20 November 2008

CALON KETUA WANITA UMNO:DUA-DUA SAMA JE..-MALAYSIAKINI


Akhirnya Shahrizat menamatkan segala spekulasi dengan mencabar Rafidah sebagai ketua wanita Umno. Pertembungan kali ini dianggap lebih sengit berbanding pertembungan di antara Rafidah dan Siti Zaharah sebelum ini.Ibarat buku bertemu ruas. Rafidah mendapat 117 pencalonan dan Sharizat pula mendapat 73 pencalonan. Jumlah pencalonan yang cukup meyakinkan bagi kedua-dua calon yang bertanding.

Apa kelebihan dan keistimewaan kedua-dua calon ini? Adakah Shahrizat bakal membawa reformasi dalam wanita Umno? Pada pandangan saya dua-duanya sama sahaja.Tidak ada sesuatu yang istimewa kepada gaya kepimpinan Sharizat. Malah siapa pun yang menang akan berhadapan dengan tugas yang sangat berat menyatukan semula wanita Umno yang semakin bergolak dan berpecah. Siapa pun yang menang terpaksa menerima hakikat bahawa akan terpaksa menjadi nakhoda kepada kapal yang hampir nak karam. Silap langkah dengan nakhodanya sekali akan tenggelam.

Pertembungan dan pertarungan yang bakal berlaku merebut jawatan wanita Umno bakal 'menyerikan' lagi kegawatan dan kemelut yang sedang berlaku dalam Umno. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyifatkan apa yang sedang berlaku dalam Umno akan menyebabkan Umno akan tewas dengan lebih teruk dalam pilihanraya umum akan datang. Rakyat sudak semakin mual dan muak dengan apa yang berlaku. Rakyat bakal memberi pengajaran yang paling berguna kepada Umno bagi memastikan Umno akan terkubur untuk dulu kini dan selamanya.


PENGEBOM BALI PUN DIBENAR SEMBAHYANG JUMAAT-MALAYSIAKINI


Imam Samudra,Mukhlas dan Amrozi sedang mendengar Khutbah



Datuk Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri melenting bila Raja Petra Kamarudin mempertikaikan prosedur tahanan ISA beragama Islam yang tidak dibenarkan sembahyang Jumaat.

Beliau berkata, solat Jumaat memang tidak diizinkan bagi tahanan ISA dan janganlah sesiapa memberi alasan untuk mempetikaikannya.

Saya tak bercadang nak mempertikaikannya tetapi cuma sekadar hendak berkongsi bahawa 3 orang pengebom Bali iaitu Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudra yang dijatuhkan hukuman mati baru-baru ini pun masih lagi dibenarkan sembahyang Jumaat dan sembahyang raya sementara menanti tarikh pelaksanaan hukuman mati dilakukan.

BILA RAZAK BAGINDA DILANTIK JADI HAKIM?-MALAYSIAKINI


Bekas penganalisa Abdul Razak Baginda hari mendakwa bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terbabit dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Malah, katanya, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak pernah bertemu dengan Altantuya.

Abdul Razak memberitahu demikian dalam sidang akhbar pertamanya selepas dibebaskan pada 31 Oktober lalu daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

Apa yang menjadi persoalan di sini kenapa dakwaan itu hanya muncul selepas Razak Baginda dibebaskan oleh hakim daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya? Berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh Razak dan isteri beliau sebelum ini. Ramai yang masih tidak lupa dengan kata-kata isteri Razak Baginda sewaktu mula-mula dihadapkan ke mahkamah dalam kes ini 'dia tak bercita-cita menjadi perdana menteri' Kepada siapa kata-kata ini ditujukan? Penafian Razak Baginda saya kira tidak kena tempat dan masanya.

Dalam masa yang sama akuan bersumpah penyiasat persendirian P Balasundram yang menghilangkan diri masih lagi menjadi teka-teki. Akuan bersumpah berkenaan terang-terang mendakwa Najib dan isterinya terlibat secara langsung dalam kes ini.

Begitu juga dengan akuan bersumpah yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin juga mengaitkan Najib dan isterinya dalam kes ini.

