10 November 2008

ALI RUSTAM NAFI WUJUD KEM DALAM UMNO.-MALAYSIAKINI


Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam yakin pertandingan jawatan timbalan presiden Umno akan berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan tidak akan mewujudkan kem-kem tertentu.

"Ini kerana keutamaan ahli adalah kepada parti dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti adalah proses demokrasi dalam mana-mana parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ali yang juga naib presiden Umno adalah antara tiga calon yang akan bertanding merebut jawatan tersebut dalam pemilihan Umno Mac depan.

Dua calon lagi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Jika tidak wujud kem atau puak dalam Umno bermakna seolah-olah selama ini Ali Rustam buat kerja sorang-sorang sehingga mendapat 46 pencalonan dari bahagian Umno untuk jawatan timbalan presiden. Hebat sungguh ketua menteriku ini kerana berjaya menggunakan segala kudrat dan tenaga yang ada berkerja siang dan malam tanpa mengira hujan atau ribut, tanpa mengenal penat dan lelah menjelajah dari bahagian ke bahagian menjelaskan misi dan visi selaku calon timbalan presiden.

Keikhlasan beliau bekerja dan berkempen tanpa menggunakan mana-mana bantuan serta terlibat dalam mana-mana kem atau puak yang dikatakan wujud dalam Umno berbaloi apabila layak bertanding jawatan nombor dua. Apa yang lebih penting lagi beliau tidak menggunakan pengaruh politik wang untuk naik keatas seperti yang dilakukan pemimpin Umno lain.

Kepada Datuk Ali, kalau kenyataan itu dibuat kepada murid tadika mungkin semua akan angguk dan angkat tangan tanda bersetuju. Muhyiddin Yassin, Md. Taib dan Ruhanie Ahmad pula macam mana? Apa...Tak percaya ke ?

RESTORAN MAMAK TURUNKAN HARGA:KERAJAAN BILA LAGI?-MALAYSIAKINI

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) melalui 1400 pengusaha yang bernaung dengannya hari ini mengumumkan untuk menurunkan harga teh tarik dan roti canai sebanyak 10 sen dan nasi kandar 20 sen. Berita ini pastinya memberi sedikit kelegaan kepada pengemar makanan dan minuman berkenaan di seluruh negara. Walaupun jumlahnya kecil tetapi sedikit sebanyak akan dapat 'meringankan' beban mereka.Hakikatnya harganya masih tetap 'mahal'kerana kenaikan yang dibuat di antara 20 -80 sen akibat kenaikan harga barang sebelum ini. Walaupun rangkaian restoran 'mamak' ini terkenal dengan harga 'cekik darah' tetapi kesediaan mereka menurunkan harga patut dipuji kerana turut prihatin dengan beban pengguna.

Bagaimana pula dengan harga barang keperluan lain seperti minyak masak,beras, gula, tepung dan susu?Barang ini semua berada di bawah kawalan kerajaan. Harganya masih mahal dan membebankan terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah. Penurunan harga barangan ini sudah pasti akan mendorong peniaga barangan berasaskan barang kawalan berkenaan akan menurunkan harga. Tetapi sikap membisu kerajaan untuk menurunkan harga menyebabkan para peniaga berada dalam dilema untuk mengambil langkah yang sama walaupun menyedari keperitan yang dialami oleh pengguna.

Kerajaan sepatutnya perlu lebih peka dan sensitif terhadap kehendak dan keperluan pengguna di negara ini dengan mencari jalan untuk menurunkan barangan pengguna daripada memukul gendang kosong isu perpaduan dan ketuanan Melayu.

Walaupun harga minyak telah diturunkan sebanyak tiga kali dari RM 2.70 kepada RM 2.15 tetapi harga barang masih tidak terdapat tanda-tanda untuk diturunkan. Malah ada peniaga terus meletakkan harga yang tinggi akibat kelesuan penguatkuasan kerajaan.

