26 February 2011

ALI RUSTAM CUBA 'RASUAH' WAKIL PERSATUAN CINA

Episod cubaan 'merasuah' pengundi Cina seperti di Miri dalam PRK lalu berulang lagi di PRK Merlimau. Di Miri Perdana Menteri, Dato Seri Najib berkata dalam satu ceramah kempen BN di Miri memberitahu pengundi dan penduduk Cina...' lu tolong gua dan gua tolong lu..."

Ketua Menteri Melaka, Dato seri Ali Rustam seperti belajar dan meniru dari bossnya dengan hari ini memberitahu kepada wakil Persatuan Pendidikan Cina Progresif Melaka, Yang Ying Chong
dengan memberitahu kumpulan berkenaan yang mewakili orang Cina Melaka bahawa beliau hanya akan membincangkan tuntutan mereka jika BN memenangi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Antara tuntutan kumpulan berkenaan ialah sekolah vernakular, sekolah Cina bebas dan sekolah agama rakyat diberi faedah yang sama seperti sekolah kebangsaan, iaitu menerima subsidi, bantuan untuk pelajar dan sijil untuk melanjut pengajian di universiti awam dan perkhidmatan awam.

Mereka juga menuntut kerajaan mengembalikan kewarganegaraan aktivis mendiang Lim Lian Geok dan menerimanya sebagai sebagai patriotik negara.

Inilah contoh seorang pemimpin Umno/BN yang bermuka-muka dan bersikap hipokrit untuk mendengar dan membincangkan masalah dan nasib rakyat. Apakah beliau fikir hanya orang Umno/BN sahaja yang menjadi pembayar cukai? Adakah beliau fikir duit rakyat dan harta kerajaan adalah milik Umno/BN?

Tindakan Ali Rustam ternyata satu tindakan tidak matang dan seperti mempersendakan orang Cina dan menafikan hak rakyat berbilang kaum di negara ini. Sikap yang ditunjukkan menggambarkan watak sebenar pemimpin Umno yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk meraih undi dan menang dalam pilihanraya. Saya cukup yakin pengundi dan penduduk di Merlimau cukup matang untuk menilai pemimpin yang bersikap talam dua muka ini.

ALI RUSTAM TERUS BERSIKAP KEBUDAK-BUDAKAN


Pengarah Pilihanraya Pas, Dato Halim Abdul Rahman telah menjelaskan dalam sidang akhbar kelmarin tidak wujud lagi kawasan selamat atau kubu bagi Umno. Penyertaan Pas di PRK Merlimau jelas iaitu akan berjuang habis-habisan untuk menawan kerusi DUN Merlimau.

Walau bagaimanapun Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Muhd. Ali Rustam masih tak faham atau sengaja buat tak faham tentang penyertaan Pas kononnya untuk menguji kekuatan. Saya mencabar Ali Rustam untuk menjelaskan siapa pimpinan Pas yang keluar kenyataan itu bila dan di mana? Malah beliau bersikap kebudak-budakan apabila hari ini menyuruh Pas menarik diri dan menyerah kalah dengan beri kemenangan percuma kepada Umno/BN.

Apakah beliau cukup tertekan dan terdesak? Ramai pemerhati politik menyifatkan pertembungan di Merlimau bukan di antara Pas dan Umno tetapi lebih kepada usaha Ali Rustam menguji pengaruh dan populariti yang tercalar teruk. Beliau begitu bersungguh dan beria-ia dengan harapan namanya akan kekal pada penggal pilihanraya umum akan datang.

PRK Merlimau merupakan medan yang terbaik untuk pengundi Merlimau khasnya dan rakyat Melaka dan Malaysia amnya untuk menyampaikan mesej dan suara rakyat bahawa tidak ada tempat bagi pemimpin yang rasuah serta melakukan pembaziran serta salah guna duit rakyat. Mengundi Umno/BN di Merlimau seolah-olah rakyat merestui dan mengiktiraf kaki rasuah memimpin mereka.

Jadi tidak hairanlah selepas memfitnah bahawa Malaysia akan jadi seperti Mesir jika Pas memerintah dan kini Ali Rustam meminta pula Pas menarik diri dan menyerah kalah di Merlimau!