21 November 2008
BATAL MOU DENGAN AL AZHAR: SALAH SATU RUKUN ISLAM HADHARI?-MALAYSIAKINI
Ulamak adalah pewaris Nabi. Dalam merealisasikan hasrat itu kerajaan Islam Hadhari seperti yang digembar-gemburkan oleh Pak Lah sepatutnya menyokong sistem pendidikan Islam di negara ini bagi melahirkan lebih ramai ilmuan Islam.
Dalam hal ini telah terbukti, Universiti Al Azhar di Mesir adalah gedung ilmuan Islam yang terulung di dunia yang berjaya melahirkan ribuan golongan ulamak yang tersohor di negara ini.
Mereka inilah yang berbakti dalam menyampaikan ilmu bagi memertabatkan Islam di negara ini.Walau bagaimanapun tindakan kerajaan membatalkan MOU melibatkan kerjasama penghantaran pelajar ke Universiti Al Azhar adalah satu langkah ke belakang, bermotif dendam dan menyerlahkan sikap kurang senang kepada graduan Al Azhar yang telah banyak memberi kesedaran dan membangkitkan kecintaan Islam di negara ini.
Perkara ini didedahkan oleh Naib Ketua Pemuda Pas Pusat yang mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi Al Azhar baru-baru ini untuk menyelesaikan kemelut punca ribuan pelajar gagal melanjutkan pengajian ke Al Azhar.
Naib ketua dewan itu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan universiti itu bahawa pembatalan MoU itu bukanlah atas kehendak universiti tersohor tetapi kerajaan Malaysia sendiri.
"Bila kita berjumpa pengurusan al-Azhar, al-Azhar kata bukan mereka yang batalkan, tetapi kehendak kerajaan Malaysia," jelasnya kepada Malaysiakini selepas menyerahkan memorandum kepada perdana menteri di Putrajaya semalam.
Sebaliknya kerajaan sebelum ini cuba berdalih punca kegagalan ramai pelajar yang gagal ke universiti Al Azhar.
Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ogos lalu yang mendakwa pembatalan MoU itu akibat pencapaian rendah pelajar Malaysia, terutamanya penguasaan bahasa Arab.
Kerajaan perlu menyedari bahawa kebanyakan pelajar yang ingin ke universiti Al Azhar adalah dengan menggunakan biaya sendiri. Kalau ada pun mereka diberi pinjaman yang perlu dibayar balik dengan faedah yang membebankan, bukan pergi belajar secara percuma dengan menggunakan duit kerajaan.
Kenapa pelajar berkenaan dianiaya sedemikian rupa? Adakah kerana kebanyakan mereka tidak menyokong kerajaan maka kerajaan tergamak membatalkan MOU tersebut. Tindakan kerajaan itu telah menganiaya kira-kira 5000 pelajar dari 18 kampus yang sebelum ini membuat MOU dengan Universiti Al Azhar.
Selain itu kesan pembatalan MOU itu menimbulkan pelbagai implikasi lain. Di antaranya
1. Menimbulkan masalah kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan penuntutnya.
2. Membantutkan usaha IPTS melahirkan modal insan seperti hasrat kerajaan.
3. Mengurangkan jumlah pelajar IPTS milik pengusaha Melayu-Islam dan menimbulkan risiko ditutup.
4. Membataskan pilihan mahasiswa Melayu-Islam mendapatkan pendidikan terbaik.
LIM GUAN ENG KURANGKAN JUDI, PEMIMPIN UMNO???-MALAYSIAKINI
Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam agak kecoh semalam apabila ADUN dari BN ( Umno) mempertikaikan cadagan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng untuk mengurangkan cabutan nombor ekor dari 10 kepada 6.
Tindakan wakil rakyat dari DUN Berangan, Dato' Shahbudin Yahya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang ( MAIPP) seperti mendedahkan pekung di dada sendiri.
Menurut Shahbudin, mencegah kemungkaran perlu dilakukan dengan sepenuhnya dan bukan separuh-separuh seperti cadangan Lim Guang Eng.
"Judi adalah haram dan memang tidak boleh kompromi. Ia memang perlu dihapuskan ke tahap zero (sifar) dan bukan hanya mengurangkan bilangannya". Shahbudin dipetik sebagai berkata dalam meminta penjelasan dari Lim Guan Eng dalam sidang DUN semalam.
Dari satu sudut saya bersetuju dengan pandangan Shahbudin tetapi dalam sudut yang lain ternyata kata-kata Shahbudin umpama meludah ke langit yang jatuh ke muka sendiri. Apa yang Shabudin lakukan semasa BN dan Umno masih berkuasa untuk mengurangkan atau mengatasi masalah judi di Pulau Pinag? Malah sehingga hari ini beliau masih menjadi YDP MAIPP yang mempunyai kuasa dan pengaruh untuk mengatasi atau mengurangkan pusat perjudian di Pulau Pinang. Sikap beliau tidak kena masa dan tempat. Shahbudin sengaja nak memalukan diri sendiri dan Umno di Pulau Pinang dengan sikap yang ditunjukkan.
Shahbudin patut merasa malu kerana ada pemimpin bukan Islam yang ada inisiatif untuk mengurangkan kadar perjudian tidak seperti negeri yang masih dikuasai oleh BN dan Umno seperti apa yang berlaku di Genting Higlands dan Bukit Tinggi di Pahang pusat perjudian di situ semakin berkembang pesat ala Macau dan MontleCarlo.
