21 November 2009

KEROPOK LEKOR PUNCA WABAK TAUN DI TERANGGANU


Kementerian Kesihatan telah mengenalpasti beberapa punca yang menyebabkan berlakunya penularan penyakit taun di Terengganu, antaranya penggunaan ikan yang dicemari kuman 'Vibrio Cholera' untuk membuat keropok.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan makmal mendapati sampel ikan yang diambil daripada dua kilang keropok di negeri itu didapati positif terhadap kuman Vibrio Cholera, kemungkinan berpunca daripada ikan yang dicemari kuman itu yang dibawa masuk dari Thailand.

"Ini mungkin berlaku melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah Kuala Terengganu dan Marang.

"Selain itu, sampel ayam mentah yang diambil dari Pasar Borong Gong Pauh di Wakaf Mempelam, sampel swab di dua kilang ais di negeri itu juga didapati positif kuman berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, Sabtu.

Beliau berkata 20 premis juga telah diarahkan tutup membabitkan 11 kilang ais, dua kilang keropok dan selebihnya kedai-kedai makanan.

Beliau turut menyifatkan penyakit taun di negeri itu yang mula dikesan sejak dua minggu lalu, amat serius kerana setiap hari pihak hospital menerima pesakit baru, termasuk seramai 85 kes cirit birit (Acute Gastroenteritis - AGE) telah dimasukkan ke wad pada Sabtu.

Katanya jumlah keseluruhan kes AGE yang dimasukkan ke wad setakat ini adalah sebanyak 621 kes, manakala jumlah pesakit yang telah dibenarkan keluar dari hospital adalah 161 iaitu 16 kes positif dan 145 kes negatif.

Beliau berkata sehingga pukul 7 pagi Jumaat, seramai 482 pesakit masih lagi dirawat di hospital, iaitu 322 orang pesakit disyaki mengalami AGE, 138 kes yang disahkan kolera dan 22 orang lagi adalah pembawa.