30 June 2010

TAKUT DITIMPA BALA, PERTEMUAN SPRM-BALA BATAL


Saya awal-awal lagi tidak meyakini bahawa SPRM akan bertemu dengan penyiasat persendirian P Balasubramaniam di Kota London berkaitan isu pembunuhan Altantuya.Sejak kes ini tercetus SPRM seperti bersandiwara seolah-olah ada sesuatu yang menghalang badan berkenaan melaksanakan tugas dan melakukan siasatan secara telus dan bebas.

Maka hari ini tak semena-mena tanpa ada hujan dan ribut SPRM membatalkan pertemuan untuk merakamkan kenyataan Balasubramsniam tentang kes pembunuhuhan berkenaan.

Alasan yang diberi oleh SPRM berkaitan implikasi undang-undang menimbulkan tanda tanya dan kemusykilan. Sebelum ini SPRM begitu beria-ia akan mengadakan pertemuan tersebut pada minggu depan. Saya yakin segala urusan seperti tempahan tiket kapal terbang dan penginapan telah diuruskan di Kota London. Mengapa secara tiba-tiba pertemuan yang dicadang dibatalkan secara tiba-tiba.

Adakah sebelum ini pihak SPRM begitu naif tentang segala kemungkinan atau implikasi undang-undang seperti yang didakwa? Semua ini menguatkan spekulasi bahawa ada sesuatu yang berlaku di sebalik tragedi pembunuhan ini. Walaupun dua tertuduh telah didakwa dan dijatuhkan hukuman itu semua belum cukup untuk menyakinkan rakyat di negara ini tidak ada tangan-tangan ghaib yang terlibat.

Mungkinkah ada pihak tertentu yang mula terasa bahang dan menghidu bala yang menimpa jika pertemuan Balasubramniam dan SPRM menjadi kenyataan? Maka jika telahan ini benar maka buat seketika pihak yang terbabit boleh menarik nafas lega buat seketika tetapi tidak bermakna akan selamat daripada bala buat selama-lamanya.Apa yang pasti kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan lenyap dan hancur binasa.

27 June 2010

PAS ADA BERPULUH RIBU ULAMA

Tak habis-habis lagi Umno menjaja cerita tentang penyertaan 40 'ulama' muda yang masuk ke parti itu. Sebenarnya tak sampai 40 pun, ada yang datang kerana tertipu dengan helah Dato Shahidan Kassim kononnya untuk membersihkan nama mereka dari senarai golongan militan. Digelar pun 'ulama muda',masih mentah dengan sepak terajang politik.

Ada pemimpin Umno kata, Umno kini terbukti perjuangkan Islam. Ada yang kata dasar Umno betul. Paling tak masuk akal ada yang kata penyertaan itu satu tamparan kepada Pas. Pas tergugat ke? Untuk makluman pemimpin Umno, dalam Pas penyertaan Ulama muda atau ulama tua tidak pernah surut. Bukan hanya di peringkat kawasan, malah di peringkat cawangan tidak pernah ketandusan Ulama. Di cawangan tertentu seperti di Kedah, Kelantan dan Terangganu ada cawangan memiliki limpahan ulama yang silih berganti. Tak bising-bising pun!

Kalau nak dikira jumlah mereka yang bertaraf 'ulama' sama ada dari aliran pendidikan pondok, para huffaz, graduan IPTA dan IPTS aliran agama dari dalam atau luar negara saya jangka bukan berpuluh tetapi berpuluh ribu. Mereka memainkan peranan tertentu sama ada secara tidak langsung dengan menjawat jawatan penting di masjid dan surau atau secara langsung bergiat aktif dalam Pas.

Penyertaan ulama dalam Pas menyebabkan tertubuhnya sayap parti yang memainkan peranan penting iaitu Dewan Ulama Pas. Mampukah Umno menubuhkan Dewan Ulama Umno? Masalah yang timbul siapa pulak akan jadi Mursyidul am Dewan Ulama Umno? Dato Hamid Othman atau Dato Yusof Noor? Mungkin juga ustaz yang tendang tong sampah dalam pilihanraya umum di Permatang Pauh dulu boleh dipertimbangkan.Mungkin Dato Jamil Khir yang senyap membisu dalam isu lesen judi bola boleh jadi timbalannya.

Jika era Pak Lah yang dianggap keturunan ulama Umno dikatakan mendapat sokongan 'ulama' mampukah zaman 1Malaysia yang diselubungi pelbagai isu dan skandal untuk membawa imej kepimpinan Islam?