PEMIMPIN BN KENA CONTOHI PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT-MALAYSIAKINI
Dalam riuh rendah negara dengan isu rasuah atau politik wang yang berlaku dalam Umno yang semakin menjadi-jadi, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat memberi petanda bahawa kegawatan yang berlaku dalam negara masih boleh diselamatkan dengan memberi ruang dan peluang Pakatan Rakyat memerintah negara.
Kisah sikap berhemah dan berjimat cermat pemimpin Pakatan Rakyat bukan cerita baru. Sebelum ini kita didedahkan dengan sikap YAB Dato Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat yang tidak mengambil sesen pun elaun rumah dan elaun keraian selama 18 tahun menerajui Kelantan. sebaliknya duit itu diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dimanafaatkan dan dinikmati oleh rakyat. Bayangkan selama 18 tahun dengan jumlah yang mungkin menjangkau jutaan ringgit elaun yang tidak dituntut sudah pasti ramai rakyat terutama golongan miskin yang dapat mendapat faedahnya.
Kita juga didedahkan dengan sikap jimat cermat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam menggunakan duit rakyat yang berazam menjadikan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai panduan.
Hari ini kita didedahkan dengan sikap yang patut menjadi amalan dan ikutan pemimpin BN lain seperti yang ditunjukkan oleh YAB Datuk Seri Azizan Razak.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat potongan gajinya lebih RM10,000, jumlah paling besar yang pernah dibuat oleh seorang menteri besar, kata seorang pemimpin PAS negeri.
Potongan itu daripada jumlah gajinya RM14,100 dimulakan sejak awal pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di negeri itu, Mac lalu, namun ia tidak diumumkan secara meluas, kata timbalan pesuruhjaya PAS Kedah, Hassan Abdul Razak.
Jumlah wang yang dipotong itu disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri bagi mencontohi amalan cara hidup sederhana yang selama ini diamalkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hassan mendedahkan amalan Azizan itu bagi menyangkal dakwaan pesuruhjaya PAS itu bermewah-mewah selepas menjawat kerusi nombor satu dalam pentadbiran Kedah.
Hassan menambah, potongan itu diumumkan pertama kali dalam program taklimat dasar-dasar kerajaan kerajaan negeri di ibu negeri apabila dibangkitkan PAS kawasan Alor Star, 14 November lalu.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak didedahkan sebelum ini kerana "(hendak) membuat kebaikan tidak perlu dihebah-hebahkan".
Ini tidak, nak potong elaun menteri dan timbalan menteri 10% pun riuh rendah seluruh negara. Ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Sebaliknya apa yang diambil sama ada secara sah atau pun sebaliknya tidak pula diheboh-hebohkan.
Berita dan maklumat terdapat 10 orang ahli parlimen BN yang membuat tuntutan hampir RM 1 juta seorang seperti yang didedahkan di parlimen kelmarin menjadi bukti betapa buas dan rakusnya pemimpin BN menggunakan wang rakyat sesuka hati. Ini baru satu jumlah yang sangat kecil berbanding dengan pembaziran dan penyelewengan yang sering dikaitkan dengan pemimpin BN yang lain.
ZAHID HAMIDI KENA CERMIN DIRI-MALAYSIAKINI
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memberi amaran kepada masyarakat bukan Islam di Negara ini supaya tidak mempertikaikan fatwa yang berkaitan dengan Islam di negara ini. Saya sangat setuju dengan kenyataan ini. Cuma dalam masa yang sama Zahid Hamidi juga perlu cermin diri sendiri sebelum bercakap sesuatu berkaitan Islam dan hukum di negara ini.
Beberapa hari lepas, beliau agak marah-marah bila Raja Petra Kamarudin(RPK) mempertikaikan prosedur tahanan ISA yang tidak dibenarkan sembahyang Jumaat. Zahid dipetik sebagai berkata, siapa RPK yang hendak mempersoalkan tentang sembahayang Jumaat. Beliau meminta RPK cermin diri sendiri sebelum bercakap tentang Islam.
Siapa Zahid Hamidi yang hendak mempertikaikan keislaman orang lain? Adakah beliau yang menjadi penentu amalan seseorang diterima atau pun tidak dan penentu dosa dan pahala ? Hukum adalah tetap hukum tidak boleh dipertikaikan! Jika tiga orang pengebom Bali yang menunggu hukuman mati sekalipun masih dibenarkan sembahyang Jumaat dan sembahyang raya serta boleh berjemaah dengan tahanan lain.Adakah RPK dan tahanan beragama Islam lain di Negara ini tidak boleh dibenarkan melakukan amalan yang dituntut oleh Islam seperti sembahyang Jumaat? Malah lanun yang merampas kapal Malaysia di Teluk Eden Somalia pun masih membenarkan anak kapal beragama Islam sembahyang berjemaah. Lanun pun ada budi bahasa dan budi bicara!
Saya nak mencadangkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamid Albar agar jangan hanya siasat dan ambil tindakan pada NGO yang menentang fatwa sahaja tetapi ambil juga tindakan yang sama pada Zahid Hamidi. Kenyataan beliau jelas menghina dan mempersendakan Islam. Kita tidak mahu keharmonian dan perpaduan rakyat di Negara ini terjejas dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.