14 November 2008

BUKTI KETERBUKAAN PAS-MALAYSIAKINI


Sering kali sebelum ini Pas dikenali sebagai parti pak lebai dan hanya sesuai untuk golongan bertudung labuh. Ini kerana imej negatif yang sering diberikan oleh media arus perdana kepada Pas.

Program memasyarakatkan Pas yang dipelopori almarhum Ustaz Fadzil Nor telah menjadi perintis dan membuka mata tentang keterbukaan dan kebersamaan Pas bersama masyarakat.Imej Pas yang terbuka semakin terserlah dengan slogan 'Pas For All' yang telah membuka minda masyarakat sehingga dalam PRU lalu golongan bukan Islam tidak lagi ragu-ragu memberi undi kepada calon Pas.

Jika dulu orang cukup 'fobia' dengan nama Pas. Kali ini tidak lagi, malah suasana positif ini dapat dilihat di kalangan kakitangan awam.

Hari ini satu lagi sejarah tercipta membuktikan Pas boleh duduk semeja walaupun dari pihak lawan untuk kebaikan bersama bersama demi keharmonian negara.

Kerjasama antara Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dengan Dewan Muslimat PAS yang dimeterai hari ini merupakan satu perkembangan menarik dalam senario politik negara yang membuktikan keterbukaan Pas. Kerjasama ini bertujuan menumpukan kepada usaha untuk memperkasa golongan wanita Islam negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerjasama itu yang merentasi sempadan kaum, ideologi politik dan bangsa adalah platform dalam menentukan kecemerlangan wanita Islam ke tahap yang lebih optimum.

Beliau berkata, penyertaan Dewan Muslimat PAS adalah detik bersejarah yang membuktikan bahawa Islam merupakan titik penyatuan kepada semua aspek kehidupan walaupun dengan latar belakang yang berbeza.

“Kerjasama dan perjuangan ini adalah wadah yang akan menyatukan kita di bawah satu agama iaitu Islam. Kita akan wujudkan pelbagai program yang melibatkan badan-badan bukan kerajaan dan pihak yang relevan dalam memperkasakan kedudukan wanita Islam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri berkata demikian selepas mempengerusikan sesi dialog Senada bersama Dewan Muslimat PAS di sini.

Saya turut mengalukan sebarang kerjasama dan muafakat seumpama ini pada masa-masa akan datang selagi Pas tidak mengadai prinsip dan asas perjuangan untuk membawa kebajikan, keharmonian dan menjamin hak setiap individu seperti yang dituntut dalam Islam.

PIHAK PENDAKWA SENGAJA MELENGAHKAN KES LIWAT DSAI DAN ALTANTUYA?-MALAYSIAKINI

Pihak pendakwaraya seolah-olah sengaja untuk melengah-lengahkan perbicaraan kes Altantuya dan kes liwat yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbicaraan peringkat membela diri kes Altantuya ditunda sehingga pertengahan Januari depan manakala kes liwat DSAI terpaksa ditangguhkan hingga 20 November ini.Pihak pendakwaraya memohon untuk merayu agar kes liwat DSAI yang masih di peringkat awal dibawa ke mahkamah tinggi. Walaupun keputusan sebelum ini dibuat untuk mengekalkan kes ini di mahkamah seksyen pihak pendakwa terus bertungkus lumus untuk mencabar untuk membawa kes ini ke mahkamah tinggi.

Belum apa-apa lagi dah macam-macam keraguan wujud dalam kedua-dua kes ini. Apa motif pendakwaraya melengahkan perbicaraan kes liwat DSAI? Kenapa pendakwaraya bersungguh-sungguh hendak memindahkan kes ke mahkamah tinggi?

Satu perkara yang pasti, pihak pendakwa merasakan dengan sikap serta ketegasan yang ditunjukkan hakim SM Komathy Suppiah, agar sukar bagi pihak pendakwa untuk berhadapan dengan kes ini. Lebih-lebih lagi umum mengetahui banyak berlaku persoalan dan teka-teki yang perlu dirungkaikan untuk diketahui oleh umum.