26 June 2010

40 'ULAMA' UMNO AKAN SENASIB SEPERTI KISAH ALI BABA DAN 40 PENYAMUN?

4O 'ulama' masuk Umno. Itu antara tajuk utama muka depan akhbar yang menjadi pengampu nombor 1 Umno. Tak tahulah apa kriteria yang digunakan oleh media atau pemimpin Umno untuk menggelar mereka ulama.

Presiden Umno kata itu bukti Umno tegakkan Islam. Ohhh.. patutlah lulus lesen judi sebelum ini untuk menegakkan Islam rupanya. Tetapi kenapa ramai isteri pemimpin parti yang mendakwa tegakkan Islam rambut terjulur keluar? Hukum dan kitab fekah mana yang mereka pakai? Harap-harap 'ulama' dalam Umno dapat keluar fatwa.

Seorang kawan saya yang ada hubungan saudara sebelah isteri yang balik dari Jordan kini jadi YB Umno pernah beritahu tak pe lah isteri pemimpin Umno tak tutup aurat sebab katanya zaman Nabi ada isteri Nabi yang kufur. Nauzubillah...sedar tak apa dia cakap? Tapi inilah contoh hasil tarbiyyah yang dia dapat hasil usaha untuk membersihkan Umno. YB ni kalau bersalam dengan perempuan bukan mahram dah tak jadi kudis gatal....Pemimpin Umno yang lain sama je 2 X 5...Inilah contoh Islam ala Umno.

Sepanjang zaman Umno disertai oleh 'ulama-ulama' hebat tetapi apa yang berlaku pada mereka?Contohnya Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad. Berjayakah mereka mengislamkan Umno. Terbukti mereka akhirnya tenggelam dan karam dengan dunia politik Umno.

Kita tunggu apa yang berlaku pada 40 'ulama' muda ini. Adakah mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti dalam cerita Ali Baba dan 40 penyamun....sama-samalah kita tunggu.

24 June 2010

UMNO HANYA MAMPU LAHIRKAN ULAMA COPY & PASTE


Copy & paste istilah yang cukup popular terutamanya kepada pelajar kolej dan universiti yang memilih jalan singkat untuk menghasilkan tugasan. Bermakna karya atau tulisan orang lain diciplak tanpa izin serta membuktikan pelakukanya seorang yang kering idea serta memiliki pemikiran dan ilmu yang dangkal.

Inilah yang berlaku daripada 'ulama' hasil produk keluaran Umno. Setelah teruk diasak tentang keceluparannya mengaitkan tokoh negara dan pimpinan Pas terlibat dengan Jemaah Islamiah akhirnya Zamihan Mat Zin - penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) mengakui bahawa beliau hanya copy paste berdasarkan tulisan Ustaz Dr Asri Zainal Abidin. Beliau juga menafikan mengaitkan Tuan Guru Dato seri Hj. Hadi Awang dengan JI.

Katanya, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri melalui sebuah buku Bid'ah: Istilah yang disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu. “Saya hanya copy and paste (salin dan tampal) pandangannya yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian,” jelasnya.

Maka kita berharap agar Umno akan melahirkan lebih ramai ulama copy paste seperti Zamihan.

BILA DR MAHATHIR TAK BELAJAR SEJARAH


Saya tak pasti kitab sejarah mana yang Tun Dr. Mahathir baca apabila beliau berkata Pas yang tertubuh hari ini diasaskan oleh bekas ulama yang sebelum ini berada di dalam Umno. Beliau berkata demikian sebagai menghangatkan spekulasi penyertaan 100 'ulama' yang akan masuk secara borong ke dalam Umno esok.

Untuk makluman Dr. Mahathir sewaktu mengambil subjek sejarah di sekolah dahulu saya tidak pernah dapat gred A- ke bawah. Minat dalam subjek sejarah menyebabkan saya membuat pengkhususan dalam subjek sejarah semasa di universiti walaupun kerjaya saya sekarang tidak lagi berkaitan dengan subjek sejarah. Bukan nak bangga diri tetapi sekadar nak beritahu bahawa beliau mungkin boleh kelentong penyokong Umno tegar tetapi bukan generasi seperti saya.

