28 October 2008

TUNDA PEMBELIAN EUROCOPTER: AMARAN PAK LAH KEPADA NAJIB?


Kerajaan hari ini mengumumkan menangguhkan pembelian helikopter EC-725 keluaran Eurocopter yang bernilai RM1.67 bilion menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan hari ini.

Alasan yang diberikan ialah sebagai langkah berjimat-cermat berikutan krisis kewangan global, kata perdana menteri.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga menteri pertahanan berkata, kerajaan juga memutuskan bahawa sebarang pembelian baru helikopter bagi menggantikan Nuri akan dilakukan selewat-lewatnya sebelum 2011.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Kebangsaan yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu.

Walau bagaimanapun menurut pandangan saya, tindakan Pak Lah merupakan satu isyarat kepada Najib yang bakal mengambil alih jawatan perdana Menteri dan presiden Umno agar tidak terlalu ghairah dan bersikap cuba lawan 'towkey'. Najib perlu ingat, walaupun pelan peralihan kuasa telah diumumkan pada Mac depan, pada ketika dan saat ini Pak Lah masih lagi Perdana menteri Malaysia. Bermakna beliau masih berpengaruh dan mempunyai kuasa. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Justeru itu pelbagai kemungkinan dan tafsiran dapat dibuat berdasarkan tindakan Pak Lah ini. Lebih-lebih lagi, Pak Lah dikhabarkan kurang senang dengan perkembangan terkini dalam senario politik negara yang seolah-olah cuba memencilkan beliau dari arus politik perdana. Kenyataan dari Muhyiddin Yassin calon favourite Timbalan Presiden yang menjadi regu Najib baru-baru ini dikhabarkan telah menimbulkan kemarahan Pak Lah. Mungkinkah Pak Lah akan menggunakan 'senjata' yang merupakan rahsia Najib dan menteri kabinet lain untuk memastikan beliau kekal berkuasa ? Sama-samalah kita nantikan perkembangan yang seterusnya.

SEMAKAN DAFTAR PEMILIH BARU

Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ketiga 2008 dipamerkan mulai hari ini hingga 3 Nov depan di 985 tempat seluruh negara selaras dengan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.


 

Pegawai perhubungan awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabri Said berkata ia akan dipamerkan di pejabat pilihanraya negeri, pejabat pos berkomputer, pejabat Kerajaan, pejabat daerah, pejabat tanah, majlis daerah atau perbandaran serta dewan serbaguna, rukun tetangga, balai raya dan balai penghulu.


 

Penyemakan daftar pemilih baru ini adalah sangat penting bagi memastikan tidak wujud sebarang penyelewengan dan penipuan sekiranya daftar pemilih baru ini digunakan dalam PRU ke 13 yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa selepas pemilihan Umno pada Mac tahun depan.


 

Kemungkinan PRU ke 13 akan diadakan lebih awal adalah berdasarkan Tsunami Politik yang melanda BN pada PRU ke 12 lalu sehingga buat pertama kali dalam sejarah BN hilang majoriti 2/3 dan tewas di enam negeri ( termasuk Wilayah Persekutuan ). Di samping itu isu pembentukan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat dan kesan kemelesetan ekonomi yang sedang melanda negara turut boleh menjadi alasan PRU ke 13 akan diadakan dalam tempoh terdekat.


 

Setiap cawangan dan kawasan dan jentera parti dalam Pakatan Rakyat perlu memberi perhatian kepada semakan daftar pemilih ini. Apa yang dibimbangkan kelekaan menyaksikan pergolakan yang sedang berlaku di dalam Umno menyebabkan tugas semakan ini tidak diberi perhatian.


 

Semakan daftar pemilih baru juga boleh dilakukan dengan melayari laman web spr di :

http://www.spr.gov.my

BANDAR AYA MELAKA BAKAL MENGHADAPI KESESAKAN TERUK


JAMBATAN HANG JEBAT YANG TELAH PUN DIROBOHKAN


JAMBATAN HANG TUAH YANG BAKAL DIROBOHKAN

Projek pengindahan sungai Melaka yang sebelum ini menerima pelbagai kritikan pelbagai pihak akan memasuki fasa yang seterusnya. Di antara pakej projek ini ialah merobohkan jambatan-jambatan yang merentangi sungai Melaka bagi memberi laluan bot pelancong yang lebih besar melalui di bawah jambatan baru yang bakal dibina.

Siapnya projek berkenaan nanti, bot-bot pelancong akan menyusuri sungai Melaka dari Bandar Hilir sehingga ke Melaka Sentral.

Di antara jambatan yang telah dan akan dirobohkan ialah Jambatan Hang Jebat ( dulu dikenali Jambatan Bailey ) dan Jambatan Hang Tuah. Jambatan Hang Jebat yang telah pun dirobohkan menyebabkan pengguna kenderaan sering mengalami kesesakan teruk terutama pada waktu pergi dan pulang dari pejabat. Apa yang lebih menghairankan, Jambatan Hang Jebat baru sahaja dibina tak sampai 10 tahun dan kini telah dirobohkan semula bagi membina jambatan baru !Inilah satu bukti pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Melaka.

Tidak lama lagi, Jambatan Hang Tuah yang terletak di antara Plaza Inn dan panggung Cathay lama di jalan Hang Tuah pula akan dirobohkan. Bayangkan apa yang bakal berlaku pada laluan utama di bandaraya Melaka ini ? Walaupun jambatan sementara akan dibina tetapi ini tidak mampu untuk mengelakkan kesesakan teruk yang bakal berlaku di tengah pusat Bandaraya Melaka. Apa perlunya jambatan baru sedangkan jambatan sedia ada masih kukuh dan elok lagi. Begitu juga yang berlaku pada jambatan Hang Jebat.

Semata-mata untuk mengindahkan Sungai Melaka yang hasilnya tidak seberapa, pengguna kenderaan di bandaraya ini bakal menjadi mangsa dengan kesesakan teruk yang bakal ditempuhi bertahun-tahun lamanya. Rasanya lebih memadai jambatan sedia ada dikekalkan kerana pada ketika ini bot-bot pelancong masih dapat melalui jambatan berkenaan.

Lebih wajar peruntukan yang pastinya bernilai puluhan jutaan ringgit digunakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur yang membawa manafaat kepada penduduk Melaka secara keseluruhannya dan lebih utama seperti menaik taraf kemudahan hospital Melaka yang kini semakin kritikal yang tidak mampu lagi menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah.