31 December 2009

ENJIN JET DILARIKAN ASKAR PANGKAT RENDAH JE..


Apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengumumkan hasil siasatan polis bahawa tidak ada pegawai tinggi TUDM terlibat melesapkan enjin pesawat pemintas F5E mungkin ramai yang menarik nafas lega. Ini kerana tidak ada pegawai tinggi TUDM yang jadi petualang dan pengkhianat kepada negara.

Tetapi pengumuman ini sesuatu yang lebih malang dan mengejutkan. Ini bermakna enjin pesawat yang begitu besar sentiasa dikawal rapi dengan sistem keselamatan yang ketat diperlekehkan oleh askar biasa je.Agaknya mungkin askar pangkat prebet dan lans koperal aje yang terlibat. Jika begitu keadaannya satu hari nanti bukan sekadar enjin jet sahaja yang hilang selepas ini dengan jet-jet pun boleh dilarikan.

Tidak mustahil juga askar yang berpangkat rendah yang didakwa terlibat melarikan enjin jet ini sengaja dijadikan kambing hitam untuk menyelamatkan mereka yang lebih berkuasa di atas sana. Oleh itu saya menyokong satu Siasatan Diraja diwujudkan untuk menyiasat semua aspek dan pihak yang mungkin terlibat dalam kes ini.

Hanya Suruhanjaya Diraja sahaja yang dapat menyakinkan rakyat apa yang berlaku. Nak harapkan Jabatan Peguam Negara dan polis, lihatlah masing-masing hari ini macam main tarik tali. Peguam Negara kata kertas laporan tak lengkap, polis pulak kata maklumat tak lengkap. Jika macam tu lah keadaannya entah sampai bila nak selesai kes.

30 December 2009

BH DAN UTUSAN BAKAL KENA SAMAN LAGI


Sehari ini dua cukup galak akhbar Berita Harian, Utusan dan yang sewaktu dengannya cuba melaga-lagakan serta memporak perandakan kerajaan pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terkini mereka cuba menggambarkan kepimpinan TGNA di Kelantan sedang bergolak dan berhadapan krisis kepercayaan. Bagi pihak Umno@BN mereka beranggapan situasi ini menggambarkan kemelut politik yang berlaku di Kelantan.

Isu perletakan jawatan dan tamat kontrak Setiausaha politik dan akhbar Menteri Besar Kelantan itu cuba digembar gemburkan serta ditokoh tambah serta disensasikan.

Ternyata apa yang berlaku satu cubaan terdesak dan tidak menggugat kepimpinan TGNA dan kerajaan Pas yang telah dua dekad memacu dalam menegakkan syiar Islam di bumi Serambi Mekah.

Hari ini bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Saiba Yaacob tampil meminta akhbar Berita Harian memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat mengenai dirinya.
Malah katanya, wartawan akhbar berkenaan tidak pernah menemuinya sebelum menyiarkan kenyataan dianggap panjang lebar berkaitan dirinya.

“Beberapa laporan yang terdapat dalam akhbar berkenaan semalam bukan sahaja tidak betul, bahkan tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Laporan itu kata saya merancang untuk mengajar di Kias tak betul, nak melanjutkan pengajian di Kuis pun tak betul, sebaliknya saya akan menyambung pengajian di peringkat PhD di UM,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Oleh yang demikian, Mohd Saiba memberi peluang akhbar berkenaan memohon maaf sebelum tindakan lanjut diambil memandangkan berita yang disiar tidak mendapat kebenarannya dan turut dilibat nama Anual Bakri.

“Jadi bagi membersihkan nama saya dengan laporan yang agak kurang manis, ada baiknya akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Katanya begitu kecewa dan terkejut dengan laporan tersebut dengan memperincikan maklumat mengenainya.

Beliau juga berkata, ekoran laporan tersebut menyebabkan beliau bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Bagi saya tak pelik agenda jahat milik akhbar pengampu dan penipu yang dibayangi oleh pimpinan Umno@BN. Mungkin kini akhbar berkenaan sekarang mencatat keuntungan berlipat kali ganda dan cukup bermurah hati untuk membayar tuntutan saman fitnah atas penyiaran berita yang tidak bermaruah dan beretika.

YDP BUKIT KATIL @ BLOGGER MUTALIGAT DIMASUKKAN KE HOSPITAL


Berita yang saya baru terima sebentar tadi saudari Sofi Wahab Yang Dipertua Pas Kawasan Bukit Katil yang juga blogger Mutaligat dimasukkan wad 355 Hospital Pantai Ayer Keroh Melaka. Menurut saudara Khairul Che Salleh AJK pemuda Pas Bukit Katil, saudara Sofi sering mengadu sakit perut kebelakangan ini. Kepada sahabat yang berlapangan bolehlah melawat beliau di wad berkenaan.

29 December 2009

MALAYSIA BELI PESAWAT PEJUANG UNTUK PAMERAN?


Langkah Kerajaan untuk menggantikan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) MIG 29N yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2010 menggundang kritikan dari pelbagai pihak. Terkini daripada Tun Dr. Mahathir yang merupakan individu bertanggungjawab urusan pembelian MRCA berkenaan di Malaysia semasa menjadi Perdana Menteri.

Beliau mempertikaikan kemungkinan penglibatan orang tengah yang ambil untung 'atas angin' di sebalik urusan pembelian jet pejuang baru itu nanti.

Dr. Mahathir juga berkata negara lain seperti India yang menggunakan jet tempur jenis yang sama tidak berhadapan dengan sebarang masalah. Alasan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan tidak mampu menanggung kosRM 260 juta untuk baik pulih 17 pesawat sedia ada.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah berbanding buatan Amerika Syarikat (AS), tetapi sejumlah wang yang besar masih terpaksa dibelanjakan untuk menukar kepada pesawat baru yang sudah pasti akan menelan kos jutaan ringgit.

"Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah kita belanja ratusan juta untuk pesawat ganti?

"Pesawat AS kononnya tahan lebih lama. Tetapi kita perlu ingat apabila duit untuk membeli MiG-29 diguna untuk beli pesawat F/A-18, akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh AS," katanya.

Jelas beliau, pihak AS tidak akan memberikan source code atau kod teknikal yang akan mengehadkan kegunaan pesawat F/A-18 itu dan akhirnya digunakan untuk tujuan pameran sahaja.

Inilah juga yang berlaku terhadap pembelian jet pejuang Hawk 100 dan 200 dari Britain yang disifatkan oleh kerajaan terbaik di dunia dalam kelasnya ketika itu. Menurut sumber Kementerian Pertahanan sebelum ini lebih separuh dari pada jet pejuang berkenaan tidak dapat digunakan kerana kesukaran mendapatkan alat ganti.

Saya yakin banyak lagi aset pertahanan yang dimiliki negara mempunyai masalah yang serupa.

Ini bermakna Malaysia mempunyai banyak koleksi pesawat pejuang canggih yang tidak dapat digunakan atau berfungsi seperti sepatutnya dan kini hanya menjadi bahan pameran.

Namun jika terlalu banyak aset ketenteraan yang hendak dipamerkan dan tidak ada ruang atau tempat untuknya, saya yakin di Melaka negeri yang mempunyai berpuluh muzium bersedia untuk menawarkan muzium baru untuk pesawat pejuang milik negara yang tak boleh guna.

Apa yang berlaku menunjukkan sesuatu yang tidak kena terhadap aset pembelian keselamatan negara yang menelan kos bilion ringgit. Kenapa dalam laporan audit negara tidak mendedahkan hal ini? Adakah tidak dapat dikesan atau memang sengaja dirahsiakan kerana faktor keselamatan atau melindungi individu tertentu yang berkepentingan?

Dalam hal ini sebenarnya, Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Menteri Pertahanan ketika itu kena bertanggungjawab dan menjelaskan punca masalah yang berlaku.

28 December 2009

CADANGAN LOGO BARU BN

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangankan agar Barisan Nasional (BN) merintis usaha penjenamaan semula termasuk memperkenalkan logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1 Malaysia.

Dalam proses penjenamaan semula itu untuk mendekatkannya dengan hati rakyat.Cadangan itu dinyatakan dalam laman web beliau, www.keruak.com.Untuk lebih tepat dalam situasi BN sekarang yang semakin kronik dengan perpecahan dalaman, krisis, penyelewengan dan skandal maka logo di bawah boleh dipertimbangkan.




27 December 2009

KEMARUKNYA UMNO-BN NAK BERKUASA DI SELANGOR


Pelbagai usaha dilakukan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Dari kepala lembu yang diarak dan dipijak hinggalah isu membawa kepada kematian Teoh Beng Hock. Semuanya dikaitkan dengan usaha merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Terkini satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka' penyokong' Pas berdemontrasi mendesak agar Pas keluar dari Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Kalau benar mereka ahli atau penyokong Pas sila istiharkan dari cawangan atau kawasan mana. Orang Pas tulen tak buat kerja pelik-pelik macam tu. Sekali imbas tengok muka-muka yang berdemontrasi itu sah muka-muka penyokong dan ahli Umno. Jika tidak saya cabar sila senaraikan nama yang terlibat dalam demontrasi yang katanya kurang 9980 0rang untuk capai 10000 orang untuk dibuktikan mereka adalah petualang atau tali barut umno@BN. Jika mereka ahli dan penyokong Pas, maka demontrasi itu menjadi sejarah kepada Pas kerana dalam sejarah Pas menyertai demontrasi kerana inilah demontrasi 'yang paling ramai orang hadir'.