Tidak pernah pun saya terbaca dalam mana-mana kitab sejarah bahawa tokoh-tokoh terulung yang mengasaskan penubuhan Pas seperti Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Dr. Burhanudin Al Helmy,Dr. Hj Abbas Alias Ustaz Ahmad Fuad dan ramai lagi yang mengisi borang menjadi ahli Umno.

Mereka terdiri daripada golongan yang mendapat didikan di Timur Tengah yang digelar sebagai Kaum Muda yang berjuang secara konsisten menentang penjajah British. Mereka mengasaskan institusi pendidikan untuk mendidik anak bangsa tentang Islam sebenar seperti Ehya Al sharif di Gunung semanggol yang disifatkan oleh British sebagai 'bahaya dari gunung'.

Kronologi kisahnya panjang tetapi sehingga hari ini tokoh-tokoh ulama yang mengasaskan Pas tidak sama sekali 'kebulur' untuk menjadi ahli Umno.

Apa yang saya tahu adalah beberapa pimpinan dan tokoh Pas yang menyertai Umno seperti Ustaz Nakhaie Ahmad yang kini menjadi 'ulama besar' bertaraf mursyidul am dalam Umno.

Hari ini 'ulama-ulama' yang ada dalam Umno merupakan golongan yang tercicir dari jalan dakwah serta mereka yang terpesona atau terpedaya dengan habuan yang ditawarkan oleh Umno dengan cuba mencari jalan pintas dalam perjuangan tanpa memahami sirah sebenar perjuangan yang dibawa Nabi SAW.

Pas memang dikenali tidak pernah tandus tokoh-tokoh ulama yang sentiasa bersilih ganti untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Islam. Maka Umno yang gerun dengan sokongan padu ulama-ulama muda cuba mencari jalan untuk 'mengislamkan' Umno. Antaranya ditubuhkan ILIM ( Institut latihan Islam Malaysia). Tetapi sayangnya pusat latihan seperti ILIM ini gagal menyaingi sistem tarbiyyah sudah bertapak sekian lama dalam Pas. Maka lahirlah golongan 'ulama' dari ILIM yang hanya pandai membodek dan mengampu pemimpin Umno seperti Zamihan Mat Zin yang membuat tuduhan bangang bahawa Presiden Pas terlibat dengan JI.

Sebenarnya 'ulama-ulama' Umno seperti Zamihan dan yang sewaktu dengannya bukan akan menguatkan dan membawa imej Islam dalam Umno tetapi sebenarnya menyebabkan Umno terus dipersenda dengan imej Islam 1Malaysia misalnya 'fatwa' menghalakan kerjasama dengan APCO milik Yahudi dan begitu kemaruk hendak meluluskan lesen judi bola

23 June 2010

KERAJAAN UMNO-BN TERDESAK TUDUH PRESIDEN PAS DENGAN JI


Kerajaan Umno-BN sudah tandus dan hilang modal untuk berhadapan dengan pengaruh dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Isu Jemaah Islamiah (JI) adalah cubaan terkini Umno-BN untuk mengkaburi pandangan umum untuk mengaitkan tokoh Pakatan Rakyat dengan anasir JI.

Memetik laporan Malaysiakini berdasarkan taklimat Keselamatan yang dihadiri oleh pegawai tertinggi polis di sebuah hotel di Sepang malam semalam mengaitkan Presiden Pas Tuan Guru Dato Hj. Abdul Hadi Awang dengan JI. Turut disenaraikan ialah bekas Menteri Besar Perlis,Datuk Seri Shahidan Kassim. Manakala Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin dikaitkan dengan penyebaran fahaman wahabi.

Patutlah Perdana Menteri 1Malaysia beria-ia mempertahankan bahawa anasir JI wujud di negara ini. Rupa-rupanya seperti dijangka tokoh Pakatan Rakyat khususnya Pas akan dijadikan sasaran untuk mengkaburi dan mengelirukan rakyat bahawa Pas terlibat dan menaja aktiviti keganasan.

Tuduhan ini merupakan satu penghinaan dan tindakan yang begitu memalukan apabila Umno-BN cukup terdesak dengan menggunakan taktik keji dan kotor mengaitkan tokoh ulama dalam negara yang terkenal dengan ketokohan ilmu serta disegani kawan dan lawan dengan tuduhan yang tidak berasas.

Ternyata, piliuhanraya umum yang semakin hampir menjadikan Umno-BN hilang pedoman dan cuba bertindak di luar batas kemanusiaan serta bertentangan dengan prinsip dan lunas demokrasi.