Jika kita perasan dalam tempoh dua tiga minggu ini tidak ada kedengaran langsung operasi menagani kenaikan harga barang dilakukan oleh kerajaan. Ini menunjukkan operasi penguatkuasaan yang digembar-gemburkan sebelum ini hanyalah bertujuan untuk mengkaburi mata orang ramai. Orang ramai terus tertipu dan ditipu oleh kerajaan yang seolah-olah bermain silap mata menangani kenaikan harga barang.Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

'KATA DUA' SHARIZAT BERTUKAR JADI KELU TAK TERKATA-MALAYSIAKINI


Jika sebelum ini Sharizat memberi 'kata dua' kepada Rafidah tentang proses peralihan kuasa wanita agar dikaji semula atau dipercepatkan. Ramai beranggapan jika Rafidah kekal dengan pendiriannya untuk menetapkan proses peralihan kuasa seiring dengan peralihan kuasa dalam Umno yang sebelumnya dijadualkan pada 2010 maka akan berlaku pertarungan dan pertembungan di antara Rafidah-sharizat untuk jawatan ketua wanita.

'Kata dua' Sharizat dikatakan berpunca daripada desakan akar umbi. Kelantangan Sharizat juga disebabkan beliau mendapat 73 pencalonan daripada wanita bahagian. Jadi inilah masa yang dianggap sesuai untuk 'mengertak' Rafidah agar mempercepatkan proses peralihan kuasa. Shahrizat seolah-olah ingin menggunakan skrip yang sama seperti versi peralihan kuasa Pak Lah-Najib.

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini lain pula jadinya. Dari kata dua, Shahrizat jadi kelu tak terkata seperti kerbau dicucuk hidung apabila melihat sokongan padu yang diterima Rafidah di kalangan AJK wanita Umno dan bahagian-bahagian. Walaupun Sharizat dikatakan bersetuju dengan 'pemuafakatan' yang berlaku pada hari ini tetapi realiti sebenarnya ibarat 'api dalam sekam'. Di luar nampak elok tetapi di dalam panas membahang.

PERALIHAN KUASA OBAMA-BUSH VS PAK LAH-NAJIB-MALAYSIAKINI


4 November lalu seluruh dunia menyaksikan kemenagan besar Barrack Obama sebagai presiden Amerika dari parti Demokrat. Susulan daripada kemenangan besar itu satu mesyuarat di antara Obama dan Bush akan diadakan minggu ini untuk membincangkan proses peralihan dan penyerahan kuasa.

Proses peralihan kuasa di antara Obama dan Bush berlangsung dalam suasana yang harmonis tanpa berlaku sebarang masalah besar walaupun Bush daripada parti Republikan. Tidak ada isu berangkit. Tidak timbul istilah rumah siap pahat masih berbunyi. Jauh sekali wujud situasi baling batu sembunyi tangan atau tikam dari belakang.Serba serbinya nampak elok dan berjalan lancar.

Berbeza dengan proses peralihan kuasa yang dicanang di antara Pak Lah-Najib. Walaupun Pak Lah menyifatkan Najib sebagai teman setia di waktu susah dan senang tetapi seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena tentang proses peralihan kuasa ini. Sepatutnya apabila kedua-duanya daripada parti politik yang sama berbeza dengan Obama dan Bush proses peralihan kuasa Pak Lah-Najib sepatutnya lebih lancar lagi.

Inilah padahnya apabila berlaku proses peralihan kuasa 'setuju dalam paksa'. Umum mengetahui Pak Lah pada awalnya memutuskan untuk berundur pada tahun 2010 kerana merasakan banyak tugasnya untuk parti dan negara masih belum selesai. Tetapi disebabkan desakan hebat yang dipercayai didalangi oleh Najib, Pak Lah dengan 'senyuman dalam tangisan' bersetuju mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib pada Mac tahun depan.

Bush mengundur diri sebagai presiden Amerika kerana tempoh jawatannya telah tamat. Tetapi Pak Lah terpaksa mengundur diri walaupun merasakan tugasnya masih belum selesai. Kesannya, apa yang kita saksikan pada hari ini. Sehingga wujud pelbagai istilah dan masalah proses peralihan kuasa Pak Lah-Najib. Serba serbinya macam tak kena.