Apa yang dilakukan hari ini menunjukkan betapa kecewanya Umno@BN yang seperti sudah kering idea untuk menggugat dan menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai taktik kotor dan konspirasi yang sebelum ini menemui kegagalan. Sekaligus apa yang berlaku hari ini menunjukkan betapa kemaruknya Umno@BN untuk kembali berkuasa di Selangor.

26 December 2009

UMNO@BN MAKIN PARAH BERGASAK SESAMA SENDIRI



Tahun baru,pergolakan baru. Itu yang dapat digambarkan apa yang berlaku kepada Umno@BN hari ini. Di Utara belum selesai polemik dan perebutan jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang di antara Umno dan Gerakan. Di Pantai Timur Umno Terangganu yang selama ini 'duduk serumah tetapi bilik lain-lain' berlarutan dengan bercakaran sesama sendiri di dalam sidang DUN Terangganu di antara kumpulan Datuk Ahmad Said dan regu Datuk Idris Jusoh.

Krisis dalam MCA semakin buntu dengan masing-masing cabar mencabar sesama sendiri. Dalam PPP makin haru biru bila Presiden PPP Datuk M.Kayveas menganggap Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah sebagai "timbalan menteri haram" kerana enggan melepaskan jawatannya walaupun telah dipecat dari parti itu Jun lepas.

Di Perak lain pula ceritanya apabila Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia lbrahim mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meletak jawatan sebagai ketua WHIP BN di parlimen kerana gagal menjalankan tugasnya memastikan kehadiran ahli parlimen BN dalam undian kelulusan Belanjawan 2010 sehingga menyebabkan BN hampir ditumbangkan tanpa pilihanraya umum.

Apa yang berlaku menunjukkan sikap berebut jawatan dan kuasa tanpa memperdulikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Jadi tak peliklah enjin jet yang besar tu pun boleh hilang kerana pemimpin Umno@BN lebih sibuk bercakaran sesama sendiri. Mereka bercakap tentang 1Malaysia, kononnya rakyat didahulukan tetapi sikap mereka sebenarnya lebih mengutamakan kedudukan dan kuasa. Adakah kita hendak membiarkan mereka yang mementingkan diri dan kuasa ini terus berkuasa di negara ini?

25 December 2009

MB TERANGGANU TERBUKTI TAK BERMORAL


Kelmarin beliau bersumpah di Sidang DUN Terangganu menafikan beliau menyeleweng duit rakyat dengan memberi buah kurma dan air zam-zam. Sumpah beliau satu cubaan untuk menggambarkan betapa suci dan murninya dirinya dari sebarang bentuk skandal dan rasuah.

Tetapi semalam tak sampai 24 jam selepas bersumpah, Menteri Besar Terangganu Datuk Ahmad Said secara terang-terang tanpa malu dan berselindung merasuah ibu bapa yang sedang diraikan kerana kecemerlangan anak mereka dalam PMR supaya mengundi dan memangkah Umno@BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam ucapan semalam dalam program Yayasan Terangganu meraikan pelajar cemerlang PMR dan ibu bapa mereka Ahmad Said berkata :

"Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Menurut seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN,"

Adakah Ahmad Said fikir duit Yayasan Terangganu adalah duit Umno? Jika ini tidak dinamakan rasuah apa lagi istilah yang sesuai. Adakah SPRM akan siasat? Jika itu berlaku kepada pimpinan Pakatan Rakyat sudah pasti SPRM akan segera bertindak untuk membuktikan betapa efisennya mereka.

GEMPAR!!! KERANA POLITIK UMNO SELURUH AJK SYARAK SURAU/MASJID AN NANJIHIN LETAK JAWATAN SERTA MERTA!

Selepas solat Jumaat sebentar tadi, Imam 1, Imam 2,Bilal 2 dan seluruh jawatankuasa Surau/Masjid An Najihin Taman Merdeka Batu Berendam Melaka meletak jawatan berkuat kuasa serta merta. Kenyataan itu dibacakan oleh Imam Shuib selaku Imam 1 di hadapan kira-kira 1000 jemaah jemaah yang hadir selepas Solat Jumaat. Menurut beliau peletakan jawatan itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dilelakkan.

Namun, semua jemaah tahu bahawa surau An Najihin yang digunakan untuk solat Jumaat mengetahui campur tangan politik umno yang telah sekian lama mencampuri dalam pengurusan surau berkenaan yang didalangi oleh Bilal 1 yang juga pengerusi surau iaitu orang kuat Umno yang selama ini melobi diri sendiri untuk jawatan berkenaan. Campur tangan Umno dalam pengurusan surau berkenaan turut didalangi oleh Pengerusi JKKK Umno yang juga orang kuat Datuk Seri Ali Rustam di tempat berkenaan. Untuk makluman jawatankuasa surau yang telah lama berkhidmat itu tidak menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana parti politik.

Peletakan jawatan ini menjadi tamparan hebat pada Umno di tempat berkenaan dan di Melaka yang seringkali menunjukkan sikap mencampuri urusan pengurusan surau dan masjid di Melaka. Timbul tanda tanya siapa yang akan menjadi imam dan jawatankuasa syarak selepas ini memandangkan Imam 1 dan lain-lainnya cukup disenangi penduduk dan kariah serta telah lebih 9 tahun berkhidmat di surau berkenaan. Selepas ini saya yakin surau berkenaan yang sering imarah dengan pelbagai aktiviti akan dipinggirkan oleh majoriti penduduk setempat yang kurang senang dengan campur tangan politik Umno yang gila kuasa di situ.

Suasana pilu menyelubungi di dalam masjid bila jemaah dan jawatankuasa syarak yang meletak jawatan berpelukan sesama sendiri selepas pengumuman perletakan jawatan itu dibuat.

SIAPA DULU AKAN PECAH PERUT?


Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Itu peribahasa Melayu. Tapi hari ni dah terbalik, biar pecah di mulut jangan pecah di perut.Bagi saya pecah di mulut tak merbahaya berbanding pecah di perut. Macam orang kena penyakit apendiks kronik, selagi tak pecah peluang untuk sembuh dan diselamatkan adalah cerah. Berbanding kalau dah pecah perut, boleh lah panggil ahli keluarga dan sanak saudara untuk tulis wasiat.

Maka bahayanya pecah perut menyebabkan satu Malaysia riuh rendah bila Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak umat Islam khususnya di Kelantan berdoa sehingga mereka yang merampas hak rakyat Kelantan untuk mendapat royalti petroleum sampai pecah perut.Hanya mereka yang faham kiasan sahaja faham apa yang dimaksudkan TGNA 'berdoa sampai pecah perut'.

Maka ramai orang Umno sama ada yang kecil dan besar termasuk 'ulama terompah kayu' mempertikaikan doa TGNA itu. Katanya Islam tak mengajar untuk mendoakan seseorang ditimpa bala. Mereka yang bercakap macam tu sebenarnya mengaji kitab tak habis atau guru mereka mati sebelum habis belajar bab doa!

Hari ini kesan doa TGNA dan rakyat Kelantan serta rakyat Malaysia teraniaya mula terasa tempiasnya walaupun tak sampai lagi pecah perut. Sekurang-kurangnya mereka yang terlibat mula rasa senak perut. Mana tidaknya, isu kehilangan enjin jet F5E sudah cukup menggemparkan bukan sahaja di Malaysia tetapi menjadi lawak jenaka seluruh dunia. Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak kini terus didesak untuk meletak jawatan. Menteri Pertahanan ketika ini, Datuk seri Zahid Hamidi menyifatkan pihak yang bertanggungjawab adalah penderhaka. Kepada siapa ditujukan, Zahid lebih maklum tentangnya.

Begitu jua dengan kemenangan majoriti tipis 3 undi dalam kelulusan Belanjawan 2010 di parlimen baru-baru ni menyebabkan ramai pemimpin Umno@BN hampir pecah perut dan senak perut sampai sekarang.

Saya yakin lebih banyak lagi pendedahan, penyelewengan dan skandal akan dibongkar untuk pengetahuan umum tidak lama lagi. Apa yang berlaku menjadi peringatan kita semua bahawa jangan pandang remeh pada doa mereka yang dizalimi. Nabi. SAW sudah mengingatkan, doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Kita tunggu siapa dulu yang akan pecah perut!

23 December 2009

DR YUSOF QARADAWI SEDIA PERTAHANKAN ANWAR


Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini akan membawa isu pendakwaan qazaf berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum lagi dijalankan ke peringkat antarabangsa.

Kesediaan Dr. Yusuf Al-Qaradawi mempertahankan Anwar dinyatakan semasa berada di negara ini baru-baru ini kerana menyesali kelewatan Mahkamah Syariah di negara ini membicarakan pendakwaan qazaf berkaitan tuduhan liwat terhadap Anwar. Sebaliknya Mahkamah Syariah dikatakan hanya akan memulakan perbicaraan selepas kes liwat berkenaan dibicarakan di mahkamah sivil. Walhal menurut ulama berkenaan persoalan qazaf patut dibicarakan dahulu kerana ia menyentuh kewibawaan dan kredibiliti si penuduh. Kalau ia disabitkan dengan qazaf, maka kata Sheikh Yusuf, persaksian si penuduh tidak boleh diterima selama-lamanya kerana ia termasuk golongan fasiq.