Lagipun Razak Baginda tidak ada hak untuk menafikan bahawa Najib tidak terlibat. Dalam soal ini biarlah mahkamah menentukan sama ada Najib dan isterinya terlibat atau tidak. Jika Mahkamah tidak berlaku adil, rakyat akan menjadi hakim sebenar kepada perbicaraan ini nanti.

Jika ia bertujuan untuk membalas jasa, tindakan Razak Baginda juga adalah tidak bijak dalam membantu untuk menyelamatkan karier politik dan memulihkan reputasi Najib yang teruk tercemar dengan pelbagai tuduhan dan skandal.

Penafian Razak Baginda sebenarnya akan lebih menguatkan sangkaan ramai pihak bahawa Najib dan Rosmah memang terlibat dalam kes ini.

POLITIK WANG; ALI RUSTAM DAN MD. TAIB MULA KEPANASAN-MALAYSIAKINI

Ali Rustam dan Md. Taib pastinya mereka yang gelisah dan tidak senang duduk bila aduan rasuah mula disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno yang dilaporkan turut membabitkan calon yang bertanding jawatan timbalan presiden dan naib presiden pada pemilihan parti, Mac depan.

Apakah malang yang pernah menimpa Isa Samad yang dibatalkan kemenangannya sebagai naib presiden akan berulang kepada kedua-dua calon ini?Rasanya kebanyakkan penganalisis politik dan pemerhati mengecualikan Muhyiddin dari gejala rasuah ini. Walau bagaimanapun, Muhyiddin tidak boleh merasa selamat dan mendabik dada seolah-olah 'maksum' dari budaya rasuah ini.

Siapakah yang dimaksudkan oleh bekas ahli parlimen Parit Sulong, Ruhanie Ahmad sebagai dibantu oleh 'kuasa ghaib' untuk mendapat pencalonan menggalakkan secara mendadak?

Kita akan melihat sejauh mana siasatan yang dilakukan benar-benar adil dan telus atau hanya sekadar gimik politik umno sahaja? Biasanya apa yang sering berlaku hanya ikan bilis sahaja yang tertangkap sebaliknya ikan jerung terlepas begitu sahaja.

Jika calon terbabit didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau jika menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail ketika dihubungi semalam mengesahkan siasatan membabitkan calon pada peringkat tertinggi parti itu sudah dimulakan, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu siasatan kes berkaitan kesalahan politik wang dipercepatkan supaya calon jawatan tertinggi yang terbabit, tidak boleh bertanding pada Mac depan.

Selepas 186 bahagian selesai mengadakan mesyuarat, 9 November lalu, perebutan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendapat 92 pencalonan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (48) dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib (45).

Lapan calon pula layak bertanding Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memperoleh 148 pencalonan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (103), Datuk Seri Shafie Apdal (82), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (70), Datuk Seri Syed Hamid Albar (32), Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (27), Tan Sri Isa Samad (26) dan Datuk Seri Dr Rais Yatim (26).

MANSUHKAN PTK!-MALAYSIAKINI


Saya menyokong 100% desakan Presiden CUEPACS, Omar Osman yang mendesak kerajaan memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK @ Pegawai Takda Kerja?) atau memboikot peperiksaan PTK jika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih meneruskan peperiksaan itu pada tahun hadapan.

Menurut Omar, proses kenaikan pangkat kakitangan awam yang dinilai mengikut prestasi dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan lebih berkesan berbanding kaedah peperiksaan yang digunakan sekarang.

PTK pada peringkat awalnya baik dari segi atas kertas. Tetapi pelaksanaannya penuh dengan kepincangan dan kepura-puraan. PTK hari ini telah disalah gunakan. Pekerja sanggup bersusah-payah dan bertungkus lumus untuk lulus PTK untuk dapat anjakan gaji. Sebaliknya dari segi kualiti kerja adalah di sebaliknya.

