Keputusan Kabinet semalam melululuskan permit konsert Avril Lavigne, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, 29 Ogos ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan penduduk yang bakal menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan Kemerdekaan Negara ke 51.Sekaligus mencemari kesucian bulan ibadah dan penuh kemuliaan kepada umat Islam dan bulan mengingati pembebasan Negara dari penjajah.
Keputusan membenarkan artis kelahiran Kanada ini beraksi di Malaysia merupakan sesuatu yang menunjukkan bahawa mereka yang terlibat tidak peka dengan sensitiviti perasaan umat Islam di Negara ini yang sedang bersiap untuk menyambut Ramdhan.Sekali gus mencemari sambutan Kemerdekaan Negara ke 51 yang akan disambut pada 31 Ogos ini.
Dalam Negara sedang bergelut dengan pelbagai masalah keruntuhan akhlak dan peningkatan kadar jenayah serta kes salah laku remaja seperti zina, menularnya budaya penyelewengan akidah dan kes - kes juvana, konsert ini dilihat akan menyumbang kepada berlakunya lebih banyak gejala tidak sihat dan menyuburkan budaya liar di kalangan anak muda.
Adakah mereka yang terlibat, tidak menyedari betapa parah dan kroniknya gejala sosial yang melanda Negara ? Adakah mereka hanya melihat sebelah mata atau hanya memejamkan mata dan memekakkan telinga melihat dan mendengar apa yang berlaku di sekeliling mereka ?
Avril Lavigne,artis rock simbol seks yang sering mengenakan pakaian seksi menjolok mata yang menjadi ikon kegilaan remaja merupakan model yang bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat Negara ini, lebih – lebih lagi bertentangan dengan prinsip ajaran Islam.
Dalam hal ini, tidak bermakna kita menentang artis dan hiburan. Namun, konsert atau persembahan yang ingin diadakan mestilah sesuai dengan nilai budaya masyarakat Negara ini dan tidak bercanggah dengan prinsip kesopanan dan tatasulila serta nilai – nilai murni masyarakat. Apa yang lebih penting sesuai dengan prinsip moral dan tuntutan agama Islam. Terdapat ramai lagi artis yang sesuai yang boleh diundang untuk membuat persembahan di Negara ini. Kenapa perlu menjemput Avril Lavigne ? Seolah-olah mereka terlibat dan beria – ia menjemput artis ini mempunyai agenda tertentu untuk merosakkan masyarakat di Negara ini.
Sekiranya berlaku masalah keruntuhan akhlak remaja dan muda mudi mereka ini sepatutnya dipersalahkan. Malangnya apa sering yang terjadi , ibu bapa dan guru yang sering menjadi mangsa. Seolah – olah ibu bapa tidak pandai mendidik anak di rumah dan guru tidak pandai mengajar di sekolah. Adilkah begitu ? Walhal, merekalah antara penyumbang saham terbesar kepada masalah keruntuhan akhlak dan moral yang berlaku.
Alasan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kelulusan itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin, berdasarkan 'budi bicara' adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.
Justeru itu, sebagai rakyat yang prihatin saya menyeru dan mengesa pihak berkenaan supaya mengakaji dan menarik balik semula permit konsert yang diberikan. Hormatilah perasaan umat Islam yang bakal menyambut Ramadhan. Di samping itu, hormatilah juga rakyat di Negara ini yang bakal menyambut Kemerdekaan ke 51.
Apa ertinya sambutan kemerdekaan jika minda dan fikiran masih belum merdeka dan dijajah. Marilah kita bersama – sama membebaskan diri kita dari penjajahan alaf baru dengan menyuarakan pandangan dan luahan perasaan tidak bersetuju dengan konsert yang bakal diadakan sebagai menandakan kita benar – benar merdeka. Bulan Ramadhan, merdeka dari godaan syaitan dan seksaan api neraka. 31 Ogos merdeka dari penjajah.