05 June 2009

PEWAKILAN MENGUNDI UNTUK MENENTUKAN HALA TUJU PAS


Setelah berhenti rehat untuk solat Jumaat dan makan tengahari, kira-kira 1000 perwakilan Pas dari seluruh negara akan mengundi untuk memilih calon timbalan Presiden dan tiga orang naib presiden serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Keputusan pemilihan dijangka akan diketahui pada malam ini. Siapa pun yang terpilih mereka akan memikul amanah yang sangat besar untuk menterjemahkan tema ucapan dasar Presiden Tuan Guru Dato Hj. Abdul Hadi Awang iaitu Islam Memimpin Perubahan. Apakah perwakilan akan mengekalkan muka-muka lama atau membuat keputusan berani untuk memberi mandat kepada muka-muka baru.

Pemilihan kali ini penting sebagai persediaan untuk menyediakan satu gandingan mantap di dalam Pas untuk digabungkan dengan Pakatan Rakyat sebagai persediaan untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara yang sebelum ini dikuasai oleh Umno@BN lebih setengah abad yang lalu.

SATU LAGI PROJEK BARISAN NASIONAL DI TERANGGANU BAKAL MENYEMBAH BUMI?


Ketika orang Umno@BN di Manek Urai sibuk menunggu durian runtuh sempena pilihanraya kecil yang bakal berlaku di Terangganu lain pula yang runtuh. Setelah dikejutkan dengan bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, sebuah lagi bangunan yang dibina era Islam Hadhari Terangganu Bestari hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.

Laporan sebuah akhbar hari ini menyebut bahawa sebuah lagi projek mega di Terangganu yang bernilai puluhan juta ringgit iaitu Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terenggannu (MBKT) di Batu Burok di sini telah menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Memang 'Bestari' sungguhlah kontraktor yang dilantik oleh kerajaan Umno@BN. Buat sekolah, sekolah runtuh, buat stadium bumbung roboh dan kini buat kolam, kolam bocor!

Dalam kes ini saya melihat Menteri Besar Terangganu Dato Ahmad Said masih sempat berpolitik dengan mengatakan beliau bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan memberi kerjasama penuh. Memanglah, semua projek itu bukan diluluskan dan dibina zaman beliau Menteri Besar tetapi pada zaman Dato Idris Jusoh. Inilah peluang beliau untuk mengenakan Idris Jusoh dan penyokong-penyokongnya yang cuba menggugat kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Walaupun kejadian ini merupakan satu peristiwa yang memalukan dan mencalar imej Umno@BN khususnya di Terangganu tetapi sebenarnya inilah peluang Ahmad Said untuk menutup mulut Idris Jusoh serta mereka yang sewaktu dengannya. Pada pandangan saya, Ahmad Said tersenyum dalam hati apabila menyaksikan projek-projek zaman Idris Jusoh runtuh satu persatu menyembah bumi.