31 July 2009

ADUN PAS PERMATANG PASIR MENINGGAL DUNIA


Adun Pas Permatang Pasir Dato Hamdan Abd. Rahman, 60 tahun meninggal dunia kira-kira jam 6.30 pagi tadi di Institut Jantung Negara. Beliau merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang dan satu-satunya wakil rakyat Pas di DUN Pulau Pinang.

Baru-baru ini sempenan Hari Lahir TYT Pulau Pinang beliau dianugerahkan gelaran kerajaan negeri yang membawa gelaran Datuk.

Beliau merupakan tokoh dan aktivis Pas yang banyak menyumbang kepada Pas, masyarakat selama menjadi wakil rakyat tiga penggal berturut-turut. Ini bermakna satu pilihanraya kecil bakal diadakan di Permatang Pasir yang terletak dalam Parlimen Permatang Pauh.

Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham dan ditempatkan di kalangan para anbiya' syuhada dan mereka yang beramal solleh. Al-Fatehah...

FATWA ISA: SOKONG TAK BOLEH, BANTAH PUN TAK BOLEH


Amaran demi amaran dikeluarkan agar tidak menghadiri himpunan aman 1 Ogos esok. Himpunan aman membantah dan menyokong ISA. Dari Menteri sehinggalah yang pangkat bawah-bawah terus mengertak dan mengancam kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam himpunan tersebut

Inilah uniknya Malaysia, ISA begitu 'berdaulat' kepada kerajaan 1Malaysia. Sokong tak boleh bantah lagilah tak boleh. Maknanya rakyat Malaysia kena berkecuali, duduk ditengah-tengah berkaitan ISA ini. Biasanya yang duduk ditengah adalah orang neutral tidak memihak mana-mana. Kalau dalam pilihanraya dipanggil golongan atas pagar. Tetapi masalahnya ISA ni tak pula berkecuali atau neutral atau lebih tepat lagi bersikap adil. Sentiasa dilihat berat sebelah, kadang-kadang condong kekiri dan ada kalanya kekanan. Biasanya lebih condong kekiri.

Oleh itu kepada mereka yang hadir pada himpunan esok disarankan agar duduk di tengah-tengah di antara kumpulan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pro ISA. Mungkin cara ini anda akan selamat dari gas pemedih mata, hujan asid dan belaian dari rotan dan belantan FRU. Kalau anda ditahan polis, beritahu sahaja anda berada dalam golongan 'atas pagar atau berkecuali'. Apa-apa hal, tanggung le sendiri...Selamat mencuba.

30 July 2009

PEGAWAI ALI RUSTAM DIDAKWA DI MAHKAMAH KERANA RASUAH

Seorang pengarah unit di Jabatan Ketua Menteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, petang ini atas tuduhan mengemukakan tuduhan palsu sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dua tahun lalu.

Johari Yusof, Pengarah Rumahku Syurgaku didakwa mengemukakan satu invois bernombor 0054 atas nama AR Karisma Enterprise, yang beliau mempunyai kepentingan dan mengandungi butiran matan palsu pada 8 Mei 2007

Invois berkenaan adalah untuk kerja penyediaan pakej persembahan dan peralatan teknikal Malam Sinar Maulidurrasul pada 1 April 2007 sempena Ekspo Perdagangan Islam 1428H di pekarangan Masjid Al-Azim di Bukit Palah, dekat sini.

Rumahku SyurgaKu adalah satu unit di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka yang bertanggungjawab melaksanakan program berbentuk keagamaan dan kekeluargaan di negeri ini.

Apa nak pelik kalau pegawai di bawah Ketua Menteri Melaka dituduh rasuah. Bapa borek anak rintik. Siapa yang tak kenal Ketua Menteri Melaka? Satu-satunya Ketua Menteri dalam dunia yang terang-terang didapati rasuah tetapi masih lagi disanjung dan dikekalkan sebagai Ketua Menteri. Mungkin inilah salah satu rukun 1Malaysia: Rasuah didahulukan, perasuah diutamakan...

29 July 2009

MELAKA MENCATAT KEMATIAN PERTAMA H1N1


Seorang wanita berumur 20 tahun merupakan kes kematian pertama H1N1 di Melaka.Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican juga berkata kes tempatan itu dimasukkan ke hospital Besar Melaka Ahad lalu, 10 hari selepas dijangkiti virus tersebut. Mangsa dikenali Nur Syazwana Ramli(Gambar Allahyarhamah yang ditunjukkan bapanya) dari Taman Chempaka, Peringgit Melaka.

Bercakap di Putrajaya hari ini, Dr Mohd Ismail menambah wanita itu mengalami masalah kegemukan dan mati akibat radang paru-paru atau pneumonia.

Sehingga hari ini hampir lebih 100 kes H1N1 direkodkan di Melaka yang menyebabkan 15 Intitusi Pendidikan seperti UiTM, Politeknik, Pusat Latihan dan sekolah yang diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan.

BERANIKAH MAJLIS FATWA KEBANGSAAN KELUARKAN FATWA TENTANG ISA?


Pelbagai pihak mendesak agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung dengan ISA. Terbaru bekas mufti Perlis Dr. Asri Zainal Abidin menggesa pihak Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa kerana terlalu banyak pihak menggesa agar badan itu menyatakan pandangan dan pendiriannya.

Saya yakin, selagi Umno@BN menguasai kerajaan, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak akan berani menggeluarkan fatwa berkaitan ISA. Tetapi percayalah jika ada permintaan dari Umno@BN tentang fatwa memegang lilin oleh Datuk Seri Ir Nizar Jamaludin semasa sidang akhbar lalu itu tak menjadi masalah. Nak tahu kenapa...Fikirlah sendiri...Kalau tak faham pun buat-buat le faham. Sekian dimaklumkan.....

SEMALAM PUJI MELAMBUNG HARI NI KUTUK BERGULUNG

Semalam pemimpin Umno@BN dan media milik mereka yang sewaktu dengannya puji melambung dan menggunung kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas. Semua ini hanya kerana kesedian Tuan Guru menghulur tangan untuk 'berdamai' di antara kerajaan negeri dan Pusat yang disalah mengertikan sebagai kerjasama Pas dan Umno.

Tetapi apabila Tuan Guru menjelaskan 'perdamaian' ini hanya melibatkan hubungan kerajaan negeri dan pusat dan tidak sama sekali Umno-Pas ramai pemimpin Umno@BN yang melenting. Salah siapa? Mereka yang sengaja memesong fakta dan kenyataan bahawa Tuan Guru hendak kembali berbaik-baik dengan Umno. Hakikatnya mereka sendiri sedari bahawa bukan itu maksud Tuan Guru. Tuan Guru menyifatkan Umno seperti orang yang bercinta bertepuk sebelah tangan umpama Laila dan Majnun. Kemudian diulas oleh rakan-rakan bloggers sebagai gila talak.

Mereka menyalahkan Tuan Guru dan sengaja membesar-besar dan mereka cerita episod baru hubungan Pas-Umno. Tuan Guru dengan tegas memberitahu 'pergi jahaham dengan Umno"! Bahasa Tuan Guru kasar? Mereka melabel Tuan Guru tak boleh dilayan dan tidak berstatus ulama dengan kenyataan demikian. Kemudian diulas oleh ulama 'terompah kayu' bahawa kenyataan yang tak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang berstatus ulama.

Mereka mungkin membaca Al Quran tapi tak faham tentang konsep dan uslub atau pendekatan yang diajar oleh Allah SWT dalam Al Quran. Pernahkah 'ulama terompah kayu' dan pemimpin Umno ini bertemu dengan surah Al Lahab contohnya ayat 1 dengan maksud ' Celakalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa"...Itu pun susah nak faham ke? Apa kita nak kata apabila Allah SWT memulakan ayat ini dengan perkataan celaka? Ulama terompah kayu tolong ulas.

Semua ini menunjukkan bahawa Umno@BN semakin tertekan dan terdesak sehingga sanggup memanipulasi dan memutar belit kenyataan Tuan Guru untuk kepentingan politik dan mengalih isu dan mendapat sokongan rakyat yang semakin menjauhi mereka. Jelas Umno@BN semakin kering isu dan tandus modal untuk kembali mendapat sokongan rakyat.

28 July 2009

INGATAN BUAT SEMUA PESERTA GMI


Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Muhamad Sabtu Osman mula mengertak peserta Himpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pro ISA supaya membatalkan hasrat mereka untuk mengadakan himpunan aman pada 1 Ogos ini.

Kepada semua peserta himpunan khususnya GMI yang bakal dijadikan sasaran berbanding Pro ISA agar merancang dengan teliti himpunan yang bakal diadakan. Polis seperti biasa sudah pasti akan cuba menggagalkan himpunan ini. Lebih-lebih lagi himpunan besar-besaran ini adalah yang pertama selepas Datuk Seri Najib dilantik sebagai Perdana Menteri. Di samping menguji Datuk Hishamudin sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

Himpunan 1 Ogos ini pasti akan 'dimanafaatkan' untuk memulihkan imej kerajaan khususnya Umno dan parti komponennya yang semakin tercalar dengan pelbagai isu yang mengundang kritikan dan menghakis keyakinanmasyarakat.

