03 August 2011

PROJEK IC PALSU: UMNO/BN GADAI MARUAH NEGARA


Sejak dari awal lagi apabila kerajaan Umno/BN beria-ia secara besar-besar mendaftarkan pendatang tanpa izin di negara ini saya menaruh perasaan curiga dan bimbang. Ternyata telahan saya berasas apabila satu persatu tembelang 'keikhlasan' kerajaan mendaftar pendatang tanpa izin terbongkar.

Sepantas membuat mee segera, pendatang tanpa izin di negara ini boleh mendapat status penduduk tetap sebelah pagi dan menjadi warganegara Malaysia dan pengundi berdaftar di sebelah petang!

Cuba bayangkan apa yang berlaku kepada negara ini jika penipuan dan konspirasi ini tidak terbongkar? Maruah dan keselamatan negara ini terancam dan berada di ambang bahaya. Hanya kerana takut hilang kuasa Umno/BN sanggup lakukan apa sahaja walaupun terpaksa mengadai dan memperjudikan nasib dan maruah negara. Adakah ini yang dimaksudkan oleh pemimpin atasan Umno tidak lama dulu bahawa akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya?

Hari ini pihak SPR cuba lepas tangan dengan menunding jari kepada kesilapan Jabatan Pendaftran Negara yang menjadi punca kekalutan yang berlaku. Patutlah Umno/BN cukup takut dengan BERSIH 2.0 kerana mereka kini sedang bergelumang dengan tangan-tangan terpalit najis untuk memporak perandakan negara ini.

Episod Projek IC untuk pendatang tanpa izin ini mengulang taktik kotor projek IC untuk pendatang tanpa izin di Sabah yang pernah mengemparkan negara satu ketika dahulu.

Saya sebagai rakyat Malaysia sudah hilang kepercayaan sama sekali pada kerajaan yang ada. Harapkan pagar pagar makan padi! Saya berharap DYMM Tuanku Yang Dipertuan Agong yang menjadi benteng terakhir negara ini agar campur tangan supaya malapetaka seterusnya tidak berlaku kepada negara ini. Langkah awal sebuah Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan segera untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi di negara ini