
Berita Utama TV 9 malam ini menyiarkan  bahawa  bangsa Melayu merupakan peratus paling tinggi di Penjara, sekolah Pemulihan Akhlak, Pusat Tahanan, Pusat Serenti  dan sekolah Henry Gurney.
Sekiranya tidak disiarkan pun, orang ramai dah sedia maklum  bahawa   dulu,kini dan selamanya  orang Melayu memegang 'rekod'  penghuni teramai di tempat – tempat berkenaan. 
Dalam slot berita itu, seolah – olah menyalahkan pemimpin politik Melayu yang asyik bertelagah dan berebut kuasa  menyebabkan nasib orang Melayu terabai.
Saya tidak menafikan wujudnya hakikat ini pada segelintir pemimpin Melayu yang gila kuasa, menyalah gunakan amanah dan mempunyai kepentingan politik sempit  yang menyumbang kepada berlakunya masalah ini.
Misalnya, Dato' Seri  Hamid  Albar, Menteri Dalam Negeri merangkap ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi sendiri membayangkan bahawa pemilihan Bahagian UMNO kali ini merupakan yang paling kotor  dipalit dengan rasuah  dan  paling teruk dalam sejarah kewujudan UMNO.
Pilihanraya Kecil Permatang Pauh ?  Amat jelik dan memalukan !pemimpin dan  media seluruh dunia terarah di sini dengan senario politik yang berlaku. Golongan  tertentu sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengira batas dosa dan pahala gara – gara  fobia, takut kehilangan kuasa.
Namun, pihak  TV 9 yang juga anak syarikat TV 3 kadang –kadang terlupa bahawa mereka juga antara penyumbang terbesar menyebabkan orang Melayu kekal menjadi 'juara' penghuni teramai di Penjara dan tempat – tempat yang sewaktu dengannya.
Mungkin mereka terlupa siapa yang banyak menyiarkan dan menganjurkan program yang melalaikan orang Melayu. 
Misalnya siapa yang menganjurkan JOM Heboh ?  satu ketika dulu dikenali SURE HEBOH. Namun, apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan program ini ditukar nama untuk 'dihalalkan' kepada   nama  JOM HEBOH.
Selain  itu contoh lain ialah  program Akademi Fantasia  yang menyebabkan orang Melayu hanyut dan terpaku depan TV  yang disulami dengan  drama linangan air mata apabila terdapat artis yang tersingkir.
Malah banyak lagi seperti rancangan BOLYWOOD, Telenovela dan terkini orang Melayu jadi 'ketagih' dengan drama – drama dari  Seberang.
Rancangan yang memberi input, pengetahuan dan bermanafaat hanya boleh dikira dengan jari. 
Terbaru, kerajaan meluluskan konsert artis rock wanita Avril Lavigne
    di Stadium Merdeka pada 28 Ogos ini. Agak – agak siapa penonton teramai ? sudah pasti Melayu….
Sebelum ini,  Kerajaan membenarkan Konsert Ratu Dangdut Indonesia, Inul. Namun, disebabkan wujudnya bantahan konsert tersebut dibatalkan dari dianjurkan  di Stadium Pasir Gudang dan Stadium Merdeka. Hanya diadakan di kedutaan Indonesia sempena Hari Kemerdekaan republik itu. Sekiranya diteruskan, tak tahulah apa yang akan berlaku.
Tak lama lagi sambutan Kemerdekaan, sudah menjadi satu tradisi yang tidak sihat pada malam kemerdekaan akan disajikan konsert sehingga ke dinihari. Siapa lagi yang paling ramai kalau bukan muda – mudi Melayu. Termasuklah di sini anak – anak Melayu yang masih hingusan yang terkinja – kinja sampai ke pagi.
Semua ini boleh turut menyumbang berlakunya pelbagai masalah sosial dalam masyarakat .Justeru itu tak hairanlah kes – kes seperti  juvana, jenayah, masalah rumah tangga dan penagihan dadah  khususnya di kalangan orang Melayu terus meningkat saban tahun.
 Justeru itu tidak hairanlah orang Melayu akan  terus mendominasi 'carta '   dan 'rekod '  teramai di  penjara, pusat tahanan, pusat serenti dan  sekolah Henry Gurney selagi sikap  tunding  menunding  terus diamalkan oleh pemimpin yang ada sekarang dan pihak media.
Dalam konteks ini semua pihak terutamanya kerajaan yang ada perlu berubah  dengan dasar yang lebih memfokuskan pembinaan sahsiah dan melahirkan warganegara yang berakhlak mulia. Sekiranya tidak, mereka perlu sedia berhadapan  dengan kemungkinan untuk  diubah.
Begitu juga peranan semua pihak seperti ibu bapa, guru dan masyarakat serta media perlu sentiasa berkerjasama dalam menangani dan mencari penyelesaian masalah yang berlaku. Hentikan sikap saling menyalahkan dan tuduh menuduh. Setiap orang ada peranan dan tanggungjawabnya. Sesuai dengan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
