20 September 2008

KEMELUT EKONOMI DAN POLITIK : KERAJAAN BERTANGGUNGJAWAB

Masalah ekonomi dan politik Negara berada dalam situasi yang semakin membimbangkan. Indeks Komposit di BSKL berada di bawah paras 1000 mata. Kedudukan terendah selepas negara mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 1997 lalu. Sementara itu, pelabur luar beralih atau menangguhkan pelaburan mereka ke negara ini. Mereka bersikap tunggu dan lihat perkembangan yang berlaku dalam Negara.

Suasana politik pula semakin tidak menentu dengan kedudukan kerajaan semakin goyah berikutan desakan demi desakan supaya kerajaan yang ada mengadakan sidang tergempar parlimen seperti yang didesak oleh Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim. Walau bagaimanapun, hasrat ini buntu apabila Perdana Menteri berkeras tidak mahu adakan sidang tersebut. Langkah susulan telah diambil dengan mengutus surat kepada DYMM Agung untuk Pimpinan Pakatan Rakyat memohon mengadap untuk melaporkan kesediaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

Semalam, Menteri Kesenian dan Pelancongan Datuk Rais Yatim berkata DSAI mempunyai agenda dan hubungan dengan Amerika berhubung usaha untuk membentuk kerajaan baru. Kenyataan ini tidak membantu sebaliknya hanya satu tohmahan tanpa bukti dan hanya mengeruhkan lagi suasana dalam negara. Langkah menukar portfolio Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan di antara PM dan TPM tidak banyak membantu. Malah makin memburukan keadaan ekonomi Negara. Ini jelas apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyifatkan Datuk Seri Najib tidak mampu mengurus dan menyelesaikan masalah ekonomi Negara.

Pada pandangan saya, selagi kerajaan melambatkan sidang parlimen yang dituntut oleh Pakatan Rakyat masalah ekonomi dan politik Negara tidak akan berkesudahan. Kerajaan di bawah Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu bimbang untuk mengadakan sidang tergempar parlimen ini sekiranya Pak Lah benar-benar yakin bahawa dakwaan DSAI bahawa terdapat 35 ahli parlimen BN untuk menyertati Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang karut dan tidak masuk akal. Inilah masanya mereka ingin membuktikan serta menanam keyakinan kepada rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan yang ada adalah kukuh dan stabil.

Kebimbangan suasana politik dan ekonomi menyebabkan terdapat sebilangan penduduk di negara ini yang membuat 'belian panik' kerana wujud kebimbangan senario politik negara yang tidak menentu. Ini berdasarkan sembang –sembang dengan rakan yang terdiri dari golongan professional. Malah suasana ini wujud di kalangan golongan bawahan dan penduduk kampung.

Sekiranya rakyat Negara sendiri tidak yakin dengan keadaan dalam negara, bagaimana kita hendak mengharapkan orang luar meyakini keadaan negara kita ? Tindakan ISA dan akta Hasutan kepada pihak tertentu akan semakin menghakis keyakinan pelabur dan pelancong asing untuk datang ke Negara ini. Justeru itu, bagi saya kerajaan yang ada tidak mempunyai banyak pilihan selain mempercepatkan sidang parlimen untuk membuktikan kerajaan yang ada benar-benar mantap dan stabil.