Walau bagaimanapun saya menyeru semua pimpinan, ahli dan penyokong pakatan Rakyat agar bertenang serta tidak terpengaruh dengan fitnah dan propaganda yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN untuk memastikan strategi kotor Umno-BN akan memerangkap diri mereka kembali.Saya cukup yakin rakyat di negara ini cukup matang dan boleh menilai situasi terkini yang berlaku dalam negara.

20 June 2010

ISU JI DAN MILITAN ITU TANDANYA PILIHANRAYA DAH DEKAT

Saya agak pelik dan keliru dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan perdana Menteri tentang kewujudan anasir Jemaah Islamiah JI dan militan di IPT dalam negara dan di Timur Tengah.

Pertama, mengapa kerajaan beria-ia mengumumkan dan mempertahankan ada pelajar dan pensyarah terlibat dengan JI? Sepatutnya kerajaan melalui pihak keselamatan bertindak dengan menangkap pihak yang terlibat. Bukankah Malaysia ada pihak polis yang cepat dan pantas bertindak? Bukankah Kerajaan 1Malaysia ada ISA yang sering digunakan kononnya dalam menangani kegiatan pengganas?

Mengapa kena dedahkan pada media tentang anasir JI yang didakwa wujud? Bukankah jika dakwaan tersebut benar maka pihak yang terlibat akan bertindak untuk menutup aktiviti yang dilakukan ataupun menghapuskan bukti. Jika ada bom c4 misalnya pastinya bom itu telah disorok atau dibuang.Jika tidak pun seolah-olah memberi ruang kepada pihak yang mungkin terlibat untuk melarikan diri.Maka sekarang menjadi tanggungjawab Menteri Dalam Negeri untuk membuktikan dan mengheret mereka yang terlibat dengan JI seperti yang didakwa.

Sekaligus pendedahan anasir JI yang didakwa satu tindakan tidak bijak dan menimbulkan 1001 persoalan. Maka kerajaan 1Malaysia tidak boleh melenting seperti reaksi yang ditunjukkan Dato Hishamudin yang marah-marah apabila Dato Seri Anwar berkata isu JI adalah usaha Umno-BN untuk mengalih isu dalam negara. Spekulasi bahawa isu JI ada motif tertentu semakin hangat apabila Perdana Menteri 1Malaysia terpaksa berusaha meyakinkan rakyat di negara ini bahawa anasir JI memang wujud. Umpama cerita Panglima Bujang Lapuk...Ini betul-betul...bukan cubaan...

Maka saya turut berspekulasi adakah pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir? Skrip dan dialog yang macam sama. Apabila ada isu militan seperti Tragedi Bukit Jenalek tidak lama dahulu maka tak lama kemudian parlimen dibubarkan....Lebih-lebih lagi kajian Merdeka Centre yang sering menjadi alat Umno-BN mengumumkan populariti Najib meningkat 70 %....Jika betul itu angkanya maka istiharkan pilihanraya kecil di Parlimen Batu dan Kota Siputeh..Kita ltunggu ihat nanti siapa yang dapat 70% sokongan rakyat.Setakat ini saya melihat Umno-BN cukup bermadah dan berhelah untuk menghadapi pilihanraya kecil. Tetapi saya menjangkakan selewat-lewatnya selepas perbicaraan Liwat 2 DSAI berakhir. Kenapa dan mengapa....anda pasti ada jawapannya.


1BERITA, 1PERISTIWA JUMLAH TAK SAMA

Saya yakin ramai yang tidak setuju apabila saya sering melabelkan media dikuasai oleh Umno sebagai media penipu dan pengampu. Bagi saya akhbar dikuasai oleh Umno-BN hanya boleh dipercayai dari segi nombor bilangan muka surat, waktu solat dan keputusan empat nombor ekor. Lain-lain tu boleh baca nak percaya kena tapis 10 kali dulu.

Misalnya berita tentang Majlis Penutupan Sukma ke 13 di Melaka malam tadi. Cuba kita lihat dua edisi berita daripada Bernama. Pertama di bawah tajuk 'Sukan akan dijadikan Agenda Pembangunan Utama Negara'

....Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin, Perdana Menteri berkata penglibatan dalam bidang sukan boleh melahirkan modal insan cemerlang dan seimbang daripada segi kerohanian dan fizikal.

