01 December 2008

ISU KETUANAN MELAYU AKAN JADI SENJATA MAKAN TUAN


Gegak gempita sekali isu ketuanan Melayu dicanang oleh pemimpin Umno sehari dua ini. Mereka cuba memanipulasi kenyataan pelakon handalan terkenal dari MCA, Chua Soi Lek. Chua Soi Lek sebenarnya cuba memulihkan imejnya yang merudum gara-gara lakonannya di Hotel Katerina Batu Pahat yang mendapat sambutan di luar dugaan.

Umno pula yang agak kebingungan dengan isu rasuah dan pergaduhan sesama sendiri dalam pemilihan baru-baru ini seperti hilang arah untuk kembali mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat.

Umno dan MCA yang dikepalai oleh Chua Soi Lek berada dalam keadaan terdesak untuk memulihkan reputasi masing-masing. Jadi isu ketuanan Melayu dilihat memberi 'bonus' kepada kedua-dua pihak untuk muncul sebagai juara dan pejuang bagi kaum masing-masing.

Sehingga hari ini, isu ketuanan Melayu yang digembar-gemburkan tidak mendapat sambutan yang diharapkan. Orang Melayu bersikap dingin terhadap isu yang cuba dimainkan. Mereka menyedari isu ini isu basi yang menjadi mainan politik Umno dan MCA. Rakyat tidak termakan dengan wayang kulit Umno dan MCA. Apa yang dibuat oleh Umno serba-serbi tak menjadi. Umno semakin pening dan terdesak untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat setelah diberi pengajaran dengan tewas begitu teruk dalam pilihanraya lalu.

Isu ini dijangka akan digunakan habis-habisan dalam pilihanraya kecil Kuala Terangganu akan datang. Tapi kita yakin orang Melayu di Terangganu tidak sebodoh pemimpin Melayu dalam Umno. Mencium keris dan mengasah keris hanyalah simbolik bahawa lebih banyak harta khazanah negara bakal dikikis oleh pemimpin Umno dengan keris yang dijulang.

Orang Melayu di negara ini sedar siapa yang sebenarnya yang menjadi pengkhianat Melayu selama ini. Mereka sedar siapa yang menggadai tanah milik Melayu di negara ini seperti yang berlaku di Johor khususnya melalui Wilayah Pembangunan Iskandar.

Siapa yang mengkhianati Melayu bila menafikan bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains? Malah siapa yang mengkhinati Melayu apabila memansuhkan biasiswa kepada anak-anak Melayu di Universiti? Siapa yang menyebabkan orang Melayu gagal dan ketinggalan bila sistem meritokrasi diperkenalkan? Siapa yang menyebabkan univesiti yang menjadi tempat anak Melayu dan kebanggaan Melayu diswastakan? siapa yang menjual kuota Melayu sebanyak 10% di matrikulasi? Bulan lalu, mereka yang kononnya menjadi pejuang ketuanan Melayu bersikap lunak apabila bersetuju agar target 30% ekuiti bumiputera dalam DEB dikaji semula.

Semua ini menjadi bukti bahawa Umno tidak layak bercakap tentang ketuanan Melayu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa merekalah sebenarnya yang menjadi penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa sendiri. Isu ketuanan Melayu akan menjadi senjata makan tuan yang bakal merobek dan mencincang lumat Umno agar satu hari nanti hanya wujud dalam lipatan sejarah negara. Bukan sebagai pejuang dan pembela bangsa tetapi pembawa bencana dan musibah pada generasi akan datang.