11 April 2009

KE MANA PERGINYA NILAI KEMANUSIAAN?


Kejam dan zalim! Itulah perkataan yang dapat diungkapkan kepada mereka yang terlibat mendera Adi Anwar Mansur,23, semasa berada di dalam tahanan reman polis Klang.

Menurut ibunya Jiknah Harun, 49, mendakwa anaknya telah ditendang di bahagian belakang, dipukul di belakang kepala, dan dibelasan dengan getah air sehingga dia tidak mampu lagi menahan kesakitannya.

Malah lebih zalim lagi, mangsa dilaporkan telah dipaksa meminum bahan pelarut!

Kenyataan OCPD Klang,Mohamad Mat Yusof bahawa Adi Anwar mengalami kecederaan ketika bergelut sewaktu dia ditangkap tidak masuk akal berdasarkan kecederaan yang dialami seperti ingin melindungi pihak yang terlibat yang lebih kejam dan ganas daripada binatang!

Adi Anwar Mansur sekarang sedang bergelut dengan maut dan masih berada dalam keadaan koma dan kritikal serta masih dirawat dalam ICU.

Saya tidak mahu menyalahkan pihak polis, tetapi apabila perbuatan terkutuk itu berlaku semasa dalam tahanan reman, pihak polis perlu bertanggungjawab 100%. Semua pihak yang terlibat termasuk OCPD Klang perlu meletak jawatan serta merta dan dihadapankan ke sebuah suruhanjaya bebas untuk disiasat dan diadili.

Apakah pihak polis masih tidak puas hati untuk menjadikan orang awam sebagai mangsa seperti kes A. Kugan dan kes-kes sebelum ini? Polis Malaysia sudah cukup tercemar!Mereka yang terlibat sepatutnya merasa malu dengan uniform yang mereka pakai kerana setiap gaji dan elaun yang mereka terima adalah datang dari duit rakyat! Saya menunggu apakah reaksi Datuk Hishamudin Tun Hussin sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

SAMY VELLU TAK PUAS HATI DENGAN KABINET NAJIB


Akhirnya Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan kabinet yang diumumkan Najib tempohari. Beliau menyifatkan kabinet baru yang diumumkan oleh Dato Seri Najib berat sebelah berbanding dengan jawatan kabinet yang diperolehi oleh MCA.

Memang patutlah Samy Vellu bising-bising, MCA dapat 4 jawatan menteri sedangkan MIC hanya dapat satu. Nampaknya kabinet baru Najib bukan sahaja menyebabkan berlaku perpecahan dalam Umno tetapi turut membawa keretakan dalam komponen BN.

Kepada Samy Vellu, usahlah bermuram durja dan gundah gulana. Ternyata beliau tidak lagi 'kebal' di kalangan masyarakat India. Dalam pilihanraya ke 12 lalu dan semua siri pilihanraya kecil pasca PRU ke 12 majoriti masyarakat India cenderung kepada pakatan Rakyat. Ini kerana mereka mula melihat MIC tidak lagi membela dan menjaga kebajikan masyarakat India di negara ini.

Memandangkan majoriti masyarakat India kini bersama pakatan rakyat, elok rasanya MIC memikirkan semula penyertaan mereka dalam BN. Saya yakin pintu Pakatan Rakyat sentiasa terbuka untuk mana-mana parti yang ingin bersama menuju negara berkebajikan dan Malaysia Baru.

KHAIRY ADAKAN PERTEMUAN TERTUTUP DENGAN ALI RUSTAM

Semalam Khairy Jamaludin Ketua Pemuda Umno mengadakan pertemuan tertutup dengan Datuk Seri Ali Rustam bertempat di kediaman rasmi Ketua Menteri di Melaka semalam.

Apa yang menarik pertemuan itu melibatkan dua tokoh yang tersingkir dan terbuang daripada 'projek pembaharuan' yang dilakukan oleh Dato' Seri Najib sama ada di dalam Umno atau dalam kerajaan.

Pertemuaan ini dikatakakan berkait rapat sebagai perancangan dan perbincangaan survival politik mereka dalam Umno. Telah wujud keyakinan di kalangan pemimpin Umno sendiri bahawa Khairy bakal berhadapan tindakan lebih tegas daripada Lembaga Disiplin Umno berdasarkan penemuaan 'bukti baru' oleh lembaga itu. Walaupun Khairy menjelaskan ia lebih kepada perbincangan untuk menentu dan melantik Ketua Pemuda Umno Negeri yang baru.

Di Melaka pula, rakyat di sini semakin mempercayaai bahawa tempoh jawatan Ali Rustam sebagai Ketua Menteri agak goyah ketika ini. Menunggu masa untuk digantikan dengan Ketua Menteri yang baru. Beliau mungkin akan melepaskan jawatan sebagai ketua Menteri untuk memberi 'laluan' kepada muka baru.

Dalam pemilihan Umno yang lalu, Khairy bergabung dengan Ali Rustam bagi meneruskan legansi Pak Lah dalam Umno dan kerajaan bagi menyekat team Najib-Muhyiddin-Mukhriz. Salah seorang watak utama bagi memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tewas dalam persaingan Timbalan Presiden Umno setelah tersingkirnya Ali Rustam ialah Datuk Idris Harun, ahli Parlimen Tangga Batu bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Justeru saya tidak hairan langsung Idris Harun tidak terpilih dalam kabinet Najib.

Saya menjangkakan ada sesuatu yang bakal dilakukan oleh Najib untuk membersihkan saki baki pengaruh Pak Lah dalam Umno dan juga kerajaan. Ini penting supaya Najib memiliki kuasa dan cukup pengaruh agar semua pemimpin Umno dan kerajaan berada di bawah telunjuk beliau.

TERIMA KASIH DADDY


Terima kasih daddy...Agaknya itu yang diperkatakan oleh Dato Mukhriz selepas selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.