Saya menggesa agar semua peserta GMI tidak menggunakan bas atau van yang disewa khas untuk datang ke ibu negara. Sebaliknya mereka boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas ekspres, keretapi dan jalinan sistem monarail,LRT, Putra LRT dan Komuter untuk memasuki pusat bandaraya. Langkah itu terbukti lebih berkesan di samping dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas akibat sekatan jalaraya yang dilakukan. Kecualilah semua perkhidmatan pengangkutan awam ini dihentikan buat sementara. Tapi itu agak mustahil memandangkan sistem pengangkutan awam ini menjadi nadi kepada penduduk Kuala Lumpur. Ternyata penggunaan pengangkutan awam menyebabkan pihak polis terpinga-pinga dengan kehadiran dan kebanjiran peserta himpunan BERSIH sebelum ini walaupun semua laluan masuk dibuat sekatan.

Saya yakin Himpunan ini akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan kecuali ada pihak tertentu yang memang sengaja diupah atau diarahkan untuk mewujudkan provokasi dan suasana tidak terkawal.

27 July 2009

BANJIR LAGI!

Air telah mulai surut tetapi hujan kini kembali berterusan

Hujan lebat kira-kira tiga jam menenggelamkan beberapa tempat di Melaka. Antara tempat yang dinaiki air ialah beberapa tempat di Merlimau,Kampung Sungai Putat Taman Chempaka, Kampung Durian Daun dan Kampung Musai. Manakala di Taman Merdeka dan Taman Angkasanuri penduduk di tempat berkenaan panik seketika apabila air naik secara tiba-tiba walaupun hujan turun dalam masa yang singkat.

Ini telah menimbulkan kebimbangan penduduk yang bergegas menyelamatkan kenderaan dan barang berharga. Walau bagaimanapun air mulai surut beberapa jam kemudian. Ini membuktikan bahawa projek Tebatan Banjir di Sungai Melaka berhampiran Taman Merdeka yang menelan kos jutaan ringgit gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasan berhampiran.

"Kalau hujan lebat dalam tiga jam dah nak tenggelam, agaknya macam mana kalau hujan tiga hari tak berhenti macam banjir dulu" Menurut seorang penduduk Taman Angkasanuri merujuk banjir besar yang melanda pada penghujung tahun 2006.

Rayuan saya kepada kerajaan Melaka yang dipimpin oleh Datuk Seri Muhamad Ali Rustam, beri keutamaan kepada projek mengatasi banjir dahulu dan bukannya projek pelancongan atau pembangunan lain yang kurang penting di Melaka.Apa guna kerajaan berbangga dengan projek Tambak laut dan pelbagai produk pelancongan baru kalau rakyat sendiri hidup menderita dan sentiasa kebimbangan.

Menurut seorang penduduk lagi, pembinaan dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam juga dikatakan menjadi penyebab mengapa air naik dengan tiba-tiba apabila pembinaan lapangan terbang berkenaan telah menghalang laluan air dari longkang utama.

"Mungkin hujan lebat yang luar biasa ni nak 'menyamak' wabak H1N1 yang semakin menjadi-jadi di Melaka sekarang ni" menurut seorang penduduk yang enggan dikenali namanya.

Sehingga kini hujan telah kembali turun tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

air sungai Melaka yang telah melimpah dari tebatan yang dibina

26 July 2009

GILIRAN CHUA SOI LEK KELUAR DARI MCA?


Perpecahan yang berlaku dalam MCA dilihat semakin kronik apabila Datuk Ong Tee Keat berpatah arang dengan timbalannya Datuk Chua Soi Lek. Isu ini bermula dari pemilihan MCA lalu dan terus berlarutan apabila Ong Tee Keat menggunakan kuasanya sebagai presiden dengan membuka kembali kes 'VCD Terlampau" Chua Soi Lek di peringkat jawatankuasa disiplin parti.

Sehingga hari ini masing-masing saling tuduh menuduh dengan dakwaan cuba menjatuhkan di antara satu sama lain. Saya yakin Chua Soi Lek tidak mampu bertahan lama dalam MCA dan tidak mustahil beliau kemungkinan akan mengumumkan keluar dari parti. Tetapi parti mana yang sanggup terima Chua Soi Lek? Sekiranya Chua Soi Lek ingin menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat saya harap jangan sekadar fikir dua tiga kali tetapi kena fikir 1001 kali! Biarlah Chua Soi Lek menubuhkan parti baru atau pun menjadi parti bebas.

25 July 2009

LAGI PUKULAN TKO UNTUK UMNO@BN

Umno@BN menerima pukulan TKO seterusnya hanya kira-kira seminggu selepas bekas Naib Presiden MCA Dr Chua Jui Meng menyertai PKR minggu lalu. Hari ini Datuk SS Subramaniam bekas ahli Parlimen Segambut, 20 tahun menjadi Naib Presiden MIC secara rasmi mengumumkan menyertai PKR dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Medan peatang tadi. Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Politik Malaysia dijangka akan terus digegarkan lagi dengan berita bahawa dalam tempoh terdekat seorang lagi pemimpin kanan Umno bakal menyertai PKR. Sekiranya berita ini menjadi kenyataan Umno@BN bukan sekadar menerima pukulan TKO tetapi KO!

H1N1: KINI SUDAH 10 DI MELAKA DITUTUP!


Wabak H1N1 terus menimbulkan misteri dan suasana membimbangkan apabila hanya 'berminat' dengan institusi pendidikan di Melaka. Semalam, ILP Bukit Katil, Pusat Latihan Kemas Bukit Katil dan SMK Teknik Bukit Katil memasuki senarai ke 10 institusi pendidikan di Melaka yang diarahkan tutup akibat wabak Demam Selsema Babi(H1N1).

Secara kebetulan, lapan dari sepuluh institusi pendidikan yang ditutup terletak dalam kawasan Parlimen Bukit Katil yang Ketua Bahagian Umno dan juga Ketua Menteri ialah Datuk Seri Muhd. Ali Rustam. Tetapi sehingga hari ini saya belum lagi mendengar atau melihat sebarang kenyataan atau tindakan Ali Rustam berkaitan dengan wabak berkenaan. Ke mana menghilang dan menyepi Ali Rustam ketika wabak ini melanda?

Dalam hal ini saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa Kementerian Kesihatan dan agensi dibawahnya seperti Hospital Besar Melaka , Poliklinik dan Klinik yang bertungkus lumus siang dan malam bagi menangani wabak ini yang sehingga kini telah mencatat 70 kes di Melaka.

24 July 2009

AWASI PROVOKASI DAN SABOTAJ KUMPULAN PRO ISA


I Ogos ini akan mencatat sejarah kerana jika tidak ada aral melintang dua pihak yang berbeza dalam isu yang satu akan berdemontrasi. Tetapi dengan haluan yang berbeza, prinsip yang bertentangan umpama langit dengan bumi.Dua kumpulan ini melibatkan dua kumpulan anti ISA dan penyokong ISA.

Kumpulan anti ISA diterajui oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang mendapat sokongan padu dari semua komponen dalam Pakatan Pakyat serta 83 NGO seluruh negara. Dikhabarkan Gerakan akan turut sama dalam demontrasi membantah ISA.Pemimpin tertinggi pakatan Rakyat awal-awal lagi mengesahkan akan turut serta.

Manakala penyokong ISA terdiri daripada beberapa NGO yang menamakan diri mereka PEWARIS, PERKASA yang pastinya penyokong UMNO@BN.

Namun begitu saya melihat seperti ada sesuatu yang bakal berlaku pada perhimpunan 1 Ogos nanti. Kenyataan-kenyataan daripada penyokong ISA seperti pakar lompat Datuk Ibrahim Ali membayangkan bahawa akan berlaku huru-hura pada himpunan 1 Ogos nanti. Adakah ini tujuan mereka? Pakatan Rakyat yang selama ini sering terlibat pelbagai demontrasi yang kadang-kadang mencecah ratusan ribu penyokong tidak pernah pun sekali membayangkan akan berlaku huru-hara dalam demontrasi yang dianjurkan. Sebaliknya pihak polis dan FRU yang sering melakukan provokasi dengan melepaskan gas pemedih mata dan air asid kepada peserta demontrasi kononnya mengawal keselamtan ( sebenarnya mengawal pemimpin Umno@BN).

Tetapi pihak pro ISA awal-awal lagi membayangkan akan berlaku huru-hara dan suasana tidak terkawal. Saya mengingatkan kepada semua yang terlibat dalam himpunan mansuhkan ISA agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang provokasi. Mungkin himpunan ini akan 'dibenarkan' oleh pihak polis agar berlaku pertembungan di antara dua pihak. Bila keadaan tidak terkawal maka senanglah pihak polis menggunakan sebagai alasan untuk mengheret pemimpin Pakatan Rakyat khasnya dan tidak mustahil dalam agenda Operasi lalang 2.

