusia kita berjuang kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT. Teruskan perjuangan....
10 October 2009
BAGAN PINANG:PELUANG SEIMBANG
Sebelum ini Umno begitu mendabik dada Bagan Pinang adalah lubuk dan kubu mereka. Kini tak sampai 24 jam masa pengundian peluang untuk kedua-dua parti bertanding adalah seimbang. Mood penggundi masih sukar diramal. Pas dijangka boleh membuat kejutan di Bagan Pinang. Jika Pas mampu meraih 35 % undi Pos dan mengekalkan sokongan pengundi Cina dan India yang menunjukkan sokongan memberansangkan di Bagan Pinang peluang untuk mencapai kemenangan ke 8 pasca pilihanraya umum sesuatu yang semakin hampir untuk dicapai.
Kemungkinan swing undi protes dari penyokong Datuk Chua Soi Lek kepada Pas yang berjaya 'mengajar' kem Datuk Ong Tee Keat dalam EGM luar biasa hari ini sesuatu yang cukup dibimbangi oleh Umno@BN di Bagan Pinang.
Dijangkakan malam ini akan berlaku 'gempa duit' yang dijangka melebihi 9 skala richter di Bagan Pinang. Oleh itu diminta semua petugas dan penyokong Pas serta Pakatan Rakyat meningkatkan kawalan keselamatan sama ada di pos parti dan rumah-rumah pengundi atas pagar yang menjadi sasaran Umno@BN untuk memastikan aib tidak terpalit kepada Umno. Umno pastinya akan berhabis-habisan untuk mengelakkan mereka mendapat malu besar di Bagan Pinang. Insyaallah sebentar lagi saya akan ke Bagan Pinang untuk melihat perkembangan terkini di sana.
MELAKA ANUGERAH MENTERI BESAR HARAM PINGAT
Hari ini Melaka mencipta satu lagi sejarah apabila Kerajaan Melaka melalui TYT Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun. Mohd. Khalil Yaakob., menganugerahkan Menteri Besar Kudeta Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengetuai senarai 1,230 penerima darjah bintang dan pingat kebesaran sempena Hari Jadi ke-71.
Zambry menerima anugerah tertinggi Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama empat lagi penerima.
Anugerah ini tidak akan diberi tanpa ada cadangan daripada Kerajaan Melaka yang diketuai oleh Ketua Menteri yang terpalit rasuah, Datuk Seri Muhd. Ali Rustam.
Mungkin anugerah ini sebagai menghargai jasa Zambry merampas secara 'melanun' kerajaan dipilih rakyat di Perak. Umum mengetahui rampasan kuasa di Perak bermula dengan teknik ugut dan merasuah 3 bekas adun dari Pakatan Rakyat dan adun-adun lain di Perak. Pepatah Melayu berkata ' hanya jauhari yang kenal manikam'. Hanya perasuah yang tahu menghargai kaki rasuah!
Mungkin juga kerana usaha yang mendapat perhatian seluruh dunia apabila berjaya melantik speaker baru melalui kaedah baru iaitu 'cekik dan heret'. Memandangkan usaha Zambry tidak pernah dibuat orang atau oleh mana-mana pemimpin dunia maka memang wajarlah Zamby dianugerahkan pingat berkenaan.
Selepas ini saya mencadangkan kepada Ali Rustam untuk memberi anugerah tertinggi kepada Ketua Putera Umno kerana lakonan mantapnya dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.
Tahniah Zamby dan takziah untuk orang Melaka...
09 October 2009
SPR SEMAKIN HAMPIR UNTUK MENJADI KOMPONEN BN
Perjalanan pilihanraya Bagan Pinang terus bercelaru dan haru biru. Semua ini bukan kerana kerancakan kempen pilihanraya kecil tetapi sikap senget sebelah SPR kepada UMNO@BN. Sepatutnya SPR menjadi menjunjung dan melaksanakan proses demokrasi di Malaysia.
Apa yang berlaku menunjukkan SPR semakin hampir untuk menjadi komponen BN walaupun tidak diwartakan secara rasmi. Lihatlah Undang-undang yang dibuat dikhianati oleh SPR sendiri. Wujud peraturan pelik yang tak masuk akal. Yang ada ditiadakan yang tiada diadakan.
