Pengguna MRR2 terpaksa menempuh kesesakan di bawah jambatan MRR2 yang retak
Perdana Menteri, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi meluahkan kemarahan disebabkan keretakan terbaru Jambatan MMR2.
"Dulu ketika rosak, kita telah mengeluarkan belanja RM70 juta dan ini adalah satu perbelanjaan yang besar. Dan sekarang ini retak lagi, mengikut apa yang dimaklumkan oleh pengguna jalan raya.
"Sebenarnya masalah ini boleh dielakkan jika sekiranya pihak yang bertanggungjawab berhati-hati dalam memastikan apa yang telah dibaiki itu sudah teguh dan tidak akan berlaku lagi sebarang keretakan atau kerosakan dalam masa yang singkat," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.
"Menakutkan jika berlaku runtuhan atau kemalangan lagi, jadi, sudah tentulah ini tidak baik," beliau dipetik sebagai berkata ketika mengulas mengenai MRR2 yang dibina dengan kos RM238 juta dan telah dibaikpulih menggunakan belanja tambahan RM70 juta mengalami keretakan sekali lagi.
Kelmarin , lebuhraya jejambat itu yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer serta jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalulintas berikutan keretakan baru itu.
Pada bulan Ogos 2004, laluan berkenaan ditutup buat pertama kali berikutan masalah keretakan rasuk tiangnya.
Pada Februari 2006, ia sekali lagi ditutup akibat masalah yang sama yang memerlukan struktur itu dibaik pulih dengan kos RM70 juta.
Rakyat dan pengguna laluan tersebut semestinya lebih marah lagi. Bukan sahaja terpaksa merasai keperitan kenaikan harga minyak baru- baru ini. Kini, mereka terpaksa menempuh kesesakan teruk dan terkandas berjam-jam sewaktu pergi dan balik dari tempat kerja. Bayangkan dengan harga minyak yang mahal, berapa banyak minyak yang terbuang dan terbazir disebabkan kesesakan yang berlaku. Berapa banyak masa pula yang terbuang akibat masalah ini ? Berapa banyak lagi duit rakyat akan digunakan serta dibazirkan kepada perkara yang tidak sepatutnya ?
Cuba kita kira, dengan kos pembaikan pertama sebanyak RM 70 juta seperti yang dimaklumkan oleh PM, apa yang dapat dilakukan dengan wang sebanyak itu.
- Membina rumah rakyat miskin yang tidak mempunyai rumah sebanyak 2333 buah dengan kos anggaran RM 35 ribu sebuah.
- Memberi biasiswa kepada pelajar miskin yang melanjutkan pelajaran di universiti seramai 4375 orang dengan anggaran kos RM 16 ribu sepanjang tempoh pengajian.
- Bantuan kepada penduduk miskin seramai 29166 orang sebanyak RM 200 untuk seisi rumah selama setahun.
- Mungkin dapat menyelamatkan nyawa 1750 pesakit kronik yang memerlukan bantuan untuk kos perubatan dan pembedahan dengan anggaran kos RM 40 ribu seorang.
Ini belum lagi termasuk kos gantirugi kerana pembatalan 'Jambatan Bengkok' merentangi Tambak Johor sebanyak RM 238 juta, kos kerugian penjualan saham Agusta yang mencecah RM 500 juta yang terpaksa di tanggung oleh kerajaan ( duit rakyat ) dan banyak lagi.
Masalah ini tidak akan berlaku, sekirannya pihak yang terlibat benar – benar bertanggungjawab dan jujur melaksanakan tugas serta amanah yang diberi. Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah rakyat terutamanya golongan bawahan yang berpendapatan rendah.