Pada pandangan saya pihak pendakwaraya akan mencari jalan untuk terus melengah-lengahkan kes ini dengan 1001 alasan sehingga Najib 'selamat' menjadi presiden Umno dan perdana menteri. Wujud persoalan dan dakwaan yang kuat bahawa Najib terlibat dan memainkan 'watak' penting dalam kedua-dua kes ini.

Jika beginilah keadaannya sampai bila pun sistem kehakiman kita tidak akan dihormati. Menjadi alat pihak tertentu untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa. Tapi yakinlah, sejarah telah membuktikan setiap kebatilan dan kepalsuan lambat laun akan terbongkar juga. Hari ini rakyat menjadi hakim kepada apa yang berlaku di dalam negara.

TEMPAT 'MENARIK' DI MELAKA UNTUK DILAWATI PADA MUSIM CUTI-MALAYSIAKINI

Melawat Melaka bererti melawat Malaysia. Perkataan yang terpampang di pintu gerbang sebaik sahaja anda datang ke Melaka melalui Lebuh Raya Ayer Keroh.

Sebagai panduan saya ingin syorkan tempat-tempat yang perlu anda lawati untuk melihat projek 'kebangaan' kerajaan Barisan Nasional di Melaka.

1.PULAU MELAKA
Terletak tidak jauh dari Bandar Hilir kira-kira 5 KM dari bandaraya Melaka. Sebuah pulau buatan yang menelan kos berbilion ringgit. Bangunan-bangunan kosong yang terbiar banyak terdapat di sini yang dipercayai menjadi sarang penagih dadah. Jadi anda tidak perlu bimbang dengan masalah penginapan. Terdapat sebuah Masjid Selat di sini yang bernilai puluhan juta ringgit. Apa yang unik masjid ini dibina tanpa ada sebuah pun rumah penduduk di sekitarnya. sering menjadi tempat persinggahan burung dan pasangan sejoli terutama pada cuti hujung minggu.

2. MINI MALAYSIA DAN MINI ASEAN
Terletak tidak jauh dari plaza tol Ayer Keroh.Sewaktu mula-mula dibuka sambutan yang diterima amat menggalakkan. Tetapi pada hari ini semakin terbiar dengan kawasan persekitaran yang tidak begitu terurus. Sesuai bagi mereka yang berminat melancong ke tempat yang mencabar dan menyeramkan.

3.EYE ON MELAKA ( BUKAN EYE ON MALAYSIA !)
Terletak ti tepi sungai Melaka di tapak stesen bas ekspres lama. Jika anda tidak mahu beratur panjang dan berebut-rebut dengan pengunjung lain di sinilah tempatnya. Pengunjung semakin kurang ke sini disebabkan lebih tertumpu untuk menaiki EYE ON MALAYSIA. Dijangka akan ditutup dalam tempoh terdekat. Jangan ketinggalan!

4.PANTAI PENGKALAN BALAK
Terletak kira-kira 26 km dari Bandaraya Melaka. Terdapat banyak chalet dengan kadar sewa berpatutan di sini. Apa yang menarik pantai Pengkalan Balak merupakan tempat mengalirnya air dari ladang pembiakan babi di Paya Mengkuang yang dibiarkan membiak dengan subur oleh kerajaan Melaka. Jika anda ada penyakit kulit anda boleh cuba-cuba untuk mandi manda di pantai ini.

5.MENARA TAMING SARI
Satu-satunya menara berputar yang terdapat di negara ini. Anda boleh menikmati pemandangan sekitara bandaraya Melaka dan Bandar Hilir. Apa yang menarik menurut pengurus jualannya menara ini akan ditutup dalam tempoh 1-2 hari setiap bulan untuk kerja-kerja 'penyelenggaraan'.Dijangka bakal menjadi projek gajah putih di Melaka kerana kewujudan EYE ON MALAYASIA yang berhampiran dengan menara ini.

6.JALAN TUN ALI DAN STESEN BAS LAMA
Mungkin ramai yang tidak menyedari akan lokasinya. Terletak berhampiran berhampiran EYE ON MELAKA. Menarik untuk dikunjungi pada waktu malam terutama pada lewat malam kerana pada waktu tersebut kebanyakan pondan dan bapuk yang ada di sekitar Melaka akan 'bersidang' untuk mencari pelanggan.