Beliau dikatakan bersedia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia untuk membawa isu itu ke peringkat antarabangsa dengan mendapatkan pandangan tokoh-tokoh ulama sedunia.

Secara logiknya perbicaraan di mahkamah sivil akan mengambil masa yang lama sekiranya diambil kira segala proses sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Apa yang dibimbangi jika perbicaraan qazaf dibuat di mahkamah syariah?

Semua ini menunjukkan bahawa berlaku kepincangan dalam dwisistem perundangan di Malaysia yang seolah-olah mengikut telunjuk serta diperalatkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan imej serta mengaibkan saingan politik mereka.

MENGAPA KEHILANGAN ENJIN JET 'HILANG' DALAM LAPORAN AUDIT NEGARA?


Laporan Audit Negara 2008 yang diumumkan baru-baru mendedahkan pelbagai kepincangan dan penyelewengan aset milik kerajaan. Ketika itu kredit wajar diberi kerana laporan audit yang dikemukakan berjaya mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sehingga 'ikan bilis' dan 'jerung' yang terlibat tidak senang duduk. Laporan audit itu disifatkan telus dan memenuhi tanggungjawab serta menampakkan usaha untuk membendung salah laku dan salah guna kuasa.

Namun bila pendedahan kehilangan dua enjin pesawat pejuang F5E dan pelbagai alat ganti termasuk sistem avionik pesawat yang mencecah ratusan juta ringgit 'hilang' dalam laporan Audit 2007 dan 2008 pelbagai persoalan timbul. Adakah isu kehilangan ini sengaja ditutup dari pengetahuan umum atau memang pihak jawatankuasa audit gagal mengesan kehilangan tersebut?

Apa pun jawapannya, semua ini menunjukkan bahawa mungkin banyak lagi penyelewengan yang berlaku yang tidak dapat dikesan atau sengaja ditutup dari pengetahuan umum. Motifnya hanya mereka yang terlibat sahaja tahu. Sama ada melibatkan maruah dan keselamatan negara atau sengaja disembunyikan untuk melindungi pihak dan pemimpin tertentu daripada diheret ke muka pengadilan.

Apa yang berlaku akan melenyapkan keyakinan rakyat kepada kesungguhan dalam menangani rasuah dan ketelusan dalam pentadbiran negara. Semua ini menunjukkan bahawa dasar KPI, NKRA dan idea 1Malaysia hanyalah slogan dan retorik untuk mengkaburi mata rakyat daripada kerakusan dan sikap tamak pemimpin kerajaan yang ada untuk terus berkuasa.

Jika laporan Audit Negara pun tidak boleh dipercayai apa lagi yang boleh dipercayai di negara ini? SPRM, SPR, Polis, hakim dan mahkamah?

22 December 2009

LANJUT USIA BAS SEKOLAH KE 30 TAHUN : PELAJAR NAIK' KERANDA BERGERAK'!


Mungkin ini agaknya rupa bas sekolah di Malaysia yang dilanjutkan usia dari 20 ke 30 tahun. Masa tu tak perlu check di Puspakom kerana enjin dah tercabut. Adakah hendak menunggu tragedi malang menimpa anak-anak kita baru kerajaan akan mengkaji semula. Kini anak-anak kita ibarat menaiki 'keranda bergerak' dengan langkah kerajaan seperti yang diumumkan oleh Pengerusi LPKP Datuk Halimah Mohamed Sadique yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2010.

Mana yang lebih penting nyawa murid dan pelajar sekolah atau keuntungan pengusaha bas sekolah?

PETRONAS PUN TAHU TAK BERBALOI TAJA PASUKAN FORMULA 1 MALAYSIA


Syarikat petroleum negara, Petronas semalam mengumumkan menjadi penaja utama kepada pasukan formula 1 yang menggunakan enjin Mercedes. Kedua-dua pihak telah membuat perjanjian lima tahun dengan menggunakan nama Mercedes GP Petronas.

Pengumuman ini sekaligus menjadi tamparan kepada pasukan formula 1Malaysia yang masih terkial-kial mencari penaja utama. Air Asia dan Proton sebelum ini telah menyatakan kesediaan menjadi penaja pasukan formula 1Malaysia.

Walaupun Petronas menjadi pembekal bahan api utama kepada pesawat Air Asia itu tidak membuka hati pengurusan Petronas untuk menjadi penaja utama.

Langkah Petronas menaja pasukanMercedes adalah lebih tepat berbanding menjadi penaja pasukan Formula 1Malaysia . Lebih-lebih lagi walaupun Malaysia berbangga dengan pasukan formula 1nya tetapi masih lagi bergantung enjin luar iaitu enjin Lotus dari Itali. Manakala Pasukan Mercedes GP Petronas sebelum ini dikenali dengan nama Brawn GP telah terbukti keunggulannya dengan menjadi juara formula 1 musim lalu. Kemunculan juara dunia tujuh kali Michael Schumacher yang dikhabarkan akan menjadi pemandu Mercedes GP Petronas dijangka akan meningkatkan nilai tajaan Petronas pada masa akan datang.

Ternyata Petronas lebih menyedari adalah lebih berbaloi menaja Pasukan Mercedes GP Petronas berbanding pasukan Formula 1Malaysia. Mungkinkah kerajaan terpaksa menggeluarkan belanja dari duit rakyat untuk menjadi penaja pasukan Formula 1Malaysia.?Lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi pastinya syarikat-syarikat besar akan lebih berhati-hati dalam pelaburan mereka.

Jika itu berlaku maka pembaziran dan kerugian ratusan juta duit rakyat akan berlaku. Kecualilah Pasukan Formula 1Malaysia menggunakan enjin pesawat pejuang F5E yang hilang itu!

LAGI ENJIN JET TUDM HILANG!


Memalukan, bukan sebuah tetapi dua buah! Itulah yang berlaku kepada enjin jet pemintas TUDM F 5E yang satu ketika menjadi jet pejuang kebangaan negara. Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Azizan Ariffin mendedahkan enjin jet F5E kedua hilang selepas kira-kira lima bulan kehilangan enjin jet yang pertama. Siasatan yang dijalankan menunjukkan bahawa enjin jet yang kedua ini dijual di negara Eropah. Enjin jet F5E pertama sebelum ini dipercayai dijual di negara Amerika Selatan.

Kehilangan enjin GE J85-21A digunakan pesawat tempur F-5E milik TUDM berpangkalan di Skuadron Ke-12 Scorpion Pangkalan Udara Butterworth itu dipercayai didalangi individu sama yang didakwa terbabit kehilangan enjin pertama.

Ini jelas menunjukkan betapa longgar dan rapuhnya sistem keselamatan dan pertahanan negara. Jika perkara ini berlaku di luar negara sudah pasti Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera akan meletak jawatan untuk menunjukkan rasa bertanggungjawab. Tetapi apa yang berlaku di negara ini, Menteri Pertahanan, Datuk seri Zahid Hamidi terus menyalahkan prosedur keselamatan yang menjadi punca kehilangan yang berlaku.

Begitu juga apabila Kapal Pengangkut KD Inderapura terbakar baru-baru ini, litar pintas dan pendawaian elektrik yang dipersalahkan. Faktor kelalaian dan kecuaian dalam aspek penyelengaraan, baik pulih dan pemantauan tidak diberi perhatian. Apakah menteri berkenaan akan memberi alasan yang sama jika berlaku lagi kehilangan dan tragedi yang menimpa aset keselamatan negara?

21 December 2009

LAGI PROJEK BN RUNTUH DI TERANGGANU


Stesen bas Kuala Berang Terangganu yang menyembah bumi

Satu lagi projek 'cap ayam runtuh' di Terangganu. Tahun ini sahaja sudah beberapa bangunan 'satu lagi projek Barisan Nasional' menyembah bumi. Sebelum ini kita dihidangkan berita, dewan sekolah, stadium dan masjid runtuh hari ini rakyat Terangganu dikejutkan pula dengan berita Bangunan Perhentian Bas Kuala Berang runtuh. Bermakna tahun ini sahaja dah empat bangunan runtuh di Terangganu.

Dalam kejadian itu, tiga pekerja warga Bangladesh tercedera kerana terkena serpihan kaca yang pecah. Dalam kejadian itu kira-kira 15 pekerja sedang menyiapkan stesen bas berkenaan.

Menurut papan tanda di depan projek tersebut, bangunan ini adalah milik Majlis Daerah Hulu Terengganu. Ia berupa projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam.

Arkitek projek ini adalah SAM Arkitek Perunding, juruteranya adalah MNA Consultant Sdn Bhd, juruukur bahan adalah Contract Management Consultant dan kontraktornya adalah Gemilang Mega Sdn Bhd.

(Gambar: Papan tanda di depan bangunan ini)

Di atasnya jelas tertulis perkataan "Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional".

Ketika kejadian tidak ada sebarang ribut atau angin kencang melanda kawasan itu sungguhpun Pantai Timur sekarang sedang menghadapi banjir semula.

Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil, bumbung stadium Sultan Mizan dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman runtuh di negeri ini.

Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok dilaporkan bocor.


ZAMAN NAJIB BANYAK YANG HILANG


Zaman Dato Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak betul cerita tentang hilang. Altantuya hilang sebelum tubuhnya berkecai dijumpai. Rentetan dari tragedi itu didedahkan bom C4 di bawah prosedur dan keselamatan yang ketat hilang dari simpanan pasukan keselamatan. Selepas itu rekod imigresen Altantuya di Malayasia pun hilang. Kemudian diikuti P.Balasubramaniam penyiasat pensendirian hilang sebelum muncul kembali.

Malang bagi rakyat Malaysia kini Pulau Batu Putih hilang dari peta Malaysia.Bagi kira-kira 1.2 juta kakitangan awam setelah sekian lama tahun ini bonus yang diberi saban tahun 'hilang' digantikan dengan bantuan khas.

Dalam isu politik di Perak 3 bekas adun Pakatan Rakyat hilang, sebelum muncul dalam sidang media bersama Najib di Putrajaya. Terbaru, isterinya dilaporkan 'menghilangkan' duit sebanyak RM 600,000 semasa berada di Dubai melalui pengurup wang di Malaysia. Duit syarikat penerbangan Malaysia dikhabarkan hilang RM 8 bilion dalam bentuk kerugian, tertinggi dalam sejarah.Kini enjin jet pemintas F5E milik TUDM hilang. Mungkin lepas ni kita akan dengar enjin jet Sukhoi, enjin kereta formula 1Malaysia dan enjin kapal selam pulak yang hilang.

Adakah semua ini memberi petanda Najib dan Umno@BN akan hilang kuasa tak lama lagi?

19 December 2009

CARI PERSAMAAN KETEPIKAN PERBEZAAN


Gambar yang pastinya menggusarkan pihak lawan

Konvensyen pertama Pakatan Rakyat hari ini berlansung dalam suasana semangat setiakawan di antara tiga parti gabungannya terdiri daripada PAS, DAP dan PKR. Kira-kira 1500 perwakilan yang hadir membuktikan keazaman dan iltizam untuk menjadi wadah alternatif kepada rakyat di negara ini.

Konvensyen ini menjadi detik bersejarah buat julung kalinya gabungan pembangkang bersatu atas nama Pakatan Rakyat mengenepikan segala perbezaan ke arah titik persamaan untuk meroboh penguasaan BN yang sebelum ini cukup mendabik dada dengan gabungan komponen mereka lebih setengah abad.

Ketika gabungan BN semakin parah dan rapuh dibayangi pelbagai konflik dan perselisihan dalaman, konvensyen Pakatan Rakyat ini sudah pasti sesuatu yang membimbangkan dan menggerunkan BN dalam menghadapi kemaraan Pakatan rakyat khususnya dalam pilihanraya umum akan datang.

Saya mengharapkan konvensyen ini akan terus meningkatkan kesepaduan dan kesefahaman yang telah wujud dalam Pakatan Rakyat agar rakyat untuk menumbangkan BN sehingga kini diselubungi dengan pelbagai masalah dan skandal yang boleh membawa mudarat kepada negara ini.

Apa yang saya harapkan segala masalah dan isu yang berlaku terutama perkara yang sensisif diselesaikan secara baik dengan semangat setiakawan di meja rundingan. Jangan biarkan keharmonian dan ikatan yang wujud terlerai kerana hal-hal remeh temeh atau salah faham dengan menggunakan media dan pihak musuh yang sentiasa mencari ruang dan kesempatan untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Perpaduan yang berjaya diwujudkan hari ini menjadi isyarat yang cukup jelas bahawa Pakatan Rakyat sudah cukup bersedia untuk menguasai dan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas pilihanraya umum ke 13.

ENJIN PESAWAT PEJUANG PUN BOLEH HILANG?


Saya seringkali melahirkan kebimbangan tentang keselamatan negara dari ancaman luar terutama pintu keluar masuk sempadan negara. Masih ingat lagi kehilangan dua kontena cip komputer dari terminal kargo di Bayan Lepas tidak lama dulu? Begitu juga dengan rampasan dadah yang beratnya hampir 1 tan di Rompin Pahang. Ini belum termasuk dengan betapa mudahnya pendatang haram membolosi sempadan negara dan begitu bergaya ' mengeksport' motorsikal milik rakyat negara ini untuk digunakan di negara jiran.

Berita terkini enjin jet pejuang F5E milik TUDM bernilai kira-kira RM50 juta daripada Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur hilang dari sistem kawalan dan keselamatan yang ketat. Kehilangan ini berlaku pada hujung tahun lalu dan dikatakan telah dijual di sebuah negara di Eropah.

Dalam kes ini siasatan menunjukkan ia melibatkan penglibatan orang dalam iaitu pegawai atasan TUDM sendiri. Saya tidak mahu bangkitkan penyelewengan dan pecah amanah yang berlaku. Tetapi apa yang saya ingin utarakan bagaimana enjin jet yang sebegitu besar boleh 'dieksport'' ke Eropah? Adakah pihak berkuasa di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan tak dapat mengesan enjin yang begitu besar merentasi sempadan negara? Sejak bila pula Malaysia jadi pengeksport enjin pesawat pejuang?

Jika enjin pesawat pejuang yang begini besar boleh diseludup keluar tidak mustahil banyak lagi aset keselamatan milik negara ini telah dibawa keluar dan jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu satu siasatan rapi perlu dilakukan dan rakyat perlu diberitahu tentang kejadian yang berlaku. Ini kerana ia bukan sahaja berkaitan soal keselamatan tetapi juga berkaitan dengan duit rakyat yang menjadi pembayar cukai terhadap segala harta dan aset milik kerajaan.

17 December 2009

ADUN TIOMAN PAHANG KEMALANGAN


Rakan saya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain, 36, cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terbakar di Batu 16, Jalan Pekan-Rompin, dekat Pekan, semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam tadi.

Saya difahamkan sejurus beliau sekeluarga keluar dari kenderaan yang terbabas, kenderaan berkenaan terbakar dan meletup sebanyak lima kali.

Isterinya, Zurina Yosof, 34, dan empat anaknya, Mohd Jibrail,9, Amirah Balqis,7, Mohd Mikail,6, dan Mohd Atid sembilan bulan serta anak saudaranya, Mohd Harun Hamili, lapan tahun turut cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam ketika mereka dalam perjalanan dari Pekan menuju ke Rompin selepas pulang ke kampung isterinya di Kelantan.

"Mohd Johari yang sedang memandu kenderaan itu terlelap menyebabkan kenderaan jenis Toyota Fortuner itu terbabas dan terbalik sebelum terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam satu majlis kenduri baru-baru ini saya bersembang panjang dengan beliau tentang senario politik semasa di Rompin khususnya di Dun Tioman walaupun kami dari parti politik yang berbeza. Saya mendoakan semoga beliau sekeluarga cepat sembuh dan dipermudahkan Allah SWT. Semoga apa berlaku menjadi muhasabah dan diambil sebagai peringatan dari Allah SWT.

16 December 2009

JJ GUNA SIDANG VIDEO DENGAN ORANG ASLI ROMPIN

Penduduk asli Rompin terpukau dan terkedu dapat bercakap dengan JJ guna sidang Video

Duta Amerika Syarikat yang juga ahli parlimen Rompin Pahang Datuk Dr. Jamaludin Jarjis hari ini mengadakan sidang video dengan kira-kira 300 orang penduduk orang asli Rompin dalam merasmikan Program Literasi Undang-Undang Etnik Minoriti yang diadakan di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Rompin.

Persidangan video selama 10 minit itu menyebabkan orang asli Rompin terpukau kerana dapat berinteraksi dengan wakil rakyat mereka walaupun jauh beribu batu. Maka selepas ini ramailah penduduk asli yang merupakan kira -kira 10% pengundi di parlimen Rompin akan melanggan streamyx, Broadband dan Wimax untuk berinteraksi dan melepaskan kerinduan kepada wakil rakyat mereka.

Maklumlah talian internet di Rompin terutama di perkampungan orang asli di sini cukup pantas untuk berkomunikasi dalam facebook, yahoo massengger, skype, window life dan sebagainya.

Selepas ini penduduk asli Rompin akan kurang ke hutan untuk mencari akar kayu, buluh dan rotan kerana sibuk dan terpacak di depan skrin komputer untuk mengadu hal dan berbincang dengan wakil rakyat mereka yang duduk di Washington DC.

BLOGGER TAK BERETIKA: UTUSAN PALING BERETIKA?


Datuk Hismauddin Tun Hussin semalam dalam satu kenyataan di Terangganu berkata ada antara penulis blog menulis tanpa mengikut peraturan dan etika kewartawanan untuk meraih populariti berbanding wartawan tempatan yang berpegang kepada etika penulisan yang betul.

"Kita ada etika dan mereka tidak ada dan tidak mengamalkan etika kewartawanan. Inilah yang membezakan kita dengan mereka.

