06 April 2009

KEMPEN MAHATHIR UNTUNGKAN PAKATAN RAKYAT


Tun Dr. Mahathir, secara rasmi turun dalam kempen membantu calon Umno@BN dalam majlis ceramah di simpang Bukit Gantang yang turut dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon Umno@BN Ismail Safian.

Akhirnya Mahathir bergiat semula dalam politik Umno yang satu ketika dahulu dilabelnya telah rosak dan punah ranah kerana bergelumang dengan najis rasuah. Secara tidak langsung Mahathir membiarkan dirinya bergelumang dengan 'dosa dan noda' yang didakwanya selama ini.

Ada kemungkinan, terpilihnya Dato Seri Najib sebagai Presiden Umno telah berjaya 'menyamak' noda-noda yang ada dalam Umno selama ini agar kembali suci dan murni. Itulah sebabkanya kenapa agaknya Mahathir kembali 'terlioq' nak kembali dalam Umno.

Ada juga maklumat bahawa kemasukan Mahathir dan bergiat aktif dalam Umno kerana beliau dimaklumkan bahawa ' orang tingkat empat' yang cukup dibencinya selama ini bakal tersingkir kerana tindakan yang bakal diambil oleh Lembaga Disiplin Umno selepas Pilihanraya kecil ini nanti.

Jadi sebab itulah kempen 'orang tingkat empat' dalam kempen Umno@BN kali ini hanya sekadar ala kadar seperti melepas batuk di tangga kerana menyedari tindakan yang bakal diterimanya.

Bagi saya kemasukan Mahathir akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk mencipta 'hatrik' dalam siri Pilihanraya Kecil kali ini. Dr. Mahathir dalam satu ceramahnya dulu selepas keluar dari Umno pernah menyebut bahawa rakyat hari ini sudah semakin cerdik dan matang khususnya di kalangan orang melayu yang dulu pernah disifatkan beliau sebagai 'Melayu Mudah Lupa' dalam bukunya The Malay Dilemma.

Rakyat hari ini boleh menilai dan membezakan siapa yang konsisten dan berkata benar dalam perjuangan. Rakyat boleh membezakan siapa yang lurus dan siapa yang libang bercabang. Rakyat juga boleh menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu permata. Rakyat juga sudah dapat melihat 'dacing' sudah semakin senget menunggu masa untuk menyembah bumi!

DUA BUKIT DALAM GENGGAMAN, BATANG AI 50-50


Berdasarkan senario perkembangan semasa, trend pengundi serta gerak kerja pilihanraya saya menjangkakan Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang sangat cerah untuk mengekalkan kerusi parlimen Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Manakala di Batang Ai, masih sukar diramal, saya meletakkan 50-50 memandangkan isu berbeza di antara dua bukit dan satu batang.

Tinjauan yang dijalankan melalui blog dan web sama ada pro PR dan Umno@BN jelas menunjukkan kemenangan memihak kepada calon-calon PR. Misalnya undian melalui blog ini, Calon Pas Dato Seri Ir Nizar Jamaludin mendahului dengan lebih 90% undi.

Walaupun sampel yang mengundi kemungkinan besar bukan dari mereka yang layak mengundi di PRK berkenaan ia sebenarnya menggambarkan bahawa PR mendapat sokongan padu dari golongan pertengahan dan golongan intelek yang terdiri daripada golongan muda.

Bermakna selain daripada kemenangan PR di lokaliti dan saluran yang ramai pengundi India dan India, faktor kemenangan juga dijangka adalah dari saluran tiga dan empat iaitu pengundi muda. Berdasasarkan senario pilihanraya ke 11 yang lalu, sokongan pengundi muda adalah tekal dan sukar digugat oleh Umno@BN. Ini kerana mereka adalah golongan yang tidak akan menerima bulat-bulat propaganda yang dijalankan oleh jentera kempen Umno@BN dan juga propaganda media massa.

Kemenangan di saluran 3 dan 4 juga adalah kerana sumbangan DS Najib yang mengilhamkan program Khidmat Negara(PLKN) yang menyebabkan semakin ramai yang pro PR dan semakin benci serta meluat kepada Umno@BN. Justeru itu, jika kemenangan di saluran 3 dan 4 menjadi kenyataan, PR juga wajar berterima kasih kepada DS Najib.

Walau bagaimanapun semua petugas PR perlu meningkatkan gerak kerja sehingga hari pengundian dan pengiraan undi supaya sebarang cubaan dan anasir tidak bermoral serta taktik kotor daripada Umno@BN dapat dilumpuhkan.