13 July 2008

DILEMA DI ANTARA AGAMA VS PARAS RUPA



Bila Baginda Rasulullah menyatakan aspek-aspek wanita yang diberi keutamaan dalam pemilihan lelaki, ketika itulah ramai yang akan mengangguk mengiyakan kecantikan salah satu kefarduan dalam pemilihan aspek tersebut. Yang lebih menarik, kalam ini bukan sahaja berlegar dikalangan lelaki, namun wanita juga mementingkan juga aspek kecantikan rupa pada pasangannya. Jika kulitnya hitam, mukanya berjerawat, hidungnya tak mancung, kurang incinya, badannya gempal, mungkin ia bakal diletakkan dalam senarai nama yang tersisih dari pemilihan utama. Tidak kurang itu, ada yang mengatakan rupa tidak menjadi masalah tapi perwatakan dan imej mesti 'smart'. Itulah senario manusia bila diletak berbagai pilihan di depan mereka, mereka ingin memastikan pilihan itu adalah yang terbaik.

Namun sadisnya, mereka tidak meletak garis panduan dalam pemilihan tersebut yang menyebabkan penyesalan menimpa-nimpa ke atas diri mereka. Bila mereka berada lebih jauh dari itu, ketika itu perkara yang diingini tidak menjadi, yang diharapkan menjadi sia-sia. Membuat mereka berfikir kembali, menyesali pemilihan tersebut, langsung tidak menguntungkan mereka. Mungkin ada betulnya pepatah melayu pernah menyebut 'Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Benarlah sabda baginda SAW; 'Aku tinggalkan kepada kamu semua 2 perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya bilamana kamu semua berpegang 2 perkara ini, iaitu kitab Allah dan Sunnahku'.

Oleh kerana itu, kegagalan menyusuri dan mengikuti pegangan ini, menyebabkan kita terus dibawa arus duniawi yang sentiasa mencabar hati dan diri ini. Bagi menentukan pemilihan tersebut, tentunya Baginda SAW juga pernah bersabda sebagai satu 'guide line' yang paling terbaik untuk mengekalkan hubungan pasangan dan keluarga. Sabdanya; 'Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara, kerana hartanya atau kerana keturunannya atau kerana kecantikannya atau kerana agamanya, pilihlah yang beragama kerana ia akan menjaga kamu'.

Cantiknya permilihan itu bila ia berorentasikan agama. Satu aspek yang tidak dimamah usia dan terus kekal hingga kehidupan seterusnya. Namun realitinya ia sungguh payah untuk dipraktikkan. Akhirnya ia terus menjadi teori yang cantik tapi amalinya tidak sampai kemana. Itulah manusia yang selalu disebut didalam kitab suci Al-Quran sebagai mereka yang mudah terkesan dengan perhiasan duniawi. Mungkin kondisi paling selamat dalam membicara polimik ini, bila kita menggabungkan salah satu aspek bersama dengan agama. Mungkin cara ini dapat merealiasikan sedikit sebanyak sabda Baginda salallahualaihi wasalam daripada ia hanya tinggal sebagai teori semata.

Begitu hebat umat terdahulu, bila sahaja disebut oleh Baginda, hati dan jiwanya cukup bernafsu untuk melaksanakannya. Akhirnya daripada mereka ini, lahirnya generasi hebat yang meletakkan ketaatan kepada Allah dan Rasulnya dan sanggup mengorbankan nyawanya demi ketaatan ini. Sebabnya, pasangan terpilih dari agamanya terpilih yang membawa kelahiran generasi yang soleh. Itulah bandingan generasi terdahulu dengan generasi kini, memilih tersalah pilih, tidak mengetahui garis panduan dalam pemilihan dan seterusnya menyesali pemilihan tersebut. Generasi kini sebenarnya mampu ke tahap itu, tapi syaratnya biarlah pemilihan itu, meletakkan agama itu suatu prioriti yang ditekankan berbanding aspek yang lain.

Agama itulah kecantikkan hakiki. Yang tersirat berbagai rahsia yang mampu memberi kekuatan rumah tangga. Dialah bakal menjadi sayap kiri yang mengimbangi kehidupan yang mencabar ini. Yang rela bersama hadapi kesusahan, yang minta ditegur bila dia bersalah, yang ketika umur usangnya, dia tetap disayangi oleh anak-anak dan juga suami tercinta.