Maknanya akhbar seperti Utusan Malaysia dan sewaktu dengannya merupakan akhbar yang paling beretika dalam abad ini. Jika tidak mana mungkin ada kempen boikot akhbar berkenaan dan diharamkan dibekalkan di pejabat kerajaan negeri dan agensi di bawahnya di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Maka tidak hairanlah juga kerana etika kewartawanan itu menyebabkan akhbar berkenaan bermurah hati membayar saman fitnah seperti yang dimenangi oleh Datuk seri Anwar Ibrahim Datuk Mustafa Ali dan Datuk Mahfuz Omar. Khabarnya banyak lagi 'derma' yang akan diberi oleh akhbar berkenaan kepada pimpinan lain Pakatan Rakyat yang sedang menunggu kes saman terhadap akhbar yang beretika itu dibicarakan di mahkamah.

Selain itu disebabkan beretikanya akhbar berkenaan maka jualan akhbar berkenaan terus merosot dari tahun ke tahun. Tahniah kepada akhbar berkenaan kerana mendapat anugerah dan pujian etika kewartawanan dari Hishamudin.

15 December 2009

BALA MENANTI NAJIB!

Setelah sekian lama menghilangkan diri, penyiasat persendirian P.Balasubramaniam yang sebelum ini mengaitkan Dato Seri Najib Tun Razak dalam akuan bersumpah pertama bersedia untuk bertemu dengan SPRM untuk mendedahkan apa yang sebenarnya yang berlaku.

Dalam akuan bersumpah pertama, Bala menjelaskan secara terperinci bahawa Najib terlibat dengan tragedi menimpa Altantuya. Namun, tak sampai 24 jam, Bala menarik balik dakwaan tersebut dalam akuan bersumpah kedua bahawa Najib tidak terlibat.

Kesediaan Bala bertemu SPRM ibarat bala yang bakal menimpa Najib. Bala melalui peguamnya meletakkan syarat agar segala keterangan dan kesediaannya berjumpa SPRM diadakan di luar negara kerana faktor keselamatan. Menurut peguam Bala, Americk Singh Sidhu antara syarat lain yang dinyatakan ialah supaya suruhanjaya membayar kos penginapan, makanan dan perjalanan Balasubramaniam jika ia bersetuju mengambil keterangannya di London atau Singapura.

Keterangan Balasubramaniam, bekas anggota polis Cawangan Khas, haruslah direkodkan dalam bahasa Inggeris dan satu salinannya diserahkan kepada anak guamnya, sementara rakaman video siasatan tersebut pula diambil oleh pihak peguam tersebut.

Kita menunggu reaksi SPRM yang sebelum ini bersedia untuk menemui Bala tentang dakwaan adik Najib terlibat secara lansung yang menyebabkan Bala menarik semula akuan bersumpah yang pertama.

SPRM wajar bertindak segera kerana ia merupakan persoalan maruah negara lebih-lebih lagi ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia sendiri. Nama perdana menteri perlu dibersihkan untuk memastikan imej Malaysia tidak dipandang negatif di mata dunia. Lagipun syarat yang ditetapkan Bala tidak sukar untuk ditunaikan. Jadi tidak ada alasan SPRM tidak mengambil peluang ini untuk mendapat keterangan dan maklumat dari Bala. Jika SPRM tidak bertindak maka ia ibarat bala besar sedang menanti Najib!

TARGEDI JJ DI MELAKA MELETUP: SATU LAGI PROJEK CAP AYAM?

Sekembalinya ke Melaka, saya dikejutkan dengan berita Medan selera JJ Melaka yang bakal dibuka pada 17 Disember ini meletup yang menyebabkan seorang penyelia restoran, Tiau See Peing, 25,(gambar) maut manakala 16 cedera.Daripada kesemua mangsa yang cedera, tujuh cedera parah dengan tiga berada dalam keadaan kritikal. Mereka yang kritikal ialah Mohd. Tarmizi Jaafar, 23, Lai Soon Wee, 32, dan Ooi Kok On, 33.

Boleh dikatakan setiap hari saya melalui jalan di JJ Melaka ini untuk pelbagai urusan. Saya melihat JJ Melaka dibina 24 jam sehari tanpa henti. Mengikut perkiraan saya bangunan sebegini hebat dibina dalam tempoh tak sampai 3 bulan daripada projek bermula. Jurutera dan pekerjanya majoriti adalah warga asing.

Oleh itu ada beberapa persoalan yang saya ingin utarakan. Dalam tempoh begitu cepat dan pantas pembinaan projek ini yang bakal dibuka 17 Disember adakah bangunan berkenaan telah mendapat sijil layak menduduki (CF) ? Dalam isu yang lain, adakah kerajaan negeridan pihak berkuasa tempatan telah membuat kajian mendalam sebelum bangunan berkenaan diberi kebenaran untuk dibina?

Bagi mereka yang biasa berulang alik melalui projek ini sedia maklum bahawa jalaraya berhampiran kawasan ini sering sesak teruk terutama pada waktu puncak dengan adanya Pasaraya Tecso dan Melaka Sentral. Saya tidak dapat bayangkan kesesakan yang berlaku apabila JJ ini dibuka.

Tragedi letupan itu sepatutnya membuka mata semua pihak tentang kepincangan yang berlaku di sebalik projek ini. semua yang terlibat sama ada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kontraktor terlibat perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam tragedi malang ini kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa orang ramai.

Saya melihat tragedi ini ada hikmah si sebaliknya sebagai satu peringatan Allah SWT terhadap sikap tamak dan kerakusan manusia tanpa mengira kepentingan orang ramai dalam mengaut keuntungan.

Dalam hal ini, pembukaan pasaraya ini perlu ditangguhkan sehingga semua siasatan selesai dan keselamatan orang ramai terjamin. Kita tidak mahu ada lagi nyawa yang terkorban gara-gara kelalaian dan kecuaian manusia.

12 December 2009

DR M PUNCA USUS UMNO BUSUK


Kalau Tun Dr. Mahathir tidak berkata Umno busuk sehingga ke ususnya, ramai yang maklum bahawa Umno hari ini memang busuk lagi membusukkan. Menyedari Umno sudah busuk maka mereka cuba menggambarkan bahawa orang lain dan parti lain yang busuk dan bukan mereka. Umno cuba menggambarkan segala yang keluar dalam usus mereka wangi-wangi belaka tidak ada yang busuk.

Usus yang busuk berpunca daripada apa yang masuk ke dalamnya. Fungsi usus ialah memproses segala sisa dan benda-benda yang busuk. Hakikatnya tidak ada usus siapa-siapa pun yang harum dan wangi. Tetapi kebusukan itu akan bertambah-tambah kalau yang masuk ke dalamnya adalah segala macam kotoran dan benda-benda yang meloya dan membusukkan.

Dr. Mahathir berkata Umno kini busuk sehingga ke ususnya. Tetapi beliau mungkin terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa kebusukan terlampau yang berlaku dalam umno hari ini mencapai kemuncak kebusukannya pada zaman beliau menjadi presiden Umno dan perdana menteri selama lebih dua dekad. Sejak bila rasuah berluasa dalam Umno? Sejak bila rakyat mula hilang kepercayaan dan meragui sistem perundangan, kehakiman, institusi seperti polis dan SPRM (BPR)? Semuanya bermula dari zaman beliau. Hakim boleh dibawa melancong dan didedahkan dengan pelbagai skandal. Tilam bertompok-tompok boleh diusung ke mahkamah. Negara rugi berpuluh billion di zaman Dr. Mahathir kerana langkah menyelamatkan anak-anaknya dan kroni di sekelilingnya. Mereka yang tidak sebulu dan sehaluan dengan Dr. Mahathir akan dicantas dan dikenakan pelbagai tuduhan yang mengaibkan. Untuk berkuasa dan duduk di atas, orang Umno diajar wang adalah segala-galanya. Jadi untuk dapat duit untuk membela orang bawahan, mereka terpaksa makan rasuah dan beri rasuah walaupun ia sesuatu yang membusukkan.Segala kebusukan yang berlaku adalah berpunca dari guru yang terdahulu dan tak lain dan tak bukan adalah Dr. Mahathir sendiri.

Dr. Mahathir mungkin berharap dengan mendedahkan kebusukan yang terlampau sehingga ke ususnya akan menyebabkan orang dalam Umno serta orang ramai akan menunding jari serta memandang jijik mereka yang menjadi punca Umno membusuk. Maka mereka yang terlibat dengan rasuah akan terus terpinggir dalam Umno. Siapa lagi kalau bukan Khairy Jamaludin. Desas desus bertiup kencang bahawa Khairy bakal dilantik ke jawatan timbalan menteri. Sudah pasti berita itu tidak disenangi oleh Dr. Mahathir. Maka isu kebusukan ke usus Umno ini dibangkitkan agar Khairy Jamaludin serta yang sewaktu dengannya akan terus kempunan jawatan penting dalam kerajaan dan kabinet. Apa yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir sebenarnya kena atas batang hidungnya sendiri dan sekaligus mendedahkan lagi segala kebusukan yang berlaku dalam Umno.

Semua ini jelas bahawa kebusukan yang menular dalam Umno sehingga ke ususnya harinya sudah terlambat untuk dirawat dan diubati. Umpama pesakit kanser kronik yang menghitung hari dan saat kematian.

