17 July 2009

SELEPAS TAHANAN POLIS KINI TAHANAN SPRM PULA..


Jika sebelum ini kita sering kali mendengar berita tahanan polis 'mati mengejut' ketika berada dalam tahanan sewaktu masih dalam proses soal siasat. Itu belum lagi dikira tahanan yang mendakwa dibelasah dan 'dikerjakan' sewaktu berada dalam tahanan polis. Malah sebelum ini kita pernah mendengar tahanan wanita yang dibogelkan dan diminta ketuk ketampi dalam keadaan mengaibkan dan dirakam secara sulit untuk mendapatkan 'bukti'. Malangnya semua dakwaan dan bukti yang dikemukakan seperti kes A.Kugan akhirnya senyap begitu sahaja.

Semalam, negara digemparkan lagi tentang kematian 'mengejut' tahanan sewaktu sedang disoal siasat. Cuma kali ini bukan dalam tahanan polis tetapi sewaktu dalam soal siasat SPRM. Apakah ini satu lagi kes kematian 'mengejut'? Teo Beng Hock, 30 tahun (gambar) ditemui mati ketika berada di tingkat 14 pejabat SPRM di Shah Alam. Persoalannya bagaimana Teo boleh jatuh? Lebih malang, dia dijadualkan melangsungkan perkahwinannya hari ini. Bagaimana seorang yang berada di bawah kawalan SPRM boleh mati 'mengejut'? Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar awal-awal lagi mengklasifikasikan ia sebagai kematian 'mengejut'. Bagaimana beliau boleh membuat kenyataan 'mengejut' sebelum siasatan forensik dan bedah siasat belum lagi dilakukan?

Bagi saya, apa pun yang berlaku kepada Teo dalam hasil bedah siasat nanti, sama ada terjatuh, menjatuhkan diri atau dijatuhkan, SPRM perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana Teo berada di bawah kawalan dan siasatan SPRM ketika itu yang sedang menyisat kes berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan Exco Pakatan Rakyat Selangor. Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang membuat spekulasi berkaitan kematian ini kerana ini bukan kematian biasa tetapi mati 'mengejut'.