23 December 2008

ISU HUDUD: UMNO MASUK PERANGKAP?

Apa sahaja isu yang cuba Umno bangkitkan serba serbi tidak menjadi. Ibarat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Umno terkial-kial mencari isu untuk menyerang Pas lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya kecil Kuala Terangganu 13 Januari nanti.

Isu hudud yang cuba dimanipulasi tidak menjadi kenyataan. Setakat ini isu hudud telah memberi kredit kepada Pas menjelang pilihanraya di Kuala Terangganu.

Kenyataan Naib Presiden Pas, Dato' Husam Musa yang mengatakan Pas tetap akan melaksanakan hudud cuba diputar belit oleh media milik BN. Mereka cuba menggambarkan Pas sebuah parti yang ekstrim. Pemimpin BN dan media cuba memainkan isu ini bertujuan untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS,PKR dan DAP.

Bagi pengundi di Terangganu, mereka sudah cukup faham tentang isu hudud ini. Isu hudud tidak akan memberi impak kepada perubahan pengundi di Kuala Terangganu khususnya daripada pengundi cina di sekitar bandar Kuala Terangganu.

Kenyataan Husam semalam, pelaksanaan hudud akan dilaksanakan jika PAS mendapat mandat besar dalam pilihanraya umum, dalam situasi sekarang rancangan Pas untuk melaksanakan hudud akan dikemukakan jika mendapat persetujuan dari PKR dan DAP.Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa sikap keterbukaan Pas dan menghormati kerjasama dalam Pakatan Rakyat tanpa mengadai prinsip asal perjuangan Pas.

Bukan sahaja pemimpin Umno biasa terperangkap dengan isu hudud ini, Najib juga terlupa dengan kenyataan yang sebenar apabila bercakap seolah-olah orang yang hilang ingatan. Kenyataan Najib yang mencabar Pas supaya melaksanakan hudud di Kelantan dan Terangganu yang diperintah oleh Pas sebelum ini menunjukkan betapa Najib memang tidak layak menjadi pengganti kepada Pak Lah.

Apakah Najib lupa siapa yang menentang Deraf Enakmen Hudud yang dibentangkan oleh kerajaan Pas di Kelantan dan Terangganu?

Pilihanraya kecil Kuala Terangganu yang semakin hampir menyebabkan BN khususnya Umno semakin terdesak untuk berhadapan dalam pilihanraya itu. Tanda-tanda perpecahan dalam umno dengan pemilihan Wan Farid sebagai calon BN semakin jelas.

Malah BN seolah-olah bermain psikologi dengan bersifat 'under dog' dalam pilihanraya ini bertujuan untuk meraih undi dan simpati dari pengundi.

Kepada BN dan Umno, rakyat Kuala Terangganu masih lagi tidak dapat melupakan bagaimana insiden dan tindakan ganas polis menggunakan peluru hidup membuat provokasi dalam satu majlis ceramah Pas sehingga nyaris ada yang terbunuh di Batu Buruk. Siapa petualang di sebalik kejadian berkenaan? Pesuruhjaya Pas, Tn Hj. Mustafa Ali secara terbuka menyebut Wan Farid adalah sebagai dalangnya? Tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan atau pun usaha menjawab atau menyaman kenyataan Pesuruhjaya Pas itu.

Saya menjangkakan Umno yang diketuai oleh Najib akan bermatian-matian untuk memastikan kemenangan Umno di Kuala Terangganu. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapat kemenangan. Kemenangan BN bermakna kemenangan kepada Najib. Kekalahan BN bermakna nasib Najib sebagai bakal PM dan Presiden Umno semakin tidak menentu pada Mac depan.