10 February 2009

SOGOK 5 JUTA :KENAPA SPRM MEMBISU?

Bekas Adun Bukit Selambau, V Aramugam mendedahkan punca beliau meletak jawatan sebagai Exco dan Adun kerana tidak tahan dengan pelbagai ugutan terhadap keluarganya. Beliau juga mendedahkan bahawa ditawarkan RM 5 juta supaya melompat ke dalam BN.

Peliknya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti membisu dan memekakkan telinga dalam isu ini. Walhal jelas itu kenyataan yang didedahkan oleh bekas Adun berkenaan. Bukan sahaja diumpan RM 5 juta malah lebih dasyat lagi keluarga beliau juga turut dijadikan sasaran dan mangsa.

Apa dah jadi dengan SPRM? Adakah SPRM juga bermain wayang dan politik? Kalau nak bermain wayang dan politik seperti isu rasuah yang melibatkan 'bekas adun' Behrang dan Changkat Jering saya cadangkan SPRM memohon untuk menjadi komponen BN. Mana tahu kot-kot nasib baik boleh letak calon di Bukit Gantang atau Bukit Selambau dalam pilihanraya kecil nanti.

APA PULA SELEPAS INI?

Perak telah pun dirampas secara haram. Adun Selambau pula telah meletak jawatan kerana tidak tahan dengan pelbagai ugutan dan umpanan rasuah untuk menyertai BN.

Hari ini dilaporkan di Selangor dan beberapa tempat di negara ini akhbar Harakah dan Keadilan dirampas oleh KDN di bawah arahan Hamid Albar.

Puak-puak pengampu dalam Umno terus mendesak agar MB Perak yang sah ditahan bawah ISA serta gelaran Dato Seri ditarik balik.

Menyaksikan gelagat Umno dan BN menjadi bukti bahawa mereka sebenarnya yang terdesak dan tertekan. Tindakan merampas Perak telah meningkatkan kebencian orang ramai kepada Umno.

Pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau begitu menggerunkan Umno kerana mereka menyedari rakyat akan memberi pengajaran kepada Umno yang memperalatkan raja serta menggunakan taktik ugutan dan rasuah untuk berkuasa.

Takdir Allah yang begitu hebat, siapa sangka pilihanraya kecil akan berlaku di Bukit Gantang. Dun Changkat Jering yang adunnya belot dan dikaitkan dengan pelbagai skandal rasuah terletak dalam parlimen Bukit Gantang.

Saya begitu optimis pilihanraya Bukit Gantang bukan pilihanraya kecil terakhir di Perak pada tahun ini.

Apa lagi yang Umno mampu lakukan selepas ini? Apa pula tindakan Najib selepas ini?