07 November 2008

BERSEDIA MENGHADAPI BANJIR-MALAYSIAKINI

Jabatan Meteorologi merekodkan taburan hujan bagi Disember dan Januari akan melebihi paras biasa. Justeru itu, mereka yang tinggal di kawasan rendah diminta bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir pada tempoh berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat (JPBBP) semalam turut tidak menafikan kemungkinan banjir akan berlaku.

Bagi penduduk Melaka khususnya kawasan mereka yang sering dilanda banjir kilat, berita kemungkinan berlaku banjir adalah sesuatu yang sering menjadi igauan. Malah setiap kali hujan lebat terdapat mereka yang mengalami trauma.

Bayangkanlah jika hujan lebat selama dua tiga jam pun air dah melimpah ke dalam rumah bagaimana agaknya bila hujan berlaku secara berterusan?

Hujan merupakan rahmat dan anugerah dari Allah tetapi disebabkan kelalaian manusia dalam melaksanakan pembangunan yang tidak terancang dan sistematik maka ramai yang menjadi mangsa banjir. Implikasinya berlaku kerosakan dan kemusnahan harta benda yang juga boleh mengancam nyawa.

Begitu juga apa yang berlaku di Melaka, pembangunan tidak terancang dan sistem perparitan tidak sempurna sering kali dilihat menjadi punca utama banjir. Sampai bila kerajaan negeri hendak membiarkan masalah ini berlaku? Adakah hendak menunggu ada nyawa melayang akibat banjir baru ketika itu kerajaan akan benar-benar serius untuk mengatasi masalah ini?

Tidak dinafikan walaupun ada usaha kerajaan negeri menghadapi banjir seperti membina kolam tadahan, membaiki sistem perparitan dan program tebatan banjir tetapi langkah ini masih kurang berkesan menghadapi banjir yang sering berlaku. Malah peruntukan untuk mengatasi masalah banjir masih jauh lebih sedikit berbanding kos pembangunan lain seperti projek pelancongan yang dilihat membazir dan hanya untuk kemegahan.Misalnya, jika kerajaan sanggup berhabisan sehingga ratusan juta ringgit untuk mengindahkan Sungai Melaka sehingga terpaksa berhutang kepada kerajaan pusat, berapa pula kos untuk mengatasi masalah banjir di Melaka?

Apa guna kerajaan negeri Melaka berbangga dengan Belanjawan lebihan yang dicatatkan selama lima tahun berturut-turut jika faedahnya tidak dapat dinikmati oleh rakyat Melaka. Sebaliknya rakyat sering dihimpit kesusahan dan ketakutan setiap kali musim tengkujuh dengan 1001 kemungkinan berlakunya banjir.

1 comment:

Fauzi said...

walaupun ada tebatan banjir.. tapi smlm bila air pasang.. Penuh juga air kat longkang besar Tmn Merdeka.

Harapnya tiada lagi banjir kat area Tmn Merdeka, Angkasanuri dsbnya.. Penat nak kemas!