7.BANGUNAN SERI NEGERI
Terletak di AYER Keroh Melaka berhampiran kompleks pentadbiran kerajaan negeri. Hanya menarik dikunjungi pada 29 November ini sahaja kerana dijadualkan Datuk Shah Rukh Khan akan datang menerima anugerah dari kerajaan negeri. Jangan ketinggalan!

Ini merupakan sebahagian dari tempat 'menarik' di Melaka untuk dikunjungi banyak lagi tempat 'menarik' yang anda boleh lawati. 'Melawat Melaka bererti melawat Malaysia'.

KM PULAU PINANG:KATA BAGAI DIKOTA-MALAYSIAKINI

Apabila Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang ingin memperkenalkan gaya kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz,khalifah terkenal zaman Bani Umaiyyah ramai yang memandang sinis. Tidak kurang yang mempersenda dan menganggap kenyataan itu hanya retorik dan untuk mendapat sokongan politik.

Namun, apabila satu persatu langkah berjimat cermat dengan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat diperkenalkan berbanding kerajaan BN sebelumnya maka ramai pihak mula mengkagumi dan mencemburui akan kesungguhan Lim Guan Eng.

Sehingga hari ini, beliau masih tidak mendiami kediaman rasmi ketua menteri kerana kos membaiki yang dianggap terlalu tinggi dan membazirkan wang rakyat.

Dalam beberapa siri lawatan tetamu kenamaan ke pejabat beliau di bangunan Komtar, tetamu-tetamu berkenaan menerima kejutan dihidangkan menu 'istimewa' berupa nasi bungkus dengan lauk ala kadar.

Terbaru kerajan negeri mengumumkan dasar mengutamakan kepentingan rakyat dengan perbelanjaan berhemah iaitu semua pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hanya akan menggunakan penerbangan kelas ekonomi atau tambang murah dalam melakukan segala urusan kerajaan.

Katanya, tiada penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan dibenarkan, tiada penginapan di hotel empat atau lima bintang dan segala majlis tidak akan dianjurkan di hotel mewah.

Dengan penarikan balik segala kemudahan ini katanya, Ketua Menteri, anggota exco dan pegawai tinggi negeri hanya akan menggunakan penerbangan ekonomi dan menginap di bajet hotel apabila menjalankan tugas di luar Pulau Pinang.

Langkah ini turut dilaksanakan sebelumnya oleh kerjaan Pakatan Rakyat di Perak yang dipimpin oleh Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin.

Ini semua menjadi bukti bahawa kuasa dan kedudukan yang diperolehi oleh pimpinan Pakatan Rakyat bukan tujuan untuk kemewahan dan mengambil kesempatan dari kesempitan dan kesusahan rakyat.Mereka sanggup mengenepikan keselesaan walaupun mereka memiliki kelayakan untuk menikmati segala kemudahan yang disediakan.

Semua ini telah lama menjadi amalan kerajaan negeri di Kelantan yang diterajui YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah sehingga hari ini selama 18 tahun menjadi menteri besar, YAB Tuan Guru tidak mengambil elaun keraian dan elaun rumah sebaliknya diserahkan untuk mengisi dana kerajaan negeri.

Berbeza dengan kerajaan negeri yang dikuasai oleh BN budaya bermewah dan membazir dengan menggunakan wang rakyat dengan mengadakan majlis rasmi di hotel bertaraf lima atau enam bintang serta menggunakan penerbangan kelas perniagaan untuk sesuatu lawatan sama ada urusan rasmi atau peribadi adalah perkara biasa. Layakkah mereka bercakap dengan melaungkan slogan tradisi membela rakyat atau slogan terbaru Selamat, Aman dan Makmur?

Justeru itu, kepimpinan yang menjaga amanah dan megutamakan kepentingan rakyat wajar dikekalkan dengan diberi mandat untuk terus menerajui kerajaan negeri supaya kemakmuran dan keharmonian dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira bangsa,warna kulit dan agama.