26 October 2008

SIAPA SELEWENG DUIT DERMA ?

Harapkan pagar, pagar makan padi ! Itulah yang berlaku kepada seorang nenek, Salmah Mahmud di Alor Gajah Melaka yang menaruh harapan kepada tabung yang diwujudkan oleh Biro Kebajikan Umno Kuala Linggi bagi membawa pulang anak dan lima cucunya di Lombok Indonesia.

Tabung yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu berjaya mengumpul sekitar RM seribu ringgit hasil derma dan simpati orang ramai. Malangnya, tabung itu hanya tinggal RM 450 tanpa diketahui ke mana duit tersebut dibelanjakan.

Malah, nenek itu yang juga ibu tunggal, Salmah Mahmud, 67, dari Kampung Bukit Darat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, tidak pernah menerima sesen pun wang berkenaan walaupun tabung itu ditubuhkan bagi membantu membawa anak keempat dan lima cucunya pulang ke negara ini selepas ada di Lombok kerana mengikut menantunya enam tahun lalu.

Salmah pernah bertanya mengenai jumlah duit dalam tabung itu, tetapi jawapan diberi sungguh mengecewakan dan kini dia tidak lagi mahu mengharapkan bantuan biro berkenaan.

“Biar saya cari wang sendiri. Saya tidak harapkan wang dari biro itu lagi. Cukuplah apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi.

SELAMAT DATANG DATUK SHAH RUKH KHAN


Hari Rabu ini ( 29 Oktober 2008), Shah Rukh Khan artis Bollywood yang banyak menabur jasa kepada bumi Melaka akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka ( DGSM ) yang membawa gelaran Datuk.

Rakyat Melaka wajib berbangga dengan kesudian tokoh berkenaan untuk menerima anugerah berkenaan walaupun pada awalnya dia sendiri terkejut dengan anugerah yang bakal diterima.

Memandangkan jasanya yang tidak terhingga kepada bumi Melaka ini berbanding tokoh-tokoh lain yang tak layak dapat anugerah Datuk, marilah kita beramai-ramai berkumpul dan berbaris sepanjang jalan menuju ke Istana Melaka sebagai menghargai sumbangan yang tidak terkira Datuk Shah Rukh Khan kepada negeri ini.

Andai kata,Datuk Shah Rukh Khan tidak membuat filemnya di Melaka maka sudah pasti terjejas teruk industri pelancongan di Melaka terutama dalam menarik kehadiran pelancong dari bumi kelahiran Datuk Shah Rukh Khan.

Sekiranya anda tidak berkesempatan untuk datang , anda tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri Melaka sedang berusaha untuk mengadakan majlis gilang gemilang itu secara langsung di kaca TV anda. Tahniah pada Datuk Shah Rukh Khan dan Takziah pada orang Melaka !

SEORANG LAGI MENTERI LIDAH BERCABANG



Masa harga minyak naik pada pertengahan tahun ini, Tenaga Nasional Berhad mendesak kerajaan untuk menaikkan kadar tarif letrik. Maka menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang menjaga kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan tarif letrik sebanyak 10%.

Semasa pengumuman itu, menteri lidah bercabang ini berkata TNB tidak mampu menyerap kos akibat kenaikan harga bahan api berkenaan.

Semalam, dalam satu kenyataan menteri ini berkata tidak akan membuat semakan untuk menurunkan kadar tarif letrik. Apa menteri ini kata ? Semakan kadar baru tarif letrik hanya boleh dibuat setahun sekali iaitu setiap bulan Julai. Maka sebarang perubahan harga tarif letrik hanya boleh dibuat pada Julai tahun depan ( 2009 ). Lagipun TNB menurut beliau hanya menggunakan 40 % sumber minyak dan 60 % lagi menggunakan gas yang lebih murah untuk stesen janakuasanya.Jadi penurunan harga minyak di pasaran global tidak banyak menjejaskan kos operasi TNB.

Masa naikkan tarif letrik tak pula menteri ini kata demikian.Minyak naik kos operasi meningkat ! Minyak turun kos operasi ? Sekarang lain pula alasannya. Maknanya walaupun minyak di bawah paras $US 50 setong sekalipun kerajaan hanya akan menurunkan tarif letrik pada Julai tahun depan walaupun 60 % sumber tenaga TNB bergantung kepada gas !