Dalam media yang sama bawah tajuk 'Acara Penuh Tradisi Negeri Iringi Majlis Penutup SUKMA Melaka

Majlis berkenaan disaksikan lebih 30,000 penonton, yang datang dari seluruh pelosok negeri Melaka membanjiri Stadium Hang Jebat, Kompleks Sukan Hang Jebat seawal pukul 5 petang.

Banyak sangat beza tu 50,000 dan 30,000 kalau akhbar atau media berbeza saya tak pelik. Tetapi ini media yang sama..memang sah pengampu dan penipu.

Jumlah penonton sebenar tak lebih pun 10,000 yang ramai-ramai tu ialah budak-budak sekolah dan kolej yang dikerah dari seluruh Melaka termasuk puteri dan wanita Umno yang diangkut dengan bas percuma serta diberi hadiah air sekotak dan roti sebungkus. Termasuklah pasukan kompang seramai kira 5,000 orang dan atlit dan pegawai yang terlibat dengan Sukma sekitar 10,000 orang.Itu belum termasuk peserta 'joget lambak' yang terkinja-kinja di tengah padang.

17 June 2010

SETELAH KIKIS DUIT PETRONAS DANA FELDA PULA JADI MANGSA

Saya tidak terkejut apabila kerajaan 1Malaysia mengumumkan bahawa dana Felda merosot kira-kira RM 2 bilion. Mungkin ramai yang tak menyedari bahawa, Felda merupakan GLC kedua terkaya selepas Petronas. Jadi tak pelik kenapa dan mengapa Perdana Menteri 1Malaysia begitu tertarik dan teruja dengan Felda.

Salah seorang ahli keluarga saya yang merupakan top 5 di Felda memberitahu pentadbiran dan pengurusan Felda selama ini merasa kurang senang apabila dana Felda sering digunakan kononnya untuk menyuntik aliran modal dan membantu ekonomi negara.

Perdana Menteri selama ini dilihat kononnya sentiasa memberi perhatian dan mengambil berat dengan Felda. Malah media sering menggambarkan bahawa beliau merupakan penerus kesinambungan bapanya yang bertanggungjawab untuk mengasaskan dan menubuhkan Felda. Rupa-rupanya itu semua cuma lakonan untuk mengkaburi pandangan umum.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor menjadi contoh terdekat bagaimana dana Felda digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional untuk merasuah pengundi.

Situasi ini sebenarnya sudah lama berlaku tetapi cuma baru kini didedahkan, itupun apabila melibatkan penyusutan jumlah dana yang bernilai bilion ringgit. Jika Umno BN dibiarkan terus berkuasa Dana Felda bukan hanya akan susut RM 2 bilion mungkin selepas ini habis segala aset harta dan tanah milik Felda akan tergadai dan dijual.

10 June 2010

RUPA-RUPANYA KAPAL-KAPAL ISRAEL SEJAK 1998 DIBENARKAN BERLABUH DI MALAYSIA!


Dalam sibuk-sibuk penduduk di seluruh dunia mengecam yahudi israel laknatullah kerana menyekat kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza rupa-rupanya kapal-kapal dagang israel dibenarkan menggunakan kemudahan pelabuhan di Malaysia.

Pelabuhan yang terlibat ialah Pelabuhan Barat di Klang, Terminal Utara, Pulau Pinang dan Pasir Gudang, Johor sebagai pelabuhan untuk memasuki Malaysia yang dikatakan bagi tujuan berdagang. Kapal-kapal israel dibenarkan menggunakan pelabuhan berkenaan sejak 1998 lagi!Kebenaran menggunakan pelabuhan di Malaysia dilakukan melalui Gold Star Line Ltd. yang merupakan anak syarikat Zim Israel Navigation Company (Zim Lines).

Perkara ini disahkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu kenyataan semalam.

Kapal-kapal dari Israel dikenakan beberapa syarat seperti tidak boleh menaikkan bendera negara berkenaan apabila memasuki atau berada di sempadan Malaysia dan anak-anak kapal tidak dibenarkan meninggalkan kapal apabila berada di dalam perairan Malaysia kecuali jika berlaku kecemasan.

Pengumuman ini sekaligus mendedahkan sikap hipokrit kerajaan 1Malaysia yang kononnya anti israel dan yahudi. Saya masih teringat lagi sekumpulan rakyat di negara ini pernah di belasah polis dan ditembak dengan gas pemedih mata semata-mata kerana menentang kemasukan pasukan kriket israel tidak lama dahulu.

