18 December 2008

BABI DISANGKUT ATAU BABI TERSANGKUT?

Tak habis lagi cerita babi sangkut di Melaka. Bulan lepas, rumah AJK Umno Bahagian Masjid Tanah mendapat 'menu' istimewa ini. Semalam, kain rentang PEWARIS di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak pula menjadi mangsa.Cuma kali ini, yang disangkut atau tersangkut ialah kepala babi hutan dan bukan kepala babi dari ladang peliharaan yang berhampiran seperti sebelum ini.

Kenapa mereka memilih babi? Babi cukup sensitif pada orang Melayu. Walaupun ada di kalangan mereka tidak sembahyang dan puasa atau pun beramal menurut ajaran dituntut Islam, pasti mereka akan loya dan nak termuntah bila masuk bab babi.

Saya yakin, perkara ini akan terus berlarutan selagi isu asal masalah ini tidak ditangani dengan baik dan berkesan. Saya tidak terkejut jika dalang dan masalah pokok yang berlarutan menyebabkan akan ada selepas ini kepala babi akan diletakkan di surau dan masjid atau di rumah pak imam dan bilal.

Perkara pokok yang perlu diselesaikan ialah masalah pencemaran bau busuk dan pencemaran air sungai yang hitam pekat dari ladang babi yang mencemari dan mengalir ke perkampungan tradisional melayu berhampiran. Di antaranya seperti di Kampung sungai Tuang, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru.

Itu isunya, bukan isu perkauman atau permusuhan kaum. Tetapi ada pihak cuba melaga-laga dan menangguk di air keroh seolah-olah wujud ketegangan kaum khususnya di kalangan orang cina dan Melayu. Bapa saudara dan ramai kaum kerabat saya tinggal di sana khususnya di Kampung Sungai Tuang. Tanyalah mereka, masyarakat Melayu dan cina di sana sekian lama hidup dalam suasana yang cukup harmonis dan bekerjasama serta bersatu padu.

Kepada kerajaan negeri diterajui oleh Ali Rustam, selesaikanlah isu yang sebenar dan jangan mengalihkan isu pokok yang telah lama berlarutan yang gagal ditangani dan diselesaikan oleh kerajaan negeri.

DAKWAAN DR MAHATHIR DAN PEMBANGKANG BERASAS


Gerbang Selatan Bersepadu(GSB) yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin(CIQ) Sultan Iskandar merupakan cadangan utama Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri untuk mengatasi kesesakan di Tambak Johor yang telah beroperasi sejak 1967. Selain ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan memodenkan sistem keluar masuk ke negara ini dari arah Selatan.

Tambak Johor serta kemudahan yang ada sebelum tidak mampu menampung keperluan dan bilangan kenderaan yang meningkat saban tahun. Selain itu, pembinaan Jambatan Bengkok yang merupakan satu komponen penting GSB akan membantu meningkatkan dan memajukan pelabuhan di Johor serta melancarkan sistem aliran air yang tersekat dengan adanya Tambak Johor.

Namun begitu, jambatan bengkok tidak menjadi kenyataan. Pak Lah dituduh lemah dan penakut. Perjanjian dan kerja-kerja awal telah dilakukan. Pampasan bernilai RM 236 juta terpaksa di bayar kerana kerajaan telah melanggar perjanjian. Senang-senang je syarikat kroni dapat buat duit banyak tu. Untung atas angin!

Walaupun jambatan bengkok tidak menjadi kenyaataan,pembinaan CIQ bernilai RM 1.3 bilion diteruskan.Apa yang berlaku, jalan yang lebih jauh terpaksa dibina untuk kenderaan dari Singapura dan Johor menghala ke CIQ.

Apa yang berlaku hari ini? walaupun CIQ serba moden dan canggih tetapi tidak mampu menampung kesesakan. Malah kesesakan bertambah kronik! Jalan ke CIQ yang jauh berbanding Tambak Johor, lorong yang sempit dan berbukit menceritakan bahawa CIQ tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang kerap berlaku di pintu masuk utama negara ini.Kebanyakan pengguna mengeluh dengan apa yang berlaku. Jarak perjalanan yang bertambah dan masa menunggu pemeriksaan kastam dan imigresen yang terlalu lama tidak membawa apa-apa makna kepada kompleks yang tersergam indah.

Semua ini menceritakan bahawa telahan Dr. Mahathir dan pembangkang selama ini yang dinafikan oleh kerajaan kini benar-benar menjadi kenyataan. Pembatalan pembinaan jambatan bengkok tidak memberi apa-apa makna kepada kompleks CIQ yang serba canggih ini.Projek CIQ projek yang membazir wang negara! Walaupun masih terlalu awal untuk menilai, tetapi apa yang berlaku sudah cukup menceritakan segala-galanya. Pembaziran wang negara dan wang rakyat kepada projek mega yang sia-sia. Apa lagi alasan kerajaan selepas ini? Adakah kerajaan akan menunding jari kepada Dr. Mahathir kerana projek berkenaan atau sekali lagi menyalahkan Singapura sebagai punca masalah yang berlaku?