Dalam undang-undang pilihanraya tidak termaktub parti politik yang tidak bertanding boleh berkempen dengan menaikkan bahan kempen seperti bendera tetapi SPR kata ada peraturan begitu.
PAS melalui pengarah pilihanrayanya mendedahkan 253 nama yang bertindih dalam buku daftar pemilih beserta dengan bukti. SPR kata mana ada! Semalam PAS membantah kerana Menteri dan Menteri Besar berkempen dalam kem tentera beserta bukti audio yang dirakam. Tetapi SPR seolah-olah hanya memekakkan telinga.
Hari ini Pas bantah lagi daftar pemilih semasa penamaan calon untuk undi pos bercanggah dengan buku daftar hari pengundian. Walhal jelas dalam peraturan pilihanraya menjelaskan tindakan SPR itu bertentangan dengan Peraturan 14A Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981.
Statut tersebut berbunyi: "Daftar Pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan calon HENDAKLAH merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi..."Apa alasan dan dalih SPR kali ini.
Pengerusi SPR dalam berita semalam menuduh PAS sengaja bising-bising kerana takut kalah. Nak tanya pada pengerusi SPR sejak bila PAS bertanding pilihanraya takut kalah? Kalah menang sudah asam garam PAS sepanjang menyertai pilihanraya. Malah PAS selalu hilang deposit sebelum ini bila bertanding di Negeri Sembilan!
Apa yang dilakukan ini jelas menunjukkan bahawa SPR kini bertindak sebagai komponen BN di Bagan Pinang. Apa yang berlaku semakin menghakis kepercayaan majoriti rakyat negara ini kepada SPR dan demokrasi serta pilihanraya di negara ini.
08 October 2009
DAKWAAN AZEEZ DIPUKUL UNTUK MENGHALALKAN TINDAKAN SAMSENG UMNO DI BAGAN PINANG?
Semasa penamaan calon Bagan Pinang Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa dipukul oleh 9 orang yang didakwanya penyokong Pas. Tetapi sehingga hari ini beliau tidak dapat membuktikan kesahihan dipukul. Tawaran sehingga RM6500 kepada sesiapa yang tampil bersama bukti Azeez dipukul. Polis berkata, suspek telah dikenal pasti. Kalau dah kenal pasti maksudnya ada bukti dan saksi tetapi kenapa tak ambil tindakan sehingga sekarang?
Bagi saya semua ini adalah skrip yang telah sengaja dirancang awal oleh Umno untuk menggambarkan bahawa Pas sebuah parti yang ganas. Buktinya selepas itu dari sebesar-besar tokoh Umno sehinggalah kaki angguk semua membawa cerita yang sama bahawa Pas bertindak samseng di Bagan Pinang. Kalau Berita RTM dan TV3 tak payah ceritalah...malah cerita Azeez dipukul lebih banyak mendapat liputan berbanding tragedi gempa di Padang yang mengorbankan ribuan nyawa.
Semua ini terbukti bahawa selepas itu ada sahaja provokasi yang dilakukan oleh Umno yang bernaung di bawah ketiak SPR dan pihak berkuasa tempatan yang menurunkan bendera rakan Pas dalam Pakatan Rakyat.
Tetapi apa yang berlaku malam tadi makin mendedahkan kebiadapan dan kesamsengan penyokong Umno yang pastinya tidak bertindak tanpa arahan dari pihak atasan yang menyerbu bilik gerakan Pemuda Pas Pusat di Bagan Pinang. Tindakan menetak dengan parang dan membelasah petugas Pas sehingga cedera parah merupakan tindakan tidak bertamadun yang dilakukan oleh Umno.
Kenapa akhbar tak buat liputan dan menyiarkan gambar pemuda yang teruk dibelasah? Tetapi Azeez yang kononnya dibelasah sehingga terbaring dan kemudiannya bangun semula disiarkan secara meluas.
Saya yakin menjelang hari pengundian lebih banyak tindakan provokasi dan samseng akan dilakukan oleh Umno dan saya mengingatkan semua jentera Pas dan Pakatan Rakyat terutama petugas keselamatan agar bersiap sedia dengan provokasi yang bakal dilakukan. Semua ini menunjukkan bahawa Umno cukup terdesak untuk menang di Bagan Pinang.
07 October 2009
1DUNIA DAH TAHU...