Justeru itu, saya menggesa agar kerajaan 1Malaysia menuntut maaf kepada rakyat di negara ini kerana menyembunyikan kerjasama hubungan perdagangan Malaysia-Israel serta menamatkan serta merta semua bentuk kerjasama dan hubungan dengan negara haram yahudi.

08 June 2010

ISU JUDI SUKAN : DUA KALI BERDOSA


Judi haram, itu jelas tanpa ada qilaf di kalangan ulama muktabar. Judi menurut Al Quran dan hadis adalah antara perbuatan yang dikateogorikan dosa besar. Selain judi, menipu atau bercakap bohong juga dilabelkan sebagai berdosa dan dimurkai Allah SWT. Istilah 'bohong sunat' cuma ada dalam kamus orang Melayu. Walaupun dalam keadaan tertentu, berbohong diharuskan tetapi mempertahankan judi atau yang sewaktu dengannya sama sekali mengundang dosa berganda.

Dalam isu meluluskan lesen judi, Tan sri Vincent Tan kata sudah dapat kelulusan dan Menteri Kewangan yang semua sedia maklum siapa. Tak pasal-pasal semalam Utusan Malaysia dalam muka depan memetik kata-kata Menteri Kewangan di parlimen semalam bahawa kerajaan 1 Malaysia belum lagi meluluskan lesen judi sukan kepada syarikat Berjaya.

Apa yang pasti sudah dua kali dosa dilakukan di sini. Di pihak Vincent Tan peduli apa dosa pahala kerana dia bukan Islam. Tetapi jika dilakukan oleh pihak yang satu lagi, maka sudah dua kali berdosa. Pertama, lulus lesen judi dan kedua bercakap bohong tentang isu judi.

06 June 2010

JUDI HALAL, DUIT SEDEKAH HASIL JUDI?

RM 525 juta, Banyak tu !!! Tan Sri Vincent Tan berjanji akan memberi' sedekah' sebagai membersihkan dosa lesen judi yang diberi kepada syarikatnya oleh kerajaan 1Malaysia.

Setelah menghalalkan lesen judi bola, saya tidak nampak kerajaan 1Malaysia melihat jumlah RM 525 juta yang ingin disedekahkan oleh Vincent Tan sebagai duit haram. Lagipun Vincent Tan kata itu duit untuk kerja-kerja amal kebajikan. Bukan digunakan sebagai 'pelaburan' untuk membeli undi atau pun rasuah kepada mana-mana YB yang hendak menjadi wakil rakyat bebas.

Lagipun nilai RM 525 juta sangat banyak berbanding maruah wakil rakyat bebas yang dikatakan cuma bernilai RM 2 juta je. Saya merasakan tidak akan ada tawaran 'sedekah' dari Vincent Tan kalau beliau tidak mendapat nasihat daripada pihak tertentu. Bagi pemimpin yang berfikiran sosialis dan kapitalis mereka tak dapat beza antara duit halal dan duit haram. Bagi mereka duit tu sama sahaja, semua peluang yang ada mereka sapu!

Tetapi bagi mereka yang berpegang kepada ajaran agama lebih-lebih lagi penyokong dan pendokong gerakan Islam, walaupun cuma 5 sen kalau sumber haram, ia tetap haram. Tidak ada kaedah menghalalkan cara seperti program Loteri Kebajikan yang popular zaman pemerintahan Umno-Barisan Nasional satu ketika dahulu.

Tergamakkah pemimpin Umn0-BN yang menyokong judi menerima sedekah RM 525 juta dari Vincent tan untuk digunakan membina surau atau masjid? Jika tidak pun didermakan melalui Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk diagihkan kepada semua masjid dan surau sepanjang bulan Ramadhan nanti untuk digunakan untuk majlis berbuka puasa atau program mengimarahkan bulan Ramadhan?

Jika Umno-BN tetap berkeras ingin menghalalkan lesen judi, maka saya yakin mereka juga tak ragu-ragu untuk menerima duit sedekah dari hasil judi!Lebih-lebih lagi tokoh-tokoh agama dalam Umno pakat-pakat bisu dalam isu judi. Diam tanda setuju!

04 June 2010

UMNO K. TERANGGANU SOKONG JUDI BOLA?


Saya menerima email gambar ini dari seorang sahabat di Terangganu. Patutlah banyak bangunan runtuh di Terangganu apabila manusia secara terang-terangan dan angkuh mencabar hukum Allah.