H1N1: DUA LAGI INSTITUSI PENDIDIKAN DI MELAKA DITUTUP


Wabak Demam Selsema Babi H1N1 semakin merebak di Melaka apabila hari ini dua buah lagi institusi pendidikan di Melaka di tutup iaitu IKM Jasin dan Institut Kota. Apa yang lebih merunsingkan ia melibatkan institusi pendidikan yang menjejaskan kira-kira 10,000 pelajar di negeri ini.

Sebelum ini, UiTM Lendu Jasin, Institut Perguruan Guru Kampus Perempuan Melayu, Kolej Yayasan Melaka, Kolej Profesional Mara dan sekolah Kejururawatan Nilam termasuk dalam senarai yang dilanda wabak H1N1.Ini bermakna sudah tujuh buah institusi pendidikan di Melaka telah ditutup.

Sehingga hari ini 70 pelajar dari institusi berkenaan disahkan positif H1N1 yang sembilan daripadanya dirawat di hospital.

ZAMBRY KENA PUKULAN TKO DARI TOK GURU NIK AZIZ

Sehari dua ini Menteri Besar Mahkamah, Datuk Zambry Abdul Kadir menunjukkan kehebatannya dalam soal agama dengan meminta fatwa dari Dewan Ulama Pas tentang isu Menteri Besar Rakyat, Datuk Seri Ir Nizar Hj. Jamaludin memegang lilin berkaitan kematian Teoh Beng Hock. Sejak bila Umno berpegang dengan 'fatwa' Dewan Ulama Pas? Adakah ini satu pengiktirafan kepada Dewan Ulama Pas? Bersediakah Umno dengan 'fatwa' Pas sebelum ini bahawa Umno parti sekular, agama suku politik suku? Bersediakah Umno untuk gazetkan 'fatwa' Pas bahawa Umno menolak dan menghina Islam? Menentang hukum Islam dan bersubahabat dan bertanggungjawab luluskan lesen judi arak serta tempat maksiat di negara ini? Jawapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat terhadap permintaan Zambry ternyata ibarat senjata makan tuan.

"Zambry ni orang politik bukan orang yang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun dia tak pakai, lagi pun keluar fatwa ni tugas mufti," ujarnya ketika diminta mengulas kenyataan Zambry yang memintanya mengeluar fatwa berhubung isu memegang lilin.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2009 di Dataran Warisan di sini semalam.

Menteri Besar Perak sebelum ini meminta ulama PAS mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Nizar memegang lilin ketika hadir pada satu majlis di Perak Jumaat lepas.

Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim hari ini menafikan majlis menyalakan lilin yang turut dihadiri beliau dan Nizar majlis berkabung memperingati kematian Teoh Beng Huat.

Menurutnya gambar tersebut merupakan majlis menyalakan lilin diadakan semasa sesi sidang media 17 Julai lalu bertempat di Wisma DAP Ipoh.

Idham juga menjelaskan amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun dan bukan amalan agama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sekiranya beliau dijemput masyarakat Hindu atau Cina ke tempat ibadat mereka, beliau akan bertanya terlebih dahulu adakah program keagamaan atau adat resam.

"Saya kata kalau soal agama saya tak boleh pergi, tetapi adat resam atau budaya saya boleh pergi.

"Tiap-tiap tahun anak cucu kita menyambut ulang tahun kelahiran mereka dengan memacak lilin atas kek mengikut umur.

"Kalau setahun sebatang lilin kemudian menghembuskan, jadi lilin ni digunakan sebagai satu perkara yang simbolik terhadap sesuatu perkara lain. Begitu juga dalam masalah yang diheboh sekarang ni," ujarnya.

Menurutnya Rasulullah saw menghantar surat pada raja-raja Mesir, Iran dan India menggunakan ayat al-Quran. Saya juga teringin nak minta fatwa dari Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria apa hukumnya tiup lilin sempena sambutan Hari lahir seperti di bawah ni.



Apa pula komen 'ulama-ulama' di Majlis Agama Islam Melaka yang menganjurkan pertandingan 'panjut' atau pelita peringkat negeri Melaka sempena sambutan '7 likur' tahun lepas?

Bagaimana pula dengan gambar ini?

23 July 2009

EMPAT LAGI IPTA/S DI MELAKA HARI INI DITUTUP KERANA H1N1

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, hari ini 4 buah IPTA/S di Melaka diarahkan tutup sementara oleh kementerin Kesihatan sehingga 30 Julai kerana terdapat pelajarnya yang positif penyakit Selsema Babi H1N1. Antara yang terlibat ialah Kolej Yayasan Melaka, Kolej Jururawat,Kolej Profesional Mara dan Institut Perguruan Perempuan Malaysia Kampus Perempuan Melayu.

Ini bermakna telah 5 buah IPTA/S di Melaka ditutup selepas UiTM Lendu Alor Gajah Melaka yang diarahkan tutup selama 9 hari pada minggu lepas.

Walau bagaimanapun usaha Kementerian Kesihatan mengawal wabak ini daripada terus merebak diragui memandangkan sehingga hari ini pihak kerajaan negeri masih terus membisu dan tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk bersama mengawal wabak ini. Misalnya aktiviti yang melibatkan orang ramai yang menyebabkan penyakit ini boleh menular dan tidak terkawal.

Misalnya segala aktiviti pelancongan, acara rasmi atau apa sahaja aktiviti yang boleh mendedahkan orang ramai kepada wabak ini. Misalnya dalam kekalutan wabak ini melanda, di Pasaraya JayaJusco sedang berlangsung hari JKard yang menyebabkan kesesakan luar biasa. Manakala pada 31 Julai ini rangkaian Pasaraya Parkson akan 'melawan' dengan menganjurkan hari Bonus Link untuk pelanggannya.

Dalam hal ini kerajaan negeri boleh mengeluarkan arahan agar aktiviti seumpama ini ditangguhkan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali tenang dan terkawal. Adakah kerajaan Melaka sanggup mengadai nyawa rakyat kerana bimbang aktiviti pelancongan di Melaka terjejas.?Adakah hendak menunggu sehingga ada yang terkorban baru hendak bertindak?

Semua pihak perlu merenung dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri bersikap 'lunak' dan 'mesra' kepada penternak dan pengusaha babi di Paya Mengkuang Melaka sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi dalam masyarakat.

22 July 2009

DEMO BESAR-BESARAN SOKONG POLIS DAN SPRM

Umno Bahagian Ampang hari ini berjaya menganjurkan demontrasi besar-besaran menyokong pasukan polis dan SPRM. Demontrasi tersebut diketuai oleh Datuk Ismail Kijo dan turut disertai komponen dalam Barisan Nasional bahagian berkenaan. Pelbagai sepanduk dinaikkan menyatakan sokongan kepada dua-dua badan berkenaan. Demontrasi ini dipercayai berkait rapat dengan imej SPRM dan polis yang tercemar berikutan kematian Teoh Beng Hock. Menurut Malaysiakini perhimpunan tersebut telah berjaya menghimpunkan kira-kira 60 orang peserta demontrasi.....
Apa komen Khairy Jamaludin yang panggil 'beruk' kepada peserta demontrasi BERSIH sebelum ini? Adakah ekonomi negara terjejas dengan demontrasi Umno ini? Adakah pelancongan negara juga terjejas dengan demontrasi ini? Berapa ramai pelabur yang lari dari negara dengan demontrasi ini?

PENGERUSI PASTI DAN MURID PASTI JASIN KEMALANGAN

Satu kemalangan berlaku semalam yang melibatkan dua orang murid Pasti Nurul Iman kawasan Jasin. Dalam kemalangan tersebut van yang dinaiki oleh murid Pasti Nurul Iman bertembung dengan sebuah kereta proton Wira yang dipandu oleh seorang tentera yang terbabas dari laluan kerana hilang kawalan. Pemandu proton Wira tersebut meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Jasin.

Kemalangan tersebut menyebabkan adik Norliyana 4 tahun kini berada dalam keadaan kritikal dan masih menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi. Manakala seorang lagi murid mengalami patah kaki dan telah dibenarkan keluar dari hosipital. Manakala bekas pengerusi Pasti Jasin, saudara Lokman yang memandu van berkenaan mengalami patah kaki kanan dan beberapa jari tangan serta mengalami luka-luka seluruh badan dan berada dalam keadaan stabil. Beliau kini ditempatkan di wad D4- 22 di Hospital Besar Melaka.

21 July 2009

APA TUJUAN ZAHID HAMIDI BERJUMPA EHUD BARAK DI PERANCHIS?


Masihkah kita ingat saudara seagama kita dalam tragedi yang berlaku pada hari Rabu 15 september 1982 di kem pelarian Kem Sabra dan Shatilla di Beirut, Lubnan? Beribu-ribu saudara seagama kita dibunuh tanpa belas kasihan oleh regim haram Zionis laknatullah.

Masihkah kita ingat apa yang berlaku pada awal tahun ini? Ribuan lagi umat Islam terdiri dari kanak-kanak, wanita serta orang tua kurang upaya yang menjadi mangsa dalam peristiwa berdarah dan menyayat hati seluruh umat Islam di seluruh dunia. Semuanya kerana kezaliman dan sikap kebinatangan tidak berhati perut regim haram Israel.

