13 August 2008

SANTAI : KISAH MAIN DAM….


Samat baru sahaja berkahwin. Kerana tidak mempunyai rumah, terpaksa dia menumpang di rumah bapa mertuanya...

Malangnya, ada sesuatu yang tidak kena. Samat ni kuat sangat makan. Bapa mertuanya selalu merungut. Beras 20kg, tak sampai seminggu dah habis. Selalu tak macam ini. Sejak Samat duduk di rumahnya... cepat sangat barang-barang dapur habis. Samat betul-betul 'menghabiskan borehhh...'

Kebaikan Samat pula ialah, dia ni alim sikit. Tak pernah tinggal sembahyang. Malangnya bapa mertuanya tak pulak begitu... Waktu maghrib seronok depan tv tengok roda impian... lepas tu sambung tengok berita... lepas tu makan... lepas tu tidur.. esok bangun pukul 8... pergi kedai kopi... bersembang, sampai tengahari.

Balik makan, kemudian tidur... petang pergi kedai kopi lagi... main dam, berborak mengalahkan orang politik.Kerana sama-sama ada kekurangan ni lah yang menyebabkan si menantu tak berani menasihati bapa mertua, dan bapa mertua tak berani memarahi anak menantu yang kuat makan. Tetapi dia terus mencari idea... macam mana nak kenakan si Samat ni.. Bengang betul dia... dah lah tak kerja...melantak kuat pulak tu...

Suatu hari dia dapat idea... nak kenakan Samat.. "Samat, mari kita main dam haji..." katanya kepada Samat... "Boleh juga..." kata Samat tanpa mengesyaki sesuatu.

Bila sahaja bermain, dia sengaja membiarkan buah damnya dimakan oleh Samat... Dia hulur, Samat makan, hulur lagi... Samat makan lagi... hulur lagi makan lagi, dan lagi... dan lagi...

"Eh ko ni Samat... kuat betul makan laa... agak-agak laa..." katanya tersenyum..

"Alamak bapak mertua aku ni perli aku ni... mentang-mentang aku kuat makan.." fikirnya dalam hati... tapi tak apa...

Mereka bermain set kedua... bapa mertuanya hulur... dia tak makan... hulur lagi, tak makan juga... kena tangkap... tak macam set pertama... dia dah bijak sikit...

Bila tak makan, mestilah kena tangkap...(sesiapa tak tahu main dam haji tentu tak faham cerita ini...) kemudian bapa mertuanya dapat melangkah hingga ke haji...

Apa lagi....

"Ehh orang tak pernah sembahyang pun boleh pergi haji ke...?"

Merah padam muka bapa mertuanya... dia nak perli anak menantunya, tetapi dia yang terkena....

Selepas dari itu, Samat tak lagi kuat makan dan bapa mertuanya dah jadi alim... tak tinggal sembahyang lagi... sekarang ni ada kat Mekah kerjakan umrah... Nak pergi haji belum sampai seru... katanya laa...

Apa Nak Jadi ?


Data terkini dari Jabatan Agama Islam Melaka ( JAIM ) bahawa seramai 199 wanita beragama Islam dikesan melahirkan anak luar nikah dalam tempoh tujuh bulan pertama ( Januari – Julai ) tahun ini merupakan sesuatu yang membimbangkan.

Menurut sumber JAIM, jumlah mereka yang terlibat sebenarnya lebih ramai lagi. Ini disebabkan mereka yang terlibat dengan perbuatan terkutuk ini dapat menyembunyikan perbuatan mereka dengan melahirkan anak di klinik swasta, bidan kampung atau melarikan diri dari negeri lain supaya tindakan mereka tidak dapat dikesan.

Pendedahan ini menunjukkan betapa kroniknya masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang berlaku di negeri Melaka. Apa yang berlaku sepatutya membuka mata semua pihak khususnya pihak kerajaan negeri bagi membendung dan menangani masalah ini.

Pihak kerajaan negeri perlu bertindak segera dengan menghentikan dari menganjurkan program – program yang boleh mendedahkan golongan muda mudi kepada pergaulan bebas hingga menjerumus kepada perkara maksiat. Di antaranya termasuklah program Jom Heboh dan Sambutan Kemerdekaan yang akan diadakan tidak lama lagi.Seperti menjadi lumrah, setiap kali sambutan kemerdekaan ini diadakan ia pasti melibatkan konsert persembahan artis yang tidak senonoh dan melalaikan.

Program ini bukan sahaja menggalakkan pergaulan bebas muda mudi tetapi juga membazir wang rakyat. Sebaliknya digantikkan dengan program yang berbentuk kerohanian seperti forum atau wacana kemerdekaan, Majlis Puisi Kemerdekaan, Program sukan dan reakrasi untuk remaja , program Bacaan Yassin dan Solat Hajat, Ceramah Agama atau apa sahaja program sesuai yang dapat membimbing golongan muda mudi khususnya dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Sementara itu, semua pihak perlu turut sama berganding bahu dengan memikir dan melaksanakan tanggungjawab mengikut peranan dan kemampuan masing – masing. Sama ada di melibatkan sektor kerajaan atau swasta serta masyarakat di kampung atau di Bandar.

Apa yang lebih penting, tidak ada penyelesaian lain yang lebih baik selain kembali kepada Al Quran dan berpegang kepada Hadis Nabi SAW serta menjadikan ulama sebagai panduan dan ikutan dalam setiap aspek kehidupan. Semua pihak yang mengaku diri beriman perlu kembali dan menerima ajaran Islam sebenar secara menyeluruh sama ada di bidang sosial, ekonomi dan politik atau menjadikan Islam sebagai 'Way of Life'.


