07 November 2008

KES ANWAR : PEGUAM NEGARA WAJAR LETAK JAWATAN-MALAYSIAKINI


Mahkamah seksyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbicaraan kes liwat Datuk seri Anwar Ibrahim akan kekal dibicarakan di mahkamah seksyen. Hakim SM Komathy Suppiah memutuskan bahawa sijil yang ditanda tangani oleh peguam negara,Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes berkenaan tidak sah.

Peguam Negara wajar meletak jawatan serta merta. Pertama kerana melanggar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi supaya peguam negara dan ketua polis negara tidak terlibat dalam perbicaraan ini.

Kedua, terbukti kredibiliti beliau sebagai peguam negara telah musnah bila hakim memutuskan kes ini kekal di mahkamah seksyen.

Tidak ada cara lain yang lebih sesuai selain daripada meletak jawatan sekaligus dapat memulihkan institusi perundangan negara.

Malah tindakan beliau sebelum ini yang dilihat sering bersekongkol dengan pihak pemimpin BN dengan membuat pendakwaan terpilih menyebabkan rakyat di negara ini telah hilang keyakinan kepada Ghani Patail untuk meneruskan tugas sebagai peguam negara.

OBAMA LANTIK MIGRAN ISRAEL SEBAGAI KETUA STAFF WHITE HOUSE-MALAYSIAKINI


Walaupun masih terlalu awal untuk menilai perubahan yang dicanangkan oleh Presiden Amerika yang baru, pelantikan Anggota Dewan Perundangan Demokrat dari Illinois, Rahm Emanuel, migran dari Israel yang merupakan seorang Yahudi Amerika sebagai Ketua Staf di White House dapat memberi gambaran awal bahawa dasar Amerika akan terus dipengaruhi oleh kuasa dan pengaruh Yahudi dalam pentadbiran serta dasar luar negara terutama berkaitan masalah umat Islam di Palestin.

Menurut Fox News, Emanuel, 49, yang lahir di Chicago merupakan anak kepada Benjamin, seorang doktor yang dilahirkan di Israel manakala ibunya, Martha pula merupakan warga Yahudi Amerika dan kini bertugas di organisasi hak sivil di Chicago.

George Stephanopoulos menerusi ABC News memetik Obama berkata, beliau menyukai Emanuel kerana "dia tahu polisi, tahu politik dan tahu Capitol Hill White House".

Apa-apapun sama-sama kita nantikan apakah perubahan yang dimaksudkan oleh Obama. Adakah beliau akan meneruskan dasar presiden Amerika yang terdahulu atau sebaliknya?

PEMBEBASAN RAJA PETRA: BUKTI KERAJAAN BN MENCABUL UNDANG-UNDANG -MALAYSIAKINI


Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini menerima permohonan habeas corpus bagi pembebasan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau diperintahkan dibebaskan serta merta.

Berita ini sudah pasti sesuatu yang menggembirakan kepada semua pejuang demokrasi tulen di negara yang selama ini membangkitkan dan mengutuk tentang penggunaan ISA secara sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik sempit pihak tertentu.

Berita pembebasan ini pasti akan menyebabkan Najib tidak tidur lena kerana pastinya selepas ini RPK akan lebih lantang dan berani untuk membuat pelbagai pendedahan skandal yang berlaku. Saya yakin ramai rakyat Malaysia sedang ternanti-nanti kehadiran RPK sebagai saksi perbicaraan kes Altantuya nanti.

LAGI-LAGI PEMBAZIRAN DUIT RAKYAT DI MELAKA...-MALAYSIAKINI

Akibat kelalaian dan kesilapan yang tidak sepatutnya, sebanyak RM 2.55 juta terpaksa diperuntukkan untuk mengatasi masalah kulat yang berlaku di Poliklinik Ayer Keroh.

Walaupun baru beberapa tahun beroperasi masalah kulat ini semakin membimbangkan. Mengulas punca masalah yang berlaku Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Norpipah Abdol berkata ia berpunca dari suhu bilik yang terlalu sejuk serendah 16-17 darjah celsius dan kebanyakan bilik mempunyai kadar kelembapan relatif yang tinggi sehingga menyebabkan kulat mudah membiak.

Kenapa sampai jadi begitu? Adakah sebelum bangunan ini digunakan agensi kerajaan yang berkaitan tidak memantau perkara ini dengan teliti? Biasanya sijil layak menduduki (CF) memerlukan prosedur yang rapi. Bagaimana pula kontraktor yang terlibat? Semua pihak yang terlibat wajar bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan. Siasatan segera dan terperinci perlu dilakukan. Sekiranya berlaku penyelewengan, mereka yang terlibat mesti diheret ke muka pengadilan kerana jumlah RM 2.55 juta yang terpaksa dikeluarkan adalah sangat besar lebih-lebih apabila melibatkan duit rakyat.

BERSEDIA MENGHADAPI BANJIR-MALAYSIAKINI

Jabatan Meteorologi merekodkan taburan hujan bagi Disember dan Januari akan melebihi paras biasa. Justeru itu, mereka yang tinggal di kawasan rendah diminta bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir pada tempoh berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat (JPBBP) semalam turut tidak menafikan kemungkinan banjir akan berlaku.

Bagi penduduk Melaka khususnya kawasan mereka yang sering dilanda banjir kilat, berita kemungkinan berlaku banjir adalah sesuatu yang sering menjadi igauan. Malah setiap kali hujan lebat terdapat mereka yang mengalami trauma.

Bayangkanlah jika hujan lebat selama dua tiga jam pun air dah melimpah ke dalam rumah bagaimana agaknya bila hujan berlaku secara berterusan?

Hujan merupakan rahmat dan anugerah dari Allah tetapi disebabkan kelalaian manusia dalam melaksanakan pembangunan yang tidak terancang dan sistematik maka ramai yang menjadi mangsa banjir. Implikasinya berlaku kerosakan dan kemusnahan harta benda yang juga boleh mengancam nyawa.

Begitu juga apa yang berlaku di Melaka, pembangunan tidak terancang dan sistem perparitan tidak sempurna sering kali dilihat menjadi punca utama banjir. Sampai bila kerajaan negeri hendak membiarkan masalah ini berlaku? Adakah hendak menunggu ada nyawa melayang akibat banjir baru ketika itu kerajaan akan benar-benar serius untuk mengatasi masalah ini?

Tidak dinafikan walaupun ada usaha kerajaan negeri menghadapi banjir seperti membina kolam tadahan, membaiki sistem perparitan dan program tebatan banjir tetapi langkah ini masih kurang berkesan menghadapi banjir yang sering berlaku. Malah peruntukan untuk mengatasi masalah banjir masih jauh lebih sedikit berbanding kos pembangunan lain seperti projek pelancongan yang dilihat membazir dan hanya untuk kemegahan.Misalnya, jika kerajaan sanggup berhabisan sehingga ratusan juta ringgit untuk mengindahkan Sungai Melaka sehingga terpaksa berhutang kepada kerajaan pusat, berapa pula kos untuk mengatasi masalah banjir di Melaka?

Apa guna kerajaan negeri Melaka berbangga dengan Belanjawan lebihan yang dicatatkan selama lima tahun berturut-turut jika faedahnya tidak dapat dinikmati oleh rakyat Melaka. Sebaliknya rakyat sering dihimpit kesusahan dan ketakutan setiap kali musim tengkujuh dengan 1001 kemungkinan berlakunya banjir.