22 August 2008

Harga Minyak Turun Mulai Esok…



Harga minyak turun juga akhirnya. 15 sen bagi petrol dan 8 sen untuk diesel. Ini bermakna harga petrol ( RO97 )turun dari RM 2.70 kepada RM 2.55 dan harga diesel dari RM 2.58 kepada RM 2.50.

Namun, penurunan ini masih dianggap masih kecil dan tidak setimpal dengan beban kenaikan harga minyak yang ditanggung oleh pengguna bermula pada bulan Jun lalu. Sebelum ini kerajaan menaikkan harga minyak petrol dari RM 1.92 kepada RM 2.70 dan harga diesel dari RM 1.58 kepada RM 2.58.

Dari segi peratus penurunan harga yang diumumkan hanya 19.23 % bagi petrol dan 8 % sahaja bagi diesel dari jumlah kenaikan yang berlaku pada bulan Jun lalu.

Penurunan ini dijangka hanya memberi kesan yang sangat sedikit kepada kadar inflasi dan kos sara hidup pada jangka masa pendek atau panjang. Semasa harga minyak dinaikkan pada Jun lalu, kita sendiri dapat menyaksikan 'pesta' kenaikan harga barang yang tidak terkawal dan dapat dibendung. Berita terbaru, pengusaha bas sekolah akan menaikkan tambang bas sebanyak 50 % dalam masa terdekat.

Begitu juga dengan harga barangan pengguna lain yang menunjukkan 'trend' peningkatan harga dari semasa ke semasa. Saya mengakui tidak dapat mengemukakan fakta yang tepat tentang kenaikan harga barangan ekoran kenaikan harga minyak . Namun, secara umumnya berdasarkan pengalaman setiap minggu membeli barangan keperluan dapur dan barang keperluan lain sama ada di pasar awam, pasar borong atau di hyper Market dan kedai runcit biasa, hakikat kenaikan harga barang ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Kenaikan yang paling ketara ialah kenaikan harga beras, barang basah seperti ikan, ayam dan daging serta sayur – sayuran dan minyak masak. Begitu juga dengan harga susu tepung untuk bayi dan kanak – kanak.

Misalnya, harga beras wangi yang dulunya boleh diperolehi di bawah harga RM 30 untuk sekampit kapasiti 10 kilogram, kini hanya mampu dibeli dengan harga sekurang – kurangnya RM 40 ke atas. Harga ayam dari RM 5.20 / RM 5.40 sebelum ini telah meningkat kepada RM 6. Begitu juga dengan harga minyak masak seberat 5 Kilogram sebelum kenaikan harga minyak dapat dibeli di bawah harga RM 12 kini mencecah sehingga RM 13.50 ke RM 14.50.

Persoalannya di sini, adakah kita dapat memastikan pihak pengeluar dan pengimport barangan keperluan akan menurunkan harga bila harga minyak diturunkan 15 sen dan 8 sen ? Saya yakin, anda ada jawapannya.

Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan penurunan harga minyak ini sedikit sebanyak akan dapat mengubat kegelisahan dan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kita berharap, kerajaan dapat menurunkan harga minyak kepada kadar yang lebih munasabah pada masa terdekat sesuai dengan kejatuhan harga minyak di peringkat global dan slogan kerajaan menjaga dan membela kebajikan rakyat.

Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan jika rakyat terpesona dengan janji Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak serta merta sebanyak 70 sen sekiranya peralihan kuasa benar – benar berlaku kepada Pakatan Rakyat sebelum 16 september 2008 seperti yang diwar-warkan. Sama – sama kita tunggu, hanya kira – kira 25 hari dari sekarang.

KOMANDO, UTK KAWAL PERMATANG PAUH


BUKIT MERTAJAM 21 Ogos – Polis menggunakan khidmat Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando 69 untuk mengawal keselamatan di Permatang Pauh berikutan pelbagai ancaman yang mungkin dihadapi apabila kawasan itu mula dibanjiri orang luar.

Pegawai Perhubungan Media Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri, Supritendan Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, langkah berkenaan diambil bagi menunjukkan polis memandang serius aspek keselamatan menjelang hari mengundi pada 26 Ogos nanti. Utusan.

Kebetulan, Tak Sengaja atau Disengajakan ?