11 December 2009

KONSERT SRK TAK JADI, ALI RUSTAM KEMPUNAN LAGI


Konsert Datuk Shah Rukh Khan yang dijadualkan malam ini di Stadium Hang Jebat tak jadi. Pembatalan ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Muhd. Ali Rustam semalam. Menurut Ali Rustam, pembatalan ini kerana SRK sibuk dengan tugas-tugas seni beliau. Kebetulan pulak katanya, kerajaan negeri masih lagi belum dapat penaja konsert berkenaan.

Ini bukan kali pertama Ali Rustam kempunan dengan SRK. Sebelum ini hajat Ali Rustam untuk mempelawa SRK buat studio perfilemen di Melaka tidak menjadi kenyataan. Nak buat filem SRK di Melaka pun tidak kesampaian. Kini konsert mega SRK pun terpaksa ditangguhkan. Mungkin selepas ini Ali Rustam mungkin akan jemput SRK sekali lagi kalau tak dapat buat konsert di Melaka untuk menyanyi satu dua lagu untuk menghiburkan hatinya. Lagi bagus kalau SRK dapat menyanyi lagu Dondang Sayang yang terkenal di Melaka. Setidak-tidaknya pun minta SRK berpantun serangkap dua. Masa tu nama Ali Rustam dan Melaka pasti meletup seluruh dunia. Maka berbaloilah gelaran Datuk yang diberi dan dipertahankan bermati-matian oleh Ali Rustam dan kerajaan Melaka kepada SRK.

10 December 2009

1MALAYSIA: UNTUK GURU DAN PELAJAR THAILAND BIASISWA, UNTUK RAKYAT MALAYSIA PINJAMAN!APA CERITA NI?


Dato Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya di Wilayah Narathiwat Selatan Thailand semalam mengumumkan kerajaan 1Malaysia akan memberi biasiswa kepada guru dan pelajar di wilayah berkenan untuk mengikuti pengajian di isititusi pendidikan di Malaysia.

Langkah berkenaan bertujuan untuk membantu umat Islam minoriti di selatan negara Gajah Putih berkenaan. Saya tidak berkata tidak bersetuju dengan langkah itu, nak bantu dan beri biasiswa kepada semua guru dan pelajar di negara berkenaan pun tak mengapa. Islam pun menggalakkan membantu saudara seagama.

Tetapi yang jadi masalahnya ialah majoriti guru dan pelajar di Malaysia hanya mendapat pinjaman dari kerajaan terutamanya melalui PTPN, itu pun kerajaan ambil untung dengan mengenakan faedah keapada mereka. Beribu-ribu guru di Malaysia yang terpaksa ambil cuti separuh gaji dan ada yang ambil cuti tanpa gaji untuk menyambung pengajian untuk meneruskan cita-cita dan meningkatkan profesion mereka. Malah ada yang terpaksa membuat pinjaman peribadi di bank untuk menampung keperluan pengajian serta menanggung keluarga kerana tidak cukup pendapatan kerana mendapat separuh gaji sepanjang pengajian.Namun itu tidak melemah dan mematahkan semangat mereka untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.


Tindakan Najib dan kerajaan 1Malaysia yang kononnya rakyat didahulukan umpama kera di hutan disusu dan dimanjakan, anak di rumah merempat dan kebuluran.

08 December 2009

1MALAYSIA: UMNO TERUS MAINKAN ISU PERKAUMAN!

Sekumpulan penduduk seksyen 23, Shah Alam yang terlibat dalam kes memijak kepala lembu, memegang poster yang memaparkan gambar pemimpin tertinggi DAP dari kiri, Anthony Loke Siew Fook, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sambil melaungkan slogan 'Hidup Melayu' di hadapan Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor semalam.

Manakala dalam satu isu lain yang berkaitan, Ketua Umno Bukit Bendera,Datuk Ahmad Ismail yang sebelum ini digantung keahlian Umno selama tiga tahun kerana menuduh orang Cina sebagai kaum pendatang dalam satu majlis ceramah semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh telah ditarik semula hukuman itu oleh Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu. Kenyataan celupar itu telah menimbulkan kemarahan orang Cina sama ada pro BN dan Pakatan Rakyat.

Tindakan MT Umno menarik balik hukuman ini membuktikan bahawa Umno parti perkauman dan menyokong tindakan yang sengaja mencetuskan sentimen dan api perkauman di negara ini. Jelas semangat 1Malaysia hanyalah retorik dan strategi politik murahan.


TUNJUKKAN MANA PEMIMPIN UMNO YANG BERFIKIRAN TERBUKA SEPERTI MB KEDAH?

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.
Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki."Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Kenyataan ini menggambarkan keterbukaan serta sikap prihatin Ustaz Azizan tentang tanggungjawab dan amanah yang terpikul. Persoalannya ada tak mana-mana pemimpin Umno yang berfikiran terbuka seperti itu? Berani dan bersediakah mereka membuka pintu pejabat mereka mendengar kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan kepada rakyat? Apa yang berlaku apabila rakyat berhimpun untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih? Apa yang berlaku apabila rakyat berhimpun untuk menghapuskan akta zalim ISA? Apa yang berlaku apabila rakyat berhimpun membantah kenaikan harga minyak? Apa yang berlaku apabila rakyat menuntut PPSMI dimansuhkan sebelum ini?

Mereka bukan sahaja membuat kezaliman dan menindas, tetapi apabila rakyat berhimpun menyuarakan suara hati dan bantahan, sebagai balasan mereka yang tidak berdosa sama ada golongan tua, kanak-kanak dan wanita dipukul dan dibelasah, disembur dengan gas pemedih mata dan air asid. Rakyat yang menegur kezaliman yang dilakukan dilayan seperti penjenayah yang merbahaya.

Bukan sahaja hak rakyat berhimpun untuk menegur tindakan dan perbuatan mereka dihalang dan disekat, hari ini hak rakyat nak berdoapun seolah-olah cuba dikawal. Mungkin selepas ini dalam era 1Malaysia mana-mana rakyat yang nak berdoa kena dapat tauliah dulu!

06 December 2009

UMNO LEMAS DI MUSIM TENGKUJUH

Musim Tengkujuh sudah mula melanda Pantai Timur. Sebagaimana lazimnya setiap kali musim tengkujuh ada kawasan dilanda banjir. Sehingga kini banjir di Pantai Timur khabarnya telah meragut lima nyawa. Dalam sibuk-sibuk cerita banjir dan lemas, Umno juga seolah-olah menerima nasib yang sama. Mereka cuba menyerang Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pelbagai isu dan penghinaan tetapi akhirnya semua itu kena atas batang hidung sendiri.

Hajat di hati nak gegarkan Kota Baru dengan demontrasi besar-besaran tetapi apakan daya tak sampai seratus yang hadir. Maka nak mencukupkan angka keribu-ribu, akhbar pengampu dan penipu mereka mengira segala bayang-bayang, polis dan tiang.Umno cuba mengambarkan TGNA tidak mampu untuk mentadbir Kelantan. Mereka cuba menggambarkan TGNA cakap merapu dan bertindak seperti orang sasau. Sebagai balasannya ribuan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa dan agama bangun dan berhimpun kelmarin menyatakan sokongan dan kasih sayang mereka kepada TGNA. Ternyata himpunan besar-besaran itu cukup menggerun dan menggusarkan Umno.

Umno kini terkapai-kapai dan lemas dalam isu ciptaan mereka. Dalam terkapai-kapai itu Umno dikejutkan pula dengan berita kira-kira 5 ribu ahli dan penyokong Umno Rantau Panjang mengugut untuk keluar dari parti itu. Dalam masa yang sama Umno di peringkat pusat turut mengalami nasib yang sama. Kemunculan semula P.Balasubramaniam dengan dakwaan terkini mengembalikan nostalgia rakyat ini kepada Altantuya terhadap perancang dan dalang di sebalik pembunuhan tragis itu. Itu belum ditambah dengan kes Kota Siputeh yang tidak memihak mereka. Jika Mahkamah Persekutuan mengiktiraf Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah ia ibarat kemuncak kepada kemusnahan Umno.

Adakah ini semua petanda doa TGNA dan munajat rakyat Kelantan memohon kebinasaan dan kemusnahan Umno akan menjadi kenyataan? Semua itu kita pertimbangkanlah sendiri. Sebagai mana yang selalu disebut dan diingatkan doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Maka kepada Umno tunggulah harinya, cepat atau pun lambat. Apa yang pasti sudah ada tanda-tanda Umno sudah mula kelemasan di musim tengkujuh ini!

05 December 2009

PENAFIAN NAJIB MENIMBULKAN LEBIH BANYAK KERAGUAN


Isu pembunuhan Altantuya masih tak selesai. Walaupun dua tertuduh telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah, cakap-cakap isu di sebalik tragedi ini terus menimbulkan persoalan dan pelbagai teka-teki. P. Balasubramniam watak utama tidak dipanggil sebagai saksi pendakwa dan pembela. Semuanya gara-gara menghaibkan diri tanpa dapat dikesan oleh polis Malaysia yang terkenal dengan slogan cepat dan betulnya.


