07 June 2009

KERAJAAN PERPADUAN: UMNO SEPERTI GILA TALAK

Kemenangan Ustaz Nashrudin Mat Isa dan ketewasan Datuk Paduka Husam Musa dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Pas membawa makna tersendiri kepada pemimpin-pemimpin Umno. Ustaz Nasharudin dilihat lebih mudah diajak berunding isu kerajaan perpaduan berbanding dengan Husam yang dilihat agak vokal dan senada dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan.

Jadi tidak hairanlah ada pemimpin Umno bersorak dan bertepuk tangan apabila Husam tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Pas. Walaupun Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang menegaskan beberapa kali dalam kenyataannya sebelum Muktamar ke 55 bahawa isu kerajaan perpaduan telah ditutup.

Tetapi nampaknya Umno seperti orang yang gila talak setelah dicerai talak tiga yang masih berangan dan bermimpi untuk terus mengadakan rundingan tentang kerajaan perpaduan. Ini jelas berdasarkan kenyataan Khairy Jamaludin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang tersisih yang mengharapkan perbincangan kerajaan perpaduan akan diteruskan dengan Pas.

Dalam isu ini saya harap agar pimpinan, ahli serta penyokong Pas tidak terperangkap dengan sebarang isu yang dimainkan olah Umno. Apa juga keputusan kita perlu akur kepada keputusan pimpinan, ahli majlis Syura dan keputusan muktamar. Umno sengaja memainkan isu ini dengan tujuan untuk meretakkan hubungan Pas dalam Pakatan Rakyat disamping menghakis sokongan terutama sekali sokongan golongan bukan Islam dan golongan atas pagar terhadap perjuangan Pas.