02 June 2010

PRESIDEN CUEPACS MAKIN MERAPU

Presiden Cuepacs, Omar Osman makin merapu akhir-akhir ini. Sebelum ini beliau berkata 5 % daripada kira-kira .2 juta kakitangan awam memalsukan sijil cuti sakit.

Hari ini tahap merapunya semakin teruk dah tahap meroyan apabila berkata Seramai 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah sepanjang tahun lalu.


Nampaknya, Omar Osman lebih hebat daripada polis dan SPRM. Boleh jadi beliau mempunyai sesungut atau deria yang boleh mengesan pelaku rasuah. Saya pun tak pasti apa motifnya mengeluarkan kenyataan yang merapu dan mengelirukan tanpa disokong bukti.

Beliau kebelakangan ini lebih banyak mengeluarkan kenyataan sensasi dan kontroversi untuk menarik perhatian berikutan kegagalannya membela nasib dan menjaga kebajikan kakitangan awam di negara ini. Berbeza dengan presiden sebelum ini yang begitu lantang menjaga dan memperjuangkan nasib kakitangan awam di negara ini sehingga seringkali dianggap sebagai pro pembangkang. Beliau dilihat hanya sebagai pak turut dan pembodek kerajaan serta tidak mempunyai prinsip dan idealisme perjuangan.Barangkali beliau sedang mempromosi diri untuk jadi calon Umno-BN dalam pilihanraya akan datang.

39 DITANGKAP KERANA BERJUDI SECARA HARAM!

Polis Pulau Pinang semalam menahan 39 lelaki termasuk seorang warga emas yang sedang berjudi dalam sebuah kedai di Taman Desa Relau kira-kira pukul 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata semasa serbuan mereka yang berusia antara 25 hingga 70 tahun itu baru sahaja memulakan permainan judi cip (dadu) dalam premis kosong berkenaan.Beliau berkata serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Timur Laut selepas melakukan intipan sejak tiga hari lepas.

Gan berkata polis merampas wang tunai RM160, dadu, cip dan meja perjudian dalam serbuan itu, dan menurutnya semua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953

Moralnya :

Lain kali kalau nak berjudi kenalah dapat sijil halal judi dulu dari kerajaan 1Malaysia.

KABINET 1MALAYSIA BUKTI AHLI PARLIMEN BN WAKIL RAKYAT KELAS TIGA

Kalau ada anugerah khas atau rekod dunia, senator teramai dalam kabinet kerajaan maka jemaah menteri 1Malaysia pasti akan memenanginya. Walaupun ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan pelembagaan amalan ini kelihatan agak luar biasa.

Belum pernah dalam sejarah sejak penubuhan Malaysia, negara ini mempunyai senator teramai dari Dewan Negara menjadi menteri dan timbalan menteri.

Tindakan melantik senator secara pukal dan kemudiaannya dilantik ke dalam kabinet seolah-olah menunjukkan bahawa ahli parlimen atau wakil rakyat BN yang dipilih dalam pilihanraya umum lalu adalah wakil rakyat kelas ketiga. Sekaligus menunjukkan ahli parlimen BN yang ada tidak mempunyai kualiti dan ketokohan sebagai pemimpin.

Tetapi disebabkan desakan dan mengelakkan perpecahan maka mereka yang tidak berkelayakan dipilih menjadi calon dalam pilihanraya lalu. Ini mudah diteka,Umno-BN cukup bimbang akan berlaku perpecahan jika calon lain yang lebih terpelajar dan berkelayakan dipilih. Konsep dalam Umno-BN, siapa yang kuat melobi (mengampu) dan mempunyai duit banyak merekalah yang akan menjadi calon.

Natijahnya dapat dilihat hari ini, Dato seri Najib terpaksa mengimport orang luar walaupun tidak disenangi oleh akar umbi mereka sendiri untuk menyertai kabinet kononnya atas semangat 1Malaysia. Paling malang ialah orang Umno sendiri yang terkulat-kulat apabila tidak ada wakil mereka dalam rombakan kabinet.

Mungkin ini bertujuan untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu kepada BN...emmm dah terlambat...orang Melayu dalam Umno ni mereka hanya pandai berkokok dalam sangkar sahaja sebab itulah buat apa pun mereka tak berani nak membantah dan bersuara takut kena sembelih!