10 September 2008

PEGUAM NEGARA WAJAR DIPECAT


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar memecat Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail kerana engkar arahan supaya tidak terlibat dalam perbicaraan kes liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sebutan kes liwat itu hari ini, Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila menandatangani surat agar kes DSAI dipindahkan ke mahkmah tinggi.

Tindakan untuk memindahkan kes ini ke mahkamah tinggi apabila terdapat pihak tertentu yang merasa kurang senang cara Hakim Mahkamah Seksyen, SM Komathy Suppiah yang bepegang kepada kebebasan dan kedaulatan intitusi kehakiman yang tidak cenderung kepada mana –mana pihak.

Walau bagaimanapun, cubaan ini dicabar oleh Peguam Bela DSAI yang diketuai Datuk Sulaiman Abdullah yang menyebabkan kes ini dipinda pada 24 September untuk didengar semula.

DI SEBALIK PENGGANTUNGAN DATUK AHMAD ISMAIL


Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat petang tadi mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera , Datuk Ahmad Ismaill selama 3 tahun.

Pada pandangan saya tindakan yang diambil sebenarnya mempunyai agenda tertentu. Lebih –lebih lagi di tengah kehangatan isu pembentukan kerajaan baru pada 16 September nanti.

Tindakan ini sebenarnya bertujuan untuk memujuk dan ‘melembutkan hati’ komponen Barisan Nasional ( BN ) agar terus kekal dengan pakatan.

Keputusan ini lebih kepada tindakan terdesak apabila wujud suara lantang dari parti Gerakan dan MCA baru –baru ini yang ‘mengertak’ untuk keluar dari BN sekiranya isu yang dianggap menghina orang cina dilakukan Datuk Ahmad Said tidak diambil tindakan tegas. Malah wujud gesaan supaya Ahmad Ismail dikenakan ISA.

Tindakan ini dilihat akan menyebabkan wujud protes di kalangan pimpinan UMNO sendiri terutama UMNO Pulau Pinang yang dilihat sebelum ini ‘bermati-matian’ mempertahankan tindakan Ahmad Ismail.

Langkah ini sebenarnya akan lebih menguatkan keazaman dan tekad ahli parlimen UMNO yang dikatakan sebelum ini hendak ‘beralih angin’ untuk menyeberang ke Pakatan Rakyat.Apa –apapun sama –samalah kita tunggu nanti.Wallahu’alam.

CUMA SEKEJAP


Hari ini genap 10 hari umat Islam di negara ini berpuasa di bulan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Bermakna kita akan melepasi Fasa Pertama Ramadhan yang ada disebutkan dalam hadis Nabi SAW… yang ada menjelaskan bahawa permulaan Ramadhan sebagai rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan dari api neraka.

Marilah sama –sama kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana Fasa Pertama Ramadhan yang kita lalui benar-benar membawa rahmat kepada kita semua.

Adakah amalan dan ibadah kita semakin meningkat atau sebaliknya ? Berapa helai lembaran Al Quran yang kita dah baca ? Adakah masa kita lebih banyak digunakan membaca surat khabar dan bahan bacaan picisan daripada membaca Al Quran ? Bagaimana dengan masa kita ? Adakah lebih banyak dihabiskan dengan ‘shopping raya’ atau mencari ‘pembuka selera’ untuk berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan daripada berikhitkaf di masjid atau duduk di tikar sejadah ?

Mungkin juga ada yang merasakan tak mengapa, di akhir Ramadhan nanti boleh ‘pulun sakan’ mencari malam Lailatul Qadar. Itupun kalau sempat….Mungkin kematian terlebih dahulu menjemput kita. Mana tahu mungkin esok atau lusa.

Berita yang saya terima hari ini seorang rakan sejawat mendapat penyakit kanser tahap 4 membuatkan saya termenung dan terkesima. Beliau sebelum ini agak baik dengan saya dan begitu ceria. Benarlah seperti kata seorang doktor yang pernah menjemput saya semasa satu majlis ceramah tak lama dulu, kanser ini adalah satu ‘anugerah’ yang kadang –kadang datang tanpa disangka-disangka. Tanpa tanda-tanda dan isyarat yang jelas. Begitulah juga dengan kematian…

Justeru itu selagi nadi masih berdetik, gunakalah masa yang ada sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Hujah sibuk bukan alasan. Pandai –pandailah ‘curi ‘ masa untuk membaca dan berusaha untuk menghayati Al Quran dan melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita semua.