Akhir – akhir ini apabila menatap dan menonton berita sama ada dari media milik kerajaan atau alternatif seperti Website dan blog tertentu kita berdepan dengan pelbagai input, maklumat dan laporan yang sama sekali berbeza dan kadang kala mengelirukan. Ada kalanya yang kecil dibesar –besarkan, yang besar dikecil –kecilkan yang tiada diada-adakan dan yang ada disembunyi – sembunyikan.Malah kadang – kadang seperti skrip cerita Tamil dan Hindustan yang terdapat banyak watak dan adegan yang muncul dan berlaku secara kebetulan. Adakah ini berlaku secara tidak sengaja atau disengajakan ?

Ini jelas melalui berita – berita muktahir yang khususnya berlaku dalam Negara seperti isu L…T yang melibatkan tokoh ternama, isu sumpah ( sesumpah ), Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, isu naik turun harga minyak dan terbaru isu rasuah yang didakwa melibatkan EXCO dari Perak.

Dalam hal ini sebenarnya kita tidak perlu memeningkan kepala untuk mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Di dalam Al Quran jelas memberi panduan dan peringatan kepada kita semua. Sesuatu kebenaran lambat laun pasti akan terserlah kebenarannya. Manakala yang batil ( palsu ) akan lebur dan binasa. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap." Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. ( Al Isra' : 81 )

Begitu juga apabila kita menerima sesuatu berita, Al Quran juga telah mengajar kita untuk meneliti dan berhati – hati apabila mendengar sesuatu berita :

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. ( Al – Hujurat : 6 )

Justeru itu, selain daripada pertimbangan akal yang waras serta ilmu yang ada, bimbingan wahyu Ilahi akan dapat membimbing dan memberi panduan kepada kita untuk memahami isu dan persoalaan serta teka teki yang berlaku. Sekaligus dapat mengenepikan pandangan dan tanggapan yang lebih banyak dikuasai oleh nafsu dan pemikiran sempit yang mempunyai kepentingan tertentu.

1 September atau 31 Disember ?


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Hal Ehwal Pengguna, Dato' Sharil Samad mengumumkan hari ini bahawa harga syiling petrol kekal hingga 31 Disember 2008. Walhal sebelum ini PerdanaMenteri mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan harga baru petrol dan Diesel pada 31 Ogos ini dan akan dikuatkuasa bermula 1 September . Sila klik rujuk pada berita di bawah :

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20080821201921/Article/index_html

Mana satu yang betul ? Perdana Menteri atau menteri ? Mengapa keputusan untuk menurun dan mengekalkan harga petrol boleh berubah dalam sekelip mata ?

Isu harga petrol merupakan isu nasional yang mendapat perhatian rakyat. Dalam hal ini, kerajaan boleh mengikut jejak langkah Singapura yang menurunkan harga minyak apabila harga minyak pasaran dunia menurun. Walaupun Singapura bukan negara pengeluar atau pengeksport minyak. Sila rujuk posting saya bertarikh 31 Julai lalu yang dipetik dari Berita Harian Singapura.

Sekarang harga minyak di pasaran dunia di antara $ AS 98 - $ AS 112 seton. Semasa kerajaan menaikkan harga minyak pada bulan Jun lalu alasan yang diberikan kerana kenaikan harga minyak pasaran dunia. Mengapa kini langkah menurunkan harga tidak diambil apabila harga minyak di pasaran dunia telah menjunam jatuh ?

Apa yang berlaku sebenarnya ? Rakyat sudah cukup terhimpit dan tertekan dengan kenaikan harga minyak. Justeru itu, berita kerajaan ingin menunda untuk menurunkan harga minyak dari asalnya dari 1 September kepada 31 Disember adalah sesuatu yang begitu mengecewakan.

Kita berharap kerajaan akan mengotakan janjinya untuk mengkaji semula harga minyak apabila harga minyak di pasaran dunia menurun. Kini, harga minyak dunia sudah turun, apa lagi yang hendak ditunggu dan dikaji ? Apa lagi yang yang hendak diturunkan baru hendak menurunkan harga minyak ? Teka – teki dan persoalan ini saya kira pihak berkenaan ada jawapannya. Sama – samalah kita tunggu dan lihat apa episod seterusnya yang akan berlaku.