07 August 2009

GULA DI MALAYSIA HILANG DALAM JEREBU?


Seluruh negara agak panik apabila bekalan gula kehabisan. Terutama tidak lama lagi menjelang bulan Ramadhan dan Hari Raya. Gula adalah bahan wajib untuk penyediaan juadah berbuka puasa dan membuat pelbagai kuih muih raya. Maka tidak hairanlah ramai yang sanggup membuat 'ekspedisi' dari pasaraya ke pasaraya untuk mendapatkan bekalan gula. Tetapi ramai yang pulang hampa.

Minggu lepas saya berkesempatan dalam satu program di Perlis,negeri yang terkenal sebagai pengeluar gula terbesar di Malaysia. Dalam perjalanan pulang dari Padang Besar melalui ladang tebu yang menghasilkan gula di Chuping. Ladang tebunya saujana mata memandang seperti kawasan sawah padi di Pendang, sayup mata memandang. Tetapi, di Perlis bekalan gula juga kehabisan! Ini mengingatkan saya tentang kisah tak lama dulu apabila bekalan minyak masak kehabisan. Bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di kawasan Felda yang di kelilingi pokok kelapa sawit yang menghasilkan minyak masak yang terbesar di dunia!Kalau fikir-fikir balik memang tak masuk akal tetapi itulah yang berlaku.

Apa dah jadi sebenarnya? Adakah disebabkan sikap tamak pengeluar dan pembekal yang berjiwa kapitalis yang tamak haloba untuk mengaut keuntungan? Adakah ia berpunca dari langkah penguatkuasaan yang lemah atau sambil lewa? Barangkali gula di Malaysia ghaib hilang dalam jerebu yang sedang melanda negara.