Maka seluruh dunia bangkit melancarkan demontrasi dan memboikot segala produk Yahudi. Di Malaysia tidak terkecuali malah pemimpin pembangkang dan kerajaan bersatu mengutuk kekejaman yang tidak berperikemanusiaan.

Tetapi, Datuk seri Zahid Hamidi Menteri Pertahanan seolah-olah melupakan itu semua apabila mengadakan pertemuan dan perbincangan selama 35 minit dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak dalam pertunjukan Udara di Paris Jun lalu. Pertemuan ini menyentap dan merobek perasaan umat Islam seolah-olah satu bentuk pengiktirafan kepada regim haram Israel. Sedangkan Allah SWT sendiri mengutuk bangsa Yahudi ini seperti dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 120.

Adakah Malaysia mula mengubah dasarnya terhadap Israel? Adakah ini satu usaha untuk perbincangan lebih serius pada masa akan datang? Sebagai Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi perlu menjawab dan menjelaskan tentang motif pertemuan tersebut kepada seluruh rakyat di negara ini.

KES BIASA YANG DISIASAT SECARA LUAR BIASA


Ketua Persuruhjaya SPRM, Datuk Seri Hamdan Said meminta agar semua pihak berhenti dari menunding jari kepada badan itu.

Beliau meminta agar kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk menyiasatnya.Menurutnya...

'Bukan kerja kami hendak sisat sampai buat (kematian) macam itu sekali, kes biasa sahaja'Katanya.

Kes biasa? Tetapi kenapa SPRM bertindak begitu luar biasa dalam kes ini? Menyerbu dan mengeladah bilik exco Selangor. Jika kes biasa kenapa perlu siasat dalam tempoh yang lama dari petang sehingga nak menjelang subuh? Adakah ada arahan istimewa atau memang kes ini biasa-biasa je?

20 July 2009

HARI INI GENAP 40 TAHUN KONONNYA MANUSIA JEJAK KAKI KE BULAN


Tanggal 20 Julai akan diingat kerana peritiwa angkaswan Amerika Neil Amstrong menjejak kaki ke bulan. Hari ini genap 40 tahun peristiwa tersebut berlalu.

Tetapi setelah 40 tahun berlalu tak ada lagi manusia menjejakkan kaki ke bulan? Agaknya teknologi yang diguna oleh Amerika untuk pada tahun 1969 masih tidak dapat ditandingi oleh kecanggihan teknologi hari ini. Sebab itulah agaknya manusia tidak lagi menjejak kaki ke bulan?

Jawapnya mudah je, manusia memang belum pernah menjejakkan kaki ke bulan. Cuma ketika itu kita ditipu hidup-hidup kerana kecetekan ilmu dan pengetahuan. Tetapi apabila melihat bendera Amerika berkibar-kibar ditiup angin serta bayang-bayang yang wujud dari angkasawan semuanya menjelaskan bahawa kita telah ditipu. Mana datangnya angin di bulan? Mana ada sinaran matahari yang membentuk bayang-bayang di bulan? Semua ini hanya propaganda Amerika yang kononya teknologi mereka lebih maju dari negara-negara lain.

Penduduk Malaysia juga yang beruntung kerana tak perlu pergi ke bulan kerana 'bulan' memang tengah mengambang di Malaysia sekarang. Semua tempat sama ada di bandar atau di pedalaman 'bulan' sentiasa kelihatan di mana-mana bagi menggantikan dacing yang semakin senget yang hanya menunggu masa untuk ditukar baru.

H1N1 MELANDA SEBUAH LAGI IPTA DI MELAKA


Wabak demam Selsema Babi H1N1 semakin menular di Melaka apabila sebuah lagi IPTA di Melaka pelajarnya disahkan positif H1N1. Sebelum ini kampus UiTM Lendu di Alor Gajah Melaka terpaksa ditutup sementara kerana wabak berkenaan.

Setakat ini enam orang pelajar siswi dari IPTA berkenaan disahkan positif H1N1 petang tadi manakala lebih 100 lagi pelajar dalam pemerhatian. IPTA tersebut terletak di tengah bandaraya Melaka. Maklumat lanjut akan menyusul.

19 July 2009

INI SOAL NYAWA BUKAN SOAL POLITIK!


Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa isu kematian Teoh Beng Hock dipolitikkan oleh Pakatan Rakyat merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dari seorang pemimpin.

Adakah nyawa seorang boleh ditukar ganti untuk kepentingan politik? Lainlah apa yang berlaku apabila kematian penuh tragis Altantuya yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin politik.

Muhyiddin berkata, Pakatan Rakyat cuba mengalih isu sisatan rasuah SPRM dengan membesar-besarkan kematian 'mengejut Teoh Beng Hock. Siapa yang cuba mengalih isu? Ternyata pemimpin Umno merasa tergugat dan terperangkap dengan jerat yang mereka sendiri pasang.Buktinya jelas,SPRM yang belum pun setahun jagung dilihat bertindak hanya mengikut telunjuk pemimpin Umno@BN. Apa perkembangan siasatan wang Balqis, salah guna peruntukan wakil rakyat Umno penggal lalu, hadiah mahal dan 'istana' Khir Toyo? SPRM lebih berminat dengan lembu dan apa sahaja yang melibatkan Pakatan Rakyat.

Semua ini seperti satu konspirasi terancang untuk menjatuhkan kerajaan pakatan Rakyat di Selangor dan di negeri-negeri lain. Tetapi kematian 'mengejut' Teoh Beng Hock menyebabkan segala perancangan dan tipu daya mereka terbongkar. Rakyat bangun menyatakan kemarahan menunding kepada Umno@BN sebagai punca tragedi malang ini berlaku.

Ternyata Umno@BN sebenarnya yang cuba mengalih isu kerana terperangkap dan terkepung dengan peristiwa ini. Isu ini pastinya akan mempercepatkan lagi tersungkurnya Umno dalam PRU akan datang.

18 July 2009

MACHESTER UNITED DAN MANEK URAI : DUA-DUA MENANG TIPIS


Sebelum ini negara kita demam dengan MU (Manek Urai). Ramai yang berspekulasi siapa yang akan menang dalam pilihanraya kecil berkenaan. Pas menjadi calon favourite di situ berdasarkan MU dikatakan kubu kuat kepada Pas. Ada yang meramal Pas akan menang mudah di MU. Segala-galanya dilihat memihak kepada Pas. Dari calon sehinggalah isu yang dibangkitkan. Maka ramai yang meramalkan Pas akan menang mudah di MU dengan prestasi lebih baik berdasarkan keputusan PRU yang lalu. Tetapi setelah selesai undi dikira pada 7 Julai lalu, Pas hanya menang tipis yang disifatkan nyawa-nyawa ikan dengan hanya meraih 65 undi majoriti.

Hari ini pula berlangsung perlawanan persahabatan di antara pasukan kelab gergasi England MU ( Machester United). Berdasarkan kekuatan dan reputasi ramai yang meramalkan pasukan hingusan Malaysia akan jadi mangsa ratahan MU. Ada yang meramalkan paling kurang pun 5 gol keatas. Tetapi sebaik sahaja wisel penamat ditiup, pemain dan pengurus MU merah padam muka kerana nyaris diaibkan oleh pasukan hingusan Malaysia. Itupun dengan gol kemenangan saat-saat akhir. Saya lihat ada masalah persefahaman dalam pasukan MU.Dalam bab ini saya mengucapkan syabas kepada pasukan Malaysia.

Dalam kes pilihanraya di MU (Manek Urai) dan perlawanan di antara MU (Machester United) dua-dua seolah-olah ada persamaan iaitu pilihan untuk pemenang hanya menang tipis? Dalam situasi di Manek Urai, jentera Pas mungkin gagal dari segi strategi dan teknik menghadapi serangan agresif pihak lawan. Pas juga berhadapan dengan persefahaman yang kurang mantap sewaktu di Manek urai sama ada dalam Pas sendiri atau dalam Pakatan rakyat. Begitu juga Machester United yang kelihatan gagal menggunakan strategi yang betul ketika di padang sehingga nyaris diaibkan. Mungkin pasukan MU hanya bermain separuh hati atau tidak bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, Pas menang tipis di Manek Urai tidak bermakna Umno kuat tetapi ada sesuatu yang perlu dilakukan 'post mortem' kenapa Umno hanya tewas tipis. Begitu juga dalam perlawanan MU-Malaysia petang tadi, MU tewas tipis tidak bermakna Malaysia sebuah pasukan yang kuat. Kalau kuat tentu tidak terperosok ke rangking berapa ratus tahh...Cuma semangat,kerjasama mantap dan serta strategi yang betul serta kelalaian pasukan MU dimanafaatkan sebaiknya.

Dalam hal ini, walaupun Pas dan pakatan Rakyat hari ini dilihat semakin kuat tetapi kelalaian dan kesilapan strategi boleh menjerat diri yang mungkin dapat dimanafaatkan oleh Umno@BN. Maka Pas dan Pakatan Rakyat perlu bijak menggunakan peluang untuk bersiap bagi menewaskan Umno@BN dalam PRU akan datang kerana UMN0@BN kini begitu lemah dan kini bukan lagi pilihan untuk menang dalam PRU akan datang.