Pekerja hanya dinilai dari segi atas kertas. Semua urusan kenaikan pangkat perlu melalui tapisan PTK. Implikasinya ramai yang telah berpuluh tahun berkhidmat hilang dari segi 'seniority' gara-gara tidak lulus PTK. Mereka yang baru berkhidmat senang-senang dapat anjakan gaji dan melonjak gred kerana lulus PTK. Jadi apa erti sumbangan selama berpuluh tahun selama ini?

Di samping itu, pelaksanaan PTK sendiri banyak kepincangan dan timbul pelbagai persoalan dari segi ketelusannya. Saya mempunyai bukti, beberapa rakan yang tidak pernah menduduki PTK tetapi dapat gred lulus dalam slip yang dikeluarkan. Ini bukan cakap kosong atau tuduhan melulu. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas dakwaan ini.

Justeru itu, sewajarnya sistem PTK dirombak atau dimansuhkan. Satu sistem penilaian prestasi yang adil dan lebih telus perlu diperkenalkan agar dapat memberi keadilan kepada semua pihak. Apa yang lebih dibimbangi, jika kerajaan terus berdegil untuk melaksanakan sistem sedia ada prestasi dan kualiti kerja kakitangan awam akan terus merosot. Keadaan ini jika dibiarkan akan menjejaskan usaha kerajaan sendiri untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam di negara ini.

SOKONG BAWA REBAH-MALAYSIAKINI


Itulah yang yang dapat digambarkan apa yang berlaku dalam Umno.Pemimpin semasa berkuasa disanjung dan dijulang. Apa yang dikatakan semua betul belaka tidak ada cacat dan cela.Ke mana pergi akan diekori walaupun terpaksa meninggalkan anak dan bini serta suami.

Sebaliknya pemimpin mereka bila sokongan semakin hilang, kuasa dah mula kurang dan kedudukan tidak lagi terbilang masing-masing sudah mula tunjuk belang dan temberang.

Lihatlah apa yang berlaku kepada mantan Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir. Apa yang berlaku kepada beliau hari ini? Begitu juga kepada Pak Lah. Belum lagi turun kuasa dan masih jadi PM dan presiden Umno sudah mula nampak gelagat pengampu sebelum ini yang sudah mula tersipu-sipu dan menjauhkan diri.

Samalah juga apa yang berlaku kepada Rafidah. Dalam sekelip mata sokongan boleh berubah. Jadi apa yang Umno perjuangkan selama ini? Tidakkah 'pejuang-pejuang' Umno tulen melihat semua ini? Kepada mereka terutama golongan tidak berparti atau atas pagar yang telah 'terundi' atau mengundi Umno adakah anda hendak pilih pemimpin seperti ini dalam pilihanraya akan datang?

Berbeza apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat amnya dan Pas terutamanya. Pemimpin yang berkuasa dihormati yang pergi tetap diingati. Walaupun sejarah telah membuktikan bahawa terdapat bekas pimpinan Pas yang pernah menyertai parti lawan seperti seperti Nakhaie Ahmad tetap dia tetap dihormati dan tidak diaibkan sebegini rupa seperti yang berlaku dalam Umno.Ketokohan pimpinan terdahulu tetap dikenang dan dijadikan panduan sepanjang zaman.

Apa yang berlaku jelas menunjukkan sokongan dalam Umno adalah sokongan membawa rebah. Mereka sudah hilang teras dan matlamat perjuangan yang kononnya membela Melayu. sebaliknya Melayu makin ketinggalan dalam serba serbi. Melayu hanya menjadi juara dalam budaya negatif seperti jenayah, penceraian dan buang anak. Aset dan hartanah Melayu semakin susut dan surut gara-gara sikap tamak haloba pemimpin yang buas dan rakus mengumpul kekayaan dan gila kuasa.

Nama Melayu pun sudah semakin hilang. Apa lagi yang ada pada Melayu hari ini? Ohh..ada Keretapi Tanah Melayu..Patutlah Hang Tuah kata 'Tak Melayu Hilang Di dunia'.

Jadi kembalilah kepada pimpinan yang memperjuangkan keadilan dan menjaga kebajikan. Pilih pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Pilih pemimpin untuk menyelamatkan kita kehidupan di dunia dan di akhirat.