29 April 2009

DUN PENANTI: INGATAN BUAT SAHABAT SEPERJUANGAN DI PULAU PINANG



Pas Kawasan Permatang Pauh dan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berhasrat untuk meletakkan calon Pas di Penanti.Dalam Pas, segala pandangan dan cadangan adalah amat dialu-alukan dalam konsep musyawarah. Tetapi sebagai ahli dan pimpinan di peringkat kawasan dan negeri apa-apa keputusan dan cadangan wajar dirujuk kepada pimpinan tertinggi di peringkat pusat.

Tidak salah untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi setiap pandangan itu perlu disampaikan melalui saluran yang betul. Tidak disalurkan melalui media yang bukan menjadi lidah rasmi parti. Sekaligus memberi peluang kepada musuh untuk melaga-lagakan kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat selama ini.

Ini bukan bermakna Pas menyekat ahli untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Tetapi adab-adab berjemaah serta akhlak Islam perlu dijaga. Hubungan yang terjalin selama ini dalam Pakatan Rakyat adalah hasil pandangan dan keputusan daripada akar umbi di dalam jemaah Pas yang kemudiannya diputuskan perbincangan panjang lebar dalam Majlis Syura Pas..Bukan keputusan Mursyidul Am dan Presiden Pas secara bersendirian. Apa juga kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat telah dibincangkan secara mendalam dalam Majlis Syura Pas. Justeru itu apa juga perjanjian perlu ditaati dan disepakati.

Justeru itu pada pandangan saya, tindakan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh adalah kurang manis kerana boleh mengundang perpecahan di dalam Pakatan Rakyat. Soalan saya kepada Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh mampukah Pas bersendirian dalam menguasai senario politik di negara ini? Boleh memenangi kerusi Parlimen dan Dun di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak yang majoriti pengundi Melayu sekitar 50-60%? Begitu juga kemenangan yang membawa menguasai negeri Kedah dan meningkatkan kemenangan Pas di kelantan?

Jika kita memilih untuk kekal menjadi pembangkang, dalam situasi sekarang saya yakin Pas tidak memerlukan rakan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Tetapi untuk tujuan mengembangkan syiar Islam dalam menyampaikan mesej daawah kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah sangat penting.

Lihatlah betapa hari ini orang Cina dan India boleh turut sama menyumbang tenaga dan membantu Pas dalam pilihanraya yang dilihat janggal dan mustahil satu ketika dahulu.Ini ditunjukkan dengan jelas dalam PRU yang lalu dan juga PRK di Kuala Terangganu dan Bukit Gantang yang ditandingi oleh Pas. Ini semua lahir dari kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat.

Kepada sahabat-sahabatku dalam Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh apa juga keputusan pimpinan wajar ditaati selagi tidak menyuruh kepada perkara mungkar dan kerosakan. Ingatlah konsep wala' yang selalu kita sebut dan bincang dalam usrah dan tamrin...Kami dengar...Kami taat...

SELEPAS MELAWAT THAILAND, INDONESIA, BRUNEI, NAJIB AKAN MELAWAT MONGGOLIA?


Dato Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan berangkat ke Brunei hari ini untuk mengadakan lawatan rasmi. Lawatan ini adalah lawatan luar negara yang ketiga selepas melawat Thailand dan Indonesia selepas menjadi Perdana Menteri.

Lawatan ini dijangkakan akan mengukuh dan meningkatkan hubungan dua hala di antara negara. Mungkinkah Najib selepas ini akan mengadakan lawatan rasmi ke Monggolia? Walaupun Malaysia dan Monggolia tidak mempunyai kedutaan hanya memiliki konsulat , lawatan ini jika diadakan pasti akan mencipta sejarah dalam hubungan diplomatik di antara dua negara. Mungkin perkara ini boleh difikir secara serius oleh Perdana Menteri. Memandangkan Monggolia mempunyai pelbagai potensi dalam bidang pelaburan.

NAK TUNGGU BABI SELSEMA DI MELAKA BARU NAK BERTINDAK?


Seluruh dunia gempar dengan wabak selsema babi yang melanda beberapa negara Barat khususnya Mexico yang telah meragut hampir 200 nyawa. Maka pelbagai langkah diambil mengelakkan wabak ini menular terutama di pintu masuk utama negara. Wabak ini berpunca daripada najis dan kekotoran dari babi. Nama pun dah babi, dalam Islam dikateogorikan sebagai najis mughalazah,najis paling berat.

Tetapi dalam sibuk-sibuk kita bincang dan langkah mencegah wabak yang mungkin dibawa pelancong dari Barat ke negara ini melalui sempadan negara kita seperti terlupa babi-babi yang beranak pinak bercucu cicit yang ada dalam negara.

Masalah babi di Melaka nampaknya masih tidak nampak jalan penyelesaian dan langkah tindakan yang konkrit yang telah berlarutan sekian lama dari generasi ke generasi. Khususnya di Paya Mengkuang di Masjid Tanah Melaka. Semalam kira-kira 50 penduduk tempatan berdemontrasi membantah kelembapan kerajaan negeri menangani isu ini.

Menurut Sinar Harian Edisi Melaka/Negeri Sembilan sehingga hari ini masih terdapat kira-kira 39,000 ekor babi di Paya Mengkuang! Mana janji Kerajaan Melaka hendak memindahkan ladang ternakan babi di sini? Dalam tempoh setahun jika tidak ada sebarang tindakan diambil saya yakin bilangan babi di sini boleh meningkat berlipat kali ganda.

Adakah Kerajaan Melaka hendak menunggu babi-babi di Melaka selsema baru nak bertindak?Adakah kerajaan Melaka hendak menunggu nyawa rakyat di negeri ini menjadi alasan dan galang ganti? Masa itu mungkin baru terhegeh-hegeh mengambil tindakan seperti serangan wabak JE sebelum ini.

Masa itu menyesal pun sudah tiada gunanya. Kerajaan Melaka lebih sibuk menyediakan pelbagai infrastruktur untuk menarik pelancong ke negeri ini tetapi untuk kebajikan, keselamatan dan keselesaan hidup rakyat kerajaan Melaka seperti lepas tangan dan buat-buat tak nampak masalah yang berlaku.