Walaupun proses peralihan kuasa ditakdirkan benar-benar berlaku pada Mac depan di antara Pak Lah-Najib, pergolakan dalam Umno dijangka akan terus berpanjangan di antara kem Najib dan Pak Lah tanpa diketahui kesudahan jalan ceritanya. Apa yang pasti yang menjadi mangsa adalah rakyat Malaysia walaupun mereka bukan ahli Umno!

PEMILIHAN UMNO: BUKTI PAK LAH MASIH BERPENGARUH-MALAYSIAKINI


Walaupun tinggal 5 bahagian Umno belum selesai mengadakan mesyuarat disebabkan beberapa masalah, proses pencalonan dan keputusan siapa yang layak bertanding merebut jawatan tertinggi dalam Umno dikira telah berakhir.

Keputusan pencalonan untuk jawatan dalam Umno menunjukkan kuasa dan taring Pak Lah dalam Umno masih kuat mencengkam. Pada awalnya ramai penganalisis politik sama ada dari dalam dan luar Umno merasakan regu Najib-Muhyiddin akan mendapat laluan selesa tanpa banyak masalah.

Ali Rustam dan Md Taib dijangka peringkat awalnya akan terkandas dan kempunan untuk merebut jawatan nombor dua Umno Mac nanti. Namun, apa yang berlaku adalah sama sekali di luar jangkaan. Ali Rustam dan Md Taib layak bertanding dengan mendapat undi yang agak selesa dan meyakinkan. Masing-masing mendapat 47 dan 44 pencalonan. Manakala Muhyiddin mendapat 91 pencalonan.Perkembangan terbaru ini sudah pasti sedikit sebanyak menggusar dan menggerunkan Muhyiddin menjelang pemilihan pada Mac nanti.

Namun apa yang lebih penting, proses pencalonan yang sepatutnya tamat semalam membuktikan bahawa pengaruh Pak Lah masih kuat dan padu di peringkat bahagian. Bagaimana secara tiba-tiba Ali Rustam dan Md. Taib mendapat pencalonan bertali arus daripada bahagian-bahagian?

Saya yakin ramai pihak yang bersetuju dengan saya bahawa 'mood' bahagian yang berubah untuk mencalonkan Ali Rustam dan Muhyiddin bermula daripada episod luahan rasa tidak puas hati Pak Lah kepada Muhyiddin yang dilihat 'melawan arus' menentang proses peralihan kuasa yang diumumkan Pak lah. Kesannya, Muhyiddin terpaksa menanggung padah dan menerima keperitan apabila bahagian-bahagian Umno mula beralih angin dengan menunjukkan sokongan kepada Ali Rustam dan Md. Taib.

Mungkin inikah yang dimaksudkan oleh bekas ahli parlimen Parit Sulong, Ruhanie Ahmad sebagai 'makhluk ghaib' yang membantu kemaraan Ali Rustam dan Md. Taib?

Walaupun apa teori dan spekulasi yang dikemukan, apa yang berlaku dalam proses pencalonan Umno menunjukkan bahawa bisa Pak Lah dalam Umno masih kuat. Sekaligus memberi amaran kepada Najib dan Muhyiddin serta pemimpin Umno yang lain yang dilihat terlalu ghairah untuk mengenepi dan meminggirkan Pak Lah bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku menjelang mesyuarat Agung Pemilihan Umno Mac depan.

Walaupun Pak lah kekal dengan keputusannya berundur dari jawatan Presiden, pengaruh Pak Lah dilihat masih kuat dan utuh dengan kehadiran tokoh Umno seperti Khairy, Ali Rustam,Shahrizat dan Syed Hamid Albar yang dikatakan masih 'setia' kepada pak Lah. Mereka semua mempunyai peluang seimbang untuk menduduki jawatan tertinggi dalam Umno menjelang pemilihan Mac depan.

Jalan ceritanya masih belum tamat. Masih ada laluan berliku untuk Najib. Lebih-lebih lagi perbicaraan kes Altantuya baru memasuki episod baru yang lebih mendebarkan pada Januari 2009. Sama-sama kita tunggu dan saksikan skrip yang seterusnya.