02 July 2010

DAKWAT DALAM BORANG UMNO BELUM KERING SUDAH MENIPU?

Sudah beberapa kali saya mengulas isu 40 'ulama' muda yang didakwa menyertai Umno. Belum apa-apa lagi sudah banyak kontroversi yang wujud. Dari segi bilangan 40 yang didakwa datang pun sudah tak betul. Ada yang kata 40 dan ada yang kata tak sampai 40. Ada yang yang kata dijemput dan ada pula yang kata mereka tak ada dalam senarai untuk jadi 'ulama Umno'.

Jurucakap kumpulan 40 ulama itu, Fadlan Mohd Othman dan Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid kini saling nafi menafi serta saling tuduh menuduh di antara satu sama lain tentang cerita '40 ulama masuk Umno'. Saya tak pasti siapa yang betul, tetapi yang saya cukup pasti di antara keduanya ada yang jadi ulama penipu! Sehingga hari ini Mohd Hosni yang juga pensyarah Maahad Tahfiz Integrasi Sains Teknologi Selangor tampil di pentas terbuka menafikan bahawa beliau mengisi borang Umno. Katanya 'saya memang tiada niat untuk masuk Umno... belajar agama tinggi nak masuk Umno buat apa?”.

“Saya hadir ke program ini kerana diberitahu oleh seorang tokoh agama Umno bahawa Perdana Menteri mahu menemui pelajar-pelajar yang pernah belajar di Timur Tengah.

“Jadi apabila diberitahu begitu saya tanpa syak wasangka bersetuju untuk mengikut tokoh agama menghadiri program itu.


Manakala Fadlan pula melalui media terus menafikan bahawa empat orang yang mempertahankan dijemput ke majlis berkenaan termasuk dalam senarai masuk Umno.

Pening juga dibuatnya, mungkin inilah hasil tarbiyyah pertama bila menjadi ahli Umno. Kalau ya pun tunggulah dakwat dalam borang Umno tu kering dulu....