BN SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA...

Kemasukan Dr Chua Jui Meng menyertai PKR merupakan satu tamparan yang cukup hebat kepada Umno@BN. Umno@BN bukan sahaja mengalami krisis keyakinan di kalangan rakyat bawahan tetapi mereka yang selama ini cukup setia kepada BN. Tempoh 23 tahun sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri, pernah menjadi Naib Presiden MCA dan menjadi menteri membuktikan bahawa Umno@@BN hari ini semakin hilang taring dan sengat.Rekod serta kesetiaan pimpinan Umno@BN hari ini semakin goyah dengan perkembangan yang berlaku.

Isu kematian 'mengejut'Teo Beng Hock, 30 tahun sudah cukup mengejutkan Umno@BN apabila reaksi spontan dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari dari Umno@BN dan pihak pembangkang yang semakin meluat dengan gelagat dan tingkah laku Umno@BN sepanjang lebih setengah abad memerintah negara.

Apa yang berlaku dalam negara tidak lagi boleh diterima sehingga menyebabkan rakyat bertindak berani bangkit menolak kepimpinan Umno@BN yang selama ini cukup selesa menerajui negara. Saya dapat merasakan akan ada lagi pemimpin Umno@BN mengikut jejak langkah Dr Chua Jui Meng untuk memacu Malaysia ke arah perubahan mewujudkan sistem pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan menjaga kebajikan rakyat.

17 July 2009

SELEPAS TAHANAN POLIS KINI TAHANAN SPRM PULA..


Jika sebelum ini kita sering kali mendengar berita tahanan polis 'mati mengejut' ketika berada dalam tahanan sewaktu masih dalam proses soal siasat. Itu belum lagi dikira tahanan yang mendakwa dibelasah dan 'dikerjakan' sewaktu berada dalam tahanan polis. Malah sebelum ini kita pernah mendengar tahanan wanita yang dibogelkan dan diminta ketuk ketampi dalam keadaan mengaibkan dan dirakam secara sulit untuk mendapatkan 'bukti'. Malangnya semua dakwaan dan bukti yang dikemukakan seperti kes A.Kugan akhirnya senyap begitu sahaja.

Semalam, negara digemparkan lagi tentang kematian 'mengejut' tahanan sewaktu sedang disoal siasat. Cuma kali ini bukan dalam tahanan polis tetapi sewaktu dalam soal siasat SPRM. Apakah ini satu lagi kes kematian 'mengejut'? Teo Beng Hock, 30 tahun (gambar) ditemui mati ketika berada di tingkat 14 pejabat SPRM di Shah Alam. Persoalannya bagaimana Teo boleh jatuh? Lebih malang, dia dijadualkan melangsungkan perkahwinannya hari ini. Bagaimana seorang yang berada di bawah kawalan SPRM boleh mati 'mengejut'? Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar awal-awal lagi mengklasifikasikan ia sebagai kematian 'mengejut'. Bagaimana beliau boleh membuat kenyataan 'mengejut' sebelum siasatan forensik dan bedah siasat belum lagi dilakukan?

Bagi saya, apa pun yang berlaku kepada Teo dalam hasil bedah siasat nanti, sama ada terjatuh, menjatuhkan diri atau dijatuhkan, SPRM perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana Teo berada di bawah kawalan dan siasatan SPRM ketika itu yang sedang menyisat kes berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan Exco Pakatan Rakyat Selangor. Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang membuat spekulasi berkaitan kematian ini kerana ini bukan kematian biasa tetapi mati 'mengejut'.

16 July 2009

SIAPA KATA PAS MEMERINTAH PELABUR TAK DATANG?


Pelabur lari, pelabur takut datang dan tak ada pembangunan merupakan sebahagian daripada slogan dan momokan Umno khususnya kepada orang kampung dan pengundi di Manek Urai baru-baru ini jika negeri atau negara di perintah oleh Pas atau Pakatan Rakyat.

Maka terhangguk-hangguk le pak cik dan mak cik terpesona dan termakan dengan propaganda yang dimainkan oleh Umno.Analisis awal kemenangan tipis Pas di Manek Urai salah satunya dikaitkan dengan janji projek dan pembangunan kepada penduduk di situ.

Namun, semalam perjanjian perjanjian pelaburan bernilai RM 35.7 bilion di antara kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Pas dan Merapoh Resources Corporation untuk membina loji penapisan minyak terbesar di negara ini seharusnya membuka mata semua pihak. Dalam keadaan kegawatan ekonomi yang menyaksikan ramai pelabur gulung tikar, kesediaan Merapoh Resources Corporation melabur dalam jumlah yang besar membuktikan keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat.Ini memberi kredit yang besar kepada kepimpinan Ustaz Dato seri Azizan Razak yang teruk dilanyak oleh media milik Umno@BN.

Kenapa pelabur ini tidak melabur di negeri yang diterajui oleh Umno@BN? Kenapa pelabur tak mahu melabur di negeri yang diterajui oleh kerajaan mahkamah di Perak? Begitu juga di negeri lain seperti Pahang dan Johor? Semua ini sepatutnya mencelikkan pemimpin dan orang Umno bahawa pelabur mula lari dari negeri dikuasai mereka kerana masalah birokrasi, korupsi dan sikap mementingkan diri.

Senario hari ini sudah terbalik, pelabur tidak lagi berminat lagi membuat projek berskala besar di negeri dikuasai oleh Umno@BN tetapi lebih meyakini kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat yang mementingkan ketelusan, kebajikan serta kemakmuran rakyat jelata

14 July 2009

MANEK URAI 'UNIVERSITI POLITIK' PAKATAN RAKYAT


Kejayaan Pas mengekalkan Dun Manek Urai harus diraikan dengan penuh rasa kesyukuran walaupun kali ini Pas menang dengan majorti yang tipis. Pilihanraya kecil dan pilihanraya umum sesuatu yang berbeza. Aliran corak pemikiran pengundi boleh berubah dengan tiba-tiba terutama kepada penduduk atau pengundi di Kelantan. Cara dan corak pemikiran politik mereka berbeza berbanding dengan penduduk lain di negara ini.

Mungkin kali ini dalam pilihanraya kecil Manek Urai mereka sebelum ini terutama golongan atas pagar atau pengundi luar merasa 'tak apa' kalau pangkah Umno@BN kerana undi tersebut tidak akan menjejaskan kerajaan Pas di bawah pimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.Andaian mereka,kerajaan Tok Guru masih utuh dan stabil jika satu kerusi terlepas kepada umno@BN. Mungkin juga ada benarnya, aliran pengundi kali ini ingin menyampaikan sesuatu mesej yang saya rasa tidak sukar untuk difahami khususnya oleh pimpinan Pas khasnya dan pimpinan Pakatan Rakyat amnya.

Berbeza dalam Pilihanraya Umum yang lalu, golongan muda khususnya yang menetap di luar Kelantan balik umpama pesta untuk mempertahankan kerajaan Pas pimpinan Tok Guru dari dirampas oleh Umno@BN. Mereka berpusu-pusu dan berbondong-bondong dengan kesesakan yang luar biasa sepanjang perjalanan serta ada yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyelamatkan kerajaan Pas di Kelantan.

Kepada pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat di semua peringkat saya berharap agar tidak menunding jari kepada Umno@BN yang menipu, membeli undi, politik ugut dan sebagainya. Ini kerana itu sudah memang cara dan gaya Umno@BN berpolitik. Apa yang penting semua pihak dalam Pas dan Pakatan Rakyat perlu membuat post mortem terperinci berhubung dengan kemenangan tipis ini. Saya tidak melihat isu 'perselisihan' yang sengaja direka oleh pihak Umno@BN di antara Tuan Guru dan Ustaz Nasharudin menjadi faktor utama kemenangan tipis ini. Tetapi saya melihat pengundi Melayu di Manek Urai kurang senang dengan gelagat rakan Pas dalam pakatan khususnya DAP seperti yang berlaku di Kedah.

Pengundi Melayu terutama golongan atas pagar atau tidak berparti yang sebelumnya menyokong Pas dalam pilihanraya umum lalu mengalami konflik dan dilemma apabila isu yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Ini merupakan pengajaran yang sangat penting kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat khususnya hal yang sensitif. Mereka perlu mengeratkan muafakat dan kerjasama untuk memastikan matlamat menumbangkan kerajaan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang benar-benar menjadi kenyataan. Hentikan segala polemik dan perdebatan secara terbuka sebaliknya setiap isu yang wujud perlu ditangani melalui rundingan dan semangat setiakawan.

Apa yang lebih penting segala ilmu dan pengalaman sepanjang pilihanraya kecil Manek Urai perlu dijadikan muhasabah dan renungan dengan menjadikan ia sebagai 'universiti politik' untuk rujukan pada masa akan datang.

JAMBATAN DI MANEK URAI AKAN DIBINA HASIL LELONGAN RUMAH KHIR TOYO?