Setelah enam bulan menghilangkan diri, Bala muncul kembali seolah-olah isyarat yang boleh membawa bala kepada Najib. Dalam wawancara yang disiarkan dalam you tube, Balasubramaniam mendakwa Nazim adik kepada najib dan beberapa individu lain, bertindak sebagai proksi Najib, bagi memaksanya menarik balik akuan bersumpah pertamanya.Beliau juga mendakwa ditawarkan RM5 juta oleh Nazim dan individu lain yang dikaitkan dengan kes tersebut.Akuan bersumpah itu, yang diumumkan 3 Julai tahun lalu, mengandungi dakwaan yang Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya Shaariibuu - kenyataan yang dinafikan Najib kemudiannya.Balasubramaniam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu dalam tempoh 24 jam dalam situasi yang meragukan dan meninggalkan negara bersama anggota keluarganya.


Pengakuan dan pendedahan Bala disiarkan di pelbagai portal berita dan blog termasuk dalam akhbar (pastinya bukan pro Umno@BN). Bermakna cerita ini sudah berlegar di seluruh negara dan serata dunia. Najib diaib dan dimalukan di seluruh dunia. Imej Malaysia turut dipalit dan dipandang serong oleh seluruh masyarakat dunia. Tetapi yang peliknya baru semalam Najib menafikannya! Adakah dengan menafikan penglibatan beliau maka dakwaan tersebut boleh dilupakan begitu sahaja? Adakah dengan menafikannya maka beliau kini telah suci dan bersih dari segala dakwaan, persepsi dan pelbagai reaksi negatif?


Adalah wajar Najib mengambil tindakan saman atau mengheret P. Balasubramaniam ke mahkamah untuk membersihkan nama beliau seperti yang dilakukan atas Raja Petra. Najib perlu membersihkan dirinya kerana beliau merupakan Perdana Menteri negara ini. Kalau tak dapat dapat heret Bala ke mahkamah, sekurang-kurangnya Najib perlu buat akaun bersumpah seperti yang dilakukan oleh Bala. Jika sekadar nafi macam tu je, maka sebenarnya ia makin menguatkan sangkaan dan persepsi serta cakap-cakap belakang bahawa Najib memang terlibat dalam tragedi itu.


SPRM: PENGARAH BARU DASAR LAMA


Akhirnya Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said 'bersara' awal bermula Januari ini dan bakal digantikan oleh timbalannya. Sepatutnya kontrak beliau tamat pada Mei 2010 tetapi 'diawalkan' pada Januari 2010. Bukan sekali Ahmad Said didesak meletak jawatan tetapi dan acap kali. Semua ini kerana slogan beliau kononnya untuk membawa imej dan dimensi baru kepada SPRM sewaktu mula-mula dilantik hanya slogan dan omong-omong kosong. Siasatan dan dakwaan terpilih terus kekal menjadi imej SPRM seolah-olah menjadi jurucakap dan komponen kepada Umno@BN. Era Ahmad Said sebagai pesuruhjaya SPRM seperti mengulangi episod hitam pengerusi BPR/SPRM sebelum ini yang diheret dan didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Lantiklah siapa pun menjadi pesuruhjaya SPRM, ia tidak membawa apa-apa makna dalam membendung penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini sebagai makna fungsinya. SPRM bukan sahaja perlu membuktikan dasar yang adil dan telus tetapi juga perlu dilihat bersih dan tidak dicurigai dari menjadi alat atau kuda tunggangan mana-mana pihak. Lihatlah apa yang berlaku kepada SPRM sebelum ini siasatan dan dakwaan terpilih seperti sudah menjadi identiti SPRM .Tragedi yang menimpa Teoh Beng Hock dianggap sebagai kemuncak kecurigaan masyarakat kepada SPRM.Apa pun keputusan bedah siasat kedua nanti, majoriti rakyat sudah ada jawapannya dengan menunding jari kepada SPRM sebagai dalang dan puncanya. Kenapa dan mengapa SPRM ada jawapannya.

Maka cabaran baru pesuruhajaya SPRM yang baru ialah membuat satu tindakan drastik dan dramatik untuk memulihkan kredibiliti untuk memulihkan keyakinaan dan kepercayaan rakyat.Mungkin mengambil semangat Hang Jebat, yang adil disembah yang zalim disanggah. Jika SPRM terus mengikut telunjuk dan seperti menjadi jurucakap pihak tertentu maka SPRM umpama bersalin pakaian baru, luar nampak cantik tetapi dalam seperti dulu. Maka jadilah SPRM dulu kini dan selamanya....

03 December 2009

HIMPUNAN SOKONG TGNA DI KOTA BHARU ESOK


Satu himpunan besar-besaran menyokong kepimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat akan diadakan esok. Himpunan ini anjuran Pas Kelantan dengan disokong oleh pelbagai pertubuhan dan NGO.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim himpunan itu akan diadakan di Bangunan Pas Kelantan serentak dengan kuliah Jumaat TGNA.

"Satu perhimpunan besar, yang lebih 10 kali ganda daripada apa (tunjuk perasaan) yang dianjurkan oleh sekumpulan tidak sampai 100 orang (dari gerakan Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan) akan didakan esok,"

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu menambah, usaha itu yang digerakkan pemimpin-pemimpin PAS negeri dengan sokongan beberapa NGO bertujuan menunjukkan kepada umum bahawa rakyat negeri Kelantan masih menyokong padu kepimpinan Nik Aziz yang kini berhadapan dengan siri kontroversi dan desakan agar meletakkan jawatan.

Agak-agak yang mana ramai himpunan penyokong Umno kelmarin dan himpunan menyokong kepimpinan TGNA esok? Rasanya semua dah tahu jawapannya. Kepada Umno Kelantan dan yang sewaktu dengannya usahlah bermimpi untuk tawan dan mengkucar-kacirkan Pas di Kelantan eloklah jaga baik-baik beberapa kerat Dun yang dimenangi. Jika mereka berterusan menghina TGNA sejarah pilihanraya 1990, Umno sifar di Kelantan tidak mustahil bakal berulang dalam pilihanraya umum akan datang.

Di Kelantan TGNA bukan hanya disanjungi dan disayangi orang Pas sahaja tetapi kepada majoriti besar rakyat Kelantan. Orang Kelantan masih lagi boleh bersabar dan berlembut jika mereka mencerca dan menghina pimpinan Pas Kelantan yang lain tetapi bukan TGNA. Tindakan mereka mengaibkan TGNA pasti sukar dimaafkan rakyat Kelantan yang telah lebih 20 tahun menikmati kesejahteraan dan kemakmuran di bawah kepimpinan TGNA.

02 December 2009

MAKKAL SAKTI: BARU TUBUH 2 BULAN DAH BERPECAH


Masih ingat lagi majlis perasmian penubuhan Parti Makkal Sakti yang disempurnakan oleh Dato Seri Najib Tun Razak. Semua tahu Makkal Sakti adalah kumpulan yang wujud dari Hindraf. Tidak dinafikan pengaruh Hindraf turut menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan yang ramai pengundi kaum India dalam pilihanraya umum lalu.

Apabila Makkal Sakti dirasmikan oleh Najib, maka ramai yang beranggapan bahawa ini merupakan peluang terbaik Umno@BN untuk kembali mendapat sokongan pengundi India setelah pergolakan dalam MIC. Kemenangan Umno di pilihanraya kecil Bagan Pinang dikatakan turut dipengaruhi sentimen pengundi India setelah wujud Makkal Sakti yang dikatakan menyokong Umno@BN.

Rupa-rupanya disangka panas sampai ke petang rupa-rupanya ribut petir disertakan hujan lebat di tengahari. Hari ini berlaku pergolakan besar dalam Makkal Sakti apabila wujud desakan supaya presiden yang ada R S Thanenthiran meletak jawatan.

Kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Presiden A Vathemurthy yang mendakwa menerima sokongan lebih 15 daripada 27 anggota Jawankuasa Pusat (CC) tidak mahu Thanenthiran memimpin parti ini lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy pada sidang di sini sebentar tadi.

Mesyuarat CC yang dijadual membincangkan usul menggugurkan Thanenthiran sepatutnya bersidang malam ini.

Tetapi Setiausaha Agung R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Vathemurthy berkata majoriti anggota CC dan ahli akar umbi jelas sudah tiada keyakinan ke atas kepimpinan Thanenthiran.

“... dan merasakan bahawa kepimpinannya yang berterusan sebagai presiden adalah satu ancaman teruk kepada kestabilan, kemajuan dan masa depan bagi Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru ditubuhkan dan bagi masyarakat India Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau pada sidang media di sini.

Seramai 12 daripada anggota CC yang beliau dakwa menyokongnya hadir pada sidang media hari ini.

Nampak gayanya semua parti yang menyertai BN kini sudah kena badi dan dimakan sumpah. MCA sedang bercelaru, MIC dah lama haru biru, Gerakan dah lama dah tak sebulu kini Makkal Sakti pula masuk regu.


LEBIH 5 RIBU DEMO DESAK TGNA LETAK JAWATAN.......

Laporan Berita Harian :

Kira-kira 1,000 orang yang mendakwa mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk Kota Darul Naim di sini bagi mendesak Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung satu kenyataan kontroversinya baru-baru ini.

Laporan Kosmo :

Kira-kira 1,000 orang yang mendakwa mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk Kota Darul Naim di sini bagi mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung satu kenyataan kontroversinya baru-baru ini.

