26 April 2009

GAGASAN SATU MALAYSIA DAN PEPSI COLA

Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Awang menyifatkan slogan pembaharuan Satu Malaysia oleh Dato Seri Najib hanya gimik politik seperti pepsi cola.

Pepsi Cola, mungkin budak-budak hari ini tidak lagi mendengar jenama minuman berkarbonat popular satu ketika dulu. Kalau tak silap saya, Micheal Jackson@Mikael Jakson merupakan duta produk ini dengan nilai tajaan puluhan juta ringgit.

Maka ramailah orang meminum pepsi cola kerana tertarik dengan iklan serta gimik yang dibuat oleh Micheal Jackson dalam iklan Pepsi cola sambil menari terkinja-kinja.

Tetapi saya yakin mereka yang pernah minum air Pepsi Cola mengakui rasanya sebenarnya sama je air karbonat lain di pasaran.

Itulah yang mungkin ingin digambarkan oleh Tuan Guru Hj. Hadi Awang, idea Satu Malaysia hanyalah gimik dari DS Najib yang sebenarnya tetap sama dengan apa yang diperjuangkan oleh Umno@BN selama ini. Dasar Umno@BN tetap tidak berubah daripada menggula-gulakan rakyat dengan projek Mee Segera dan pelbagai gimik yang lain.

Maka gimik terus dibuat daripada semasa ke semasa untuk menunjukkan bahawa PM hari ini menggutamakan rakyat. Justeru itu 'pemimpin berjiwa rakyat' ini dapat dilihat bersama dengan orang ramai di Petaling Street hinggalah boleh duduk minum teh tarik di gerai minah endon di Puduraya.

Apakah dengan bersama rakyat di Petaling Street dan Puduraya rakyat di negara ini telah melupakan segala kisah silam DS Najib?

Malah gagasan Satu Malaysia oleh DS Najib sebenarnya telah ketinggalan zaman. Pas telah terlebih dahulu mengenengahkan idea Pas Untuk Semua yang semakin diterima oleh rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. Malah 15 tahun yang lalu Presiden Pas ketika itu, Almarhum Ustaz Fadzil Nor telah mengutarakan idea 'memasyarakatkan Pas'.

Bermakna idea Satu Malaysia bukan sahaja hanya gimik tetapi juga telah ketinggalan zaman, sama dengan Pepsi Cola!

ISU AGAMA OLEH KABINET, NAJIB MENDERHAKA?


Tindakan Barisan Kabinet Satu Malaysia yang membuat keputusan kontroversi berkaitan soal agama anak yang kekal mengikut agama asal ibu bapa semasa berkahwin bukan sahaja membelakangkan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi juga kuasa Sultan dan DYMM Agong.

Apa perlu wujudnya Majlis Fatwa Kebangsan sekiranya persoalan berkaitan dengan agama boleh diputuskan oleh wakil Umno, MCA dan MIC serta komponen BN yang lain yang berbilang bangsa dan agama.

Tindakan Kabinet Najib dilihat bukan sahaja bertentangan dengan bidang kuasa yang ada tetapi juga telah mengambil alih kuasa Sultan dan DYMM Agong yang bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan adat resam dan agama Islam di negara ini.

Adakah Perdana Menteri Dato Seri Najib dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Major Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharum membincangkan perkara ini dengan DYMM Agong sebelum membuat keputusan yang merobek dan mencabar maruah dan kedaulatan Islam di negara ini?

Perkara ini wajar dijelaskan oleh Najib adakah DYMM Agong telah dimaklumkan dan memperkenankan hal yang berkaitan dengan umat Islam ini? Jika keputusan jemaah menteri ini dibuat tanpa perkenan DYMM Tuanku bermakna Najib dan seluruh anggota kabinet bukan sahaja telah mengambil tugas Majlis Fatwa tetapi juga telah menderhaka!