22 September 2009

PAS BAKAL MENANG DENGAN UNDI PROTES DI BAGAN PINANG?

Suasana kempen dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang masih sejuk dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri. Tetapi suara-suara telah mula kedengaran tentang kebimbangan siapa bakal menjadi calon Umno di Bagan Pinang. Bagi Pas siapa pun yang bakal diumumkan sebagai calon akan mendapat sokongan padu sama ada di peringkat akar umbi dan juga kepimpinan peringkat negeri dan pusat. Bagi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat siapa pun yang bakal Pas akan namakan sebagai calon mereka akan beri sokongan padu.

Berbeza dengan Umno yang kini berada dalam dilemma untuk menamakan calon mereka. Mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon dianggap seperti sengaja mengundang kekalahan kerana 'dosa lampau' Isa Samad masih tidak dapat dilupakan sehingga kini. Dr Mahathir sendiri 'menasihatkan' Umno agar tidak mencalonkan Isa Samad bagi mengelakkan Umno sekali lagi ditolak oleh pengundi. Bagi Pas walaupun tidak dizahirkan secara nyata pasti 'lebih gembira' jika Isa Samad menjadi calon. Tetapi mencalonkan nama selain Isa Samad bermakna bakal mewujudkan protes secara senyap penyokong kuat Isa Samad di Bagan Pinang dalam Parlimen Telok Kemang yang Isa Samad ketua bahagian Umno di situ. Awal-awal lagi Umno Bahagian Telok Kemang mencalonkan Isa sebagai calon tunggal untuk mempertahankan undi kerusi Umno di situ. Isa Samad walaupun tokoh kontroversi di peringkat nasional tetapi masih disanjung dan dapat kepercayaan di peringkat bahagian. Malah Umno di situ masih lagi menganggap pemecatan dan pengantungan Isa Samad dalam Umno satu ketika dahulu adalah satu konspirasi terancang. Penyokongnya masih setia bersama dengan Isa Samad.

Pilihanraya kecil atau besar walaupun ada tenaga dan pakar dari luar datang mencurah-curah membantu, sokongan akar umbi dan jentera parti di peringkat tempatan adalah sangat penting. Umno peringkat pusat pasti tidak mahu sejarah pahit penolakan calon kontroversi mereka di Permatang Pasir berulang di Bagan Pinang. Lebih-lebih lagi pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa calon Umno di Bagan Pinang bebas rasuah. Maknanya Isa Samad tak masuk dalam senarai! Jika itulah keadaannya Umno bakal berdepan bukan sahaja saingan sengit Pas yang disokong oleh Pakatan Rakyat mereka juga bakal ditolak secara senyap oleh pimpinan dan penyokong Umno yang menjadi pengundi di Bagan Pinang yang masih dulu kini dan selamanya bersama Isa Samad. Ramalan saya Umno bakal menempah kekalahan ke 8 dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.