Sehingga lewat petang ini, ramalan sebelum ini bahawa Pas akan memenangi kerusi DUN Manek Urai sudah semakin pasti, cuma keputusan rasmi yang masih menjadi teka teki.

Apa yang pasti Tan Sri Muhyiddin dikhabarkan awal-awal lagi sudah angkat kaki seolah-olah mengerti Manek Urai Umno akan tewas lagi.

Tetapi apa yang bakal menjadi misteri, apakah penduduk Manek Urai akan mengidam dan kempunan mendapatkan jambatan baru seperti yang dijanjikan oleh Muhyiddin jika Umno menang di Manek Urai?

Penduduk Manek Urai tak perlu rasa terkilan kerana maruah anda terbukti tidak boleh dijual beli lebih-lebih lagi ditukar ganti dengan sebuah jambatan. Peluang penduduk Manek Urai untuk menggunakan jambatan baru masih ada. Saya mencadangkan hasil lelongan rumah Khir Toyo nanti boleh digunakan untuk diberi kepada penduduk di Manek Urai. Jika rumah Khir Toyo dapat dijual dengan harga RM 15 juta dari anggaran RM 24 juta saya kira ia sudah lebih cukup untuk sebuah jambatan baru. Tolak kos RM 3.5 juta dan diberi sekali ganda kepada Khir Toyo RM 7 juta masih ada RM 8 juta lagi. Bukan sahaja jambatan baru malah boleh dihias dengan lampu yang berkelip-kelip di sepanjang jambatan!

MANEK URAI: PAS DI AMBANG KEMENANGAN.

1. Polis mula mengeluarkan amaran berulang kali tidak membenarkan perarakan kemenangan calon di Manek Urai

2. Pemimpin kanan Umno dan BN mula meninggalkan Manek Urai petang tadi disebabkan 'urusan yang tak dapat dielakkan'.

3. Laporan dari unit peti undi yang bertugas sebagai 'polling agent' bahawa Pas diramalkan menang dengan majoriti lebih 2000 undi.

4. Peti-peti undi yang mula dikira sebentar tadi menunjukkan Pas mendahului selesa setakat ini.

Insyaallah sebelum 7.30 keputusan tidak rasmi yang lebih terperinci akan dapat diketahui....Teruskan doa dan zikir Insyaallah Pas di ambang kemenangan.

13 July 2009

TUAN GURU LEBIH MENGHAYATI 1MALAYSIA DARI PENGASASNYA SENDIRI!


Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada kepimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan yang mengistiharkan esok 14 Julai sebagai 'cuti am' bagi semua kakitangan kerajaan negeri, persekutuan dan swasta di Kelantan.

Langkah ini bertepatan dengan mendahulukan rakyat dan mementingkan pencapaian didalam pilihanraya kecil di Manek Urai. Apa guna sama ada Pas atau BN menang tetapi ramai rakyat dinafikan hak mereka untuk mengundi kerana hari pembuangan undi adalah hari bekerja. Sudah pasti mereka yang tinggal dan bekerja di daerah lain di Kelantan tidak dapat membuang undi atau terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk mengundi. Ini bermakna pencapaian tidak diutamakan dan rakyat diketepikan.

Pihak SPR sepatutnya lebih peka dalam memilih hari pembuangan undi. Saya yakin SPR tidak bertindak sendirian dalam menentukan hari pembuangan undi yang seperti sengaja ditetapkan pada hari bekerja. Untuk apa tujuannya, sudah dimaklumi bahawa pengundi luar yang rata-rata golongan muda majoriti besarnya merupakan penyokong kuat kepada pakatan Rakyat.Umno@BN berharap tarikh hari bekerja akan memberi keputusan yang memihak kepada mereka terutama pengundi yang telah lanjut usia dari saluran 1 dan 2.

Walaupun keputusan Manek Urai tidak mampu mengubah kerajaan Pas di Kelantan, keputusannya adalah sangat penting kepada Umno sebagai kayu pengukur sejauh mana sokongan rakyat khususnya orang Melayu yang dikatakan mula kembali kepada Umno. Tetapi saya yakin tindakan Tuan Guru mengistiharkan cuti umum di Kelantan esok bakal menguatkan tanggapan bahawa Umno akan sekali lagi kempunan di gelanggang demokrasi.

12 July 2009

PRK MANEK URAI :DUIT RAKYAT JADI MACAM DUIT UMNO


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiidin Yassin hari ini dalam ucapan di Manek Urai berjanji bahawa kerajaan akan membina jambatan baru di Manek Urai bernilai antara RM 7 juta hingga RM 7 juta. Tetapi beliau meletakkan syarat penggundi Manek Urai mesti memberi kemenangan kepada calon BN dari Umno pilihanraya kecil berkenaan.

"Kita boleh bagi (jambatan baru), insya-Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja (BN). Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah BN.

"Kalau tidak, esok dia tak dapat jambatan. Nak jambatan, pangkah BN," katanya di hadapan 200 penyokong BN petang tadi.

Nampaknya pemimpin Umno tidak pernah belajar daripada pengajaran yang diberi oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu. Mereka masih menganggap rakyat boleh digula-gulakan hanya mengikut sahaja seperti kerbau dicucuk hidung.

Kenyataan Muhyiddin mencerminkan seolah-olah duit rakyat, duit pembayar cukai adalah duit Umno. Mereka boleh guna untuk pancing undi. Pemimpin Umno tidak dapat bezakan antara duit milik negara dengan duit milik Umno. Ternyata Umno masih tidak dapat memisahkan daripada pendekataan lama menawarkan projek pembangunan kepada rakyat. Adakah dalam dunia ini hanya Umno sahaja yang boleh tawarkan pembangunan boleh memajukan negara? Adakah negara maju seperti Jepun, Amerika, Peranchis dan Jerman maju kerana Umno memerintah di sana?

Selain itu, janji politik Muhyiddin ini menunjukkan Umno masih mengamalkan politik diskriminasi. Membangunkan sesuatu kawasan secara berpilih. Slogan 1Malaysia yang kononnya rakyat diutamakan semakin terserlah hanya retorik dan omong kosong.

Saya yakin majoriti rakyat Manek Urai khasnya dan negara amnya sudah semakin meluat dengan pendekatan lama Umno ini. Semoga pemimpin Umno mengekalkan gaya kepimpinan seperti ini supaya lebih cepat riwayat mereka ditamatkan dalam pilihanraya umum akan datang.

APA YANG MENARIK SANGAT TU?


Dalam kesibukan hujung minggu ini saya berkesempatan membawa anak-anak dan keluarga dari kampung untuk berjalan-jalan. Kalau nak ikut badan memang malas maklumlah kepenatan dalam memenuhi undangan ceramah dan pelbagai program lain. Lebih -lebih lagi dengan menularnya wabak H1N1 sekarang. Singgah di sebuah pusat membeli belah terkenal, sambil menunggu anak-anak pergi ke kedai buku, saya tertarik melihat gelagat orang ramai di kedai elektrik bersebelahan yang saya perhatikan terpaku dan tidak berganjak dari tadi. Ada jualan murah atau lelong ke? Rugi kalau terlepas peluang ni.

Ohhh... tengok konsert Micheal Jackson rupanya! Saya perhatikan sikap mendewa-dewakan artis begitu menebal pada orang Melayu ni..Seolah-olah tak dapat terima hakikat Micheal Jackon dah mati.

10 July 2009

100 HARI NAJIB PM GAGAL KATA DR MAHATHIR


Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyifatkan tempoh 100 hari pentadbiran Dato seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri lebih banyak negatif dari positif. Kalau budak kat sekolah kalau jawab dalam peperiksaan apabila banyak jawapan salah dari yang betul, gagal le namanya tu.

Ini sekaligus bermaksud gagasan 1Malaysia yang menjadi siulan baru kerajaan Umno@Barisan Nasional juga adalah gagal. Menurut Mahathir di antara faktor kegagalan Najib ialah cadangan pembinaan jambatan ketiga merentangi Selat Tebrau di antara Malaysia-Singapura yang disifatkan oleh Mahathir tidak mampu mengatasi kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura. Selain itu juga langkah Najib mengekalkan dan menyerapkan mereka yang rasuah dalam kabinet dan pentadbiran kerajaan turut menyumbang kepada kegagalan ini.

Walau bagaimanapun menurut Mahathir, Najib mendapat markah 'saguhati' yang dikira positif apabila Najib 'berjumpa dengan ramai orang dan tak tidur malam'.

09 July 2009

MISTERI KEHILANGAN USTAZ NASHA DI MANEK URAI TERBONGKAR!

Macam-macam kita dengar apabila Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasharudin Mat Isa tidak hadir semasa sesi penamaan calon di Manek Urai. Malah macam-macam spekulasi kenapa sehingga hari ini kelibat Ustaz Nasha tidak kelihatan di Manek Urai. Bagi Umno ini menunjukkan bahawa pergeseran masih berlaku dalam Pas khususnya di antara Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ustaz Nasha.Bagi segelintir dalam Pas, ustaz Nasha mungkin 'malu mata' hendak turun berkempen di Manek Urai.

