19 March 2009

SEMUA KATA TAK SALAH, SIAPA YANG SALAH?

Khairy Jamaludin yang didapati bersalah kata dia tak bersalah. Ali Rustam yang didapati bersalah pun kata dia tak bersalah. Malah SU Politiknya yang juga didapati bersalah dan digantung 3 tahun pun kata dia tak bersalah.

Penyokong-penyokong Ali Rustam pun kata Ali Rustam tidak bersalah sebaliknya kata Ali Rustam jadi mangsa konspirasi politik.

Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno pun kata jawatankuasa itu tidak bersalah bila dituduh bersekongkol dalam apa yang didakwa sebagai konspirasi politik.

Untuk menguatkan hujah lembaga Disiplin tak bersalah hukum Ali Rustam dan yang lain-lain, Najib kata tidak ada unsur sabotaj atau menjadikan ketua menteri Melaka itu sebagai 'kambing hitam'.

Jadi siapa yang sebenarnya yang bersalah?

Cuba kita bayangkan juga kalau semua tertuduh yang didapati bersalah oleh hakim di mahkamah kata mereka tak bersalah sebaliknya berkata hakim yang salah. Hakim pulak mati-mati kata mereka tak bersalah.....pening...pening...

RAKYAT MELAKA PRIHATIN DIJEMPUT KE HIMPUNAN AMAN DESAK ALI RUSTAM LETAK JAWATAN

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka memaklumkan bahawa satu himpunan aman akan diadakan pada 20 Mac 2009 selepas solat Jumaat di hadapan Masjid MITC.

Menurut Kamaruddin peserta himpunan akan berkumpul di masjid tersebut sebelum berarak ke Seri Negeri untuk menyatakan hasrat rakyat negeri Melaka yang mengharapkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri dan ADUN Bukit Baru.

Rakyat Negeri Melaka diharapkan dapat mengambil bahagian di dalam himpunan aman ini.Kamaruddin berkata rakyat negeri Melaka amat kesal dengan pengelibatan Ali dalam rasuah dan salah guna kuasa. Maka menurutnya Ali sudah hilang kelayakan untuk menjadi Ketua Menteri dan ADUN.

PPSMI: NAK TUNGGU APA LAGI?

Pelbagai pandangan dan bantahan sudah dilakukan terhadap pelaksanaan PPSMI. Dari orang kampung sehinggalah ke pakar dan profesor bahasa, majoriti menentang pelaksanaan PPSMI.

Malah tanyalah guru-guru yang terlibat dalam PPSMI, walaupun mereka diberi elaun 5%-10% daripada gaji (banyak tu) majoriti di kalangan mereka tidak setuju dengan PPSMI.

Hanya arahan dan tugas serta kerana terpaksa menyebabkan mereka menggagahkan diri mengajar PPSMI.

Kajian terkini Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang melibatkan IPTA ternama iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara terhadap 5595 sampel di 56 sekolah terpilih mendapati hanya 4% sahaja pelajar menguasai PPSMI!

Apa yang lebih mengejutkan salah satu rumusan daripada hasil kajian ialah "PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Jadi apa lagi kerajaan melalui Kementerian hendak tunggu? Usahlah berdolak dalik dengan menggunakan hujah dan alasan yang mengelirukan. Malah sehingga hari ini cabaran untuk mengumumkan berapa markah lulus, kepujian dan cemerlang subjek matematik dan sains dalam peperiksaan yang lepas masih tidak berani diumumkan oleh kerajaan.

Saya mempunyai maklumat bahawa ada kemungkinan besar markah matematik dan sains dalam SPM baru-baru ini telah dimanipulasi untuk menghalalkan PPSMI. Pelajar yang tak pernah lulus boleh lulus dengan 'membanggakan'. Malah ada guru sains merasakankan keputusan subjek sains dan matematik di sekolah mereka adalah di luar jangkaan.Jika ini spekulasi saya, bagaimana dengan kajian ilmiah yang dijalankan di atas?

Justeru itu, kerajaan perlu membuat keputusan segera memansuhkan PPSMI. Jangan rosak dan binasakan bahasa dan minat generasi akan datang terhadap subjek sains dan matematik akibat dasar PPSMI yang terbukti merugikan ini dan tidak setimpal dengan kos berbilon ringgit yang telah dibelanjakan.