 


 


 

‘Kami Cuma Bercumbu Bukan Berzina’…


"Kebetulan saya terbaca kenyataan ini dalam akhbar kosmo semalam (12 Ogos 2008). Kenyataan ini terkeluar dari seorang artis yang di candid gambarnya ketika sedang bercumbu di pantai Port Dickson.

Islam tidak pernah menentang artis secara total. Tetapi kalau kenyataan sebegini memang ditolak dan ditentang oleh Islam. Mungkin sesetengah artis menyangka apabila diri bergelar artis atau akstres mereka akan mengikut rentak hidup artis Hollywood yang bebas bercumbu dan berzina di mana sahaja.


Percumbuan adalah perkara yang boleh menjurus ke pengzinaan. Kerana itu Islam melarang keras aksi dan adegan yang boleh mengjurus kepada pengzinaan. sejauh mana manusia dapat mengekang nafsu ketika bercumbu. Bahkan bercumbu merupakan muqadimah yang paling hampir kepada zina. Penulis bukan menuduh bahawa artis tersebut berzina. Kerana tuduhan ini memerlukan kepada 4 orang saksi yang menyaksikan pengzinaan itu. Tetapi penulis bimbang kalau-kalau kenyataan ini tersebar dan akan mempengaruhi remaja melayu yang lain supaya bebas bercumbu di masa sahaja.


Memang dimaklumi bahawa kebiasaanya remaja melayu terbiasa mengikut corak kehidupan artis kesayangan mereka. Jadi sewajarnya artis-artis melayu menunjukkan kesopanan dan adab sebagai seorang Islam. Artis-artis juga sepatutnya mendapat sedikit asas pendidikan agama supaya mereka mengetahui perbezaan di antara halal dan haram dalam Islam.


Saya masih bersangka baik bahawa artis ini masih belum faham tentang ajaran Islam keseluruhannya. Mungkin beliau menyangka bahawa hanya berzina yang diharamkan, bercumbu tidak apa. Tapi harapan penulis agar perkara ini tidak berlaku lagi di masa hadapan. Harap artis ini dapat meluangkan sedikit masa untuk belajar mengenai agama Islam di tempat tinggal beliau

DEMONTRASI ‘HALAL’


Melihat kepada ramainya pelajar UitM turun berdemontrasi kelmarin, terdetik di hati saya ' lain macam je' sambutannya. Apa yang lebih menarik pelajar boleh meninggalkan kampus, kuliah dan tutorial tanpa ada apa – apa tindakan dari pihak Universiti. Malah, Perdana Menteri menghamburkan pujian kepada Naib Cancelor UiTM, Dato seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah kerana 'kejayaan' demontrasi tersebut.

Puncanya, apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan agar UiTM membuka kuota 10 % kepada bukan Bumiputera. Mereka berarak dari Dataran Shah Alam sehingga ke Bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor.

Mungkin ini adalah langkah positif seperti persetujuaan kerajaan untuk meminda Akta Kolej dan Universiti ( AUKU ) untuk memberi kebebasan kepada pelajar berpolitik.

Maklumat yang diterima, demontrasi 'halal' itu turut diiringi pegawai dari Unit Hal Ehwal Pelajar dan pensyarah UiTM. Hebatnya…bertuah sekali pelajar UiTM kerana mendapat pegawai Hal Ehwal Pelajar ( HEP )yang begitu ' baik hati' kerana dapat meluangkan masa mengiringi pelajar berdemontrasi .

Era 90-an semasa berada dalam kepimpinan pelajar, saya turut terlibat dalam beberapa siri demontrasi. Demontrasi pertama ialah bersama dengan pelajar dari IPTA awam yang lain membantah tindakan kerajaan negeri Melaka mengambil tanah penduduk di Kampung pantai Tanah Merah dan Pantai Kundor untuk membina Logi Penapisan Petronas sekarang.

Malangnya, ketika itu kami tidak mendapat layanan 'istimewa'dari pegawai HEP yang baik hati seperti di UiTM. Malah, bila berlakunya demontrasi ada sahaja pegawai HEP yang akan turut memantau untuk mengesan pelajar terlibat untuk diambil tindakan tatatertib. Di samping itu, mereka yang disyaki menganjur atau terlibat dengan mana – mana demontrasi akan dipanggil untuk disoal siasat mengikut Akta Kolej Dan Universiti ( AUKU ).

Natijahnya, jika ada bukti yang nyata, pelajar yang terlibat dengan demontrasi boleh digantung pengajian atau disingkirkan dari Universiti ! Justeru itu, mana – mana pelajar yang ingin terlibat dengan demontrasi akan berfikir 2 kali kerana risiko yang bakal ditanggung.

Di sini, saya ingin mengucapkan 'tahniah 'dan 'syabas' kepada pihak pentabiran UiTM kerana 'keterbukaan' mereka membenarkan pelajar berdemontrasi.

Harap – harap selepas ini mana – mana IPTA dan IPTS boleh mengikut langkah 'positif' yang dilakukan oleh pihak UiTM. Begitu juga kepada pihak kerajaan.Jika selepas ini, ada pelajar yang terlibat dengan demontrasi sama ada isu nasional seperti kenaikan harga minyak atau berkaitan dengan pelajar, pihak IPTA akan memberi kebenaran kepada pelajar berkenaan. Mungkin mereka akan diberikan 'pengecualian menghadiri kuliah dan tutorial' sekiranya demontrasi itu bertembung dengan sesi kuliah dan tutorial.

Di samping itu juga, pelajar yang terlibat dengan demontrasi akan diberi 'merit' untuk untuk tujuan pengijazahan kerana 'keberanian' dan 'kepekaan' mereka dalam meperjuangkan hak dan nasib mahasiwa dan kepentingan Negara.