Laporan Metro:

Lebih 1,000 rakyat Kelantan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan berhimpun di pekarangan pejabat Menteri Besar di Kota Darul Naim semalam.

Laporan The Star Online :

Kira-kira 1,000 orang yang mendakwa mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk Kota Darul Naim di sini bagi mendesak Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung satu kenyataan kontroversinya baru-baru ini.

Jadi jumlahkan semua sekali mesti lebih 5 ribu orang. Itu belum masuk laporan NST dan akhbar lain dan semua portal dan blog silap-silap lebih 100 ribu orang. Tapi melihat jumlah di bawah ini agak-agak berapa orang ye yang hadir demontrasi semalam? Kalau laporan angka yang hadir demontrasi pun menipu bagaimana nak pertikaikan kredibiliti TGNA yang telah 20 tahun mentadbir Kelantan.



01 December 2009

LAPORAN SIASATAN TRAGEDI KUALA DIPANG: BATU YANG DIPERSALAHKAN?


Akhirnya laporan siasatan tagedi jambatan runtuh di Kuala Dipang yang mengorbankan tiga nyawa yang mengikuti perkhemahan di Pusat Ko Kurikulum Negeri Perak diumumkan hari ini. Laporan siasatan itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang juga pengerusi Jawatankuasa Siasatan.

Tetapi laporan yang diumumkan itu tidak menyatakan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan di sebalik tragedi berkenaan. Sebaliknya laporan itu lebih menyentuh aspek teknikal yang orang asli di perkampungan Kuala Dipang pun tahu puncanya. Antaranya laporan tersebut menyebut,

Kejadian berpunca daripada kegagalan blok konkrit tambatan di “Pylon A” untuk menampung beban tambahan dari “back-stayed cable”. Menurut jawatankuasa itu, jambatan yang dibina hasil sumbangan pihak swasta itu tidak berasaskan kepada kod rekabentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata berdasarkan perkiraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beban hidup di atas jambatan yang mampu ditanggung oleh blok tambatan sedia ada hanya 0.08 kN/m atau maksimum murid yang boleh ditanggung hanya lapan orang (dengan beranggapan berat seorang murid 35kg).

"Kementerian Pelajaran Malaysia akan mendapatkan pandangan dari Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Jabatan Peguam Negara dalam menentukan tindakan yang wajar diambil terhadap pihak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepatutnya Jawatankuasa itu mesti mengumumkan kontraktor yang terlibat dengan projek berkenaan. Difahamkan pihak kontraktor 'menghadiahkan' jambatan gantung yang runtuh itu sebagai 'sumbangan' kepada Jabatan Pelajaran Perak. Kenapa kontraktor berkenaan amat bermurah hati menghadiahkan jambatan maut itu? Pastinya kontraktor itu telah mengaut laba yang banyak sehingga begitu pemurah menghadiahkan jambatan itu.Perlu diumumkan berapa kos pembinaan jambatan gantung itu dan kos tender yang diperolehi oleh kontraktor membina pusat kokurikulum. Perlu didedahkan berapa banyak lagi kontraktor berkenaan mendapat projek lain yang melibatkan kerajaan Perak dan Jabatan Pelajaran. Jika ia kontraktor yang sama ada kemungkinan banyak lagi nyawa yang bakal terancam.

Pengumuman siasatan tragedi ini sebenarnya menimbulkan lebih banyak misteri seolah-olah ada pihak tertentu yang cuba diselamatkan dan dilindungi. Siasatan ini tidak merungkai masalah tetapi makin menambahkan kekusutan.

30 November 2009

APABILA MAHATHIR KATA UMNO BUSUK SEHINGGA KE USUSNYA...


Tun Dr. Mahathir menyifatkan Umno kini kian parah dan digambarkan 'busuk hingga ke ususnya'. Apa benda yang ada dalam usus tu? Tak lain dan tak bukan ialah segala kotoran yang meloya dan menjijikan. Bila sebut benda busuk ini saya teringat kepada bekas guru saya Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad atau saya panggil Cikgu semasa di USM dulu. Dalam era Mahathir sebagai Perdana Menteri beliau menghasilkan sebuah buku berjudul 'SHit'. Ketika itu riuh rendah seluruh negara terutama di kalangan pemimpin Umno yang menuduh Shanon sebagai penulis yang tidak beretika dan menulis sesuatu yang dianggap jijik dan kotor. Maka pelbagai celaan dan tohmahan dilemparkan sehingga wujud desakan agar gelaran Sasterawan Negara ditarik balik. Bagi mereka yang pernah membaca novel berkenaan sedar 'shit' dan 'kepala shit' yang dimaksudkan oleh Shahnon adalah merujuk kepada pemimpin Umno ketika itu.

Kini setelah lebih 10 tahun novel Shit ditulis barulah Dr. Mahathir mengakui bahawa 'shit' memang wujud dalam Umno...Mereka menyertainya untuk kepentingan dan agenda peribadi. Cantas mencantas dan gila kuasa serta menindas dan menipu rakyat. Kalau tidak mana mungkin perasuah dan mereka terlibat dengan skandal boleh dilantik dan dimuliakan dalam Umno.

Hanya benda benda busuk yang menjijikkan sahaja yang sanggup dan mampu tinggal di dalam usus. Biasanya yang duduk dalam usus lambat laun akan keluar atau terkeluar dan tempatnya tak lain dan tak bukan dalam loji kumbahan yang perlu dirawat dan dikitar semula.

INUL DIBENARKAN GOYANG GERUDI KETIKA UMAT ISLAM NEGARA INI MENYAMBUT AIDIL ADHA

Aksi goyang gerudi Inul ketika umat Islam di Malaysia sedang menyambut Aidiladha

Akhirnya cita-cita Inul Daratista untuk membuat goyang gerudi di Malaysia tertunai ketika umat Islam di negara ini sedang menyambut Hari Raya Aidiladha dan menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as.

Bertempat di KL Live, Life Centre, Jalan Sultan Ismail, semalam Inul mengoyangkan 360 darjah gerudinya yang memukau kira-kira 5,000 penonton. Persembahan itu diadakan secara percuma kononnya untuk pekerja Indonesia di negara ini.

Tiket percuma dan terhad kepada warga Indonesia bukan isunya. Isunya, ia diadakan di negara ini ketika umat Islam sedang menyambut Aidiladha. Persembahan Inul yang terkenal dengan imej aksi goyang gerudi dengan kelucahan melampau ternyata menghiris hati dan perasaan umat Islam di negara ini. Siapa yang membenarkan persembahan itu diadakan di negara ini? Adakah kerajaan 1Malaysia yang diterajui Umno yang mendakwa mereka parti Islam tidak mengetahui bahawa Majlis Ulama Indonesia sendiri telah memberi fatwa bahawa goyang gerudi adalah haram? Kenapa ulama Umno yang mengampu pemimpin mereka dalam isu doa Tuan Guru Nik Aziz senyap seolah-olah buta dan tuli dalam isu goyang gerudi ini? Adakah mereka sudah jumpa fatwa dan hujah yang menghalalkan dan mengharuskan goyang gerudi ini?

Adakah dengan membenarkan Inul membuat konsert di negara ini semalam merupakan salah satu syarat pengorbanan yang menjadi tuntutan dan ajaran Islam.?Jika itu syaratnya, maka dengan konsert ini semalam lengkaplah 'rukun' korban yang dilakukan oleh pemimpin Umno untuk tahun ini.


29 November 2009

BERDOA PUN PERLU TAULIAH?


Senyap sekejap isu tauliah yang membabitkan bekas Mufti Perlis, Ustaz Dr. Asri Zainal Abidin. Kini timbul pula isu doa yang melibatkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hari ini pemimpin Umno dan 'ulama' Umno mempertikaikan doa TGNA terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno agar dibinasakan Allah jika mengkhianati rakyat Kelantan dalam isu tuntutan royalti.

Ikut suka TGNA nak doa kepada Allah SWT, yang pemimpin Umno sibuk-sibuk apa pasal? Dalam era 1Malaysia bukan sahaja tokoh agama perlu tauliah nak berceramah, nak berdoa pun kena dapat tauliah dari Umno dulu!

NAJIB DAN UMNO TAK PERLU TAKUT DENGAN DOA TOK GURU


Perdana Menteri Dato Seri Najib dan Umno tidak perlu risau dengan doa Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tak perlulah Datuk Hishamudin gundah dengan menuduh tindakan TGNA tak masuk akal.Jika mereka berada di pihak yang benar mereka tak perlu bimbang dan risau. Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya. Tetapi jika mereka menipu, merampas hak rakyat Kelantan dan terus menindas rakyat maka patut bersedia menanti akibatnya. Doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT.

28 November 2009

Ayah Kickdefella ialah Kolonel Mat yang Dimaksudkan TGNA?


Blogger Kickdeflla atau Syed Azidi Syed Aziz mengesahkan bahawa ayahnya yang juga kolonel bersara Syed Abdul Aziz Syed Razak yang juga dikenali sebagai 'Kolonel Mat' adalah individu yang dimaksudkan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai perancang konspirasi menjatuhkan kepimpinan Tuan Guru. Berita lanjut sila baca dalam Malaysian Insider.