Namun hari ini segala-galanya terbongkar dan menjawab segala teka-teki 'kehilangan' ustaz Nasha apabila beliau selamat menjalani pembedahan kecil pagi tadi di Hospital Serdang dan dijangka keluar petang ini.

Maklumat terbaru Ustaz Nasha dan Tuan Guru Nik Aziz bakal berkongsi pentas dalam satu majlis ceramah yang bakal diadakan sebelum pembuangan undi di Manek Urai.

TAK PAYAHLAH NAK CABAR PAS KALAU AJAK BERDEBAT PUN TAKUT!


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Pas dalam kempen pilihanraya Kecil Manek Urai agar membuktikan bahawa selama ini Umno tidak memperjuangkan Islam sejak negara mencapai kemerdekaan.

Tak payahlah nak cabar-cabar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dah acap kali sebut, surat rasmi pun telah dihantar untuk ajak berdebat. Kalau cabaran berdebat dengan Tuan Guru pun tak berani tak payahlah bergegar-gegar untuk mencabar Pas untuk buktikan itu dan ini. Malah bukan kali pertama pemimpin Umno takut berdebat atau menolak undangan untuk bertemu secara terbuka dengan pimpinan Pas.

Pelbagai alasan digunakan, tak masuk akal, buang masa, strategi politik....dan macam-macam lagi. Siapa yang takut sebenarnya?

08 July 2009

DUA KISAH TRAGIS

Kisah 1

Kisah yang pernah mengemparkan negara satu ketika dulu apabila Mek Wook Kundor,106 berkahwin dengan seorang pemuda, Mat Noor Che Musa, 37. Maka ramai yang berkata cinta itu buta tidak mengenal usia.

Hari ini Mek Wook terpaksa berpisah dengan suami tercinta apabila suaminya ditahan oleh Agensi Dadah kebangsaan kerana terlibat dalam penagihan heroin dan dihantar ke Pusat pemulihan Dadah di Sungai Besi. Maka Mek Wook terpaksa berpisah dengan suaminya selama 2 tahun. Mek Wook pasti akan kembali kesunyian selepas ini.
Mek Wook dicium suaminya sebelum berpisah untuk ditahan di Pusat Serenti Sungai Besi

Kisah 2

Kisah ini melibatkan seekor beruk yang juga bernama Mek Wook yang tiga hari lepas 'diimport' oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk mempromosikan produk pertanian di negeri Melaka. Mek Wook dibawa khas dari tuannya di Terangganu sebagai usaha kerajaan negeri Melaka untuk menunjukkan kepandaian beruk memetik dan mengupas kepala kepada pelancong dan pengunjung di Melaka.

Beruk berkenaan ditambat di belakang kediaman rasmi ketua Menteri Datuk Seri Muhd. Ali Rustam. Malangnya beruk berkenaan ditemui mati semalam yang dipercayai akibat 'tekanan perasaan'. Ali Rustam dilaporkan terkejut dengan kematian beruk berkenaan.
Tinggal kenangan....saat-sat manis Ali Rustam dan Mek Wook...

KENAPA TANGGUH MANSUH PPSMI?


Kerajaan hari ini mengumumkan dasar PPSMI akan dilanjutkan sehingga 2012. Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri 1Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman ini sekali gus secara tidak langsung kerajaan mengakui bahawa dasar PPSMI yang diperkenalkan era Tun Dr. Mahathir telah gagal. Bermakna projek yang menelan belanja lebih RM 5 bilion lebur kerana kegelojohan dan pemikiran dangkal yang menyebabkan ramai pelajar khususnya dari kaum Melayu di luar bandar makin tertinggal dan terkebelakang dalam pencapaian akademik khususnya dalam subjek matematik dan sains yang sebelum ini mendewa-dewakan bahasa Inggeris.

Bermakna ' Satu Lagi Projek Barisan Nasional' menemui kegagalan. Sekiranya kerajaan boleh secara tergesa-gesa melaksanakan PPSMI sebelum ini mengapa untuk memansuhkannya perlu menunggu masa yang lama?

Alasan yang diberi supaya pelajar yang terlibat dalam sistem ini tidak terjejas jika dimansuhkan serta merta adalah tidak masuk akal kerana pelajar yang terlibat dalam sistem ini sekarang terbukti berhadapan dengan pelbagai masalah yang membebankan sepanjang dasar ini dilaksanakan. Sepatutnya sistem ini paling lewat pun dimansuhkan adalah penghujung tahun ini bukan tempoh tiga tahun yang lama seperti diumumkan. Tempoh 5-6 bulan adalah mencukupi untuk proses peralihan seperti penyediaan buku teks, soalan peperiksaan dan sebagainya.

Tindakan menangguhkan pelaksanaan PPSMI sehingga 2012 seolah-olah kerajaan Umno dan Barisan Nasional telah mendapat isyarat bahawa mereka akan menjadi pembangkang selepas piliahanraya Umum ke 13 yang dijangka pada tahun 2012. Penangguhan PPSMI sehingga 2012 lebih kepada agenda politik tersembunyi daripada membela nasib pelajar khususnya orang Melayu.

DARIPADA LEBIH 2000 HOTEL HANYA 170 ADA SIJIL HALAL


Blog ini pernah menyiarkan tentang status halal makanan hotel-hotel yang ada di seluruh Malaysia. Tetapi perkara ini masih dipandang ringan oleh banyak pihak seolah-olah hal ini bukan satu isu yang penting. Tetapi bagi mereka yang sering manghadiri kursus, mesyuarat dan seminar di hotel saban minggu seperti saya hal ini sesuatu yang begitu membimbangkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC)., Datuk Seri Jamil Bidi daripada lebih 2000 hotel yang terdapat di negara ini hanya 170 hotel sahaja yang memiliki sijil halal.Hotel yang mempunyai sijil halal itu meliputi 15 buah hotel lima bintang, hotel empat bintang (23), hotel tiga bintang (101), hotel dua bintang (14) dan selebihnya hotel tanpa bintang.

Bagi saya pihak kerajaan perlu tegas dalam hal ini seperti menyenarai hitamkan hotel yang masih belum memiliki sijil halal daripada sebarang penganjuran pakej kursus dan sebagainya. Langkah ini saya kira berkesan kerana kebanyakan hotel di negara ini bergantung kepada program jabatan dan agensi kerajaan di hotel mereka berbanding penginapan daripada individu, keluarga dan syarikat.

Tetapi saya perhatikan kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan main hentam dan tibai semacam je dalam memilih hotel untuk menganjurkan sesuatu program. Ini mungkin hendak memudahkan kerja mereka, karenah birokrasi, kesesuaian pakej hotel ditawarkan berbanding had kelayakan.Malah bukan sesuatu yang perlu disembunyikan bahawa majoriti chef di hotel terdiri daripada bukan Islam dan lebih malang lagi terdiri daripada warga negara asing.


Saya melihat persoalan halal haram ini begitu dipandang remeh oleh umat Islam di negara ini. Jadi tidak hairanlah kenapa pengusaha hotel 'besar kepala' dan tidak ambil berat tentang keperluan menyediakan makanan yang mendapat pengitirafan sijil halal daripada agensi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kepada penganjur dalam jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam program yang diadakan di hotel menjadi tanggunjawab mereka untuk memilih dan memastikan hotel yang dipilih menyediakan makanan yang halal bukannya sekadar 'sedap' dan 'mewah' serta harga yang berpatutan yang menjadi keutamaan.

07 July 2009

SAYA SANGGUP BELI RUMAH KHIR TOYO RM 5 JUTA!


Mantan Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan bahawa rumahnya bernilai RM 24 juta sebaliknya mengatakan nilai rumah dan tanah berkenaan hanya RM 3.5 juta yang dibeli melalui pinjaman bank HSBC selama 30 tahun.

Seorang saudara saya yang tinggal dalam seksyen kejiranan yang berdekatan dengan istana baru Khir Toyo memberitahu rumah berkembar yang dibelinya tahun lepas dengan luas 30 X 80 pun dah nak mencecah RM 1 juta!

Jika begitu nilainya apa kata saya menawarkan Khir Toyo RM 5 juta untuk harga rumah dan tanah yang dimilikinya sekarang? Mungkin ada orang kata saya mana ada duit! Betul saya tak dapat nak bayangkan berapa banyak timbunan duit RM 5 juta. Paling banyak pun saya pernah pegang ditangan dalam rm 15 ribu.Itu pun dah menggigil semacam.Lainlah macam Tan Sri Muhd. Taib yang ditangkap ketika pikul duit berjuta- juta di Australia tidak lama dulu.

Jadi macam mana saya nak dapat duit sebanyak tu? Saya rasa dengan harga RM 5 juta yang ditawarkan mana-mana bank boleh menawarkan pinjaman. Apalah sangat dengan nilai RM 5 juta berbanding tanah dan rumah yang boleh dijadikan cagaran di bank yang bernilai puluhan juta. Kalau pinjam dengan ah long pun walaupun faedah yang dikenakan 100% pun boleh untung lagi.Tetapi persoalannya sediakah Khir Toyo menjual tanah dan rumah dengan harga yang saya tawarkan? Bukankah Khir Toyo boleh senang-senang dapat untung RM 1.5 juta?