Maka semua program, tema dan kain rentang semuanya memuji-muji idea 1Malaysia sehingga Islam Hadhari tak kedengaran lagi. Semua kadi dan mufti yang berkhidmat di bawah telunjuk Umno@BN tidak lagi bercakap Islam Hadhari semua kini bercakap tentang gagasan Islam 1Malaysia.
Begitulah penangan yang dibawa oleh idea 1Malaysia. Semalam dalam Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di Paris, Datuk Seri Najib ingin 'menjual' pula gagasan 1Rantau,1Dunia.
Bagi saya tak perlu jual pun sebab 1 dunia dah tahu apa yang berlaku di 1Malaysia. Perasuah boleh jadi pemimpin. Ada rasuah halal dan ada rasuah haram. Seperti ada rasuah yang boleh dimaafkan dan ada rasuah yang tiada maaf bagimu.
1Dunia tahu apa yang dilakukan oleh Umno@BN di Perak. 1Dunia juga dah tahu apa yang berlaku kepada Altantuya. 1Dunia juga dah tahu apa yang berlaku dalam 1Malaysia yang sistem kehakimannya caca marba. IDunia juga dah tahu bahawa ada hakim di 1Malaysia boleh 'diajak berunding', dibawa melancong dan sebagainya.1Dunia juga dah tahu ada orang tak semena-mena tanpa gempa bumi dan taufan boleh jatuh tiba-tiba dari bangunan SPRM. 1Dunia juga tahu SPR kini menjadi alat kepada Umno@BN.
Kesimpulannya....tak perlu jual idea 1Malaysia....1Dunia dah tahu....Orang kampung saya pun tahu jugak......
06 October 2009
NAJIB: ISA PERLU DIBERI PELUANG....UNTUK SONGLAP DUIT RAKYAT?
Apa tak cukup lagi tempoh 22 tahun sebelum ini sebagai wakil rakyat dan Menteri Besar? Orang Negeri Sembilan mengakui sepanjang tempoh Isa Samad jadi Menteri Besar, Seremban contohnya yang menjadi ibu negeri Negeri Sembilan dikenali sebagai bandar mati berbeza dengan hari ini.
Apa tak cukup lagi Isa Samad songlap duit rakyat sepanjang jadi wakil rakyat dan Menteri Besar? Nak bagi peluang apa lagi? Nak tunggu sehingga khazanah dan duit rakyat habis licin?
BAGAN PINANG IBARAT MEDAN PERANG
Mantan Perdana Menteri, tun Dr. Mahathir terus melancarkan peperangan terhadap Tan Sri Isa Samad calon Umno di Bagan Pinang. Semalam Dr Mahathir menegaskan dia akan terus boikot untuk berkempen di Bagan Pinang. Beliau tidak mahu berkempen kerana ia seperti menyokong pelaku rasuah. Perasuah menurut beliau tidak layak dipilih menjadi pemimpin walaupun telah menjalani hukuman. Hari ini kempen hari ketiga pilihanraya kecil Bagan Pinang terus dicemari dengan rasuah sama ada secara terang dan nyata. Dalam masa yang sama beliau menyalahkan Pak Lah yang menjadi punca rasuah berluasa dalam Umno sekarang.
Golongan yang paling banyak mendapat habuan pastinya tentera atau bekas tentera yang dikatakan menjadi nyawa kepada Umno untuk menang di Bagan Pinang. Pelbagai bantuan, sumbangan dan janji mula ditabur untuk meraih undi. Poket penduduk dan pengundi Bagan Pinang dijangka akan terus bergegar tidak henti-henti seperti gempa bumi di Padang Sumatera.
Bagi saya memang bertepatan Port Dickson diistiharkan sebagai Bandar Tentera Darat sempena pilihanraya kecil Bagan Pinang. Tentera tidak dapat dipisahkan daripada peperangan. Dalam erti kata lain, Pakatan Rakyat berperang melawan rasuah yang kini didaulatkan dan menjadi kiblat Umno. Apabila sebut tentang perang, tentera yang ramai, senjata yang canggih dan duit yang banyak belum tentu menjamin kemenangan. Ini semua bergantung kepada strategi peperangan.
Oleh itu kepada semua jentera Pakatan Rakyat, mantapkan strategi, serang dan bertahan dengan cara yang betul, Insyallah kemenangan akan menyusul.
04 October 2009
CONFIRM! KETUA PUTERA UMNO PEMBOHONG!
