Pagi tadi saya bersarapan dengan isteri di sebuah restoran berhampiran dengan Universiti Teknikal Melaka (Utems). Di meja sebelah berberapa orang pensyarah Utems rancak berborak dalam bahasa Inggeris tentang pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon di Bagan Pinang.
Apa yang mereka bualkan hampir sama dengan apa yang dinyatakan dalam blog ini dan kebanyakan blog lain. Umno tak ada pilihan selain mencalonkan Isa dan Umno tak boleh kalah lagi dalam pilihanraya kecil walaupun orang tahu Isa terlibat dengan rasuah. Umno terpaksa melutut untuk memilih Isa yang suku sakat, ahli keluarga dan penyokongnya cukup ramai di Bagan Pinang.Biarlah Umno dikatakan parti rasuah atau membela perasuah. Itu tak jadi hal, apa yang penting Isa ada peluang lebih besar untuk menang berbanding dengan calon-calon lain.
Benarkah begitu? Adakah pengundi Bagan Pinang hanya tunggul kayu yang akan memilih siapa sahaja calon tanpa mengira latar belakangnya? Adakah pengundi pos dari tentera yang berjumlah kira-kira 4 ribu orang akan termakan dengan pengistiharan Port Dicksons Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri semalam?
Adakah pemilihan Isa bertujuan untuk menguburkan kerjaya politik Isa buat selama-lamanya? Isa dilihat mempunyai impian untuk mendapatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini. Pemilihan Isa merupakan satu perjudian besar dilakukan oleh Umno. Pemilihan Isa sebenarnya menjadikan persaingan dalam pilihanraya kecil di Bagan Pinang adalah seimbang walaupun undi pos merupakan penentu kepada Pas atau Umno.
Bagi Pas yang mencalonkan Persuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Bin Omar yang mendapat sokongan padu dari Pas dan Pakatan Rakyat, ketokohan calon akan membantu meningkatkan sokongan pengundi di Bagan Pinang. Jika Isa mampu ditewaskan maka bermakna 'tsunami' politik kedua melanda Umno@BN. Lebih-lebih lagi Umno cukup bermegah bahawa Bagan Pinang adalah kubu kuat mereka ( sebenarnya sebab ada undi pos). Jika Pas berjaya mengurangkan majoriti Umno@BN di situ itu sudah cukup sebagai satu kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat.
Sekiranya semua pihak dalam Pas dan Pakatan Rakyat berkerja kuat untuk kemenangan calon Pas atau dapat mengurangkan majoriti undi Umno@BN yang diperolehi dalam pilihanraya umum lalu sebelum ini, ia sudah cukup jelas sebagai isyarat bahawa kerjaya politik Isa dan hayat politik Umno akan dikuburkan.