04 December 2008

LEBIH 99% HOTEL DI MALAYSIA TAK ADA SIJIL HALAL


Umat Islam yang mengunjungi hotel-hotel di negara ini diminta berhati-hati memandangkan hanya terdapat 18 sahaja hotel daripada sejumlah 2360 hotel di seluruh Malayasia yang mendapat sijil halal daripada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC).

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Siti Zailah Yusof dari Pas Rantau Panjang dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara ini perlu dipandang serius memandangkan kursus, mesyuarat dan seminar yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta sering dibuat di hotel. Soal makan minum berkaitan halal haram adalah penting bagi kesempurnaan akhlak dan aqidah Umat Islam.

Pengalaman saya yang sering mengikuti kursus di hotel yang dibuat secara pakej, para peserta tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa bertawakal menjamah makanan yang disedia dan dihidangkan oleh pihak hotel.

Kerajaan melalui agensi yang berkaitan perlu tegas dengan memulaukan hotel yang masih tidak memiliki sijil halal dengan tidak melaksanakan sebarang pakej dengan hotel berkenaan. Hanya dengan cara itu sahaja akan menyebabkan pihak pengurusan hotel akan lebih peka dan bertanggungjawab dalam menyediakan hidangan yang 100% halal.

Pendedahan ini sudah pasti sesuatu yang menghairankan bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dengan kerajaan yang mendabik dada melaksanakan pendekatan Islam Hadari di negara ini.

PATUTLAH MAKSIAT KAT MELAKA MENINGKAT SETIAP TAHUN

Sedang saya duduk lepak-lepak dengan komputer buruk di lobi sebuah hotel untuk akses internet percuma sambil tunggu anak habis tuesyen saya dapat panggilan telefon dari jiran di taman perumahan saya mengadu masalah. Maklum le orang penting kat taman katakan...ceh..

Katanya nak buat macam mana sekarang, kat sebuah rumah di taman saya ada penduduk mengadu ada seorang yang bekerja sebagai GRO bawa balik jantan tidur kat rumah. Saya kata saya kat luar, kejap lagi saya ada kuliah dengan pelajar sampai tengahari.

Jiran saya kata tak tahu kat mana lagi nak mengadu untuk ambil tindakan. Telefon pengerusi taman, pengerusi taman kata tak ada kuasa. Telefon JKKK, JKKK sibuk dengan tugas luar. Nak telefon tok imam, imam tak ada kat rumah. Paling sedap bila telefon pejabat Majlis Agama Islam Melaka ( MAIM ), MAIM kata hari ini tak ada operasi! Tunggu ada operasi baru boleh bertindak.

Maknanya buatlah maksiat sesuka hati siang atau malam, pagi atau petang, berkubanglah sepuas hati buat maksiat kat Melaka, MAIM tak akan bertindak sebab tak ada operasi. Patutlah kadar jenayah syariah dan kes anak luar nikah meningkat sekali ganda di Melaka( lihat posting saya sebelum ini ). Pihak penguatkuasaan bersikap sambil lewa. Siapa lagi nak diharap kalau orang jabatan agama tak nak bertindak?

Jika beginilah keadaannya, saya yakin kadar jenayah syariah dan kes buang anak serta anak luar nikah akan terus meningkat pada tahun depan. Kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam tolong peka sedikit masalah ini jangan asyik sibuk dan terhegeh-hegeh serta gegak gempita nak bagi gelaran Datuk pada Shah Rukh Khan aje..

P/S: bila balik saya sempat tanya jiran saya semula macam mana kesudahannya. Jiran saya kata tunggu masa Maim buat operasi je lah baru kita report...3.35 pm

KUALA TERANGGANU BAKAL MEDAN KEMPEN PEMILIHAN UMNO

Pilihanraya kecil P36 Kuala Terangganu bakal menyaksikan semua jentera dari parti yang bertanding akan bertumpu ke sana.

Pakatan Rakyat terutamanya Pas sudah pasti akan menggerakkan semua ahli dan pimpinan untuk melakukan yang terbaik untuk merampas semula kerusi parlimen berkenaan yang tewas dengan majoriti kecil dalam PRU lalu.

Seperti yang lepas-lepas kehadiran petugas dan jentera Pas di semua peringkat dari seluruh pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak adalah dengan menggunakan duit poket sendiri.Tidak ada sebarang ganjaran dan habuan atau upah dijanjikan kepada semua petugas Pas. Mereka datang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak. Inilah formula dan rahsia Pas dalam mentarbiyyah semua ahli dan penyokongnya.

Berbeza dengan Umno, kehadiran jentera mereka bakal ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Bukan sekadar ditampung semua perbelanjaan tetapi turut diberi elaun sepanjang masa bertugas.

Apa yang lebih menarik, pilihanraya P36 ini bukan sahaja pertembungan di antara PAS dan Umno yang mewakili BN tetapi juga medan untuk semua calon yang layak bertanding dalam pemilihan Umno Mac depan untuk melakukan kempen secara agresif.

Wang ringgit bukan sahaja bakal berterbangan untuk meraih undi pengundi Kuala Terangganu tetapi jumlah yang dijangka berkali ganda lebih besar bakal ditabur untuk berkempen dan mendapat 'aku janji' dari perwakilan bahagian-bahagian Umno yang akan berkampung di Kuala Terangganu.Mereka yang bertanding dalam Umno Mac depan pasti tidak akan melepaskan peluang menghantar juru kempen dan perayu mereka dalam pilihanraya kecil ini nanti.

Dijangka semua ini akan memberi kelebihan kepada Pas untuk merampas semual kerusi parlimen ini dari BN. Peluang Pas dilihat lebih cerah memandangkan Umno kini berada dalam keadaan yang cukup lemah akibat pemusuhan dan perpecahan daripada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi. Malah Pilihanraya kecil ini bakal dijadikan medan penyokong dan pengikut Idris Jusoh dan Ahmad Said untuk melunaskan dendam masing-masing.