Saya dah lama tak menonton Buletin Utama TV 3. Cuma hari ini tertengok apabila bertandang ke rumah jiran. Kalau semalam Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa beliau dipukul oleh penyokong Pas semasa penamaan calon semalam dengan menunjukkan 'merah-merah' di leher dan badannya. Dalam hati saya apabila berita beliau dipukul sebelum ini disiarkan, saya berkata macam mana 'Putera Umno' yang berlagak samseng semasa bertanding di Parlimen Baling dalam pilihanraya umum lalu dan menjadi juara membela mat rempit boleh kena pukul? Saya langsung tak percaya kerana walaupun 'dibelasah' oleh lapan lelaki seperti didakwa beliau masih kelihatan sihat waalafiat seperti yang dirakamkan oleh media dalam sidang akhbarnya semalam.
Naib Presiden Pas, Saudara Shalehudin Ayub menyifatkan Abdul Azeez seorang pembohong kerana sengaja ingin menimbulkan provokasi untuk memberi imej negatif kepada Pas.
Tiba-tiba hari ini dalam Buletin Utama disiarkan Abdul Aziz terbaring di hospital dalam keadaan cukup lemah dan tak bermaya. Ehhh...rupa-rupanya Abdul Azeez mengalami kecederaan serius selepas 24 jam...Mungkin orang yang memukul Abdul Azeez ilmunya hanya mujarab selepas sehari! Hebat betul lakonan! Kalau tak silap saya masa pilihanraya kecil di Terangganu Abdul Azeez turut mengemukakan dakwaan yang sama seperti di Bagan Pinang. Bila keluar berita ni sekali lagi muncul di Bagan Pinang saya nasihatkan agar Abdul Azeez lebih layak bertanding jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan akan datang.
GEMPA DI SUMATERA TETAPI YANG RUNTUH BANGUNAN DI TERANGGANU
Tetapi lain pula yang berlaku di Terangganu, gempa bumi tidak, taufan tidak dan ribut pun tidak tetapi sering sahaja berlaku bangunan runtuh. Kalau sebelum ini bumbung sekolah dan stadium yang runtuh kali ini bumbung masjid pula yang runtuh.
Kejadian terbaru berlaku di Masjid Kampung Batu Putih tiba-tiba runtuh dan menimpa tiga buruh warga Indonesia yang datang untuk membaiki binaan itu di Kemaman, semalam. Kebetulan kejadian ini berlaku dalam parlimen Kemaman yang Menteri Besarnya berasal dari sana.
Pakar kaji bumi pastinya pening kepala dengan 'misteri' dan ' peristiwa pelik' yang berlaku di Terangganu. Selalu benar bangunan runtuh di Terangganu. Tak pasti le pulak sama ada masjid ini dibina era Datuk Idris Jusoh atau Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.
Jika begini keadaannya tidak mustahil 'tsunami' juga boleh melanda Terangganu bila-bila masa lebih-lebih lagi apabila senario politik di Terangganu di dalam Umno yang 'gempanya' tidak pernah berhenti menggoyangkan kepimpinan Ahmad Said sekarang.
03 October 2009
PEMUDA UMNO BOIKOT BAGAN PINANG?
Awal-awal lagi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin tidak bersetuju dengan pencalonan Tan Sri Isa Samad sebagai calon Umno. Berbeza dengan Tun Dr. Mahathir yang akhirnya 'bersetuju' Isa sebagai calon.
Tetapi Khairy nampaknya terus berpatah arang berkerat rotan apabila kelibatnya tidak kelihatan di Bagan Pinang pada penamaan calon hari ini. Walhal Bagan Pinang dan Rembau bukanlah jauh mana. Boleh jadi juga Khairy sibuk dengan menghadiri majlis rumah rumah terbuka.Berbeza dalam pilihanraya kecil sebelum ini, Khairy dengan lagak juara sering menjadi jurucakap Umno.
Apa maknanya tu? Maknanya jelas Isa bukan sahaja berhadapan dengan Pas dan Pakatan Rakyat di Bagan Pinang tetapi berhadapan dengan protes dan bantahan pemuda Umno yang diketuai oleh Khairy. Mungkin Khairy akan hadir selepas ini tapi bagi saya hanya sebagai memenuhi syarat dan mencukupkan korum je...Tak lebih dari itu.
