17 October 2009

PERSIDANGAN BADUT-BADUT?


Saya menamatkan 'puasa' sebaik sahaja berakhirnya persidangan Agung Umno. Berpuasa dari menonton berita Tv dan akhbar yang tak ada berita lain selain cerita-cerita tentang persidangan tersebut.

Tetapi bila bertandang ke rumah rakan taulan sempena rumah terbuka hari raya, belek-belek le juga akhbar harian yang menjadi lidah rasmi Umno. Saya melihat tidak ada sesuatu yang menjadi tumpuan dalam persidangan berkenaan melainkan akhbar-akhbar utama meletakkan gambar dan cerita di muka depan tentang lawak jenaka yang dibuat oleh pemimpin dan perwakilan semasa menyampaikan ucapan. Maka terpampang di muka depan pimpinan Umno diketuai Presiden mereka tergelak besar dengan ucapan perwakilan.

Adakah ini perubahan yang Umno ingin bawakan kepada rakyat di negara ini? Adakah persidangan ini sebagai program hiburan lawak jenaka seperti pertandingan Raja Lawak dan yang sewaktu dengannya? Atau mungkin persidangan Umno sebenarnya adalah persidangan badut-badut dari seluruh Malaysia untuk terus memperbodoh dan mempersenda rakyat negara ini yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi dan peningkatan masalah sosial?

Mungkin juga persidangan tersebut untuk menutup segala aksi liar dan ganas berstatus 18 SG / 18 SX yang ditonjolkan oleh Umno di Bagan Pinang. Tetapi saya cukup yakin majoriti rakyat di negara ini cukup matang dan sama sekali tidak akan menerima lawak bodoh yang dipersembahkan.