Setiap kali keluar berita tentang helikopter Nuri pasti tak ada cerita lain. Sama ada terhempas, hilang dari radar ataupun terpaksa mendarat cemas. Cuma hari ini agak istimewa kerana cerita helikopter Nuri membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pastinya tak dapat melupakan apabila helikopter Nuri yang dinaiki untuk merasmikan satu mesyuarat Umno bahagian di Sabah terpaksa mendarat cemas di Tuaran.
Bagi Muhyiddin mungkin ini pengalaman pertama beliau merasai saat cemas menggunakan helikopter Nuri. Tetapi bagi anggota tentera negara khususnya kapten pesawat mungkin detik-detik cemas seperti itu sudah acap kali mereka lalui. Mujur tidak ada sesuatu yang buruk berlaku. Jika tidak mungkin satu lagi sejarah hitam terpalit membabitkan helikopter Nuri yang telah digunakan sejak tahun 1970-an lagi. Tak dapat nak dibayangkan bagaimana helikopter yang telah berpuluh tahun digunakan masih lagi menjadi aset 'berharga' kerajaan. Jika nak dijual ke negara mundur sekalipun mereka akan fikir beratus kali sebelum membuat keputusan membeli helikopter Nuri ini.
Saya yakin jika tidak kerana kontroversi cadangan pembelian Eurocopter tempohari, Muhyiddin tidak perlu melalui mimpi ngeri merasai pengalaman menaiki pesawat yang pernah digelar 'keranda terbang' ini. Jika kerajaan masih lagi bercadang meneruskan penggunaan helikopter ini saya cadangkan ia hanya digunakan oleh Perdana Menteri dan Timbalannya serta menteri-menteri yang ada. Biarlah mereka gunakan untuk merasmikan mesyuarat Umno sini sana. Bagi operasi ketenteraan, logistik atau operasi mencari dan menyelamat gunakanlah pesawat lain.
Agak malang anggota tentera perajurit negara terkorban sia-sia kerana disebabkan pesawat yang telah layak disimpan di Muzium Negara. Jika tidak pun boleh dihadiahkan kepada kerajaan Melaka untuk menambah koleksi Muzium yang ada.Ajal maut memang ketentuan Allah SWT tetapi pepatah Melayu ada berkata 'maut jangan dicari'. Sudah tiba masanya kerajaan menukar helikopter antik ini sebelum satu lagi musibah melanda negara.