06 July 2009

MANA KHIR TOYO DAPAT DUIT BUAT ISTANA RM 24 JUTA?

Lengkap dengan air terjun bertingkat. Macam Niagara Falls pulak!
Berapa buah rumah PPRT boleh dibina dengan kos RM 24 juta?
Mahligai berkonsepkan Jawa sepenuhnya...
Pintu masuk rumah Khir Toyo.

Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Muhd. Khir Toyo menunjukkan kekayaan luar biasanya apabila memiliki sebuah banglo umpama mahligai bernilai RM 24 juta di seksyen 7 Shah Alam.

Banglo tersebut yang terletak di Jalan Suasa, Seksyen 7 dekat sini dibina diatas dua lot tanah yang dicantumkan dan kedua-dua tanah ini berjumlah RM4 juta dengan keluasan 52,041 kaki persegi.

Tanah pertama yang bernombor HSD 22904 di lot PT 62, Seksyen 7 dengan keluasan 31,794 kaki persegi berharga sebanyak RM2.9 juta iaitu RM93 ringgit untuk satu kaki persegi yang dibeli dari sebuah syarikat Ditamas Sdn. Bhd.

Syarikat tersebut dimiliki oleh Shamsuddin Hayroni yang merupakan sahabat baik kepada Mantan Menteri Besar Selangor itu.

Namun, harga yang dibeli untuk tanah kedua yang bernombor HSD 22905 adalah lebih murah iaitu RM900,000 iaitu RM46 untuk satu kaki persegi di di lot PT 65 seksyen 7, seluas 20,427 kaki persegi.

Harga rumah ini lebih kurang RM18 juta dan belum dicampurkan dengan harga perabot yang diimport sepenuh dari Bali. Jadi semuanya berharga RM20 juta dan dicampur pula dengan harga tanah yang berjumlah RM4 Juta. Apa yang lebih menarik harga sebuah pintu gerbang sahaja berharga, RM290,000. Seorang kakitangan kerajaan dengan Gred DG 48 pun berair biji mata nak kumpul duit sebanyak tu untuk membina pintu gerbang seperti rumah Khir Toyo.

Persoalannya dari manakah segala kekekayaan luar biasa yang dimiliki oleh Khir Toyo? Adakah diperolehi sebelum menjadi Menteri Besar atau sebelum itu lagi? Adakah SPRM tidak berminat untuk menyiasat kekayaan dan aset yang dimiliki oleh Khir Toyo? Jika Khir Toyo mengumpul segala gaji dan elaun yang diperolehi sepanjang menjadi Menteri Besar sudah pasti beliau tidak mampu untuk membina mahligai berkenaan. Saya yakin jika terdapat mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat memiliki rumah semewah itu sudah pasti sudah berderu-deru siasatan akan dilakukan oleh SPRM.

UMNO SEMAKIN PEMURAH DI MANEK URAI


Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak sebelum ini meminta Umno tidak lagi menabur projek 'Mee segera' di dalam mana-mana pilihanraya kecil atau umum kerana pendekatan tersebut menurut beliau sudah tidak dapat diterima pada masa kini.

Tetapi itu semua hanya omong-omong kosong kerana projek mee segera bukan sahaja tidak berkurangan malah semakin mencurah-curah. Saya tidak pasti sama ada Umno di peringkat bawahan tidak mengikut arahan Najib atau semua projek mee segera yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini mendapat restu dari Najib sendiri.

Terkini Umno yang bertanding di Manek Urai menunjukkan sikap 'pemurah' mereka setiap kali pilihanraya dengan memberi bantuan dan projek segera.

Seramai 6,142 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Arab di Manek Urai mendapat perhatian Kementerian Pelajaran yang akan memberikan mereka bantuan uniform dan beg sekolah secara percuma.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata pemberian itu telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau beberapa hari lalu sebagai tanda ingatan kementerian berkenaan.

Tanda ingatan? Kenapa hanya di Manek Urai dan dipilih ketika sedang sibuk-sibuk pilihanraya kecil? Nampaknya Umno merasakan penduduk di Manek Urai yang tinggal di luar bandar boleh diperbodohkan oleh mereka untuk meraih undi. Ternyata Umno sudah kontang idea dan strategi bagaimana untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada mereka.

Tetapi saya yakin, penduduk di Manek Urai cukup bijak berpolitik dan tidak akan lupa dengan amanat Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beri duit ambil, beri gula kacau, bagi kain pakai...Undi pakat-pakat pangkah bulan....

05 July 2009

TAHNIAH DAN TAKZIAH

Tahniah kepada Saudara Azafir Bin Mohd. Nor bekas AJK Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil yang melangsungkan perkahwinannya hari ini. Semoga bahagia dan kekal hingga ke anak cucu dan terus istiqamah dalam perjuangan.

Takziah kepada keluarga Allahyarham Hj. Md. Nor bekas aktivis dan AJK Pas Kawasan Bukit Katil yang kembali ke rahmatullah hari ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau serta ditempatkan di kalangan golongan yang mendapat naungan arasy Allah serta keampunan dari-Nya.
Gambar Allahyarham yang pernah saya rakamkan pada tahun 2006. Al Fatehah...

04 July 2009

3.7 JUTA BELUM DAFTAR PEMILIH: APA KOMEN PEMUDA UMNO BUKIT KATIL YANG HALANG KEMPEN DAFTAR PEMILIH?


Seramai 3.7 juta daripada 27 juta rakyat di negara ini yang layak mendaftar sebagai pemilih didapati tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik.

Menyedari hakikat ini maka SPR perlu meningkatkan usaha dan kempen secara menyeluruh untuk menarik golongan muda khususnya untuk mendaftar diri menjadi pemilih. Usaha ini juga perlu melibatkan semua parti politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang.

Tetapi, Pemuda Umno Bukit Katil Melaka nampaknya masih ketinggalan di belakang apabila bukan sahaja menghalang usaha untuk mendaftar pengundi baru malah bertindak samseng dan kurang ajar kempen yang dijalankan oleh PAS dan DAP di sebuah pasar malam di Melaka baru-baru ini untuk menggalakkan golongan muda mendaftar menjadi pemilih.

Saya merasakan bukan sahaja Umno di Melaka, Umno di seluruh Malaysia bimbang dengan angka 3.7 juta yang belum mendaftar menjadi pemilih. Hal ini kerana golongan muda ini dilihat lebih terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dari perkembangan pesat dunia teknologi maklumat berbanding golongan saluran satu dan dua yang rata-rata masih lagi menjadikan akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai kitab rujukan mereka.

Justeru itu, golongan muda ini dilihat lebih berminat dan tertarik atau pro kepada pakatan Rakyat. Bayangkan jika 60-70 % golongan muda ini mendaftar sebagai pengundi dan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang? Bermakna Umno@BN bolehlah mengucapkan selamat tinggal dan sayonara.



PEMUDA SAMSENG KETUA RASUAH...


Kemaraan dan sokongan yang semakin mantap kepada Pakatan Rakyat di Melaka menyebabkan Umno di Melaka semakin hilang arah dengan bertindak samseng terhadap aktiviti yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat di Melaka.

Tindakan memaki hamun, menendang serta menggunakan senjata bahaya seperti cota dan buku lima membayangkan Umno melalui tindakan Pemuda Bahagian Bukit Katil cukup terdesak dengan sokongan orang ramai yang ditunjukkan kepada Pakatan Rakyat. Layarilah laman SPR, Umno di Parlimen Bukit Katil nyaris-nyaris tersungkur dalam pilihanraya umum lalu dengan menang majoriti yang sangat kecil.

Adakah Pemuda Umno Bukit Katil bertindak secara bersendirian tanpa arahan dan restu dari sesiapa? Atau tindakan Pemuda Umno Bukit Katil sengaja dirancang untuk menjatuhkan imej ketua bahagiannya di situ? Siapa Ketua Bahagiannya?


Jadi saya tak peliklah, kalau pemuda Bahagian Bukit Katil bertindak samseng dan kurang ajar kerana siapa yang tak kenal ketua Bahagiannya di situ. Terang-terang terlibat dengan rasuah tetapi diselamatkan oleh kerajaan 1Malaysia: samseng diutamakan, rasuah dibiarkan...Mungkin tindakan ini satu tindakan terdesak berikutan berita bertiup kencang bahawa kertas siasatan pendakwaan sedang disiapkan oleh SPRM untuk membuat pendakwaan di mahkamah. Malah bukan sesuatu yang menjadi rahsia lagi bahawa rakyat Melaka semakin meyakini bahawa mereka bakal mendapat ketua menteri baru tidak lama lagi.

Apa-apapun saya mengucapkan tahniah kepada Pemuda Umno Bukit Katil kerana tindakan tidak bertamadun dan biadab mereka sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa kerjasama dan hubungan di antara PAS dan DAP di Melaka bertambah erat ekoran serangan ala samseng tersebut walaupun terdapat sedikit masalah di Kedah.
Gambar pimpinan Pas dan DAP Melaka selepas sidang akhbar bersama di Pejabat DAP Melaka semalam selepas membuat 8 laporan polis.