TAK PERLU BOM NORDIN MAT TOP CUKUP ALLAH UJI DENGAN GEMPA BUMI...
Tempoh seminggu ini banyak peristiwa yang berlaku di sebalik kerancakan pilihanraya kecil di Bagan Pinang. Dalam sibuk-sibuk berpolemik dan berspekulasi apa yang berlaku di Bagan Pinang, kita turut merasa tempias dengan nasib saudara seagama kita di Padang Sumatera Barat. Dikhabarkan lebih 1000 ribu terkorban dan ramai yang masih hilang. Usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan. Pelajar kita yang berada dibawa pulang supaya tidak ada sesuatu yang buruk berlaku.
Gempa bumi itu turut mencetuskan kebimbangan berlaku Tsunami yang menyebabkan nelayan di negara kita tidak berani turun ke laut seperti di Kuala Muda dan Balik Pulau yang masih trauma dengan Tsunami yang melanda negara.
Dalam suasana panik itu, semalam jenazah Nordin Mat Top dibawa pulang dan selamat dikebumikan di kampung halamannya di Pontian Johor. Lebih 500 orang diberitakan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham semalam. Bagi saya cukuplah, usahalah kita terus berpolemik dan menghukum Allahyaryam dan keluarganya. Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya.
Nordin diburu dan akhirnya dibunuh kerana 'gempa' yang dilakukanya. Nordin dan pengikutnya dikatakan mencipta dan menghasilkan bom yang sofistikated yang menyebabkan suasana panik dan menggerunkan bukan sahaja kerajaan Indonesia tetapi negara-negara yang lain.Ini menyebabkan beliau diburu selama 9 tahun sebelum ditewaskan. Kematian Nordin melegakan ramai pihak yang menjejakinya sekian lama.
Tetapi belum sempat saudara serumpun kita menarik nafas lega, Allah SWT menguji dengan gempa bumi yang agak dasyat yang pastinya jauh lebih kuat daripada bom yang pernah dihasilkan oleh Nordin Mat Top. Namun berapa ramai yang bermuhasabah bahawa gempa bumi dasyat ini amaran dan peringatan dari Allah SWT?
Di negara ini, maksiat berluasa, halal haram tak tahu nak beza, hukum hakam Allah SWT dipersenda, ulama dihina, perasuah dianggap mulia semua ini menjadi isyarat yang cukup jelas bahawa semuanya bakal mengundang bala dan balasan dari Allah SWT. Jadi selagi hayat dikandung badan dan nadi masih berdenyut...Beringatlah...
01 October 2009
GEMPA BUMI DI SUMATERA, TSUNAMI DI BAGAN PINANG
Gempa bumi yang melanda Sumatera Barat pada 7.6 skala richter turut menimbulkan suasana panik di negara ini termasuk di Melaka. Beberapa kawasan dan bangunan turut merasa gegaran walaupun jauh dari kawasan gempa.
Sehingga hari ini angka tak rasmi kira-kira 600 orang dipercayai terbunuh dalam tragedi berkenaan di Sumatera Barat. Sebelum ini ribut dan gempa bumi turut melanda Samoa yang mencetuskan ombak Tsunami yang telah menelan ratusan orang menjadi korban.
Dalam suasana panik dan menakutkan itu, ombak 'Tsunami' yang bakal melanda Bagan Pinang lebih digeruni oleh Umno@BN. Kekalahan atau menang dengan majoriti yang kecil bermaksud 'Tsunami' politik benar-benar melanda Umno@BN. Penolakan rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 lalu merupakan 'Tsunami' yang tidak diduga sama sekali. Kekalahan dalam 7 siri pilihanraya kecil pasca pilihanraya umum itu mungkin lebih kepada 'ombak tujuh beradik' yang juga menakutkan tetapi tidak segerun 'Tsunami' yang melanda Umno@BN dalam piliahnraya umum lalu.
Tetapi jika tewas di Bagan Pinang Umno@BN pastinya akan lebih terpukul mengalahkan hempasan ombak Tsunami yang menakutkan itu yang membawa maksud Umno@BN boleh bersiap sedia menggali liang lahad untuk dikuburkan dalam pilihanraya umum ke 13.Umno perlu bersedia untuk menggali kuburnya sendiri daripada ditelan ombak Tsunami yang menyebabkan sehingga kini ramai yang hilang dan ghaib tanpa bernesan. Wallahu'alam.